Showing posts with label ARTIKEL MUSLIMAH. Show all posts
Showing posts with label ARTIKEL MUSLIMAH. Show all posts

Friday, August 7, 2009

Cabaran Akidah Umat, Bagaimana Penyelesaiannya?


Artikel saya dalam Majalah Muslimah keluaran Ogos 2009: Bil 217



Masyarakat Islam di Malaysia telah lama menerima dan mengamalkan Islam berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga menjadi begitu dominan dalam pegangan akidah, amalan syariah dan sistem nilai iaitu akhlak. Natijahnya telah menampakkan kesan yang baik kepada kestabilan rohani, susunan masyarakat dan perpaduan ummah di Malaysia dan rantau ini.


Namun begitu, perkembangan sunnah alam pada zaman langit terbuka dan bumi ilmu tanpa batas tidak mungkin dapat disekat. Keresahan dan percanggahan tetap timbul apabila fahaman-fahaman lain ditonjolkan dalam masyarakat Islam tanpa pematuhan terhadap disiplin ilmu itu sendiri. Tentunya ia berlaku apabila perbincangan mahupun pendebatan tentang perkara akidah menjejer di kalangan yang bukan ahlinya, tidak betul dan tepat serta tidak melalui sistem dan kaedah yang tersurat dan tersirat.


Jika diteliti latarbelakang perpecahan umat Islam di sepanjang sejarah, adalah tidak lain kerana bid’ah dan jahiliah yang tersebar pesat di kalangan umat Islam seperti bid’ah Khawarij, bid’ah Rafidhah, bid’ah Mu’tazilah, bid’ah al-Kalam dan sebagainya.


Melihat kepada situasi ini, tidak mungkin umat Islam dapat disatukan selama mana kedua-dua unsur fitnah (bid’ah dan jahiliah) itu bermaharajalela dalam masyarakat. Sudah pasti perbalahan dan percanggahan pendapat berlaku apabila sifat taksub terhadap fahaman-fahaman tertentu menguasai diri masing-masing tanpa diselesaikan dengan manhaj dan kaedah yang tepat di sebalik perbezaan fahaman tersebut.


Tanpa masyarakat sedar, tipu daya musuh Islam seperti ini telah menyebabkan rosaknya cara penerapan dan pendekatan ilmu tauhid di hati umat. Dengan itu, lahirlah segala macam firqah dan kumpulan-kumpulan sesat. Maka, tenggelamlah ajaran tauhid secara sunnah dalam amalan umat.


Ancaman Mu’tazilah Moden


Di antara cara musuh Allah dalam memecahbelahkan ummat Islam ialah dari dalam dengan pendekatan yang cukup halus. Mereka berjaya memasukkan bid’ah ilmu kalam falsafah Gerik atau Yunan ke dalam medan pengetahuan umat Islam dengan pendekatan yang boleh diterima oleh sesetengah masyarakat Islam. Natijahnya, lahirlah golongan beraliran Mu’tazilah yang bergantung kepada beberapa aspek pemikiran dari falsafah Islam, Greek dan Helenistik.


Golongan ini menggelar diri mereka sebagai Ahl al-Tawhid wa al-'Adl (golongan tauhid dan keadilan Tuhan) berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan yang antaranya mahukan sistem Islam yang dibentuk berdasarkan akal. Mereka juga dilabel sebagai golongan free will dan free act kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan melakukan sesuatu. Golongan Mu’tazilah adalah golongan yang sangat suka berbahas namun terlalu lemah dan malas untuk mempraktikkan ajaran agama.


Mu’tazilah adalah satu dari cabang pemikiran dalam Islam yang terkenal dengan sifat rasional dan liberal. Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lain adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.


Meskipun golongan mu’tazilah tiada lagi, namun masyarakat Islam saat ini diancam dengan gejala pemikiran Islam liberal dari pelbagai kumpulan dan nama. Wajah pemikiran Islam liberal yang dikembangkan zaman kini nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan keadaannya yang bertuhan kepada akal atau rasionalisme semata-mata.


Seperti mu’tazilah, liberalis juga mempunyai teori sendiri tentang akal, wahyu dan hubungan di antara keduanya. Mereka menghargai kekuatan akal dan intelek manusia dengan membenarkan semua orang mempunyai hak untuk menginterpretasikan al-Quran dan hadis. Malah, hukum-hukum Islam yang telah mutlak dibongkar dan dibuat hukum baru yang dianggap sesuai dengan perkembangan zaman.


Justeru itu, banyak idea kontroversif dalam perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam. Bertindak antara takut dan berani, liberalis tetap menjadi ancaman yang menyelewengkan umat Islam dengan pelbagai metodologi secara sedar atau tidak sedar. Ini termasuk pendekatan yang dikehendaki kelompok ini dalam menafsirkan Islam secara teguh, mengikut konteks dan releven dengan peradaban manusia yang terus berubah dengan mempertikaikan apa yang sudah ditetapkan syariah..


Jika dicermati aliran pemikiran liberalis ini, mereka ibarat golongan mu’tazilah zaman moden yang menyusupkan cabang pemikiran bersifat rasional dan liberal ke minda umat. Sekalipun golongan mu’tazilah tradisi sudah tiada, golongan liberalis pula muncul membawa kekeliruan pada penerapan ilmu akidah di kalangan umat Islam zaman ini. Amat merungsingkan jika pemikiran yang tidak selari dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat ini mendapat sokongan di sebalik kejahilan umat Islam.


Cabaran dan Pemurnian Akidah

(sumber gambar)


Akidah merupakan perkara dasar atau akar Islam yang sering dibicarakan zaman berzaman, kurun ke kurun malah ia menjadi agenda perjuangan Rasulullah di awal kebangkitan Islam. Betapa sirah baginda mengajar umat Islam bahawa sistem kepercayaan (belief system) atau disebut sebagai akidah ini menjadi tunjang untuk umat Islam berdiri teguh dan ampuh.


Inilah akar yang membentuk sikap umat Islam dahulu dan akhir zaman. Apabila soal akar ini tidak dapat dilihat secara mata kasar, segalanya menjadi terlepas pandang untuk dilaksanakan. Ancaman dan cabaran yang membuah fitnah terhadap Islam juga adalah kerana kegagalan umatnya meletakkan akidah sebagai paksi utama kehidupan.


Apabila membicarakan tentang pemurnian akidah masyarakat di Malaysia khususnya, ia melibatkan penelitian kepada 3 perkara utama kekukuhan pegangan masyarakat Islam dalam akidah Islam. Pertamanya, pegangan dan amalan masyarakat Islam di negara ini. Keduanya, sistem pengajian dan pendidikan yang dibangunkan dari peringkat generasi muda hingga golongan dewasa dan ketiga, pentadbiran undang-undang Islam dan penguatkuasaannya


Soalnya, berjayakah kita menanam soal kepercayaan (belief system), pandangan alam (worldview) dan sistem nilai dalam kalangan masyarakat Islam dari satu generasi ke satu generasi? Sejauh manakah sistem pengajian pendidikan harus dibangun di atas kerangka kuat yang memungkinkan umat memiliki kekuatan keislaman dan pengetahuan yang memadai tentang ajaran agama mereka? Malah, adakah wujud pentadbiran undang-undang Islam serta penguatkuasaan yang signifikan menyelesaikan permasalahan akidah yang semakin kompleks?


Dalam aspek pertama, pegangan dan amalan masyarakat Islam dengan fahaman aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sangatlah kukuh dan sukar dirungkai, terutamanya di kalangan orang awam. Masyarakat Islam akan merasa ganjil dan resah apabila terdapat aliran lain yang berbeza daripada apa yang telah mereka anuti, cuba menyelinap masuk atau cuba melebarkan pengaruhnya.


Maka dalam isu-isu akidah, walaupun tidak dinyatakan secara khusus dan jelas, pemahaman dan penghayatan masyarakat Islam tetap kepada pemahaman dan pendekatan Ahli Sunnah. Hakikat ini dapat dilihat dalam setiap kes penyelewengan akidah dan kerohanian yang timbul dalam masyarakat Islam, maka ukuran dan penilaian dirujukkan kepada fahaman aliran Ahli Sunnah. (Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Pahang 1991, Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993, Johore Administration of Islamic Law Enactment 1978; Selangor Administration of Islamic Law Enactment 1989).


Namun begitu, gerakan Islam liberal, Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme tetap menjadi ancaman umat Islam arus perdana. Ummah kini sedang berhadapan tentangan dan cabaran daripada gerakan aliran pemikiran baru yang mengancam akidah, merobohkan kemurnian sistem nilai , memecah belahkan masyarakat sekaligus menjadikan agama kurang atau tidak signifikan dalam hidup bermasyarakat.


Ancaman ini menjadikan masyarakat terlalu bersifat materialistik yang berlebihan hingga melihat semua perkara sebagai bahan komoditi. Selain berpecah belah akibat fahaman pelbagai jenis yang bercanggah dengan pemikiran arus perdana, mereka juga gagal menjayakan fungsi agama sebagai penasihat dalam menghuraikan kepelbagaian pemikiran yang timbul.


Ia ditambah dengan usaha gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar yang bertindak mempengaruhi NGO negara secara negatif. Salah satunya gerakan liberal Sister In Islam (SIS) yang menyediakan ruang terbuka kepada tokoh liberal luar negara melalui penglibatan mereka dalam anjuran-anjuran program di negara ini.


(sumber gambar)


Menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Gerakan Aliran Pemikiran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam' telah menjelaskan, cabaran gerakan membabitkan fahaman serta cara berfikir seperti Islam liberal, gerakan Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme dan mengagungkan selebriti.


Bagi memperkasakan akidah umat Islam, sistem pengajian dan pendidikan yang benar dan tulen harus disiap siagakan kepada setiap peringkat masyarakat. Dalam erti kata yang lain, penyuburan ilmu akidah seiring dengan pembangunan modal insan dalam sebuah institusi keluarga, komuniti masyarakat dan pembangunan negara. Peranan ini diletakkan atas punggak ibu bapa dalam proses mendidik anak-anak, ketua dalam mendidik ahli organisasi dan pemimpin dalam proses pembentukan jiwa rakyat.


Baru-baru ini, sebuah NGO mahasiswa, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menganjurkan Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-Spin) dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran rakyat terhadap pendidikan Islam di Malaysia. Kongres yang berlangsung pada 11 Julai itu bertujuan untuk menilai semula keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diamalkan dan membetulkan pandangan dunia terhadap pendidikan Islam yang sebenar.


Semestinya, ia merupakan rentetan daripada masalah sosial dan kes gejala murtad kesan daripada kecelaruan akidah dan kegagalan ilmu berperanan sebagai benteng dalam diri. Sistem pendidikan dan pengajian Islam di sekolah mahupun di peringkat universiti belum cukup menjurus kepada peranannya yang sebenar. Malah, setelah dicermati, terdapat pensekularan dalam sistem pengajian di universiti dalam subjek-subjek pengajian Islam yang ditawarkan.


Selain pemurnian fahaman akidah dan sistem pendidikan, pentadbiran undang-undang Islam dan penguatkuasaannya memainkan peranan dalam menyediakan kayu ukur, peraturan dan prosedur dalam hal ehwal akidah dan syariah. Di Malaysia, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam dan Penguatkuasaan – Perkara yang berkait dengan agama Islam, adalah di bawah kuasa Raja-raja dan Kerajaan Negeri di Malaysia.


Menyoroti cabaran akidah yang semakin menipiskan keimanan ummah, masyarakat Islam harus didedah dan dididik dengan pemahaman yang mendalam dan betul tentang akidah dan pemikiran arus perdana. Masyarakat Islam terutamanya pihak berkuasa agama patut berusaha mencegah dan menghalang fahaman dan aliran lain yang boleh menghakis pegangan masyarakat.


Maka usaha yang lebih gigih harus dilakukan antaranya memantapkan lagi enakmen dan undang-undang pentadbiran agama Islam dan penguatkuasaan yang menyeluruh termasuk jenayah akidah dan kerohanian. Kesatuan sistem dalam fahaman dan pegangan akidah Islam, amalan syariah dan sistem akhlak boleh memberikan impak besar dan menyumbang secara berterusan kepada kestabilan masyarakat dan perpaduan umat Islam.


Wednesday, May 13, 2009

al-Muslimah: KEMATANGAN WANITA BERPOLITIK, MEMATANGKAN GENERASI

Artikel di bawah adalah tulisan saya dalam ruangan Topik, Majalah Muslimah, keluaran Mei 2009, bil 214.


Turut dimuatkan di bawah ruangan yang sama ialah artikel bertajuk 'Selamatkah Wanita Menjadi Calon?' oleh M Faqih dan artikel 'Daya Juang Tinggi Hadapi Fitnah Politik' oleh Jamilah Aini hasil temubual bersama YB Dr. Halimah Ali.



Wanita merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari masyarakat. Ketika manusia hidup bersama dalam satu masyarakat, tentunya ada persoalan-persoalan bersama yang muncul di tengah-tengah kehidupan mereka. Wanita tidak boleh berlepas tangan, lebih-lebih lagi persoalan yang menyangkut urusan umat. Inilah pandangan Islam berdasarkan nas sebagai berikut:


“Barangsiapa yang tidak memperhatikan kaum muslimin, maka ia bukanlah termasuk di antara mereka, dan barangsiapa yang tidak berada di waktu pagi dan petang selaku pemberi nasihat bagi Allah dan Rasul-Nya, bagi kitab-Nya, bagi pemimpinnya dan bagi umumnya kaum muslimin, maka bukanlah ia termasuk di antara mereka.” (Hadith riwayat Thabrani).


Wanita hari ini dituntut menceburkan diri dalam bidang politik sebagaimana lelaki. Tidak dapat diingkari bahawa jumlah wanita zaman ini lebih banyak dibandingkan dengan lelaki. Penglibatan mereka dalam persatuan di kampus, badan kemasyarakatan, organisasi pekerjaan dan arena politik tanahair semakin meningkat sesuai dengan peningkatan kemampuan yang dimiliki. Maka, apabila kaum wanita mampu berperanan secara optimal, tentunya memberi sumbangan besar ke arah pencapaian ‘umat terbaik’.


Selain memberi nasihat, kedapatan sesetengah mereka yang lantang bersuara, malah memberi tekanan kepada penguasa untuk menjalankan aktiviti pengurusan umat dengan baik, yang diyakini tidak akan tercapai tanpa menegakkan syariat Islam. Dengan kata lain, mereka mendukung sebarang perkara positif yang dianjurkan penguasa dan membanteras penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Dengan demikian, aktiviti politik yang dilakukan oleh wanita adalah semata-mata penunaian kewajipan dari Pencipta-Nya dan sentiasa mengikat diri dengan hukum-hukum Allah.


Amboi, Merahnya mak ngah!


Arena Perjuangan Rakyat.

Hidup Muslimat PAS!

Chaiyok Nisa' Gombak!


Sebagai manusia, wanita memiliki potensi untuk dibangunkan sama seperti lelaki. Kematangan dan kemampuan mereka untuk menerima kebenaran dan menolak kebatilan adalah sama. Secara tidak langsung kecenderungan dalam lapangan politik Islam untuk meniupkan nilai-nilai spiritual ke dalam diri masyarakat turut sama. Allah menyeru hamba-Nya untuk melakukan aktiviti politik sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 104;


“Dan haruslah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan melarang dari kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”


Secara tabi’inya, terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita. Tanggungjawab wanita menguruskan hal rumahtangga adalah tugas utama. Mereka ditakdirkan menjadi ibu yang mengandung, menyusui, mengasuh, mendidik anak dan tugas-tugas lain yang tidak mungkin dilakukan oleh lelaki. Namun, penglibatannya dalam aktiviti sosial juga tanggungjawabnya. Jadi, kedua-duanya perlu diseimbangkan.


Wanita yang bergelar ibu di samping memiliki kesedaran politik, sangat berpotensi mencetak generasi yang baik. Atas kesedaran politiknya, ibu ini mempunyai kepekaan tentang realiti dunia semasa dalam menjustifikasikan hal-hal yang merbahayakan kelangsungan pendidikan anak-anak. Hanya ibu yang memiliki kesedaran politik tinggi berupaya membina masyarakat, membentuk pandangan dari senario semasa dan menggalas amanah untuk melakukan proses amar makruf dan nahi mungkar.


Sebagai contoh, rancangan-rancangan televisyen berunsur hedonisme, gangsterisme, kurafat, dan syirik sedaya upaya dijauhkan bagi mengelakkan anak-anak terjerumus ke lembah nilai tanpa moral dan akhlak. Begitu juga bahaya dari lingkungan tempat tinggal, sekolah, kenalan, media massa, dan masyarakat. Ibu berpolitik mampu menangkap dan menganalisis elemen-elemen berbahaya dalam lingkungan itu, malah mencari langkah-langkah penyelesaian yang tepat.


Bagaimana pula dengan ibu yang hebat politik melahirkan anak yang juga hebat berpolitik? Adakah kehebatan politik boleh diwarisi?. Bukan suatu yang mustahil ibu yang berkesedaran politik dapat mencetak seorang ahli politik handal. Bagaimana tidak, dalam setiap interaksinya dengan anak, mereka meniupkan wawasan, mengajak anak melihat realiti, membawa anak mencakna isu, lalu menganalisisnya.


Kebiasaan sebegini mengasah ketajaman pemikiran politik anak. Barangkali langkah inilah yang dilakukan oleh ibu bapa yang handal di lapangan politik sehingga lahirlah anak-anak yang juga handal berpolitik. Jika anak dibesarkan dengan medium politik sihat, terbentuklah peribadi ahli politik hebat. Secara tidak langsung memudahkan proses perkaderan oleh parti dalam membentuk generasi ahli politik muslim yang berjiwa ikhlas, bersih, berani dan pantang menyerah.


Pendidikan Politik Wanita

Salahkah Puteri contohi Nisa'?


Sejarah merekodkan beratus-ratus nama tokoh pejuang wanita pada zaman awal Islam. Mereka memiliki sifat sabar, tidak gentar pada kekalahan dan tidak gopoh menanti kemenangan. Sifat-sifat yang dimiliki ini mendorong kepada kesedaran politik ke arah mengembalikan ketinggian agama. Antaranya Sumaiyah bt Khaiyath, Al-Khunsa, Ummu Ummarah, Asma’ Abu Bakar dan ramai lagi.


Tentunya ada faktor pendorong bagaimana kesedaran politik di kalangan wanita pada permulaan Islam berlaku. Antaranya kemampuan istimewa yang mereka miliki, serba boleh menyesuaikan keadaan, kepetahan berhujah dan mempunyai faktor-faktor pendorong dalam sejarah. Selain itu, mereka mempunyai pendirian yang tetap, keputusan sepakat, strategi-strategi bijak serta kepimpinan yang mantap di samping pendekatan yang halus dalam mesyuarat serta idea-idea bernas.


Dr. Abdul Rahman bin Califa menulis di dalam bukunya Fi’Ilmi al-Siasah al-Islami mengatakan “Sejarah politik Islam tidak hanya berkisar mengenai pejuang lelaki sahaja, bahkan ia juga menceritakan penglibatan kaum wanita yang lantang bersuara dan aktif berpolitik.”


Adik Nurul Syuhada yang bercita-cita menjadi senator. Sejauh manakah politik menjadi 'medan ramah' bagi wanita?


Memandang betapa pentingnya strategi wanita dalam perjuangan umat, pendidikan politik menjadi penting. Pendidikan politik bukan sahaja meningkatkan kematangan politik mereka tetapi turut mematangkan generasi yang akan dibentuk nanti. Diharap dengan kematangan tersebut, wanita lebih kental menghadapi cabaran politik yang tidak tentu hala, melahirkan peranan yang lebih besar dan memperjuangkan kepentingan umat dengan jalan yang benar.


Perkara pertama yang sangat ditekankan dalam pendidikan politik ini ialah memberi kefahaman politik menurut pandangan Islam. Ia menghilangkan kesan bahawa politik adalah wilayah yang ‘tidak ramah’ bagi wanita. Aktiviti politik wanita adalah berorientasikan pada redha Allah, sangat berbeza dengan aktiviti feminis yang berorientasikan perjuangan menuntut kesaksamaan gender. Dalam perspektif Islam, aktiviti politik adalah terikat dengan perkara yang diwajibkan, dibolehkan dan diharamkan bagi wanita.


Keduanya, meningkatkan kesedaran politik wanita. Sama ada langkah diambil oleh parti atau inisiatif individu, wanita perlu dibentuk untuk terlibat aktif mengikuti peristiwa-peristiwa politik, melakukan penyelidikan dan mengambil sikap untuk merencana perubahan menggunakan sudut pandangan Islam. Garapan ini diberikan kepada semua wanita tidak kira apa jua posisi mereka, sama ada suri rumah tangga, bekerjaya atau mahasiswa.


Wanita seharusnya meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan politik, malah menyikapi sesuatu peristiwa yang terjadi dengan hukum hakam Islam. Tidak seharusnya mereka berdiam diri dan terlena, tetapi kualiti kesedaran yang dimiliki akan mendorongnya untuk terus bersuara dan bertindak bersesuaian dengan potensi dan keistimewaan yang dimiliki.


Zaman ini, membaca kondisi politik umat Islam ibarat membaca sebuah cerita tragedi. Rakyat tidak mendapat gambaran jelas, utuh lagi benar tentang apa sebenarnya politik itu. Majoriti rakyat beranggapan bahawa politik diklasifikasikan sebagai kekuasaan. Aktiviti politik adalah aktiviti mendapatkan kekuasaan, menumbangkan kuasa lainnya, aktiviti di dalam parti dan aktiviti sebagai ahli parlimen. Persepsi pemikiran mereka tidak melangkau lebih jauh, menganggap politik hanya aktiviti mengurus parti bukan aktiviti mengurus umat.


Usaha merencana kematangan politik rakyat mencakup juga usaha kematangan politik wanita. Dengan itu, kefahaman dan kesedaran tidak memadai tanpa adanya kematangan. Kematangan politik adalah ketajaman analisis terhadap apa yang berlaku di sebalik peristiwa politik. Mereka bukan sekadar memahami politik dan mengikuti perkembangan politik, malah berani melontarkan kritikan dan memberi langkah penyelesaian khususnya berkaitan hal ehwal wanita.


Di pihak penguasa, harus memberi suasana yang kondunsif untuk melayan semua urusan dan kepentingan kaum wanita dengan baik dan berlapang dada. Paling penting yang dilakukan oleh kelompok penguasa atau wakil rakyat ialah memberikan pendidikan politik di tengah-tengah kaum hawa, baik sebelum mahupun selepas pilihanraya. Dengan pendidikan politik matang, wanita dapat menentukan langkah-langkah yang tepat dalam menukangi aktiviti politik yang terjadi sama ada di peringkat nasional mahupun internasional.



Thursday, April 9, 2009

FEMINISME: Tuntutan Keadilan Kontemporari

Artikel saya dalam Majalah Muslimah (Bil 213), Keluaran April 2009. Dapatkan sekarang!!


Feminisme Tuntut Kesaksamaan

Saat ini kita sedang berhadapan dengan gejala pemikiran Islam liberal. Hakikatnya, ia adalah kesinambungan dari pemikiran modenisme. Bagaimanapun, wajah pemikiran Islam liberal yang sedang dikembangkan zaman kini nampaknya lebih radikal dari pemikiran modenisme Islam. Justeru, idea-idea kontroversi dalam perkara-perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam.


Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam Al-Quran dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan berhati-hati.


Di Barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa “tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semulajadi”. Oleh itu, sejak berdekad lamanya aktivis wanita Islam liberal dari segenap pelosok dunia termasuk komuniti minoriti bergabung tenaga bagi mendesak reformasi undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan hak lelaki dan wanita.


Diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur, Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab) bertujuan mengumpulkan para sarjana dan aktivis dalam rangka kerja holistik bagi memperjuangkan kesaksamaan wanita Islam dari segi perundangan, keluarga dan komuniti. Musawah dibina selepas berdekad usaha memperbaharui Undang-undang Keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita dan menentang pindaan regresif atas desakan kumpulan konservatif dalam masyarakat.


Inilah aspek liberalisasi yang sentiasa menjadi perbahasan dalam bidang liberalisasi Islam. Hukum-hukum Islam yang sudah mutlak, dibongkar dan dibuat hukum baru yang dianggap sesuai dengan perkembangan zaman. Para tokoh liberal biasanya menggunakan metode ‘kontekstualisasi’ sebagai salah satu mekanisme dalam merombak hukum Islam. Salah satu hukum Islam yang banyak dijadikan objek ‘kontekstualisasi’ liberalisasi adalah hukum dalam bidang keluarga.


Keliru Antara Ekualiti dan Keadilan

Pengarah Projek Musawah, Zainah Anwar menjelaskan tanggapan mengenai wanita Islam sering ditindas, didiskriminasi, dikunci mulut dan menjadi mangsa sama ada di dalam atau luar negara Islam perlu diperbetulkan menerusi usahasama berterusan. Justeru, beliau berfikiran amat penting semua pihak termasuk kerajaan, pemimpin politik dan agama serta institusi antarabangsa bekerjasama demi mencapai kesaksamaan, tiada diskriminasi, keadilan dan kehormatan sebagai asas perhubungan sesama insan.


Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu, Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal berkata, teguran oleh aktivis Sisters In Islam (SIS) tersebut ada yang boleh diterima kerana ia adalah menifestasi kegagalan kita untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu kaum hawa. Walau bagaimanapun, tindakan SIS yang menggunakan masalah-masalah runcitan untuk menyusupkan elemen liberal ke atas mentaliti masyarakat adalah suatu yang bahaya. Jika perkara ini tidak diperjelas kembali, pengaruh liberal akan melebar di kalangan yang dangkal beragama.


Menurut Dr. Haji Muhammad Nur Manuty dalam siri wacana pemikiran Islam kontemporari: ‘Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia’, menjelaskan bahawa gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal ini terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu.


Wacana ini disokong lagi dengan penjelasan Dr. Ugi Suharto, bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa dalam Seminar Ancaman Islam Liberal anjuran Gabungan Profesional Kelantan di Kota Bharu. Katanya, memang terlihat jelas bahawa pemikiran-pemikiran Islam Liberal yang dilontarkan oleh golongan ini merupakan penyerapan dan pengaruh dari isu-isu pemikiran yang berkembang didunia Barat.


Seperti juga nasib agama-agama di Barat, mereka hendak menjadikan Islam sama seperti Kristian atau Faham Yahudi di Barat yang tunduk dengan kehidupan duniawi dengan cara membebaskan umat Islam dari ajaran-ajaran Islam yang tulen menerusi tafsiran atau perubahan ajaran Islam itu sendiri sehingga sesuai dengan selera dan agenda Barat.


“Feminisme ini datang dari pengalaman pahit oleh penganut agama Kristian. Kristian memandang wanita sebagai golongan kelas kedua dan sering menyalahkan wanita. Sejarah menunjukkan banyak penindasan terhadap wanita berlaku ketika itu. Akibat tekanan penindasan, mereka mahu keluar dari sosio-budaya orang Barat dengan memperjuangkan humanisme. Bertitik tolak dari humanisme inilah, wujudnya fahaman liberalisme, kapitalisme, feminisme dan gagasan pemikiran lain,” ujar Wan Fayhsal.


Oleh itu, beliau mengarah kepada idea Prof. Naquib Al-Attas agar pencerahan semula dilakukan secara sistematik iaitu mengenali akar kepada permasalahan gejala feminisme terlebih dahulu. Menurutnya, feminis adalah golongan yang menidakkan ilmu, menganggap ilmu tidak penting, membenarkan semua orang mempunyai hak untuk menginterprestasikan Al-Quran dan hadis hingga menepis beberapa kemutlakan kandungannya. Disamai juga sebagai realitivis, maka undang-undang dan amalan Islam boleh dilakukan perubahan mengikut realiti kehidupan masa kini.


“Ekualiti tidak sama dengan keadilan. Keadilan meletakkan kedudukan pada tempatnya, ekualiti itu kesamarataan. Banyak feminis keliru dengan keadilan dan kesaksamaan.”


Kekeliruan feminis SIS ini terbukti dengan kenyataan Pelapor Khas PBB mengenai Keganasan Terhadap Wanita, Prof Yakin Erturk yang dijemput ke Musawah tersebut. Katanya, kesaksamaan dalam keluarga boleh dicapai menerusi rangka kerja yang konsisten dengan ajaran Islam, prinsip hak asasi manusia universal, jaminan hak asasi dan realiti kehidupan yang dijalani golongan lelaki serta wanita moden. Jelasnya lagi, undang-undang dan amalan Islam harus mendukung kesaksamaan yang merupakan bahagian paling penting dalam pemahaman keadilan masa kini (Utusan Malaysia, 24 Februari 2009).


“Mereka melihat dari sudut evolusi. Sejarah Islam merupakan contoh terbaik tetapi golongan liberalis mengungguli cara barat mengangkat darjat wanita. Ringkasnya, tampak tiada masalah namun berbahaya apabila meletakkan wanita dalam acuan lelaki pada semua perkara. Saya melihat masalah wanita dalam kerjaya dan rumah tangga banyak bertitik tolak daripada wanita yang mengamalkan gaya hidup moden. Bagi mereka, pekerjaan itu suatu trend dan sangat perlu walaupun suami mampu menanggung keperluan. Wanita berjaya adalah wanita bekerja dan wanita yang duduk di rumah tidak akan diberi penghargaan oleh masyarakat. Apabila semua wanita berfikiran begitu, mudahlah fahaman feminisme mempengaruhi mereka,” tambah Wan Fayhsal.


Faktor Luaran dan Dalaman.

Kekeliruan dan permasalahan yang timbul berkenaan isu ini harus dilihat secara objektif oleh semua pihak. Dalam pada itu, Wan Fayhsal melihat agenda yang diperjuangkan SIS dan para feminis liberalis ini perlu dilihat dari dua sudut iaitu (1) Agenda hegemoni pemikiran liberalisme agama dan hak asasi manusia tajaan Barat (ancaman luar) (2) Kelemahan komuniti Muslim dalam menangani permasalahan kekeluargaan dan kefahaman agama (ancaman dalaman).


Setelah Perang Dingin berakhir, Barat memiliki pandangan dan kebijakan khusus terhadap Islam. Di dalam Perang Dingin, Komunisme dianggap sebagai musuh utama, sehingga seringkali Barat bersama-sama dengan Islam menghadapi komunisme, seperti yang terjadi di Afghanistan. Setelah komunis runtuh, Barat harus menetapkan ‘musuh’ baru sebagai pengganti komunisme. Maka, para aktivis neo-konservatif (kelompok Kristian fundamentalis, Yahudi sayap kanan, politisi Republik, dan ilmuwan neo-orientalis), berhasil menjalankan agenda internasional pasca Perang Dingin.


Kerana Islam dipandang sebagai ancaman potensi bagi Barat, atau Islam dipandang sebagai isu politik potensial untuk meraih kekuasaan di Barat, maka berbagai daya upaya dilakukan untuk ‘menjinakkan’ dan melemahkan Islam. Salah satu program yang kini dilakukan adalah dengan melakukan proses liberalisasi Islam besar-besaran di Indonesia dan dunia Islam lainnya. Proses liberalisasi Islam ini tentu sahaja masih menjadi bahagian terpenting daripada ‘tiga cara’ pengukuhan hegemoni Barat di dunia Islam, iaitu melalui program Kristenisasi, imperialisme moden dan orientalisme (Ancaman Islam Liberal, Siri Wacana Pemikiran Kontemporari, Bil 4, 2006).


“Faktor dalaman pula berpunca dari sikap komuniti Muslim yang tidak teliti perkara ini. Kita tidak mengambil berat masalah keluarga Muslim, tidak mengambil tahu dan tiada huluran bantuan dari segi kaunseling. Maka golongan wanita bermasalah ini akan merujuk kesnya kepada SIS yang menyediakan khidmat guaman dan kaunseling secara percuma. Gerakan Islam turut kurang menggarap penting isu ini. Apabila kita memandang sesuatu itu pada satu juzuk, maka isu yang timbul akan dipolitikkan. Berdemo itu perlu tetapi jangan menggambarkan kita ini seolah-olah tidak mampu untuk berhujah. Islam ini benar, kenapa takut untuk berhujah?,” soal Wan Fayhsal menyentak komuniti Muslim yang lemah bertindak.


Sementara itu, kepincangan birokrasi yang mendominasi jabatan-jabatan kerajaan dan mahkamah menjadi fokus rangka kerja gerakan feminis. Mereka mengambil peluang terhadap kepincangan yang berlaku sebagai lantunan suara perjuangan mereka. Sebagai respon SIS, persidangan global Musawah yang lalu menyediakan empat objektif utama antaranya ialah memperkasakan wanita dan suara menuntut kesaksamaan dan keadilan dalam keluarga di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa.


Menyebut tentang kepincangan ini, Wan Fayhsal melontar kritikannya terhadap jabatan-jabatan kerajaan yang menunda dan melambatkan penyelesaian kes-kes keluarga yang diajukan seperti kes perceraian, tuntutan nafkah dan penjagaan anak. Respon kakitangan yang gagal melayan baik terhadap aduan masalah perlu dikaji cermat dan diselidiki. Terdapat wanita yang terpaksa menunda perkahwinan dengan lelaki lain setelah diceraikan, kerana belum memperolehi surat cerai dari pihak terbabit. Maka, kesulitan tersebut menyebabkan beberapa pasangan yang ingin berkahwin terjerumus melakukan maksiat hanya kerana karenah birokrasi yang tidak cekap.


Respon Terhadap Pemikiran Islam Liberal

Pandangan Dr. Haji Muhammad Nur Manuty dari Pusat Kajian Modeniti dan Masyarakat Sivil sebagai respon terhadap pemikiran Islam Liberal adalah baik untuk diterima khususnya oleh golongan ulama’. Idea-idea provokatif liberal Islam sememangnya dapat disanggah dengan menggunakan manhaj pemikiran Islami yang muktabar.


Bagaimanapun, respon kita sebagai seorang Muslim tidak cukup dengan emosi sahaja. Kita perlu membahaskannya dengan terbuka dan objektif kerana faktor suasana yang mencabar pada masa kini. Menurut Dr. Haji Muhammad Nur Manuty lagi, pendekatan yang terbaik ialah dengan kembali mengkaji metodologi Imam Al-Ghazali. Imam Al-Ghazali berjaya menggunakan pendekatan ilmiah bagi menangkis pemikiran rasionalisme yang begitu kuat pengaruhnya pada zaman itu.


“Ini bukan masalah kita tetapi masalah liberalis dan kita terpengaruh. Ulama’ kita kurang faham tentang perkara ini secara menyeluruh. Saya melihat sahabat-sahabat di Indonesia, apabila mereka berhujah, liberalis akan buntu dan hujah tersekat malah yakin pula dengan hujah kita. Usaha ini yang dibuat oleh INSISTS, sebuah NGO yang dibangunkan oleh ahli didikan Prof. Naquib Al-Attas sebagai respon terhadap penularan gejala pemikiran ini,” bicara Wan Fayhsal terhadap respon yang sama.


Golongan liberal Islam pada saat ini ghairah membicarakan syariat dengan pembukaan pintu ijtihad seluas-luasnya tanpa meraikan syarat-syarat yang ketat dalam pembuatan ijtihad, menolak autoriti fuqaha’ dalam syariah serta isu golongan ulama’ bertindak sebagai pengawal dalam hal ehwal Islam dan menjadikan isu kewanitaan sebagai satu permasalahan besar dalam syariat.


Keadaan ini ternyata jelas apabila Wan Fayhsal mengatakan jarang sekali ulama’ yang beroutoriti dibenarkan berdialog dengan liberalis. Autoriti ulama’ semakin terhapus dengan kelahiran siri-siri wacana Islam yang melambakkan idea daripada pelbagai golongan ulama’ yang terdiri daripada ulama’ liberal, ulama’ ortodoks dan ulama’ rasional. Suara ulama’ sebenar seperti Yusuf Al-Qardhawi tidak menonjol kerana persembahan ilmiah wacana telah dipukul rata dengan pandangan pelbagai golongan ulama’ tersebut.


Beliau turut mempersoalkan peranan NGO Islam khususnya Nisa’ Malaysia yang tidak menyerlah menguasai isu ini. Nisa’ selayaknya menjadi pertubuhan ‘Counter Wave’ yang merespon kembali tindakan SIS selanjutkan mewujudkan ‘engagement’ dengan masyarakat melalui penyelesaian krisis kewanitaan. Penghantaran memorandum oleh Dewan Ulama’ sebelum ini masih belum memadai jika Nisa’ tidak tuntas memperbaharui manhaj dakwah menyaingi NGO seperti SIS. Seharusnya Nisa’ dalam usaha melahirkan sayap-sayap intelektual bagi mendepani cabaran-cabaran ideologi dan gagasan pemikiran feminisme abad ini.


Gerakan Islam kampus juga harus terpukul dengan penularan gejala pemikiran ini. Mahasiswi semestinya terdedah dengan ancaman feminisme kerana ada golongan akademik di universiti yang melebarkan jaringan pemikiran liberal melalui medium intelektual dan wacana ilmiah yang terhasil. Jelas beliau, kedapatan komuniti minoriti di universiti yang membantu usaha liberalis, memungkinkan mahasiswi terdorong menjadi pelapes SIS.



Wednesday, December 24, 2008

PPSMI: KERANDA 152

Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan Tamadun Melayu semakin hilang identiti. Jatidiri bangsa Melayu kian terhakis dengan pendekatan yang cukup halus. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan Bahasa Melayu kian dipinggirkan dan diletakkan sebagai bahasa kelas kedua.


Isu PPSMI ini semakin rancak di gelanggang politik pemimpin, semakin menjadi bahan borok-borak masyarakat kelas bawahan, semakin mengundang provokasi intelektual para ilmuwan malah ada NGO yang terasa dampaknya terpanggil menjadi lidah rasmi mewakili bangsa Melayu. Siapa lagi yang mahu menyelamatkan Bahasa Melayu daripada diperkosa oleh proses sekularisasi yang semakin menghimpit kehidupan kita melalui jalan ilmu?. Puisi Keranda 152 karya Usman Awang ini bisa menegur kita;


Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah Sebelum lidahmu jadi bisu


Keranda 152 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya. Apa sebenarnya Keranda 152? Ia merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Gerakan Anti PPSMI (GAP) adalah suatu usaha kesedaran "Selamatkan Bahasa Melayu" yang ditubuhkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi memastikan Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen" terus dipelihara.


Rentetan itu, pada 30 November 2008 bertempat di Anjung Rahmat, GAP telah mengadakan satu forum ‘Selamatkan Bahasa Melayu’ bertujuan menjentik pemikiran kita untuk memahami secara teori dan seterusnya memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu. Kamal Shukri Abdullah Sani selaku Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu dan Mohd Hilmi Ramli, Presiden PKPIM merupakan gandingan panelis forum yang membicarakan isu ini.


Dari kiri: Kamal Shukri Abdullah Sani (Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia), Moderator forum, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu) dan Mohd Hilmi Ramli (Presiden PKPIM)


Saya sedang mewawancara Mohd Hilmi (Presiden PKPIM) untuk Topik Majalah: Isu PPSMI


Forum dibuka dengan kritikan daripada Kamal Shukri, Timbalan Presiden Persatuan Lingustik Malaysia. Beliau tampil di atas pentas forum bersama hampir sepuluh buah buku yang terhasil daripada beratus-ratus persidangan oleh cendiakawan bahasa. Hasil persidangan 4 meja bulat yang berat sebelah sebelum ini tidak boleh disama tarakan dengan hasil kajian yang dilaksanakan oleh cendekiawan-cendekiawan universiti di dalam isu ini. Sebagai contoh hasil kajian berhubung keberkesanan PPSMI oleh Prof. Emiritus Dr. Isahak Haron daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris. Namun yang amat mendukacitakan, usaha-usaha mereka tidak dijadikan rumusan dan kajian sebelum mengambil keputusan perlaksanaan dasar PPSMI oleh kerajaan.


Rundingan Meja bulat oleh platform kerajaan yang dikhuatiri sejauh mana ke'bulat'annya.


Kamal Syukri turut menyifatkan PPSMI adalah program pendidikan yang memberikan kredit kepada golongan elit sahaja tetapi golongan pertengahan dan golongan bawahan terutama masyarakat luar bandar telah dikesampingkan.


Sebagai tambahan, UNESCO memetik daripada ‘Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef) sebagai berkata:

“Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah bukan bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.”


Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam tahun-tahun awal persekolahannya.


Hal yang sama turut ditegaskan berkali-kali dalam forum ini. Tindakan GAP dengan tema kempennya ‘Selamatkan Bahasa Melayu’ bukan satu kempen emosi tetapi kempen mengembalikan maruah dan jatidiri bangsa Melayu. PPSMI bukan sahaja mengundang resah gelisah masyarakat luar bandar tetapi guru-guru sekolah turut merasai bahananya. Guru-guru terpaksa menggandakan usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing khususnya pelajar sekolah rendah. Kesannya, proses pembelajaran menjadi lambat, merumitkan, dan memberi tekanan kepada guru-guru dan para pelajar. Keadaan ini disedari oleh mereka yang berada di platform sekular, tetapi seperti ‘anjing bercawat ekor’, kesedaran telah dikambus dengan keterangan dengar cakap pemimpin dan fakta-fakta yang dimanupulasikan di media.


Fenomena ini telah dikaji cermat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berdasarkan kajian April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains mereka menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua matapelajaran ini. Kebanyakannya menggunakan dwibahasa kerana tidak semua guru mahir berbahasa Inggeris.


Senario yang sama berlaku di kalangan pelajar di universiti apabila memperlihatkan tahap bahasa inggeris graduan lemah. Beberapa usaha telah diambil untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris di kalangan pelajarnya termasuk penawaran kursus-kursus kemahiran bahasa inggeris. Bagaimanapun langkah berkenaan disifatkan sebagai suatu yang formal apabila ia tidak menjadi satu budaya di kalangan pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah. Pejuang bahasa tidak menentang usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, bahkan rakyat di negara ini. Tetapi yang tidak dipersetujui ialah penurunan darjat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam pelbagai bidang dan peranan itu digantikan dengan bahasa Inggeris.


Mind set kita telah dikemuncupkan dengan mentaliti songsang iaitu jika ingin menguasai bahasa inggeris, pelajar perlu belajar sains dan teknologi dalam bahasa inggeris. Menolak kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa untuk transmisi ilmu, sama seperti kita menidakkan kepentingan bahasa sesuatu bangsa sebagai medium transimisi ilmu seperti yang disebutkan di dalam ayat 4 Surah Ibrahim;


“Kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat menjelaskan (hukum-hakam Allah) kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dialah jua yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.


Bukankah PPSMI ini secara terang membebankan ibu-bapa, murid-murid dan guru-guru? Adakah Bahasa Melayu sekadar menjadi bahasa pertuturan harian, bahasa berbicara tepi longkang atau bahasa perbualan membeli ikan di pasar? Adakah isu kepelbagaian tulisan papan tanda di Pulau Pinang lebih penting sebagai kalendar perjuangan pemimpin? Persoalan-persoalan sebegini releven untuk mengetuk hati-hati orang Melayu yang menganggap isu PPSMI hanya isu terpencil. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika hilang Bahasa Melayu dari lidah kita, samalah seperti hilangnya identiti bangsa yang suatu ketika dulu gah dengan kekayaan bahasa dan kehalusan budi pekerti.


Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari TERAS Pengupayaan Melayu dan Mohd Hilmi Ramli, Presiden PKPIM berada pada landasan fikiran yang sama. Hujah-hujah yang dikemukan menjurus kepada kepentingan Bahasa Melayu dari sudut pandang islamisasi.


“Di manakah titik permulaan Bangsa Melayu? Bermulanya ketemadunan Melayu bukan setelah kemerdekaan itu dicapai tetapi bermula apabila Islam datang ke Tanah Melayu. Mengkesampingkan Bahasa Melayu bermakna mengkesampingkan Islam. Meruntuhkan institusi Melayu bermakna meruntuhkan institusi Islam”, berikut penegasan Wan Ahmad Fayhsal.


Pendapat ini dikemukakan kerana Bahasa Melayu adalah bahasa yang membawa beban rohani atau disebut sebagai ‘Spiritual law’. Pandangan barat dan pandangan Islam sangat berbeza dalam menterjemahkan beberapa kosa kata yang berhubungkait dengan soal ketauhidan dan kerohanian. Sebagai contoh, istilah Ilmu, Adil, Jihad, Nabi, Rasul, Negara Islam dan pelbagai istilah lain tidak dapat diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dalam hakikat yang sebenar. Walaupun ia bukan istilah sains dan teknologi tetapi perlaksanaan PPSMI merupakan suatu proses secara sistematik untuk memusnahkan Bahasa Melayu secara berdikit-dikit.


Prof. Syed Muhammad Naquib (1972 dll) menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “…peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami…” (Al-Attas, 2001: 99).


Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan alam Islam dalam sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat. Seperti contoh istilah Allah pada zaman Jahiliyah dahulunya menggambarkan salah satu daripada tuhan-tuhan berhala orang Arab di Mekah tetapi setelah Islam muncul, istilah Allah menggambarkan Tuhan Yang Esa dan tiada sama dengan mana-mana yang lain. Perkara yang sama turut berlaku ke atas Bahasa Melayu. Kosa kata seperti ‘dosa’ dan ‘pahala’ merupakan warisan daripada budaya Hindu-Buddha tetapi telah diubahsuaikan maknanya mengikut acuan dan konsep yang wujud dalam agama Islam.


Sewajarnya GAP ditubuhkan sebagai platform gesaan kepada pemimpin, platform jentikan kepada mahasiswa dan platform kesedaran kepada masyarakat untuk mengembalikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang ada bahasa. Berpegang kepada prinsip ‘small is beautiful’, usaha-usaha memperjuangkan bahasa melayu perlu dimulakan dengan kelompok-kelompok yang kecil. Tembok perjuangan GAP akan semakin kuat dengan kerjasama daripada platform mahasiswa seperti GAMIS, KARISMA, TERAS Pengupayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan NGO.


Jika mahasiswa persis dengan isu penindasan rakyat Palestin atau isu menang kalah pilihanraya kampus yang tidak jauh beza kesannya, kenapa mahasiswa Melayu tidak mahu bangkit mengagendakan PPSMI yang menghakis jatidiri bangsa sendiri.


Lorongilah minda kita yang semakin sempit dan terhimpit agar hegemoni bahasa tidak melarat menjadi hegemoni budaya. Jangan kita lupa kesan jangka panjang yang besar akibatnya. Kehilangan bahasa adalah kehilangan jatidiri, kehilangan jatidiri bermakna kehilangan tamadun. Kehilangan yang tidak mungkin dapat diganti.


PPSMI menyesakkan dada para pecinta bahasa. Guru-guru terbeban di kepala. Ibu bapa mengangkat bahu tak kata apa. Murid-murid semakin terpinga-pinga. Di manakah bahasa kita? Jangan biarkan ia terus di dalam Keranda 152.


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO