Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts
Showing posts with label MOTIVASI. Show all posts

Thursday, December 10, 2009

Belajar Memberi


Majalah Solusi memberi inspirasi kepada saya untuk menulis kali ini. Isu No. 14 di bawah tajuk ‘Hidup Untuk Memberi’ sekaligus mengenderai fikiran saya kepada tagline Saifulislam.Com ‘Erti Hidup Pada Memberi’.


Ustaz Hasrizal seorang penulis yang menjadikan kita sebahagian daripada kehidupan beliau. Justeru, beliau berkongsi cerita, pengalaman, pandangan dan kritikan dalam tulisan beliau. Ia suatu proses memberi tahu dan membina faham. Kita sebagai pembaca blog beliau terasa hidup telah dimurnikan dengan sifat memberi ilmu yang tinggi nilai harganya.


Begitu juga dengan saya dan anda. Kita memberi sesuatu kepada orang lain kerana mereka adalah sebahagian dari kehidupan kita. Kehidupan mereka dilengkapkan oleh kita sebagai pemberi dan kehidupan kita dilengkapkan oleh mereka sebagai penerima. Setiap orang menjadi pelengkap dengan tema “kita saling memerlukan”.


“We make a living by what we get but we make a life by what we give.” - Kita membina hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.


saifulislam.com


Belajar Memberi


“Kenapa Sayang senyum-senyum je ni?,” tegur suami ketika mengambil saya pulang dari usrah semalam.


Suami melihat saya tidak henti senyum-senyum sejak naik kereta sehingga berhenti makan di Restoran Taqwa. Jam di tangan menunjukkan pukul 12.00 malam. Saya tidak sempat memasak malam tadi dan Restoran Taqwa ialah tempat perhentian perut yang paling romantik! Tidak pasti di mana romantikanya. Mungkin pada namanya iaitu Taqwa.


Saya mempunyai dua perasaan hingga senyuman tersebut meleret ke larut malam. Pertama, keseronokan dan kedua, kepuasan. Dua perasaan hebat yang dirasai sesiapa sahaja selepas amalan memberi. Amalan itulah yang dibina dalam diri kami malam tadi.


Semasa usrah malam tersebut, saya menukar rutin usrah daripada diskusi buku kepada dua modul latihan kepimpinan. Modul pertama saya namakan ia sebagai ‘Public Speaking Spontan’ dan kedua ‘Muhasabah Teman’.


Public Speaking Spontan ialah satu modul latihan komunikasi. Rata-rata antara kami agak malu dan segan-segan. Mereka yang selalu bersuara dalam usrah dan mesyuarat adalah orang yang biasa didengari suaranya. Meskipun begitu, saya percaya semua sahabat saya mempunyai pandangan dan idea penting. Cuma tidak beroleh kekuatan dalaman untuk melontarkan idea tersebut untuk sama dipandang penting oleh orang lain.


Dalam modul tersebut, saya menjemput 6 orang ke hadapan audien. Setiap orang diminta mencabut satu tajuk yang tidak diketahui. Mereka diminta melakukan pengucapan awam secara spontan manakala sahabat lain akan memerhati atau memberi maklum balas. Selesai pengucapan tersebut, beberapa orang diminta memberi kritikan akan kelemahan dan kekuatan pengucap.


“Tengku asik goyang-goyang ke kiri dan ke kanan masa bercakap,” tegur salah seorang sahabat. Tengku bercerita tentang semut.


“Kalau boleh Zulaisyah elakkan daripada tangan masuk dalam poket sweater ketika bercakap di hadapan,” nasihat Kak Ju. Zu mendapat tajuk isu semasa.


“Fidah macam pemidato dan pendebat,” komen saya terhadap motivasi yang disampaikan melalui tajuk ‘Malas, Penakut dan Kedekut dalam Perjuangan.’


Melalui modul tersebut, pengucap memberi motivasi. peringatan, penerangan, idea dan ilmu tanpa disangka-sangka mereka mampu melakukannya. Manakala sahabat yang mengkritik pula memberitahu, memberi pandangan, menasihati dan menegur bagi memperbaiki kekurangan.


Asalnya ia adalah latihan komunikasi, manfaat darinya ialah latihan memberi. Memberi ilmu dan berkongsi apa yang kita tahu. Salah satu sebab saya mempraktikkan latihan ini kepada sahabat usrah adalah agar mereka belajar untuk memberi.


Memberi ilmu memerlukan komunikasi. Tanpa bercakap, ilmu tidak sampai kepada pendengar. Tanpa menulis, ilmu tidak sampai kepada pembaca. Tanpa meluahkan, orang tidak mengetahui apa yang kita rasa. Hatta, orang bisu perlu mencipta komunikasi baru untuk saling berhubungan. Mulanya kekok namun ia boleh dibentuk.


Berilah apa sahaja walaupun ia kecil dan remeh. Paling utama dilakukan dahulu ialah belajar untuk memberi. Kemahiran itu boleh dipupuk kemudian. Semangat ingin memberi akan membuang sifat malu, segan, rendah diri sejauh-jauhnya. Dalam hal ini, saya menyentuh aspek memberi tahu dan memberi ilmu


Akhirnya, renunglah kata bijak pandai, “No man becomes rich unless he enriches others” – tidak ada orang yang boleh menjadi kaya hingga ia “mengayakan” orang lain. Kaya bukan sahaja dari sudut material, malah dari sudut ilmu, iman dan takwa. Orang yang paling berilmu, beriman dan bertakwa ialah orang yang membawa orang lain berilmu, beriman dan bertakwa sama.


Ia bermula dengan proses memberi!.

Monday, November 9, 2009

26 Tahun: Fasa Kematangan


Semalam, 8 Nov genap usia saya 26 tahun. Seakan tidak percaya umur sudah ke tingkatan ini. Pejam dan celik, saya semakin dewasa.. Dewasa sering dikait dengan sifat matang dari segala sudut. Adakah saya semakin matang?. Saya sendiri tidak pasti. Saya mengharap anda menjadi cermin yang jernih buat saya melihat wajah kematangan itu.


Kenalan jauh dan dekat mengirim ucapan. Di sebalik doa mereka, terselit harapan. Agar saya bertambah matang menyikapi kehidupan. Dunia juga begitu tegar menggemakan gelombang alpha iaitu gelombang ketenangan dan kematangan. Semua menyeru saya ke arah itu. Matang fikiran, matang emosi dan matang iman.


Ya, saya harus matang dan tenang. Kematangan yang dibentuk bukan sahaja kerana pertambahan usia tetapi pertambahan tanggungjawab. Inilah fasa saya mula bergelar isteri dan mungkin jua seorang bakal ibu walau bukan sekarang. Peranan seorang isteri bertindih dengan peranan yang sudah sedia ada. Saya seorang anak, sahabat, dai’e, dan paling utama seorang hamba. Saya wajib menjadi semua itu sekalipun tidak suka dan perit menanggung.


Kenapa saya harus matang? Tanpa matang, saya tidak akan jadi pemilik sabar. Sabar itu tanda keampuhan jiwa. Saya tidak betah mendukung banyak tanggungjawab dengan jiwa yang lemah. Sabar memberi saya masa untuk belajar melihat kehidupan dengan hakikat sebenar. Sabar membuka ruang kepada jiwa untuk menyikapi cabaran dengan nada seimbang. Sabar adalah spiritual yang selalu diabai sehingga tidak terlihat matang pada apa yang dilakukan.



Selain kesabaran, pengalaman membentuk corak kematangan seseorang. Pengalaman diperoleh daripada sikap sedia menerima tanggungjawab. Ia tidak terhasil tanpa integriti. Apakah itu integriti? Integriti ialah menunaikan tanggungjawab yang kita janjikan pada masa yang dijanjikan dengan tindakan yang dijanjikan. Ramai yang gagal mengecap pengalaman dalam lingkungan tanggungjawab kerana kehilangan integriti ini.


Ada lagi satu iaitu pandangan. Semakin bertambah usia, kematian semakin hampir. Manakala pandangan pula harus semakin jauh. Namun saya perlu ingat. Di sebalik membentuk jauhnya pandangan, jangan tertipu dengan idealisme dalam mencipta impian dan cita-cita. Pandangan perlu dituntun oleh idelisme yang seimbang. Suatu pembaziran pada proses berfikir dan bertindak ialah idealisme tinggal idelisme, tindakan semakin kabut.


Saya mahu berjaya. Berjaya dengan apa yang diimpi dan apa yang ada sekarang. Namun berjaya dengan apa yang dimiliki sekarang adalah lebih baik. Tidak ada gunanya berjaya mengejar impian lain tetapi gagal meningkatkan potensi dengan apa yang sudah tersedia dimiliki. Meningkatkan potensi pada yang sedia ada juga suatu kejayaan. Jika saya seorang penulis blog, kejayaan potensi pada saya ialah menulis buku.


Satu impian saya pada umur ini ialah mengejar potensi diri dengan apa yang sudah termiliki. Berbekal kematangan, kesabaran, pengalaman dan pandangan, saya serahkan segalanya pada Allah. Saya berharap Allah mengukur usaha saya, bukan pada hasil saya.


Kerana saya tidak pasti setakat mana umur saya untuk melihat hasil itu. Panjangnya umur saya ialah pada sebanyak mana manfaat yang saya lakukan.


Saya mahu panjang umur dengan banyaknya melebar manfaat. Semoga panjang umur.


Wednesday, November 4, 2009

Ziarah ke UTHM

Esok (Khamis), 5 Nov, saya ditemani suami akan ke tempat tumpah ilmu saya iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM). Kesempatan ini akan diambil sebaik mungkin untuk berjumpa adik-adik junior yang kini sedang menekuni Final Exam.

Tujuan sebenar saya ke sana adalah untuk mengambil ijazah atau 'tauliah' dan transkip yang tidak berpeluang diambil semasa konvokesyen yang lalu. Semenjak penangkapan Dr. Asri, saya semakin bimbang. Bimbang saya pula yang akan 'ditangkap' kerana bekerja dan memohon kerja tanpa 'tauliah'. Alasan bercampur gurauan.

Saya amat rindukan adik-adik saya, kenangan bersama mereka dan suasana bi'ah solehah yang diacu indah dan baik sekali. Saya bukanlah kakak senior yang sempurna budi pekerti untuk dikenang. Tiada legasi atau lagenda kepimpinan yang unggul untuk disebut-sebut dalam persatuan. Tidak mengharap imbalan dalam bentuk anugerah atau penghargaan. Cukuplah pertemuan dan perkongsian pada esok hari bakal mengimbau sketsa perjuangan di zaman kementahan.

Yana dan Zila, dua adik junior paling akrab dengan saya. Banyak kenangan sebanyaknya luahan perasaan. Banyak pengalaman sebanyaknya perkongsian. Mereka ketawa, saya turut ketawa. Mereka menangis tetapi saya tidak menangis. Saya amat kagum dengan dua insan ini. Tekun belajar dan aktif berorganisasi.

Atas landasan kasih sayang saya kepada mereka, saya hadiahkan sebuah gambar yang serba kekurangan ini. Semoga Yana dan Zila berjaya mencapai cinta dan cita. Akak mendoakan kalian, mendengar luahan kalian, berkongsi ilmu dengan kalian, selagi hayat dikandung badan.

Jumpa nanti pada esok hari. InsyaAllah...

Friday, October 16, 2009

Masalah atau Cabaran

Semasa di kampus dahulu, acapkali saya menjadi ‘peti aduan’ adik-adik kampus terutama yang rapat dengan saya. Kebanyakan perkara yang diutarakan berkisar tentang persatuan, jemaah, disiplin ahli, tarbiyah dan tidak sedikit dalam hal-hal peribadi.


Sehingga sekarang, sekalipun sudah graduasi, Allah masih membuka ruang diskusi antara kami diruang maya. Setiap idea dilontarkan, setiap masalah diperbincangkan. Diskusi demi diskusi meningkatkan potensi diri dalam keupayaan memberi dan kemampuan menerima.


Sebagaimana rindunya diskusi bersama mereka, begitulah rasa rindu mahu bertemu, tetapi tidak ketemu bila dan di mana agaknya. Adik-adikku..bila kita bisa bersua ya?


“Kak Dayah, saya ada masalah lah?,” terdengar aduan yang sama seperti semalam.

“Masalah…? Masalah atau cabaran?,” saya bertanya semula.

“Ermm..masalah!. Eh, tak. Cabaran,” jawabnya sambil timbang tara.

“Masalah atau cabaran ni?,” saya mula berprovokasi.

“Cabaran!,” jawabnya dengan tulus hati.


Masalah atau Cabaran

Masalah atau cabaran? Saya kurang berminat untuk membincangkan definisi keduanya. Malah tidak juga mahu menghurai perbezaan dan persamaan antara masalah dan cabaran itu. Mungkin ada yang kata, masalah atau cabaran lebih kurang sama. Namun tidak pada saya. Persepsi saya terhadap dua objek tersebut ada implikasinya terhadap psikologikal dan motivasi diri saya sendiri andai masalah tidak diundang tiba.


Mengecas motivasi kembali dengan menukar darjah masalah menjadi darjah cabaran.


Setiap yang rumit itu bukan masalah, tetapi cabaran!.

Setiap yang susah itu bukan masalah, tetapi cabaran!

Konflik itu bukan masalah, tetapi cabaran!

Kritikan itu bukan masalah, tetapi cabaran!

Masalah itu bukan masalah, tetapi itu adalah cabaran!


Cabaran untuk kita menjadi lebih tabah bernaluri, kreatif berfikir dan tegas bertindak. Masalah tidak akan selesai tanpa mencabar diri untuk berdepan dengan masalah itu.



Berhadapan dengan pelajar yang banyak karenah, suatu cabaran untuk lebih sabar dan tabah hati. Konflik persatuan yang tidak sudah-sudah, suatu cabaran untuk mencari alternatif yang lebih kreatif. Ahli mundur, tidak makan tolak ansur, mungkin kita tidak tegas dalam bertindak. Sekalipun lembut itu sikap kita, adakalanya letakkan cabaran untuk bertegas jika dengan itu kita temui hikmahnya.


Biasanya, ketika ditimpa masalah, saya berusaha menukar persepsi bahawa masalah itu ialah cabaran. Bunyi ‘masalah’ itu seakan bunyi ‘pasif’, ‘rumit’, ‘tekanan’, ‘gundah’ dan ‘menakutkan’ bagi saya. Namun sebaliknya dengan bunyi ‘cabaran’. Cabaran ialah jelmaan ‘kekuatan’, ‘kematangan’, ‘kehidupan’ dan ‘keegoaan’ yang positif. Dengan kekuatan, kematangan dan keegoaan, seseorang boleh berkata, “Aku pantang dicabar!”.


Anda sudah tentu biasa mendengar dialog Pendekar Mustar dan Sudin dalam filem Pendekar Bujang Lapok. Apabila Pendekar Mustar berkata “Cobaan…”. Lalu dibalas semula oleh Sudin, “Ini bukan cobaan, ini betul-betul…”.

Maka saya ingin mengambil idea yang sama

Anda kata “masalah…”. Saya akan jawab kembali, “Ini bukan masalah, ini cabaran…”


Kembali Kepada Allah.

Jika Allah telah mengambil sesuatu dari kita, maknanya Allah pernah memberi kita sesuatu itu. Jika kita ditimpa masalah dan cabaran, maknanya Allah juga pernah memberi kita kesenangan.


Berlapang dada dengan Allah ialah bersedia menghadapi sesuatu yang sesuai dengan harapan. Kedua, bersedia menghadapi sesuatu yang tidak sesuai dengan harapan.


Di saat cemerlang gemilang,meniti dibibir kita syair pujian. Di saat dirundung malang, meniti dibibir kita syair ketenangan.


POSITIF!

Monday, September 14, 2009

WARTAWAN & PENULIS: SEKADAR PERKONGSIAN

Semasa sesi interview untuk kolum usahawan, En. Munzir Fauzi seorang fotografer berjaya. En. Munzir asalnya seorang jurutera elektrik, kemudian berhenti kerja dan memilih dunia fotografi sebagai kerjaya. Ia memberi motivasi kepada saya yang beralih bidang untuk lebih positif & membina.


Anda berminat menjadi wartawan atau penulis? Salah satu persediaannya ialah menguasai teknik pengurusan stress. Mengikut kajian, wartawan dan penulis merupakan kerjaya dalam raking tertinggi untuk cenderung mengalami stress. Sebagaimana perkataan ‘deadline’ yang dihubungkait dengan dua profesion ini, begitulah rasa ‘dead’ menerjah diri jika tekanan di luar kawalan. Lebih-lebih lagi ketika ‘deadline’ itulah idea turut ‘dead’ sekali.


Saya akui, menyiapkan bahan untuk majalah lebih stress dari menyiapkan tesis degree dahulu. Meskipun begitu, bekerja di media islamik suatu yang manis untuk dikenang kerana dikelilingi dengan teman sefikrah dan fahaman bekerja kerana Islam. Bak kata Kak Milah, rakan wartawan, “Biar stress dengan kerja, jangan stress dengan rakan sekerja”.


Sebagai orang lama, Kak Nik editor pun selalu mengomel, “Ahrgghh, stress, stress, tension!”, setiap kali tibanya deadline. Inikan pula saya yang tidak sampai setahun bekerja tanpa sebarang pengalaman dan kelulusan dalam bidang ini. Bezanya, tekanan itu tidak sama dibandingkan dengan wartawan atau penulis akhbar yang terikat dengan deadline setiap hari.


Tekanan sebegini tidak salah. Ia tekanan yang positif dan amat membina. Tekanan itu beransur hilang bila melihat penulisan terpapar di media yang dibaca ribuan orang setiap bulan. Cuba bayangkan, jika intipati penulisan itu disebarkan oleh pembaca kepada orang lain, lalu diamalkan. Ketika itu, tiada apa yang diharapkan oleh seorang penulis melainkan setiap tulisan menjadi amal dan beroleh pahala berterusan selepas mati kelak.


Teknik pengurusan idea dan pengurusan masa juga penting. Idea datang tanpa mengenal masa. Kadang-kadang idea datang semasa di dalam bas. Ada masanya sebelum tidur, ketika bersembang dengan kawan, masa menonton drama melayu, ketika membeli belah di pasaraya, semasa membaca novel, malah tidak mustahil idea datang ketika aktiviti termenung di dalam toilet. Saya juga pernah mendapat idea di dalam mimpi. Ketika itulah idea perlu diuruskan dengan baik supaya tidak hilang walau bukan waktu menulis.


Penulisan bekerja dengan idea dari sudut pandang yang berbeza. Pada saya, kurang masalah diperingkat penulisan buku kerana fokus bidang ilmunya adalah sama. Ilmu itu perlu digarap dan dikembangkan lagi. Tetapi menulis buku juga mencabar jika disiplin ilmu yang digarapkan juga mencabar. Terutamanya, jika penulisan berbentuk teknikal dan disiplin ilmunya adalah kritikal. Ia amat memerlukan taktikal.


Bersama Presiden PKPMI semasa penulisan isu PPSMI dalam Muslimah. Hari itu adalah hari pertama saya bekerja. Belum sempat masuk ofis lagi, diminta oleh editor untuk interview dan membuat ulasan topik utama bulan tersebut.


Cabaran besar bagi saya adalah menulis akhbar atau majalah. Keduanya memerlukan kita menguasai isu yang berbeza hampir setiap hari. Minda perlu cekap membuat tanggapan terhadap apa yang dilihat, dibaca, dan diperhatikan tentang dunia semasa. Maka, satu kelebihan bagi individu yang suka berfikir, suka membaca dan bijak membuat persepsi. Paling penting, menggarapkan isu yang diminati sasaran pembaca.


Jika penulis juga seorang wartawan, dia juga perlu ada kemahiran mencari soalan ketika sesi temubual. ‘Soalan yang baik memberi idea penulisan yang baik’. Sama seperti menghadapi sasaran dakwah, ‘ucapan yang baik, mendapat respon yang baik’.


Andaikata pendakwah tidak menguasai kemahiran interaksi dengan manusia atau kekok dalam berkomunikasi, maka pulangannya amat mendukacitakan. Dalam hal ini, saya terlebih dahulu akan membuat research tentang individu yang ingin ditemubual dan fokus terhadap penulisan itu nanti. Sama seperti pendakwah yang perlu mengenali personaliti mad’unya dan mencari bahan perbualan yang berkesan.


Wartawan juga perlu mempelajari perkara baru dari masa ke semasa. Perlu banyak membaca, bertanya, berbincang dan membuat persepsi terhadap isu yang berlaku ketika itu. Agak tertekan bila kita sudah mengkaji dan mencari bahan untuk satu isu pada minggu ini, tetapi ada perubahan apabila wujud isu yang lain di minggu hadapan. Justeru, satu kemahiran yang harus dipelajari lagi ialah pengurusan menghadapi risiko.


Ibarat seorang jurujual yang menjual produk tetapi tidak pandai memikat hati pembeli. Bagaimana kita harus meyakinkan pelanggan terhadap kelebihan produk yang dijual sedangkan mereka belum menggunakannya dan merasai kesan produk itu?


Begitu juga seorang pendakwah sebagai ‘jurujual produk Islam’. Bagaimana kita meyakinkan mad’u kita terhadap Islam andai mereka masih belum mengamalkannya dan merasai kesan amalan itu? Pandangan saya, wartawan atau penulis juga begitu. Penulisannya harus meyakinkan, penyampaian intipatinya berkesan dan nasihatnya mendorong amalan. Saya masih belum mahir menguasainya.


Cara saya, ‘Bermotivasilah dengan motivasi dakwah!’. Anggaplah menulis adalah kerja dakwah. Tuan Guru Nik Aziz yang terlalu sibuk dengan urusan kepimpinannya, masih sempat mengeluarkan buku terbaru hampir setiap bulan. Malah, ulama’ silam memanjangkan ilmunya dalam bentuk karya-karya agung seperti Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Hasan Al-Banna dan lain-lain.


Pemimpin yang berkarisma seperti Tun Mahathir juga menulis sehingga kita. Pendakwah juga harus cuba menulis. Kerana musuh Islam menyusupkan pemikiran batil seperti sekularisme, liberalisme, orientalisme dan isme-isme lain melalui karya-karya mereka. Malah, karya mereka lebih hebat daripada orang Islam sendiri.


Akhirnya, saranan saya, “Tulislah sepotong ayat setiap hari walaupun tak sedap!”.


Tuesday, August 18, 2009

Kematian di Pentas Dakwah

Diri saya diselubungi misteri hingga ke hari ini. Ada sesuatu sedang mengintai-intai saya dari pintu dan tingkap halimunan dengan wajah gerun dan menakutkan.


Misteri itu mempunyai dua bau, bau wangi dan bau busuk. Ada juga terbau dua bau yang berlainan iaitu bau syurga dan bau neraka. Ia akan datang kepada saya dengan dua wajah, wajah cantik atau buruk. Seterusnya menjemput saya dengan cara baik atau kasar sekali.


Siapa misteri itu? Misteri itu bukan dilalui saya seorang. Diri anda juga diselubungi misteri itu. Misteri itu bernama kematian.


Minggu lepas, seluruh negara dikejutkan dengan pemergian ke rahmatullah pahlawan nasyid tanahair, Ustaz Asri Rabbani. Ternyata benar bait-bait dua lagunya, “Pergi Tak Kembali” dan “Subuh Yang Terakhir” buat arwah.


Berita kematiannya membuat jiwa saya sangat tersentuh sehingga ke hari ini. Ingatan kepada alam barzakh dan alam akhirat sangat memberi kesan ke ruang hati yang paling dalam. Tiada siri kematian sebelum ini yang benar-benar menginsafkan saya dalam jangka masa yang lama.


Namun, lain benar dengan kesan pemergian Ust. Asri. Sekali saya mendengar lagu beliau, saya ingat kepada mati. Apabila ada yang menyebut nama beliau, mereka seolah-olah membisikkan gelombang kematian di telinga saya. Begitu juga di saat membaca tazkirah mati, terus saya teringat kepada beliau. Seolah-olah allahyarham ialah ikon kematian bagi saya.


Semalam, ketika bermesyuarat program Lajnah Tarbiyah Muslimat Kawasan, Kakbi menceritakan saat-saat arwah menemui ajal. Kata Kakbi, arwah sempat bertakbir “Allahu Akbar” ketika jatuh membuat persembahan. Peristiwa ini diakui sendiri oleh ahli kumpulan Rabbani yang berada sama di siaran itu.


Siapakah tidak mahu akhir hidupnya menyebut nama Allah...?


Itulah penamat sebuah episod kehidupan yang didambakan oleh hamba-Nya yang soleh.


Muhasabah buat pendakwah

Ust Asri amat mencintai nasyid sebagai medan dakwahnya, lalu beliau meninggalkan dunia ini dalam keadaan bersama nasyid yang dicintainya itu. Setiap kali lagunya berbicara nasihat dan pedoman, setiap itulah pahala dititipkan pada buku amalan kebaikannya.


Tambahan, lantunan-lantunan lirik jihad bersama Nada Murni amat menuntun jiwa dan memanah semangat sehingga membakar. Saya sangat menyukai sebuah lagu Nada Murni ketika dahulu, “Nun Di Sana Ada Cita-cita”.


Nun di sana cita-cita kita
Ya akhirat namanya
Di dunia ini bukan tempat tinggal
Di sini hanya sebentar tidak kekal
Betulkan niat dari sekarang
Tukar sikap kita yang merugikan
Quran dan sunnah jadikan panduan
Agar besok kita tidak kesesalan


Biar susah sedikit kerana Tuhan
Untuk menghindar kesusahan yang besar
Yang tidak sanggup ditanggung badan
Ambillah iktibar kalau mahu sedar.


Di sana tiada kawan yang membela
Amal ibadah itulah pembela kita
Ayuh bersegeralah membuat kebajikan
Usah dilalaikan oleh nafsu dan syaitan


Pangkat dan harta tidak akan kekal
Bahkan apa yang ada akan ditinggal
Hidup di dunia hanya sementara
Buatlah bekalan untuk ke sana.


Ayuh bersegeralah menuju Allah
Taatilah Ia minta ampun pada-Nya
Mati bila-bila masa boleh tiba
Jangan sampai kita tidak bersedia.

(kredit buat Kak Nik untuk lirik ini)



Wahai diriku dan dirimu bergelar pendakwah...


Apalah yang diharapkan dengan amal yang sedikit. Hendak diharapkan pada solat, solat tidak khusyu’. Hendak diharapkan pada puasa, puasa pada zahir sahaja. Hendak diharapkan pada bicara, bicara banyak yang sia-sia. Hendak diharapkan pada kerja, kerja sekadar untuk dunia.


Berdoalah kepada Allah, agar ditetapkan telapak kaki kita atas perjuangan Islam. Setiap langkah kita ke tempat program, menjadi pahala. Setiap ucapan nasihat, beroleh ganjaran. Setiap perahan keringat, menjadi sandaran. Setiap buah fikiran, beroleh syafaat. Semuanya menampung kekurangan pada amal yang sedikit itu.


Apa yang kita usahakan untuk membangun yang runtuh di sekitar kita menjadi saksi bahawa kita bersama-sama Rasulullah. Apa lagi yang diharap kelak pada amal yang sedikit melainkan syafaat Rasulullah. Kita berusaha mengekor baginda dalam perjuangan, insya-Allah..syafaat baginda akan mengekor kita di kala Allah tidak lagi melihat amalan kita yang sepicing itu.


Jangan biarkan masa kita dibiar kosong tanpa gerak kerja dakwah. Setiap inci masa adalah masa dakwah. Setiap lantunan suara adalah suara dakwah. Setiap buah fikir adalah buah dakwah yang segar bugar. Malah lebih dari itu, generasi akan datang juga lahir dari rahim seorang pendakwah.


Semoga kita menyusul nanti bersama Ustaz Asri..

…Kematian di pentas dakwah!


Friday, June 26, 2009

ISTIGHFAR BANYAK-BANYAK


Bulan ini, amat jarang sekali saya mengupdate blog. Kesibukan pada urusan peribadi dan jemaah seakan mengekang untuk idea menulis datang mencurah-curah seperti kebiasaan. Begitulah, salah satu kekangan ilham menulis ialah apabila seseorang penulis itu dilambak kesibukan dalam urusan mentadbir.


Seusai urusan walimah bermula dari hujung Mei hingga pertengahan Jun ini, saya mempunyai tuntutan kerja luar bersama krew Muslimah. Kami outsation ke Kelantan. Selasa & Rabu kelmarin saya diserang demam mengada-ngada. Antara demam dan tidak demam. Terlalu penat barangkali, tetapi ia tetap menjadi nikmat dan hikmah buat diri yang selalu lalai dengan nikmat kesihatan.


Teringat sewaktu menemubual Dr. Johari Mat semasa di Kelantan. Beliau bercerita tentang peranan istighfar terhadap kehidupan manusia.


“Ada sepasang suami isteri. Mereka masih tidak dikurniakan anak walau sudah lama berkahwin. Macam-macam usaha sudah dilakukan tetapi tetap tidak berhasil mendapatkan anak.


Suatu hari, si suami mendengar satu kuliah melalui corong radio kereta. Ustaz dalam kuliah tersebut menyampaikan, “Dalam kehidupan ini, kita kena selalu beristighfar. Istighfar akan membuka jalan bagi manusia dalam setiap urusan-uusan hidup. Dalam susah atau senang perlu selalu istighfar. Kalau ada masalah banyakkan istighfar. Buntu dan tidak menjumpai jalan penyelesaian, cuba istighfar. Hatta kalau kita tidak dapat anak pun kena istighfar.”


Pulang ke rumah, si suami menyampaikan pesanan ustaz tersebut kepada isterinya. Diminta kepada si isteri untuk mengamalkan istighfar dan memohon pada Allah agar dikurniakan anak dengan keberkatan istighfar tersebut.


Tidak lama kemudian isterinya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Mereka menyambung lagi amalan istighfar. Tidak lama selepas itu isterinya mengandung dan dikurniakan anak perempuan lagi. Suami tetap dengan pesannya, “mari kita teruskan dengan amalan kita”. Mereka beristighfar, terus beristighfar. Akhirnya dikurniakan anak perempuan juga sebagai anak ketiga mereka.


Lalu si suami berkata kepada isterinya, “Kita sudah dikurniakan tiga anak perempuan. Apa kata, selepas ini kita beristighfar dan berdoa moga dikurniakan anak lelaki pula. Alhamdulillah, dengan amalan itu mereka dikurniakan anak lelaki seperti yang diimpikan.


Berkatalah suami kepada isteri, “Kita sudah ada 4 orang anak, sudah ada anak lelaki dan perempuan. Rasanya cukup sudah 4 orang ini. Kalau macam itu, kita berhentilah beristighfar”


Cerita dihujung ini membuatkan saya tertawa. Barangkali betul, barangkali sekadar gurauan cerita. Sebenarnya, yang ingin dititikberatkan dalam kisah ini ialah amalan istighfar yang mempunyai banyak fadilat seperti yang dikisahkan dalam al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W.


Dalam sebuah hadis, Ibnu Abbas Radhiallahu anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Bersabda Nabi S.A.W: Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya. (Hadis riwayat Abu Daud)


Manusia itu lalai. Manusia juga lalai bahawa dia dalam kelalaian. Lalai manusia adalah sia-sia, tanpa sedar mengundang dosa.


Dalam masa yang sama, manusia mempunyai impian, hasrat, keperluan dan kehendak hidup. Namun, manusia lupa bahawa impian, hasrat, keperluan mahupun kehendak hidup itu hanya boleh diberi oleh Dia yang sering dilalaikan manusia.


Apabila kita mengharapkan sesuatu dari manusia, manusia itu sering diingati, dihargai dan dipuji. Tetapi apabila mengharap banyak dari Allah, Allah dilupai dan dipandang sepi. Maka, jadilah kita seorang yang ‘dauble standard’ dalam pengharapan.


Allah S.W.T. ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Quran.

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu. (Surah Hud: 3)



Begitulah, banyak masalah, kekurangan, kesusahan, kemurungan, kesedihan berlaku dalam kehidupan insan disebabkan dosa dan kesilapan kita sendiri. Kita tidak menyangkal itu adalah ujian. Tetapi yang harus difikirkan, sama ada ujian itu penguat iman atau sebagai kafarah terhadap timbunan dosa sama ada secara sedar atau tidak sedar. Tidak mustahil semua itu menjadi hijab atau penghalang terhadap keinginan yang sangat diharapkan.


Ada masalah, ingatlah dosa..

Ada kesusahan, ingatlah dosa..

Ada kesedihan, ingatlah dosa..

Ada orang yang membenci, ingatlah dosa..

Mahal rezeki, ingatlah dosa…

Tidak naik gaji, ingatlah dosa..

Barang hilang, ingatlah dosa…

Putus cinta, ingatlah dosa...

Kemalangan, ingatlah dosa...

Tidak dapat anak, ingatlah dosa…

Susah belajar, ingatlah dosa…

Demam, batuk, selesema, ingatlah dosa…


Barangkali segala kesusahan yang berlaku disebabkan dosa kita atau dosa anak isteri yang turut dipikul dibahu sendiri.


Barangkali idea saya untuk menulis ini hilang juga kerana dosa saya…


Dosa tidak ikhlas, bangga dengan kelebihan menulis, muamalat yang tidak perlu, riya’, lalai dengan blog, menunda ibadah kerana menulis dan macam-macam lagi…


Terlalu ‘mengupdate blog’ tetapi tidak mahu ‘mengupdate iman’ .Pandai menulis, buat tidak mahu…


Sama-samalah kita muhasabah dengan kehadiran tiga bulan yang mulia ini Jadikan Rejab, Sya’ban & Ramadhan sebagai PROGRAM TAKWA TAHUNAN seorang individu Muslim, seorang da’ei dan seorang murabbi.


Friday, May 22, 2009

FOKOS ATAU FOKUS

Saya sedang mencipta hobi baru sekarang. Layan adobe photoshop. Agak-agak dah bosan menulis, boleh tukar mood design apa-apa grafik pula. Untuk peringkat awal, saya explore part imej dulu. Explore sendiri-sendiri je..

Cuma masalahnya satu, saya ni cepat bosan dengan sesuatu perkara yang sama. Tak sampai setengah jam ber'grafik', mood bosan sampai. Erm, jadi dua gambar ni jelah hasilnya.


Kerja wartawan...tiap-tiap hari cuba mempertingkatkan perbendaharaan kata. Sampai dah jadi konfius untuk dua perkataan semudah ini. FOKOS atau FOKUS? Banyak kali edit text sebab konfius. Kejap taip Fokus, lepas tu tukar balik kepada FOKOS. Banyak kali mengedit perkataan yang sama sebab konfius. Lastly tengok kamus dewan. Baru jumpa yang betul iaitu Fokus.


Tak cantik pun. Tapi oklah buat permulaan.

"Tingkatkan kemahiran untuk lebih maju ke hadapan"

Jangan mudah berasa selesa dengan apa yang kita miliki sekarang. Lakukan anjakan dari masa ke semasa. Dari membaca kepada menulis, kemudian melukis. Selepas itu, cuba belajar menguasi kemahiran-kemahiran lain. Paling utama ialah 3P - Public speaking, Public relation dan Peka isu.

"Jangan salah mendefinisikan 'Syukur dengan apa yang ada'"

Wednesday, May 20, 2009

IKHTIBAR DARI SEMUT


Cubalah perhatikan sang semut, serangga bertubuh kecil yang sentiasa hidup dalam satu komuniti yang bersatu padu. Jika haiwan kecil ini muncul dalam jumlah yang banyak, pasti gawat manusia sehingga mereka terpaksa melakukan pelbagai cara untuk menghapuskannya.


Rajin dan dedikasi sang semut sangat menarik untuk dikaji dan diteliti. Perhatikan ketika sang semut mencari makanan, si kenit itu begitu tekun, gigih malah cukup tabah meneroka kawasan yang ada sumber makanan.


Justeru jika dibandingkan dengan manusia yang diberikan akal, tubuh badan yang sihat, serta fizikal yang cergas, mengapa tidak kita mengambil iltibar daripada sang semut ini?



Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja tekun dan berdedikasi. Orang yang hebat dan berjaya cemerlang memang selalu fokus sama seperti semut yang selalu bersungguh-sungguh dalam usaha mereka.


Ini bertepatan dengan firman Allahyang bermaksud;

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."(Surah al-Najm:39)


Hayati juga pesanan seorang tokoh Barat, bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat, Charles Evans Hughes yang berkata, "Orang tidak akan mati kerana bekerja kuat. Mereka mati kerana pembaziran dan kecemasan."

Jadi, apa lagi alasan kita untuk tidak bekerja kuat?

(sumber gambar)
Adakah kita yakin akan hidup selepas ini sehingga kita malas untuk bekerja kuat sekarang?


Friday, May 8, 2009

CGPA BUKAN PENENTU KEJAYAAN


*Artikel di bawah adalah merupakan penulisan saya terdahulu yang dipapar semula. Saya fikir ia sangat baik dihayati dalam situasi mahasiswa yang sedang mengambil peperiksaan, sudah selesai peperiksaan atau baru sahaja menamatkan program pengajian di saat ini.

*Saya dalam usaha menyiapkan artikel 'CABARAN KEPIMPINAN MUSLIMAT MUDA', perlukan sedikit masa untuk penilaian dan pandangan. Harapan, penulisan di bawah sebagai nilai tambah buat sementara waktu.


”Ish, takutnya nak tunggu result minggu depan”, kata adik saya menyatakan kerisauannya terhadap keputusan final exam semester lepas. Sekarang memang masanya, kebanyakan student U menanti-nanti keputusan exam dengan harapan yang menggunung tinggi.


Kegundahan menanti keputusan peperiksaan sememangnya dirasai oleh semua mahasiswa. Kadang-kadang yang lebih cemerlang akademiknya lebih rungsing daripada yang kurang cemerlang. Yang bijak rungsing takut-takut keputusan tidak memenuhi harapan, yang kurang cerdik ’cool’ sahaja, mungkin beranggapan cukuplah sekadar cukup-cukup makan. Dulunya semasa bergelar mahasiswa, saya juga rungsing cuma belajar berlagak tenang.


Mentaliti kebanyakan mahasiswa telah dikemuncupkan dengan ’mind setting’ yang pesimis tentang kecemerlangan. Bagi mereka kecemerlangan itu ialah duduk terperap di dalam bilik, belajar dan belajar, jawab peperiksaan, dapat CGPA sekurang-kurangnya 3.5 dan tamat pengajian dengan Ijazah kelas pertama. Mereka adalah golongan yang hanya mengangkat topi kepada mahasiswa yang berjaya menggapai kejayaan seperti itu. Tabiat pemikiran mereka bukan berada pada litar ’single track mind’- menjangkaui disiplin ilmu yang lain.


Sebaliknya, bagi pelajar yang tidak memenuhi sasaran kecemerlangan berdasarkan CGPA yang tinggi tetapi memiliki kemahiran dan kecenderungan tertentu telah dikesampingkan. Golongan ini bukannya kurang cerdik cuma kurang CGPA. Ketika ini timbul pandangan serong, ”itulah, aktif sangat berpersatuan sehingga akademik terabai”. Malah, aktivis persatuan ini dikatakan telah melakukan ’jenayah akademik’di mana penglibatan dalam organisasi sudah menjadi fitnah kerana akademik yang merudum.


Bukan mereka tidak berusaha tetapi sudah usaha, cuma keterbatasan dan kemampuan tertentu untuk meletakkan akademik sebagai subjek utama dalam kehidupan kemahasiswaan. Saya tabik golongan sebegini. Agenda hidupnya bukan setakat belajar tetapi cuba mencapai disiplin ilmu yang lain. Dengan pengalaman dan gerak kerja organisasi, golongan ini lahir dengan kecerdasan yang sangat seimbang. Baik dari segi Kecerdasan Intelektual (Intelectual Quotient - IQ), Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient - EQ) dan Kecerdasan Spiritual (Spiritual Quotient - SQ) . Lebih-lebih lagi mereka yang menyatukan diri dengan sebuah organisasi Islam yang sudah tentu menerapkan elemen-elemen ‘multidisciplinary’ dalam setiap kegiatannya.


Adakah anda ingin menjadi golongan dengan kerjaya bergaji besar, setelah penat bekerja lalu tidur, lapar cari makan, balik kampung bila rindu mak ayah, kahwin beranak pinak, sakit masuk hospital dan bila tua menunggu ajal? Atau menjadi golongan yang seimbang IQ, EQ dan SQ dan dengan keseimbangan itu, anda menyumbang sesuatu buat pembangunan masyarakat sekitar?


Mahasiswa atau penuntut yang pintar di sekolah (yang mempunyai keputusan peperiksaan dan CGPA yang bagus) belum tentu menjadi orang yang berjaya di dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, kejayaan dalam hidup tidak hanya ditentukan oleh keputusan peperiksaan atau CGPA seseorang. CGPA hanya satu format penilaian kepada pelajar terhadap markah peperiksaan dan kerja kursus yang tidak mengambil kira sama ada pelajar itu betul-betul belajar, terpaksa belajar atau belajar untuk ambil peperiksaan semata-mata. Maka tidak mustahil, ada di kalangan mereka yang membawa ‘toyol’ ke medan peperiksaan, menyalin assingment teman sekuliah, belajar bersama kekasih di kafeteria dan meninggalkan solat Subuh kerana tidak cukup tidur, turut mendapat CGPA yang tinggi. Adakah mereka di kalangan yang berjaya dalam hidup?


Ketulusan, integriti, tanpa maksud atau tujuan tertentu, rendah hati, rasa hidup bertuhan dan kecenderungan dalam kebajikan sosial adalah beberapa perkara penting dalam kehidupan spiritual yang memberi kepuasan menyeluruh apabila seseorang itu menemui kejayaan, malah kebahagiaan.


Namun jangan salah anggap. Saya tidak bermaksud anda tidak perlu berusaha untuk mendapat CGPA yang baik. Cuma jika anda berjaya mengejar banyak tuntutan dalam hidup terutama aktiviti spiritual, anda akan temui suatu cahaya yang menerangi lorong-lorong hidup anda yang semakin gelap.


Menurut Daniel Goleman iaitu seorang ahli psikologi, Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya menyumbang lebih kurang 5 hingga 10 peratus kejayaan hidup. Selebihnya adalah gabungan beberapa faktor lain, yang salah satunya adalah kecerdasan emosi. Menurut Paul Stoltz pula, IQ adalah sebahagian kecil daripada pohon kejayaan dalam segala hal. Stoltz yang menulis buku terkenal, Adversity Quotient (Gramedia, 2000), mengatakan, usaha, bakat dan kemahuan, sifat, kesihatan kecerdasan, faktor genetik, pendidikan, dan keyakinan adalah kunci kejayaan manusia.


Kecerdasan boleh bersifat kontekstual. Masalah yang dihadapi ataupun keadaan, menjadi faktor penting ketika kecerdasan ditentukan atau dikenal pasti. Sebagai contoh, ketika seorang mengalami kerosakan kereta, siapakah yang lebih diperlukan? Seorang profesor ekonomi berkelulusan PhD luar negara atau seorang mekanik lulusan politeknik? Saya yakin, semuanya akan menjawab mekanik, walaupun dia hanya berkelulusan sijil politeknik. Maka, siapakah yang lebih bijak antara keduanya dalam hal ini? Kenyataan ini sekaligus menunjukkan kecerdasan bersifat konstektual.


Sebahagian yang lain lebih mengagumi Thomas Edison daripada peninju Muhammad Ali. Sebahagian yang lain pula mengagumi Albert Einstein daripada Mike Tyson. Ini tidak salah. Namun ia membuktikan kurangnya penghargaan kepada kemampuan lain yang dimiliki oleh setiap orang yang berlainan. Jika dinilai dari sudut IQnya, mungkin Thomas Edison dan Albert Einstein lebih pintar, tetapi dari sudut kecerdasan kinestatik Muhammad Ali dan Mike Tyson lebih hebat.


Anda juga punyai kelebihan dan kecenderungan tertentu. Cari, gali dan bangunkan keistimewaan yang anda miliki walaupun setakat mahir menggubah bunga atau melukis kartun. Tidak mustahil bunga yang anda gubah memikat hati manusia lantas mengagungkan kebesaran Allah dan kartun yang anda lakar berguna sebagai medium dakwah menyedarkan manusia.


Kekuatan terbesar bukan terletak pada bahagian luar tubuh badan manusia, tetapi ada pada diri manusia itu sendiri. Masalahnya, manusia kurang mengenal dirinya. Betul apa yang dikatakan oleh Socrates apabila dia mengatakan masalah utama manusia adalah pengenalan diri. ”Gnothi Teauton,” kata Scorates yang bermaksud ”Kenalilah diri anda sendiri!”.


Alangkah ruginya mereka yang merendah diri kerana tidak berpelajaran tinggi, rugi lagi yang meninggi diri dengan kerjaya dan jawatan tetapi tidak memahami tujuan sebenar kehidupan. Anda beruntung jika berada dalam kelompok ketiga ini. Iaitu mengenalpasti kemahiran dan kecenderungan diri lalu bangunkan ia atas nama Islam. Kenal diri, anda akan temui sesuatu yang membanggakan!


Anda pandai melukis? Apa kata anda bangunkan kemahiran itu atas nama Islam. Lihat seperti lukisan di atas.



RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO