Showing posts with label DUNIA KERJAYAKU. Show all posts
Showing posts with label DUNIA KERJAYAKU. Show all posts

Sunday, January 24, 2010

Politik Pelajar

Semasa subjek Sejarah, saya bertanya pada pelajar, "Zaman paling awal zaman apa?.” Pertanyaan saya berkaitan dengan Bab 2 Tingkatan 1 iaitu Zaman Prasejarah.

Lantas pelajar saya menjawab, "Paleolitik cikgu".

Saya bertanya lagi, "Lepas tu zaman apa?.” “Mesolitik,” jawab mereka.

“Selepas Mesolitik?,” saya menguji lagi.

"Neolitik cikgu!”

Kemudian saya bertanya, "Sekarang zaman apa?”

"Zaman Politik cikgu!"


Jawapan pelajar saya membuatkan saya tersenyum. Saya tidak terfikir jawapan yang sebegitu rupa ketika saya menjadi pelajar dulu. Barangkali tsunami politik sedikit menjentik minda mereka walau masih belum matang memikirkannya. Buka surat khabar, ada cerita politik. Buka televisyen, ada berita politik. Di rumah mendengar komen politik jika ibu bapanya peminat politik.


Namun, saya tidak lanjutkan sesi pembelajaran dengan cerita politik semasa. Sekolah bukan tempat dan masa yang sesuai untuk perkara itu. Sepanjang 3 minggu menjadi guru, saya sendiri gagal mem'politik'kan para pelajar.


Kerajaan kata guru jangan berpolitik!. Maka, jangan ada yang salah faham. Maksud politik di sini ialah bagaimana bersosial dengan pelajar, membina hubungan yang berkesan, mengawal hura-hara di dalam kelas, pastikan mereka duduk diam, dan menyiap kerja sekolah tanpa saya perlu marah-marah dan rotan-rotan. Mudahnya, mempolitikkan para pelajar ialah mengurus tadbir mereka, menjaga urusan mereka, memberi khidmat kepada mereka sebagai warga atau rakyat sekolah.


Kata as-siyasah (politik) dalam bahasa Arab berasal daripada kata saas yasuus siyasah yang bermaksud mengatur atau memimpin. Oleh itu, dikatakan binatang atau kuda mengatur urusan (berpolitik) jika binatang tersebut mencari sendiri makanan dan minuman, juga berlatih dan membersihkan diri sendiri.


Pada saya, guru juga harus bijak ber’politik’. Ilmu psikologi juga adalah cabang ilmu politik iaitu disiplin ilmu tentang organisasi sosial kemasyarakatan. Kemahiran mendidik bukan sekadar dalam lingkaran teori pedagogi. Sampai suatu tahap, saya akan menggunakan kemahiran ‘membodek’ (auta) pelajar yang disebut sebagai autagogi.


Pernah suatu hari, saya meletakkan status ini di facebook dan menerima komen-komen dari sahabat yang kebanyakan daripada mereka adalah guru dan pensyarah berpengalaman. Terus terang saya katakan, hampir kesemua pelajar saya luar biasa ‘baiknya’. Sampai hari ini saya belum menemui formula membentuk dan mencorak sikap mereka yang luar biasa itu.




Saya hanya seorang guru sandaran. Tapi harapnya, sandaran itu tidak membawa maksud saya seorang guru yang hanya tahu menyandar di pintu bilik darjah. Saya tempat pelajar menyandarkan harapan kejayaan dan kebijakan.


Nasihat saya kepada pelajar tidak kira di sekolah atau universiti, hormatilah guru dan pensyarah anda. Jika anda menjadi guru dan pensyarah kelak, baru anda tahu bagaimana perasaan seorang pendidik yang tidak dihormati dan disanjungi anak didiknya.


Akhir sekali, saya tertawa menonton Raja Lawak malam ini. Kata pelawak Alex yang melakonkan watak guru, “Jika orang yang belajar namanya student, orang yang tidak mahu belajar namanya stupid. Maka stop it dari menjadi stupid!”

Wednesday, October 21, 2009

Bercerita Tentang Novel

‘Menunggu Cinta Tuhan’ hampir seminggu di tangan saya. Di mana diri saya berada, di situ novel ini dipegang kemas sambil menyelak sehelai demi sehelai kandungannya. Bukan bermakna saya peminat tegar novel. Cuma itulah caranya agar novel tersebut habis dibaca biarpun secara berdikit-dikit dalam kesempitan ruang dan masa.


Saya amat lekit dengan novel. Sesekali saya memandang sinis pada sudut novel yang disusun kemas pada rak-rak kedai buku yang ada. Pengarahan saya lebih kepada buku bergenre motivasi, kepimpinan, pengurusan, falsafah, dakwah, haraki dan buku ilmiah yang agak berat. Cerewet juga pada pemilihan majalah. Jika tidak cukup wang membeli buku, Milenia Muslim boleh menggantikan kempunan saya terhadap buku-buku itu.



Menunggu Cinta Tuhan

Seperti biasa, Kak Nik tidak jemu berceloteh setiap novel yang dibacanya hanya beberapa hari. Tambahan, penulis novel tersebut adalah rakan penulis kami. Kak Lily Haslina, Kak Norhayati Berahim dan Kak Nora antara kenalan terakhir ditemui saya semasa melepak di gerai buku NB Kara pada Pesta Buku Antarabangsa yang lalu. Mereka antara bahan borak saya dan Kak Nik di ofis Muslimah.


Lain benar dengan karya Kak Lily Haslina kali ini. Beriya-iya benar Kak Nik bercerita tentang sinopsis ‘Menunggu Cinta Tuhan’, agar saya tertarik sama untuk menekuninya. Kata Kak Nik, jurus pengajarannya amat sesuai diambil ikhtibar oleh seorang wartawan seperti kami.


Bayangkan pertembungan prinsip yang ditempuh oleh graduan syariah yang bekerja sebagai wartawan media hiburan. Dalam masa yang sama, ditugaskan mencipta gosip-gosip liar artis yang tentunya bergelumang dengan aib dan fitnah. Bagaimana tindakan yang akan saya lakukan jika situasi yang sama menjadi latar kerjaya saya? Bagaimana pula dengan anda, andai ditakdirkan anda berdepan dengan situasi yang mencarik prinsip islami yang dipegang selama ini?


Hidup tidak semestinya apa yang kita suka dan apa yang kita harapkan. Apabila naluri ‘tidak suka’ menjadi hambatan diri, adakah perlu kita mencipta ‘suka’ dengan menggadaikan kemurnian prinsip asalnya. Atau perlu kita tinggalkan perkara yang ‘tidak suka’ itu tanpa menunjuk jalan yang sebenar kepada mereka yang tersasar.


Antara betul dan rasa bersalah, ia menjadi konflik yang mencelarukan takwa dalam diri. Antara masalah atau cabaran, watak utama novel ini, Khalida Atikah, membuktikan dirinya mampu ber’aksi’ dalam situasi ini. Khalida memiliki kreativiti yang mengkagumkan dalam keteguhan prinsipnya, hingga layak saya gelarkan sebagai pendakwah media hiburan dengan cara tersendiri.


Jiwanya terbang melayang entah ke mana. Memikirkan seribu perkara. Kebisingan diluar bagai disedut buang. Dia semakin tenggalam dalam dunia fikir yang semakin diam. Diam yang teramat diam. Tuhan, mudah-mudahan tiada hati yang terluka kerana tulisan aku! Tuhan, mudah-mudahan huruf yang aku cantum dan susun menjadi ayat ini menjadi bekal aku di sana kelak!

Khalida Atikah


Novel dan Dakwah

Apabila saya menekuni novel ini, saya bukan sekadar melakukan telahan pada jalan ceritanya. Malah mencermati perbendaharaan kata dan susunan ayatnya. Langgam bahasanya sungguh mengujakan saya. Buah tangan Kak Lily Haslina kali ini bermakna untuk dijadikan ‘guru’ , selaras dengan keindahan dan seni tulisannya. Membaca novel bermakna satu peningkatan ke arah keupayaan menulis. Seperti mana tips yang biasa didengari daripada rata-rata penulis berjaya, ‘penulis perlu banyak membaca’.


Pada pandangan saya, pendakwah juga perlu membaca novel. Novel boleh mengimbangi ilmu dan pengetahuan dakwah. Novel ialah ceritera kehidupan. Dakwah pula adalah lantunan perasaan, perkataan dan tindakan terhadap kehidupan. Cuma pemilihan novel itu harus ditimbang tarakan.


Keberhasilan membaca sebuah novel ialah bagaimana pendakwah boleh melihat intipatinya dari sisi pandang dakwah. Dalam novel terdapat kata-kata yang indah, dialog yang hikmah, testimoni yang baik untuk dilebarkan sebagai bahan dakwah. Sebagai contoh, novel Syabab karya Fatimah Syarha mengajar saya hikmah dakwah kepada seorang anak kecil. Manakala novel VT karya Hilal Ashraf memberitahu saya akan hikmah mendidik kumpulan remaja Islam. Kedua-dua novel ini saya membaca secara paksa.


Dakwah dan novel, kedua-duanya boleh diadun dalam memahami sikap, pemikiran, dan naluri watak-watak manusia semasa. Kerana watak-watak novel adalah tamsilan kepada watak-watak yang hidup di luar sana. Walaupun penulisan novel tidak lari dari teknik khalayan, namun jangan disangkal bahawa novel adalah adunan dari kisah pengalaman dan kehidupan orang lain. Dengan memahami kehidupan, kita dapat meneka apakah reaksi dakwah yang harus ditonjolkan dalam memperbaiki manusia yang pelbagai ragam dan rencam.


Thursday, October 8, 2009

Perspektif Wanita Berjaya


Wanita mengisi banyak status, maka banyak pula peranan yang harus dilaksanakan. Status sebagai ibu, isteri, anak perempuan dan pengurus rumahtangga. Jika wanita bekerja, peranannya bertambah sebagai pekerja. Belum lagi sekiranya dipilih sebagai kumpulan atasan, menjadi ketua dan mentadbir kerja orang lain. Tentu peranannya lebih besar, tidak sekadar pada tugas-tugas yang mendasar.


Dari segi psikologikal, kerjaya itu boleh meningkatkan konsep kendiri wanita tetapi membataskan masa dan kredibiliti sebagai isteri dan ibu. Keluarga dan pekerjaan; kedua-duanya adalah institusi yang ‘tamak’, sama-sama meminta komitmen dan ketaatan tidak berbelah bagi. Kehidupan wanita nampak seperti sentiasa berkonflik kerana masalah-masalah terbit dalam mengimbangi tugas yang dipikul.


Mengimbangi tugas bermakna cuba berlaku adil pada setiap peranan. Pada saya, adil pada peranan bukan menyamaratakan setiap peranan, tetapi meletakkan peranan pada tempat yang sebenarnya. Proses keseimbangan yang dibuat ialah memberi tumpuan yang lebih pada perkara yang lebih utama. Dalam erti kata lain, keseimbangan dengan menentukan keutamaan.


Ada yang berasa fokus peranannya adalah pada rumahtangga, memilih untuk berkerja yang mudah-mudah sahaja agar tumpuan lebih dapat diberikan pada fokus peranannya itu. Mereka tetap mempunyai misi kejayaan. Kejayaan melihat keluarga dibentuk dan dijaga sebaik mungkin tanpa dikekang kesibukan kerjaya yang tidak menentu. Dalam erti kata lain, kejayaan bekerja bagi mereka ialah kesibukan kerja tidak menjejaskan persekitaran rumahtangga.


Ada yang merasa fokus peranannya adalah pada kerja, mahukan kemajuan dan reputasi cemerlang. Mempunyai misi terhadap peningkatan kendiri, mahu ke takuk yang lebih baik dari kedudukan terkini dan berdedikasi dalam menyumbang dan meningkatkan potensi diri. Di kalangan ini, kejayaan kerja bagi mereka ialah berjaya menuju kemajuan dan peningkatan kemampuan sebagai pekerja, dalam masa yang sama tidak menjejaskan persekitaran rumahtangga.


Merujuk kepada Al-Quran dan sejarah Islam, wanita boleh mempunyai kerjaya. Namun demikian, syariat masih mengikat wanita ketika melaksanakan apa jua tuntutan dalam lapangan hidup. Persoalan bekerja atau bekerjaya bukanlah persoalan yang utama. Yang menjadi utama ialah sejauhmana kerja membuahkan ibadah dan syariat dijaga. ‘Gaji’ sebenar yang lebih lumayan adalah Rahmat dan keberkatan.


Wanita dianggap berjaya dalam kerjanya apabila:

Pertama, berjaya melaksanakan kewajipan kepada Allah seperti menjaga solat, berpuasa, menutup aurat dan lain-lain kewajipan sepanjang berada di luar rumah (baca:bekerja).


Kedua, berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap rumahtangga dengan berkualiti.


Ketiga, berjaya apabila kerja itu dapat memberi sumbangan ke arah kebaikan masyarakat dan menghalang keburukan melalui kerjaya yang diceburi tanpa menjejaskan kualiti sumbangannya kepada institusi rumahtangga.


Inilah kedudukan wanita bekerja yang berjaya dalam Islam, iaitu yang berjaya dengan kerjanya dan membawa masuk kejayaan itu dalam persekitaran rumahtangga dan masyarakat.


“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pemberian pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

(Surah al-Nahl: 97)

Tuesday, October 6, 2009

Wanita Berjaya: Bekerja atau Bekerjaya?



“Wanita yang menceburi kerjaya profesional sebagai ahli sains, penyelidik, pentadbir dan pegawai undang-undang biasanya perlu memberikan tumpuan kepada profesionnya. Mereka kerapkali dikehendaki mengikuti latihan, berkursus, menjalankan tugas di luar daerah untuk beberapa lama, ke luar negara dan pelbagai lagi.”


“Hal ini menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan keluarga khususnya anak-anak, menyediakan makanan yang cukup dan pelbagai lagi. Adakalanya mereka terpaksa mencari penjaga sementara seperti ibu, ibu mertua atau saudara mara perempuan jika mereka tidak ada pembantu. Jika tidak mereka terpaksa membuat persediaan lain dan meminta kerjasama suami atau anak-anak yang sudah besar.”


“Masalah-masalah domestik ini menjadi antara sebab mengapa ramai wanita lebih suka memilih kerja-kerja yang mudah dan pada masa yang sama tidak perlu meninggalkan keluarga, khususnya anak-anak (Fatimah Abdullah, 2001). Dalam erti kata lain, ramai wanita yang memilih untuk bekerja dan bukan bekerjaya.”


Ketika saya menyelak kandungan kertas kerja tersebut bertajuk ‘Mengimbangi Peranan Wanita: Antara Ruang Peribadi dan Awam' oleh Fatimah Abdullah , sepintas lalu saya terjumpa dengan petikan di atas.


Kertas kerja tersebut adalah antara himpunan beberapa kertas kerja yang membuka ruang ‘semak dan imbang’ terhadap perbincangan isu-isu wanita kontemporari yang dikumpulkan dalam satu buku bertajuk ‘Isu-isu Wanita di Malaysia’. Turut menjadi bahan perbincangan yang amat releven dengan dunia semasa wanita ialah Isu wanita dalam pengurusan rumahtangga, pendidikan, ekonomi dan cabaran kerjaya serta isu wanita dalam media dan undang-undang.



Apa yang menjentik paradigma saya untuk berfikir lebih jauh lagi ialah bagaimana penulis boleh mengasingkan definisi bekerja dan bekerjaya. Saya tidak pernah berfikir akan perbezaan dua istilah ini. Tiada jauh bezanya , malah membincangkan perbezaan definisi keduanya bukanlah mendatangkan hasil yang menguntungkan untuk difikir dan dibahas.


Saya rasa rugi hanya mengambil tahu, tetapi gagal membina faham. Mudah untuk memberi tahu dengan memetik fakta lalu disampaikan pada orang lain. Namun, sukar sekali untuk menghubungkan apa yang dibaca dengan realiti dunia semasa. Apatah lagi membaca dan menginterpretasikannya kepada sisi pandang yang berbeza.


Bekerja dan Bekerjaya

“Wanita Berjaya: Memilih untuk bekerja atau bekerjaya?”

Saya meletakkan mesej di atas sebagai status Facebook saya beberapa hari sebelum ini. Tidak lama kemudian, status tersebut mendapat respon dari rakan Facebook yang lain.

“Dari persepsi akak, apa bezanya antara dua ni? Kalau saya, saya pilih bekerjaya. Bekerja sahaja seolah-olah macam tiada matlamat jangka panjang. Bila bekerjaya, ada goal and aim yang jelas.”


Benar, tiada salahnya kita membuat persepsi sebegitu rupa. Bekerja adalah mengerjakan sesuatu, dilakukan sebagai tanggungjawab, kewajipan dan tugas. Didefinisikan juga sebagai usaha atau kegiatan yang dilakukan berterusan untuk keperluan hidup atau kegiatan mendapatkan wang dan harta pencarian. Bekerja itu perbuatan.


Kerjaya ialah singkatan kepada kerja dan berjaya. Oleh sebab itu, kerjaya juga disebut sebagai profesion atau karier. Bidang kerjaya memerlukan ahlinya berkarektor profesionalisme, mempunyai misi dan peningkatan diri. Maka, perlunya pendidikan dan kemahiran ke arah perjalanan atau kemajuan dalam bidang kerja pilihannya.


Maka, wanita yang memilih untuk bekerjaya turut memilih untuk berjaya dalam kerjanya. Untuk berjaya, mereka perlu bersedia. Bersedia untuk dihantar berkursus, outstation lalu meninggalkan keluarga, ditaja sambung belajar, ditawar kenaikan jawatan dan pelbagai latihan peningkatan profesional dalam bidang kerjanya.


Atas komitmen yang memerlukan pengorbanan tanpa mengira masa dan bebanan, ramai wanita tidak memilih untuk ‘kerja & berjaya’. Dalam erti kata lain, bekerja sahaja untuk menampung ekonomi keluarga atau membantu suami mencari nafkah hidup tanpa mengira soal kemajuan atau peningkatan pada lapangan kerja.


Setakat mana 'konsep takutkan kejayaan' (fear of success) yang dikemukakan oleh Horner dan Walsh (1974) boleh diaplikasikan di sini tidak dapat dipastikan. Sebagai contoh, ada wanita yang memilih untuk bersara awal kerana menjangkakan akan dinaikkan pangkat. Ada antara mereka yang tidak berani tampil lebih ke hadapan kerana takut diberikan peranan yang lebih besar di syarikat. Malah, rata-ratanya juga tidak menjadikan bidang pengajian di kampus sebagai bidang dalam sektor pekerjaan sekalipun ia menjanjikan pendapatan dan jawatan yang lumayan.


Situasi yang sama berlaku di kalangan pendakwah. Ramai yang menceburkan diri sebagai pendakwah sepenuh masa dengan tidak memilih kerja bersesuaian dengan kelayakan dan kelulusan universiti. Mereka lebih serasi dengan lapangan kerja yang tidak menuntut komitmen kerja yang tinggi, masa kerja yang fleksibel atau bersifat anjal, mudah memohon cuti dan pelbagai lagi yang dilihat tidak mengekang pergerakan dan aktiviti dakwah secara organisasi. Semasa saya memohon kerja dahulu, saya juga amat memikirkan ciri-ciri ini.


Di kalangan kelompok itu, terdapat pendakwah yang berbeza pandangan. Melibatkan diri dalam kerjaya profesional juga merupakan suatu dakwah. Justeru, adalah rugi andai universiti tidak mampu melahirkan lebih ramai profesional Islam dalam pelbagai bidang. Adalah lebih baik, ahli gerakan dakwah kampus yang akan graduasi nanti tampil di tengah-tengah masyarakat dengan peranan seorang pemikir dan penyelamat ummah melalui kerjaya yang digalasinya.


Dengan melihat persepsi seperti di atas, sejauh manakah penilaian wanita bekerja yang berjaya itu? Adakah mereka yang bekerjaya, tidak bagi mereka yang bekerja sahaja. Adakah mereka yang mempunyai misi yang tersusun terhadap karier itu dikatakan ‘kerja & berjaya’, tidak bagi mereka yang tidak merancang dan menyusun misi kerja?


Bagaimana Islam menilai perspektif wanita berjaya dalam kerja?


p/s: Artikel ini masih ada sambungannya. Namun begitu, saya tidak berminat untuk publish keseluruhan artikel ini. Adalah lebih baik, jika kalian para pembaca dapat mengutarakan pandangan masing-masing tentang beberapa persoalan yang cuba dibangkitkan pada artikel ini dahulu. Silalah berkomentar.

Monday, September 14, 2009

WARTAWAN & PENULIS: SEKADAR PERKONGSIAN

Semasa sesi interview untuk kolum usahawan, En. Munzir Fauzi seorang fotografer berjaya. En. Munzir asalnya seorang jurutera elektrik, kemudian berhenti kerja dan memilih dunia fotografi sebagai kerjaya. Ia memberi motivasi kepada saya yang beralih bidang untuk lebih positif & membina.


Anda berminat menjadi wartawan atau penulis? Salah satu persediaannya ialah menguasai teknik pengurusan stress. Mengikut kajian, wartawan dan penulis merupakan kerjaya dalam raking tertinggi untuk cenderung mengalami stress. Sebagaimana perkataan ‘deadline’ yang dihubungkait dengan dua profesion ini, begitulah rasa ‘dead’ menerjah diri jika tekanan di luar kawalan. Lebih-lebih lagi ketika ‘deadline’ itulah idea turut ‘dead’ sekali.


Saya akui, menyiapkan bahan untuk majalah lebih stress dari menyiapkan tesis degree dahulu. Meskipun begitu, bekerja di media islamik suatu yang manis untuk dikenang kerana dikelilingi dengan teman sefikrah dan fahaman bekerja kerana Islam. Bak kata Kak Milah, rakan wartawan, “Biar stress dengan kerja, jangan stress dengan rakan sekerja”.


Sebagai orang lama, Kak Nik editor pun selalu mengomel, “Ahrgghh, stress, stress, tension!”, setiap kali tibanya deadline. Inikan pula saya yang tidak sampai setahun bekerja tanpa sebarang pengalaman dan kelulusan dalam bidang ini. Bezanya, tekanan itu tidak sama dibandingkan dengan wartawan atau penulis akhbar yang terikat dengan deadline setiap hari.


Tekanan sebegini tidak salah. Ia tekanan yang positif dan amat membina. Tekanan itu beransur hilang bila melihat penulisan terpapar di media yang dibaca ribuan orang setiap bulan. Cuba bayangkan, jika intipati penulisan itu disebarkan oleh pembaca kepada orang lain, lalu diamalkan. Ketika itu, tiada apa yang diharapkan oleh seorang penulis melainkan setiap tulisan menjadi amal dan beroleh pahala berterusan selepas mati kelak.


Teknik pengurusan idea dan pengurusan masa juga penting. Idea datang tanpa mengenal masa. Kadang-kadang idea datang semasa di dalam bas. Ada masanya sebelum tidur, ketika bersembang dengan kawan, masa menonton drama melayu, ketika membeli belah di pasaraya, semasa membaca novel, malah tidak mustahil idea datang ketika aktiviti termenung di dalam toilet. Saya juga pernah mendapat idea di dalam mimpi. Ketika itulah idea perlu diuruskan dengan baik supaya tidak hilang walau bukan waktu menulis.


Penulisan bekerja dengan idea dari sudut pandang yang berbeza. Pada saya, kurang masalah diperingkat penulisan buku kerana fokus bidang ilmunya adalah sama. Ilmu itu perlu digarap dan dikembangkan lagi. Tetapi menulis buku juga mencabar jika disiplin ilmu yang digarapkan juga mencabar. Terutamanya, jika penulisan berbentuk teknikal dan disiplin ilmunya adalah kritikal. Ia amat memerlukan taktikal.


Bersama Presiden PKPMI semasa penulisan isu PPSMI dalam Muslimah. Hari itu adalah hari pertama saya bekerja. Belum sempat masuk ofis lagi, diminta oleh editor untuk interview dan membuat ulasan topik utama bulan tersebut.


Cabaran besar bagi saya adalah menulis akhbar atau majalah. Keduanya memerlukan kita menguasai isu yang berbeza hampir setiap hari. Minda perlu cekap membuat tanggapan terhadap apa yang dilihat, dibaca, dan diperhatikan tentang dunia semasa. Maka, satu kelebihan bagi individu yang suka berfikir, suka membaca dan bijak membuat persepsi. Paling penting, menggarapkan isu yang diminati sasaran pembaca.


Jika penulis juga seorang wartawan, dia juga perlu ada kemahiran mencari soalan ketika sesi temubual. ‘Soalan yang baik memberi idea penulisan yang baik’. Sama seperti menghadapi sasaran dakwah, ‘ucapan yang baik, mendapat respon yang baik’.


Andaikata pendakwah tidak menguasai kemahiran interaksi dengan manusia atau kekok dalam berkomunikasi, maka pulangannya amat mendukacitakan. Dalam hal ini, saya terlebih dahulu akan membuat research tentang individu yang ingin ditemubual dan fokus terhadap penulisan itu nanti. Sama seperti pendakwah yang perlu mengenali personaliti mad’unya dan mencari bahan perbualan yang berkesan.


Wartawan juga perlu mempelajari perkara baru dari masa ke semasa. Perlu banyak membaca, bertanya, berbincang dan membuat persepsi terhadap isu yang berlaku ketika itu. Agak tertekan bila kita sudah mengkaji dan mencari bahan untuk satu isu pada minggu ini, tetapi ada perubahan apabila wujud isu yang lain di minggu hadapan. Justeru, satu kemahiran yang harus dipelajari lagi ialah pengurusan menghadapi risiko.


Ibarat seorang jurujual yang menjual produk tetapi tidak pandai memikat hati pembeli. Bagaimana kita harus meyakinkan pelanggan terhadap kelebihan produk yang dijual sedangkan mereka belum menggunakannya dan merasai kesan produk itu?


Begitu juga seorang pendakwah sebagai ‘jurujual produk Islam’. Bagaimana kita meyakinkan mad’u kita terhadap Islam andai mereka masih belum mengamalkannya dan merasai kesan amalan itu? Pandangan saya, wartawan atau penulis juga begitu. Penulisannya harus meyakinkan, penyampaian intipatinya berkesan dan nasihatnya mendorong amalan. Saya masih belum mahir menguasainya.


Cara saya, ‘Bermotivasilah dengan motivasi dakwah!’. Anggaplah menulis adalah kerja dakwah. Tuan Guru Nik Aziz yang terlalu sibuk dengan urusan kepimpinannya, masih sempat mengeluarkan buku terbaru hampir setiap bulan. Malah, ulama’ silam memanjangkan ilmunya dalam bentuk karya-karya agung seperti Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Hasan Al-Banna dan lain-lain.


Pemimpin yang berkarisma seperti Tun Mahathir juga menulis sehingga kita. Pendakwah juga harus cuba menulis. Kerana musuh Islam menyusupkan pemikiran batil seperti sekularisme, liberalisme, orientalisme dan isme-isme lain melalui karya-karya mereka. Malah, karya mereka lebih hebat daripada orang Islam sendiri.


Akhirnya, saranan saya, “Tulislah sepotong ayat setiap hari walaupun tak sedap!”.


Thursday, July 23, 2009

NEO-MU'TAZILAH & PENGALAMAN MENULIS


Kalaulah saya boleh mewajibkan anda melayari laman web tertentu, saya akan wajibkan anda untuk melayari laman INSISTS biarpun hanya sebentar. Terokailah laman itu, galilah sebanyak mungkin ilmu di dalamnya dan fahamilah keadaan umat yang kian menitiskan peluh kekufuran. Dalam laman itu, anda akan melalui proses kelana ilmu dengan laras bahasa yang tinggi dan termonologi yang berat tetapi mampu mengubah dogma dan pemikiran yang sempit kepada lebih terbuka.


Jika saya boleh mewajibkan anda membaca buku tertentu, akan saya wajibkan anda membaca buku-buku aliran pemikiran arus perdana khususnya sekularisme dan liberalisme. Cukup saya bertanya kepada anda, apakah yang anda baca, faham dan kaji tentang dasar pensekularan yang diterapkan dalam sistem pendidikan hari ini? Adakah anda mengenali Zainah Anwar dan Prof. Yakin Erturk di sebalik gerakan feminisme SIS?


Gejala pemikiran Islam Liberal (Islib) kian ligat menapaki hati ummat. Tanpa sedar, aliran pemikiran baru ini mengancam akidah umat dari dalam, dengan pendekatan yang halus, bersama strategi yang tersurat dan tersirat. Sekalipun golongan mu’tazilah sudah tiada, banyak lagi aliran pemikiran yang baru yang hadir dengan wajah neo-mu’tazilah. Mu’tazilah moden - Itulah liberalisme.


Pengalaman saya menulis satu artikel majalah minggu lepas menyebabkan saya mahu sahaja hanyut dalam lautan buku dan ilmu. Di hadapan saya komputer, di atas meja saya timbunan buku dan kertas kerja. Alangkah ceteknya ilmu dan gagasan pemikiran saya rasakan ketika itu. Satu ayat pun tidak tertaip, satu persoalan pun tidak terungkai. Saya buntu dalam menulis satu artikel tentang asas Islam. Akidah.



Akidah adalah akar dan pokok kehidupan Muslim. Bagaimana saya mampu mengulas tentang dahan, bunga dan ranting Islam, sedangkan saya tidak menjumpai persoalan akarnya. Rupanya baru saya sedar, akidah bukan hanya berbicara tentang Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ Wal Sifat. Bukan saja apa yang diceritakan oleh Fathi Yakan dalam Maza Ya’ni. Tidak cukup setakat membaca Asas-asas Islam dan Amal Islami karangan tokoh gerakan era 80-an. Kita ketinggalan ke belakang jika masih menatapi bahan bacaan ringan seperti itu. Pada pandangan saya, ia ringan.


Cabaran akidah semasa amat rumit. Neo-mu’tazilah telah mencengkam kita dengan pelbagai nama dan gaya pendekatan. Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia ligat mempengaruhi pemikiran umat di sana. Dan SIS menjadi duta liberalis di Malaysia dengan agenda feminisme, menuntut kesaksamaan gender. Malah, kebanyakan mereka adalah pensyarah di universiti Islam Indonesia dan Malaysia. Medan intelektual seperti di universitilah, ruang mereka melahirkan kader-kader dan pelapis liberalis. UIA tidak terkecuali.


Setelah saya membaca buku Ancaman Islam Liberal tulisan Dr Ugi Suharto, saya semakin dibuai keasyikan untuk terus mentelaah beberapa bahan tentang aliran akidah semasa yang lain. Ia termasuk buku Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia. Dua buah buku ini amat membantu saya ketika menulis artikel Majalah bertajuk Feminisme: Tuntutan Keadilan Kontemporari. Cuma masalah saya ialah menulis dalam laras bahasa yang difahami umum.


Saya mencadangkan kepada anda untuk mendapatkan buku-buku ini di pasaran terutama buku Ancaman Liberal Islam tersebut. Setahu saya inilah bacaan paling akademik dan analitikal yang pernah saya baca dalam timbunan buku tentang akidah yang lain. Pada sesetengah orang, ia amat berat dan membebankan. Tambahan, ditulis dalam bahasa Indonesia.


Kebanyakan penulisan saya berbunyi ‘ancaman’, ‘kritikan’ dan ‘cabaran’. Untuk keluaran Ogos hadapan, saya menulis tentang ancaman neo-mu’tazilah mencabar akidah (bukan tajuk sebenar). Saya mengakui, saya bukanlah pakar untuk mengulas sesuatu isu yang asalnya bukan disiplin ilmu saya. Sejujurnya, saya amat meminati bidang kewartawanan dan penulisan kerana ia merupakan ruang terbaik untuk banyak belajar, membaca, menganalisis, berfikir dan melihat dunia semasa.


Saya tidak layak mewajibkan anda untuk membaca dan melayari ilmu-ilmu tertentu. Setiap individu sudah tentu ada kecenderungan budaya membaca masing-masing. Alangkah baiknya, jika usaha ini bermula dari dalam diri anda sendiri.


Sekadar muhasabah bersama, apakah usaha kita untuk mengesat air mata umat? Tentulah dengan persiapan yang paling utama.


Persiapan ilmu.

Cukupkah ilmu di dada?



Monday, March 16, 2009

WARTAWAN & PENULIS: SEKADAR PERKONGSIAN


Anda berminat menjadi wartawan atau penulis? Cadangan saya, belajarlah teknik pengurusan stress terlebih dahulu. Mengikut kajian, wartawan/penulis merupakan kerjaya dalam raking tertinggi untuk cenderung mengalami stress. Sebagaimana perkataan ‘deadline’ yang berhubungkait dengan dua profesion ini, begitulah rasa ‘dead’ menerjah diri jika tekanan di luar kawalan. Lebih-lebih lagi ketika ‘deadline’ itulah idea turut ‘dead’ sekali.


Saya mengakui, menyiapkan bahan untuk majalah lebih stress dari menyiapkan tesis degree dahulu. Walaupun begitu, bekerja di media islamik suatu kemanisan kerana dikelilingi dengan teman sefikrah dan fahaman bekerja kerana Islam. Bak kata Kak Milah, rakan wartawan, “Biar stress dengan kerja, jangan stress dengan rakan sekerja”.


Sebagai orang lama, Kak Nik editor pun selalu mengomel, “Ahrgghh, stress, stress, tension!”, setiap kali tibanya deadline. Inikan pula saya yang baru tiga bulan bekerja tanpa sebarang pengalaman dan kelulusan dalam bidang ini. Cuma, tekanan itu tidak sama dibandingkan dengan wartawan/penulis akhbar yang terikat dengan deadline setiap hari.


Tekanan sebegini tidak salah. Ia tekanan yang positif dan amat membina. Tekanan itu beransur hilang bila melihat penulisan terpapar di media yang dibaca ribuan orang setiap bulan. Cuba bayangkan, jika intipati penulisan itu disebarkan oleh pembaca kepada orang lain, lalu diamalkan. Ketika itu, tiada apa yang diharapkan oleh seorang penulis, melainkan setiap tulisan adalah amal dan menjadi salah satu pahala yang berterusan selepas mati.


Teknik pengurusan idea dan pengurusan masa juga penting. Idea datang tanpa mengenal masa. Kadang-kadang idea datang semasa di dalam bas. Ada masanya sebelum tidur, ketika bersembang dengan kawan, masa menonton drama melayu, ketika membeli belah di pasaraya, semasa menonton Raja Lawak, tak mustahil ia datang ketika aktiviti termenung di dalam toilet. Malah, saya juga pernah mendapat idea di dalam mimpi. Ketika itulah idea perlu diuruskan dengan baik supaya ia tidak hilang walau bukan waktu menulis.


Penulisan memerlukan hampir seratus peratus idea dari sudut pandang yang berbeza. Pada saya, kurang masalah diperingkat penulisan buku kerana fokus bidang ilmunya adalah sama. Ilmu itu perlu digarap dan dikembangkan lagi. Tetapi menulis buku juga mencabar jika disiplin ilmu yang digarapkan juga mencabar. Terutamanya, jika penulisan berbentuk teknikal dan disiplin ilmunya adalah kritikal. Ia amat memerlukan taktikal.


Cabaran besar bagi saya adalah menulis akhbar atau majalah. Keduanya memerlukan kita menguasai isu yang berbeza hampir setiap hari. Minda perlu cekap membuat tanggapan terhadap apa yang dilihat, dibaca, dan diperhatikan tentang dunia semasa. Maka, satu kelebihan bagi individu yang suka berfikir, suka membaca dan bijak membuat persepsi. Paling penting, menggarapkan isu yang diminati sasaran pembaca.


Jika penulis juga seorang wartawan, dia juga perlu ada kemahiran mencari soalan ketika sesi temubual. ‘Soalan yang baik memberi idea penulisan yang baik’. Sama seperti menghadapi sasaran dakwah, ‘ucapan yang baik, mendapat respon yang baik’.


Andaikata pendakwah tidak menguasai kemahiran interaksi dengan manusia atau kekok dalam berkomunikasi, maka pulangannya amat mendukacitakan. Dalam hal ini, saya terlebih dahulu akan membuat research tentang individu yang ingin ditemubual dan fokus terhadap penulisan itu nanti. Sama seperti pendakwah yang perlu mengenali personaliti mad’unya dan mencari bahan perbualan yang berkesan.


Wartawan juga perlu mempelajari perkara baru dari masa ke semasa. Perlu banyak membaca, bertanya, berbincang dan membuat persepsi terhadap isu yang berlaku ketika itu. Agak tertekan bila kita sudah mengkaji dan mencari bahan untuk satu isu pada minggu ini, tetapi ada perubahan apabila wujud isu yang lain di minggu hadapan. Justeru, satu kemahiran yang harus dipelajari lagi ialah pengurusan menghadapi risiko.


Ibarat seorang jurujual yang menjual produk tetapi tidak pandai memikat hati pembeli. Bagaimana kita harus meyakinkan pelanggan terhadap kelebihan produk yang dijual sedangkan mereka belum menggunakannya dan merasai hasil produk itu? Begitu juga seorang pendakwah sebagai ‘jurujual produk Islam’. Bagaimana kita meyakinkan mad’u kita terhadap Islam andai mereka masih belum mengamalkannya dan merasai kesan amalan itu? Pandangan saya, wartawan/penulis juga begitu. Penulisannya harus meyakinkan, penyampaian intipatinya berkesan dan nasihatnya mendorong amalan. Saya masih belum mahir menguasainya.


Cara saya, ‘Bermotivasilah dengan motivasi dakwah!’. Anggaplah menulis adalah kerja dakwah. Tuan Guru Nik Aziz yang terlalu sibuk dengan urusan kepimpinannya, masih sempat mengeluarkan buku terbaru hampir setiap bulan. Malah, ulama’ silam memanjangkan ilmunya dalam bentuk karya-karya agung seperti Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Hasan Al-Banna dan lain-lain.


Pemimpin yang berkarisma seperti Tun Mahathir juga menulis sehingga kita. Pendakwah juga harus cuba menulis. Kerana musuh Islam menyusupkan pemikiran batil seperti sekularisme, liberalisme, orientalisme dan isme-isme lain melalui karya-karya mereka. Malah, karya mereka lebih hebat daripada orang Islam sendiri.


Akhirnya, saranan saya, “Tulislah sepotong ayat setiap hari walaupun tak sedap!”.

Monday, January 12, 2009

SEKADAR BERCERITA TENTANG IKON SAYA

Jika ditanya kepada saya, ke manakah tempat yang ingin sekali dijejaki langkah ini, saya akan menjawab, ‘Sudah tentu Palestin’. Jika ditanya lagi, siapakah individu yang ingin saya temui, jawapan saya sudah tentu 'pejuang Hamas yang kental jiwanya.'


Satu catatan pengalaman yang paling manis sebagai wartawan, jika saya diberi peluang membuat liputan di Palestin dan menemubual pejuang Hamas. ‘Aku ingin berjuang bersama kalian’ – itulah artikel yang bakal dikeluarkan jika saya balik dari Palestin nanti.


Jika dilanjutkan pertanyaan, siapakah idola wartawan saya?. Saya teringin sekali menjadi seperti wartawan Iraq, Muntazer al Zaidi. Keberanian seorang wartawan yang membalingkan kasut busuknya ke arah Bush. Kasut busuk memang sesuai dilempar ke muka orang yang berhati busuk! Saya teringin sekali melemparkan kasut tumit tinggi milik seorang wartawan wanita seperti saya. Tentu penangan kasut tumit tinggi lebih membengkak seperti bengkaknya hati saya kepada seorang kafir Harbi.



Seperti meminjam komen Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan tentang Muntazer. Komen ini sungguh menggeletek hati saya. "Bagi mereka yang pandai melukis boleh guna kartun dan bagi mereka yang tiada kaedah lain bolehlah guna kasut”, komen tok guru.


Isu Muntazer sudah lama ditinggalkan setelah isu Palestin mengambil tempat di dada akhbar. Bagi saya, seperti ada kronologi antara dua isu besar ini. Sepasang kasut dilempar ke arah seorang Yahudi buta, dibalas dengan beribu-ribu soldadu peluru ke atas umat Islam yang celik.


Hanya sepasang kasut, mencalar keegoan Si Yahudi Buta.

Kemungkinan selepas ini, bom lebih sesuai untuk Bush!

Wednesday, December 10, 2008

ARTIS BERTUDUNG? OH, BAHAGIANYA






Artikel ini merupakan ‘bicara editor: Wanita, kita boleh!, Majalah Muslimah Bil 203.


MUSLIMAH mula meletakkan artis sebagai penghias kulit depan pada tahun 1991 iaitu ketika penyanyi terkenal ketika itu, Rahimah Rahim berhijrah dengan tampil bertudung. Ketika itu, jualan MUSLIMAH umpama goreng pisang panas. Kemudian pada 1994 pula, sekali lagi MUSLIMAH menjadi tumpuan apabila seniwati Sarimah (kini Datuk) pula dijadikan penghias kulit depan, juga selepas beliau mengambil keputusan untuk bertudung. Dan diikuti pula pada tahun 2000, Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) juga mengambil langkah yang sama selepas kembali mengerjakan umrah. MUSLIMAH mencatat jualan yang membanggakan menerusi ketiga-tiga keluaran ini.


Selain selebriti, kami turut menampilkan pengacara televisyen yang mengambil langkah serupa menghias muka depan MUSLIMAH. Nyata pembaca ingin mengetahui kisah dan iktibar penghijrahan mereka. Dan sebagai public figure, mereka mendapat perhatian pembaca.


Bermula Januari 2008 pula, kami mencuba pendekatan baru dengan meletakkan artis biasa (yang belum bertudung) tetapi tampil dengan imej bertudung. Nyata sambutan juga amat menggalakkan sama ada dari pembaca mahupun mereka (artis) sendiri. Semoga dengan langkah ini mereka terbuka untuk berhijrah seperti rakan-rakan artis yang sebelumnya. Malah hari ini, semakin ramai artis-artis wanita serta selebriti televisyen sudah mula bertudung dan ternyata khidmat mereka tetap cemerlang, tiada cacat celanya.


Mendekati mereka, ternyata mereka juga seperti kita. Kehidupan kanak-kanak mereka sama seperti kita dulu, pulang dari sekolah rendah, terus pula ke sekolah agama. Asasnya, mereka mendapat pendidikan agama sejak kecil di samping galakan daripada ibu bapa. Meningkat remaja mereka mula mengenali dunia hiburan, lantaran minat yang mendalam mereka menceburi bidang ini. “Dunia ini terlalu banyak cabarannya”. Ramai di kalangan artis veteran telah berubah, mengeluarkan pendapat sedimikian.


Tertarik dengan pandangan aktivis teater dan pengkritik filem tanahair, Faisal Tehrani yang berpendapat tidak semua artis jahil atau teruk akhlaknya. Mereka juga ingin beramal, jika tidak mereka tidak menunaikan umrah saban tahun, bersedakah dan meraikan anak yatim. Saya bersetuju. Rata-rata kita meraikan mereka setelah mereka berhijrah sedangkan semasa mereka perlukan bimbingan, kita mengutuk mereka. Apakah peranan dan langkah kita untuk membimbing mereka? Mereka sama seperti kita, bezanya mereka di alam glamour. Kami mendekati mereka menerusi dunia penulisan, kepada anda semua, mulakan langkah mengikut cabang kemahiran, kemampuan dan kuasa yang ada.


Agak-agak siapa artis yang tampil bertudung selepas ini? Nak tahu, belilah MUSLIMAH!


Wednesday, December 3, 2008

NGOMEL SKET SAJA!

Hari ini hari apa? Oh hari ini hari Rabu. Hari Rabu hari apa? Hari Rabu 3 hb Dec lah!. Ada apa dengan 3 hb Dec ni? Adui, peningla nak jawab soalan kau? Kau fikir pening kau jer, kau tak fikir pening aku?


Ohh pening, jauhilah dari diriku. Kalau pening ni macam papan, aku karate jer...diiish, diiish! Kalau pening ni macam ayam, aku halau jer, Syohh…syoohh…syoohh! Kalau pening ni macam api, aku siram air, buuushh! Tapi pening bukan papan, pening bukan ayam, bukan juga api. Pening perlu dihadapi.


Buat apa saya ngomel sorang-sorang pasal 3 hb Dec? Sebenarnya hari ini adalah hari yang ketiga saya bergelar wartawan. Hari Isnin lepas masuk kerja, Jumaat ni kena hantar assignment. Tak ke pening? Tarikh dateline semakin hampir.


Tangan saya boleh dipush untuk laju menaip, tapi otak saya tidak boleh dipush untuk laju berfikir. Saya kaget di hadapan komputer hampir 2 jam, tapi baru dapat dua perenggan ayat. Oh, menulis blog rupanya lagi mudah.!


Maafkan saya, saya tidak boleh ngomel panjang-panjang kali ini. Saya perlu menyiapkan artikel untuk 4 ruangan majalah terutamanya ruangan fokus yang membuatkan saya termenung panjang seperti orang yang kena angau.


Namun saya seronok. Teringat pesan Rasulullah, “Sampaikan dariku walau sepotong ayat”. Menjadi wartawan satu keterujaan bagi saya. Menjadi wartawan bukan sekadar menyampaikan sepotong ayat tapi berayat-ayat. Semoga saya ikhlas.


Doakan saya benar-benar menjadi wartawan, bukan wartawan jadian!. Jumpa lagi sedikit masa lagi.


Dapatkan majalah ini bulan hadapan ya...tapi saya tidak menulis untuk siri ini. Siri yang seterusnya.

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO