Showing posts with label DOKTOR HATI. Show all posts
Showing posts with label DOKTOR HATI. Show all posts

Wednesday, December 30, 2009

Kuliah Hijrah & Sate Samuri

Malam tadi Allah memberi ruang kepada saya dan suami hadir ke sesi kuliah Ustaz Kamal Ashaari di Masjid Kg. Nakhoda. Masjid yang terletak berdekatan dengan rumah saya itu adalah masjid pilihan utama. Karpetnya tebal ditambah dengan kemudahan air-cond.


Penceramah jemputan juga bukan calang-calang orangnya. Terdahulu, masjid ini pernah menerima kehadiran pimpinan politik Hamas. Malam ini, Ustaz Nasarudin Tantawi dijemput memberikan ceramah. Saya tidak sabar mendengar mutiara nasihat dari tokoh haraki ini. Pada saya, beliau seorang yang luar biasa ketika berucap.


"Majlis ilmu bukan sekadar untuk mendapat pengetahuan, tetapi majlis ilmu bertujuan untuk menambahkan iman dan keyakinan kepada Allah, Rasul dan Islam," kata Ustaz Kamal dalam kuliahnya.


Saya setuju dengan kata ustaz. Ramai antara kita termasuk saya yang hadir ke majlis ilmu hanya mendapat tahu. Iman dan keyakinan kita kepada Allah, Rasul dan Islam tetap ditahap yang sama. Kita hadir sebagai pendengar yang setia tetapi pulang sebagai pelaku yang ingkar.


Salah satu cara untuk beroleh hidayah ialah hadir ke majlis ilmu. Namun, hanya sebilangan orang yang memperoleh hidayah itu. Kecuali suami saya sebab isterinya bernama hidayah. Ramai lagi yang mendapat hidayah walau tidak ke majlis ilmu sebab isterinya bernama hidayah. Ia mendapat hidayah di rumah.


"Kekuatan hijrah Rasulullah dan para sahabat ada tiga. Pertama Iman, kedua ukhuwwah dan ketiga doa,"
sambung ustaz Kamal lagi.


Rasulullah dan para sahabat berhijrah bukan kerana kebendaan dan ketakutan. Mereka berhijrah kerana perintah Allah. Sirah seperti kisah Sumayyah dan Bilal bin Rabah menceritakan risiko dan cabaran yang harus ditempuh untuk bergelar Islam.


Untuk mengakui bahawa Allah itu Tuhan dan Rasulullah itu ikutan, mereka harus kuat dan tabah menghadapi cabaran, ujian dan risiko daripada Kafir Quraisy. Keperitan dan susah payah yang dihadapi menyebabkan mereka amat menghargai iman dan Islam. Mereka bersusah payah memelihara akidah sebagaimana susah payah yang mereka hadapi ketika mereka mengakui akidah itu.


Sebaliknya berlaku pada kita hari ini. Kita menganut Islam dalam zon yang amat selesa. Tiada siapa yang membunuh kita jika kita lahir sebagai Islam. Tiada siapa yang menanam kita hidup-hidup jika ibu dan ayah kita menamakan kita dengan nama Islam. Tiada pemimpin yang akan mencampakkan kita ke dalam api hidup-hidup bilamana kita lahir ke dunia. Kerana itu ramai yang menganggap Islam boleh diambil dan dibuang dengan mudah.


Itulah antara pesan Ustaz Kamal.


................................


Selesai kuliah Ustaz Kamal, kami dijamu dengan mihun sup. Sudah lama tidak menikmati mihun sup. Ilmu pun dapat, mihun sup pun dapat. Agaknya apa pula jamuan malam ini?...


Habis makan mihun sup, perut kami masih terasa lapar. Saya teringin pula menikmati Sate Samuri di Taman Melati, Gombak. Kami bercadang mengambil angin malam itu.




Jom makan Sate Samuri di Taman Melati! Sate yang sedap, standard sate Kajang. 1 cucuk 60 sen.

Friday, December 11, 2009

TOILET!


Toilet. Ia kotor, jijik dan busuk. Ada juga toilet yang bersih, wangi dan terjaga. Orang akan masuk ke dalamnya bila benar-benar perlu. Sama ada dalam situasi terdesak, tiba-tiba atau sengaja.


Ada juga yang masuk ke dalam toilet melebihi keperluan terutama perempuan. Antaranya menambahkan make-up di muka, memandang cermin lama-lama, membetulkan tudung sambil bersembang-sembang. Ketika ini, toilet menjadi pusat kecantikan dan ketampanan seseorang.


Toilet boleh membawa fitnah kepada pengguna yang tidak bertanggungjawab. Banyak yang tidak sedap mata memandang ada di dalam toilet. Mereka akan disumpah seranah, dicaci maki, dimarahi atau dicemuh.


Ada juga yang menjadikan toilet tempat meluah perasaan. Antaranya menconteng toilet dengan kata-kata yang kesat dan lucah. Orang yang bermasalah akan menangis di dalam toilet agar tidak diketahui orang. Orang yang beriman akan masuk ke dalam toilet untuk mengambil wudu’ bagi meredakan marah.


Toilet juga tempat perhentian, antara destinasi utama yang wajib dikunjung ketika berhenti di R & R selain foodcourt. Secantik atau sebusuk manapun toilet, tiada siapa yang akan duduk di dalamnya sehari semalam atau berhari-hari lamanya. Orang masuk sekadar perlu dan keluar bila urusan selesai.


Itulah tamsilan dunia. Dunia ibarat toilet!

Thursday, November 26, 2009

Berjiwa Besar

“Pada saya mahasiswi sekarang tidak berjiwa besar, cukup menjaga kebajikan sesama mereka sahaja.”


Satu lontaran energetik dari Adik Rafidah, mantan Timbalan Gamis merangkap penasihat Sigma sesi lalu. Ketika itu, saya menemubual beliau bagi menghiasi kolum dakwah kampus majalah Muslimah. Kata orang, kecil-kecil cili api. Begitulah tamsilan saya terhadap adik yang seorang ini.


Beserta Sigma, slogan ‘Muslimat Power’ dipadu kemas dalam tumbukan yang ditujah ke langit. Harapan Sigma mahu melihat mahasiswi tidak lagi melatah manja. Sebaliknya menjawab isu masyarakat dengan hujah bernas dan jiwa besar.


Dalam Nisa’ Gombak, selain dari Rafidah, saya juga kagum dengan Nahwan, Nida, Ummu, Ain, Ayu, Tengku, Dekma, E, Kak Long, Su dan semua sahabat Nisa’ yang lain. Saya bukan seorang jiwa-jiwa yang suka membaca jiwa setiap sahabat saya. Namun saya yakin, kami sedang berdiri di atas landasan yang kukuh dan tidak akan goyah.


Apakah landasan itu? Ia landasan perjuangan yang berdiri di atasnya jiwa-jiwa yang besar. Jiwa-jiwa ini bertekad satu mahu membina persekitaran Islam yang kembali membugar dengan sentuhan aroma rabbaniyyah.


Islam yang kini dipandang kecil harus ada di sisinya pembela yang berjiwa besar. Dan kami akan saling berkasih-sayang dan bertemu bukan kerana cintakan perjuangan semata-mata, tetapi terlalu cinta kepada Tuhan perjuangan itu.


Memenangkan Allah.


Dalam usrah Nisa’ Selasa lalu, saya mengingatkan diri saya dan sahabat akan skala pengorbanan. Saya mahu menjemput sahabat Nisa’ masuk ke pintu pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail serta kebesaran Eidul Adha yang bakal disambut nanti.


Ungkapan indah dari Syeikhul Islam Abdul Qadir al-Jailani menyinggung jiwa besar kami malam itu.


Kata Syeikhul Islam, “Seorang hamba berada di tengah-tengah, iaitu antara Allah dan nafsunya sendiri. Seandainya dia memenangkan nafsunya, maka jadilah dia hamba kepada nafsu. Seandainya dia memenangkan Allah, maka jadilah dia hamba kepada Allah.”


Tanpa jiwa yang besar, Ibrahim tidak akan memenangkan Allah ketika terhimpit dengan perintah Allah untuk menjadikan anak kesayangannya sebagai korban. Jikalau jiwa Ismail kecil, sudah tentu Ismail memenangkan nafsunya untuk meraih keseronakan lebih lama di dunia. Akhirnya kerana memenangkan Dia, Allah menggantikan sesuatu yang bernilai dari arah yang tidak disangka-sangka.


Sirah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail boleh menjadi kayu ukur skala pengorbanan dalam perjuangan kita. Jika diberi skala yang lurus, di hujung ini Allah, di hujung itu nafsu, di manakah kedudukan kita?


Kita berada di tengah-tengah dan ketika itu kita berhak memilih dengan pertimbangan yang wajar. Mahu menjadi hamba Allah atau hamba nafsu. Meskipun begitu, ramai yang berada di skala yang tidak tepat termasuk saya dan anda.


Kita marah apabila dituduh menjadi ‘pak turut’ kepada orang lain. Tanpa sedar, kita selalu menjadi ‘pak turut’ kepada sesuatu yang tidak terlihat oleh kita sendiri iaitu nafsu.


Begitulah, Allah menuntut hambaNya terlebih dahulu memenangkan Dia dari diri-diri atau nafsu-nafsi sendiri. Memenangkan Allah. Itulah pra-syarat kemenangan dalam perjuangan kita untuk layak diberikan kemenangan pada musuh-musuh kita.


“…Kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” (Muhammad: 7)


Bertempur dengan musuh yang ada dalam diri, hakikatnya perit, mahu atau tidak, harus didepani. Hati bersifat maknawi, tidak nampak. Hati tempat letaknya iman. Iman juga maknawi, nafsu juga maknawi. Kita melihat dunia dengan mata. Untuk melihat hati, iman dan nafsu, mata kedua harus berperanan. Mata hati.


Semangat Berkorban


Seseorang menjadi besar kerana jiwanya besar. Semasa saya masih sekolah, saya teruja dengan kata-kata ini hingga saya menjadikannya sebagai falsafah hidup ketika itu. Sememangnya saya berbadan kecil. Namun ukuran itu bukan ukuran seseorang. Ukuran besar atau kecil seseorang ialah jiwanya.


“Biar kita berbadan kecil tetapi berjiwa besar daripada berbadan besar tetapi berjiwa kecil. ”


Hikmah tersebut acapkali saya tuturkan pada setiap orang yang bertanya, “Hidayah, kenapa kau ni kurus sangat?.”

Persoalan yang dijawab dengan tamparan tetapi baik untuk direnungkan.


Tidak ada jiwa besar tanpa jiwa yang punya semangat berkorban. Berkat semangat memberi, berkorban dan berjuang, umat ini telah menjadi umat yang besar dan disegani dunia dalam sejarahnya.


Menyoroti sirah Rasulullah, kita akan meneguk suatu mujahadah yang bernilai dalam kalangan sahabat. Mujahadah untuk menyerah segala yang dimiliki dengan sifat tajarud yang tidak berbelah bagi. Maka, keluarlah dari mulut Abu Bakr, “Cukuplah aku tinggalkan Allah dan Rasul untuk ahli keluargaku”


Andai kita beriman dan ingin tetap telapak kaki kita di atas landasan iman ini, marilah kita renung kembali bai’ah (janji setia) kita kepada Allah. Sahabat, suatu ketika dulu kita pernah berjanji dan ungkapan janji itu sentiasa dituturkan hampir setiap pertemuan.


Bahawa kita tidak akan bersifat bakhil terhadap masa, usaha, harta mahupun nyawa sendiri untuk dikorbankan di jalan Allah demi menyahut firmanNya: “...Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh SYURGA... ”


Monday, September 7, 2009

Nuzul Quran: Ubah Tabiat Pembacaan


Hari ini 17 Ramadhan, hari turunnya al-Quran atau lebih dikenali sebagai Nuzul al-Quran. Bagi yang mengamalkan pembacaan satu juzu’ satu hari, mesti sudah sampai ke juzu’ yang ke-17.


Ramai yang membaca al-Quran sehingga khatam. Tetapi tidak ramai yang membacanya secara bertartil dan bertajwid.


Ada yang membaca mengikut tartil dan tajwid, tetapi tidak faham pula maknanya.


Ada yang faham maknanya, malang sekali mereka tidak mahu mengikuti apa yang mereka faham.


Itulah jawapan kenapa kita selalu membaca al-Quran tetapi al-Quran tidak membersihkan hati.


Saya ingin memberi satu analogi.


Semasa berjalan di hari raya nanti, jalan raya akan kembali sesak. Semasa perjalanan, mesti ramai yang akan bergantung kepada papan tanda jalan. Ketika itu, kita akan melihat 4 golongan manusia yang membaca papan tanda.


Pertama; yang tidak pandai membaca. Pasti ini golongan yang akan sesat jalan.


Kedua; yang pandai membaca tetapi tidak faham. Ini juga golongan yang akan sesat jalan.


Ketiga; yang pandai membaca dan faham tetapi tidak mahu ikut. Juga menjadi golongan yang sesat jalan.


Keempat; yang pandai membaca, faham dan ikut. Inilah golongan yang akan berjaya sampai ke destinasi yang dituju.


Begitulah kita dan al-Quran. Contohi golongan yang keempat. Mereka tahu baca, faham dan ikut. Mereka menjadi golongan yang berjaya menuju destinasi sebenar kehidupan.


Sempena Nuzul al-Quran hari ini, apakata kita mengubah tabiat pembacaan kita. Jika tidak setiap hari, apa salahnya hari ini sahaja.


Kita membaca al-Quran dan dalam masa yang sama kita baca juga terjemahan. Jika ada kesempatan, cuba buka kitab tafsir atau bertanya kepada golongan yang lebih berilmu. Boleh juga menghadiri kuliah dan forum yang dianjurkan.


Semoga kita menjadi golongan yang tahu baca, faham apa yang dibaca dan ikut apa yang difahami.


Selamat beramal!.

Wednesday, August 19, 2009

Syoknya Ramadhan!


penghargaan buat 'my hubby' yang telah design banner yang terlalu cantik bagiku. Bilalah agaknya nak design banner blog ni pulak?...rimas tengok burung bertenggek kat atas tu...huhu


Ramadhan, Bulan Tarbiyyah..
Ramadhan, Bulan Dakwah...
Ramadhan, Bulan Ruhiyyah...
Ramadhan, Bulan Siasiyyah...

"Bersama Kita Realisasikannya"

Selamat Menyambut Ramadhan dari saya & Nisa' Gombak

Dengan penghayatan yang kukuh, kefahaman yang ampuh & disiplin yang teguh terhadap aktiviti spiritual di bulan Ramadhan, moga akan terjelma diri kita sebagai Abid yang Rabbani.

Kemenangan itu ialah apabila kita tampil sebagai Abid yang Rabbani, bukan Abid yang Ramadhani. Dalam erti kata lain, menjadi ahli ibadah bukan sahaja di bulan Ramadhan, tetapi ahli ibadah pada bulan-bulan seterusnya.

"Selamat Menjadi Abid yang Rabbani"

Friday, June 26, 2009

ISTIGHFAR BANYAK-BANYAK


Bulan ini, amat jarang sekali saya mengupdate blog. Kesibukan pada urusan peribadi dan jemaah seakan mengekang untuk idea menulis datang mencurah-curah seperti kebiasaan. Begitulah, salah satu kekangan ilham menulis ialah apabila seseorang penulis itu dilambak kesibukan dalam urusan mentadbir.


Seusai urusan walimah bermula dari hujung Mei hingga pertengahan Jun ini, saya mempunyai tuntutan kerja luar bersama krew Muslimah. Kami outsation ke Kelantan. Selasa & Rabu kelmarin saya diserang demam mengada-ngada. Antara demam dan tidak demam. Terlalu penat barangkali, tetapi ia tetap menjadi nikmat dan hikmah buat diri yang selalu lalai dengan nikmat kesihatan.


Teringat sewaktu menemubual Dr. Johari Mat semasa di Kelantan. Beliau bercerita tentang peranan istighfar terhadap kehidupan manusia.


“Ada sepasang suami isteri. Mereka masih tidak dikurniakan anak walau sudah lama berkahwin. Macam-macam usaha sudah dilakukan tetapi tetap tidak berhasil mendapatkan anak.


Suatu hari, si suami mendengar satu kuliah melalui corong radio kereta. Ustaz dalam kuliah tersebut menyampaikan, “Dalam kehidupan ini, kita kena selalu beristighfar. Istighfar akan membuka jalan bagi manusia dalam setiap urusan-uusan hidup. Dalam susah atau senang perlu selalu istighfar. Kalau ada masalah banyakkan istighfar. Buntu dan tidak menjumpai jalan penyelesaian, cuba istighfar. Hatta kalau kita tidak dapat anak pun kena istighfar.”


Pulang ke rumah, si suami menyampaikan pesanan ustaz tersebut kepada isterinya. Diminta kepada si isteri untuk mengamalkan istighfar dan memohon pada Allah agar dikurniakan anak dengan keberkatan istighfar tersebut.


Tidak lama kemudian isterinya mengandung dan melahirkan anak perempuan. Mereka menyambung lagi amalan istighfar. Tidak lama selepas itu isterinya mengandung dan dikurniakan anak perempuan lagi. Suami tetap dengan pesannya, “mari kita teruskan dengan amalan kita”. Mereka beristighfar, terus beristighfar. Akhirnya dikurniakan anak perempuan juga sebagai anak ketiga mereka.


Lalu si suami berkata kepada isterinya, “Kita sudah dikurniakan tiga anak perempuan. Apa kata, selepas ini kita beristighfar dan berdoa moga dikurniakan anak lelaki pula. Alhamdulillah, dengan amalan itu mereka dikurniakan anak lelaki seperti yang diimpikan.


Berkatalah suami kepada isteri, “Kita sudah ada 4 orang anak, sudah ada anak lelaki dan perempuan. Rasanya cukup sudah 4 orang ini. Kalau macam itu, kita berhentilah beristighfar”


Cerita dihujung ini membuatkan saya tertawa. Barangkali betul, barangkali sekadar gurauan cerita. Sebenarnya, yang ingin dititikberatkan dalam kisah ini ialah amalan istighfar yang mempunyai banyak fadilat seperti yang dikisahkan dalam al-Quran dan hadith Rasulullah S.A.W.


Dalam sebuah hadis, Ibnu Abbas Radhiallahu anhu meriwayatkan:

Maksudnya: Bersabda Nabi S.A.W: Sesiapa yang selalu beristighfar, nescaya Allah akan menjadikan baginya kemudahan bagi setiap kesempitan, kesenangan bagi setiap kesedihan dan memberinya rezeki tanpa diduga olehnya. (Hadis riwayat Abu Daud)


Manusia itu lalai. Manusia juga lalai bahawa dia dalam kelalaian. Lalai manusia adalah sia-sia, tanpa sedar mengundang dosa.


Dalam masa yang sama, manusia mempunyai impian, hasrat, keperluan dan kehendak hidup. Namun, manusia lupa bahawa impian, hasrat, keperluan mahupun kehendak hidup itu hanya boleh diberi oleh Dia yang sering dilalaikan manusia.


Apabila kita mengharapkan sesuatu dari manusia, manusia itu sering diingati, dihargai dan dipuji. Tetapi apabila mengharap banyak dari Allah, Allah dilupai dan dipandang sepi. Maka, jadilah kita seorang yang ‘dauble standard’ dalam pengharapan.


Allah S.W.T. ada menerangkan mengenai fadhilat beristighfar pada beberapa ayat di dalam al-Quran.

Tafsirnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya, supaya Dia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Dia akan memberi kepada kamu tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal saleh) akan pahala kelebihan itu. (Surah Hud: 3)



Begitulah, banyak masalah, kekurangan, kesusahan, kemurungan, kesedihan berlaku dalam kehidupan insan disebabkan dosa dan kesilapan kita sendiri. Kita tidak menyangkal itu adalah ujian. Tetapi yang harus difikirkan, sama ada ujian itu penguat iman atau sebagai kafarah terhadap timbunan dosa sama ada secara sedar atau tidak sedar. Tidak mustahil semua itu menjadi hijab atau penghalang terhadap keinginan yang sangat diharapkan.


Ada masalah, ingatlah dosa..

Ada kesusahan, ingatlah dosa..

Ada kesedihan, ingatlah dosa..

Ada orang yang membenci, ingatlah dosa..

Mahal rezeki, ingatlah dosa…

Tidak naik gaji, ingatlah dosa..

Barang hilang, ingatlah dosa…

Putus cinta, ingatlah dosa...

Kemalangan, ingatlah dosa...

Tidak dapat anak, ingatlah dosa…

Susah belajar, ingatlah dosa…

Demam, batuk, selesema, ingatlah dosa…


Barangkali segala kesusahan yang berlaku disebabkan dosa kita atau dosa anak isteri yang turut dipikul dibahu sendiri.


Barangkali idea saya untuk menulis ini hilang juga kerana dosa saya…


Dosa tidak ikhlas, bangga dengan kelebihan menulis, muamalat yang tidak perlu, riya’, lalai dengan blog, menunda ibadah kerana menulis dan macam-macam lagi…


Terlalu ‘mengupdate blog’ tetapi tidak mahu ‘mengupdate iman’ .Pandai menulis, buat tidak mahu…


Sama-samalah kita muhasabah dengan kehadiran tiga bulan yang mulia ini Jadikan Rejab, Sya’ban & Ramadhan sebagai PROGRAM TAKWA TAHUNAN seorang individu Muslim, seorang da’ei dan seorang murabbi.


Thursday, April 16, 2009

TEMUDUGA SEBAGAI...

TEMUDUGA SEBAGAI CALON JENAZAH

SEMUA DIKEHENDAKI HADIR TANPA SEBARANG PENGECUALIAN


KEKOSONGAN JAWATAN:

A. Ahli Syurga Dari Awal.
B.. Ahli Neraka Dari Awal.
C. Ahli Neraka Sementara, Kemudian Akan Di lantik Jadi Ahli Syurga.


EMPAT GANJARAN LUMAYAN (khas untuk jawatan A):
1. Nikmat kubur.
2. Perlindungan di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga yang kekal abadi.


TARIKH TEMUDUGA:
Bila-bila masa secara adhoc bermula dari saat membaca iklan ini.


LOKASI TEMUDUGA:
Di dalam kubur (alam barzakh).


KELAYAKAN:
Anda tidak perlu bawa siji-sijil, termasuk sijil saham termasuk saham Internet.
Anda tidak perlu bawa pingat, Mercedes mata belalang atau kad kredit.
Anda tidak perlu bawa wang atau harta serta emas yang anda kumpul.
Anda tidak perlu berparas rupa yg cantik, hensem atau berbadan tegap atau seksi.
Sila bawa dokumen asal iaitu : Iman dan Amal serta sedekah jariah sebagai sokongan.


PANEL/PENEMUDUGA:
Munkar dan Nakir.


ENAM SOALAN BOCOR:
1. Siapa Tuhan anda?
2. Apa Agama anda?
3. Siapa Nabi anda?
4. Apa Kitab anda?
5. Di mana Kiblat anda?
6. Siapa Saudara anda?


CARA MEMOHON:

Anda cuma perlu menunggu penjemput yang berkaliber untuk menjemput anda. Ia akan menjemput anda pada bila-bila masa saja (mungkin sekejap lagi). Ia akan berlembut kepada orang-orang tertentu dan akan bengis kepada orang-orang tertentu.

Ia diberi nama Izrail.


TIPS UNTUK BERJAYA DALAM TEMUDUGA TERTUTUP INI:

Hadis Hasan yang diriwayatkan oleh Ahmad Hambal yang bermaksud begini:

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Sesungguhnya apabila jenazah seseorang itu diletakkan di dalam kuburnya, sesungguhnya jenazah itu mendengar suara (terompah kasut) orang-orang yang menghantarnya ke kubur pada saat mereka meninggalkan tempat itu. Jika mayat itu seorang muslim, maka solat yang dilakukannya ketika beliau masih hidup di dunia akan diletakkan di kepalanya, puasanya diletakkan di sebelah kanannya, zakatnya diletakkan di sebelah kirinya dan amalan kebajikan daripada sedekah jariah, silaturrahim, perkara kebajikan dan ihsan diletakkan dihujung dua kakinya.


Ia akan didatangi malaikat dari aras kepala, maka solat itu berkata kepada malaikat : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kanan, maka puasa berkata kepadanya: dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian malaikat berpindah ke sebelah kiri, maka zakat berkata kepadanya : dari arasku tidak ada jalan masuk. Kemudian di datangi dari arah kedua hujung kakinya dan berkatalah amal-kebajikan : di bahagianku tidak ada jalan masuk.


Maka malaikat berkata kepadanya : Duduklah kamu. Kepadanya (mayat) memperlihatkan matahari yang sudah mula terbenam, lalu malaikat bertanya kepada mayat itu : Apakah pandangan kamu tentang seorang laki-laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu : Tinggalkan aku sebentar, aku hendak sembahyang. Maka berkata malaikat : Sesungguhnya engkau akan mengerjakan solat (boleh saja solat) tetapi jawab dahulu apa yang kami tanya ini. Apakah pandangan kamu tentang seorang laki -laki (Muhammad) yang kamu dahulu sentiasa bercakap tentangnya; dan bagaimana penyaksian kamu kepadanya? Maka berkata mayat itu: Laki-laki itu ialah Nabi Muhammad S.A.W dan aku naik saksi bahawa nabi Muhammad saw itu ialah pesuruh Allah yang membawa kebenaran daripada Allah Subhanahu Wata'ala.


Maka malaikat berkata kepada mayat itu : Demikianlah kamu dihidupkan dan begitu juga kamu dimatikan dan dengan demikian juga kamu dibangkitkan semula diakhirat insya'Allah. Kemudian dibuka baginya satu pintu syurga, maka dikata padanya itulah tempat kamu dan itulah janji Allah bagi kamu dan kamu akan berada di dalamnya. Maka bertambahlah gembira mayat itu. Kemudian dilapangkan kuburnya seluas 70 hasta dan disinari cahaya baginya".


Sila war-warkan tawaran jawatan kosong ini kepada semua sahabat.

Wallahu-a'lam. Semoga berjaya dalam temuduga ini.

Friday, April 3, 2009

SESEKALI TERGELINCIR

“Aku terkilan betul dengar dia cakap macam tu kat aku, be profesional la sikit!,” sungut Mira.

“Kau tu pun janganlah sensitif sangat, dah tahu dia tu memang macam tu. Cakapnya memang straight da point,” pujuk Siti. Berkerut dahinya memikir Mira yang mudah berkecil hati.

“Kau Siti tak habis-habis nak menangkan dia, cuba kau faham sikit aku ni. Dah aku memang macam ni, inilah aku. Dia kenalah faham aku tak boleh diperlekehkan sesuka hati dia”, bengis Mira mempertahankan diri.

“Kalau kau mengharapkan dia memahami diri kau kerana kau adalah begini, maka dia tentu mengharapkan perkara yang sama. Fahami dirinya kerana dia adalah begitu”, pujuk Siti lagi.


Setiap yang bernama manusia mahu dirinya dihargai dan dihormati, tiada pertembungan antara sayang dan benci. Tidak mahu dirinya diketepikan dari mana-mana sudut. Mencari ruang-ruang selesa untuk kehendaknya dipenuhi dan bersedih hati bila tidak diperhatikan. Asasnya fitrah, tergelincir landasan, menjadi barah.


Adakalanya kita tersilap langkah, malah tidak jujur dan adil. Kita mahukan kelebihan dari orang lain, yang kita tampakkan dari diri kita adalah kelemahan. Kita mahukan perhatian dari orang lain, yang kita tampakkan dari diri kita adalah kepentingan. Kita mahukan kemesraan, yang kita tampakkan adalah kritikan.


Merungut, mengkritik dan menghukum orang lain sama seperti ‘menjolok sarang lebah untuk mendapatkan madunya’. Kemahuan pada manisnya madu tetapi cara terburu-buru dengan menjolok sarang… madu terlepas, sengatan mengipas. Kemahuan pada manisnya perhubungan tetapi jalannya kasar tidak berbudi…kenalan menjauh, fitnah bersauh.


Sesekali saya tergelincir dalam realiti ukhuwwah antara kehendak dan keperluan. Gagal menjelmakan akhlak hubungan menurut perintah dan sunnah. Antara serba salah dan rasa bersalah, kedua-duanya perlu diraikan demi memperbaiki diri.


Apakah tindakan yang harus saya mulakan jika ini titik masalahnya?

Mungkin belajar tentang manusia...

Memahami antara kehendak dan keperluan ukhuwwah…

Menuruti berdasarkan perintah dan sunnah…



Wednesday, March 4, 2009

NAMA DIA...


Nama Dia. Ada yang gementar seluruh tubuhnya menyebut Nama Dia. Tidak mustahil jiwa terasa damai dan tenang apabila menyebut Nama Dia. Kita menyebut Nama yang sama setiap hari. Dan seharusnya ada bibit-bibit cemburu di kalangan kita, apabila orang lain menyebut Nama Dia lebih kerap berbanding kita.


Acapkali kita menyebut Nama Dia, acapkali jugalah Dia menyebut nama kita. Malah, beribu-ribu kali, mungkin berjuta-juta kali sehingga gegak gempita seluruh alam meraikan nama kita kerana menyebut Nama Dia. Kita semakin popular di seluruh petala langit dan bumi hanya kerana menyebut satu Nama tanpa rasa jemu, setiap saat dan detik nadi yang berdenyut.


Apabila Nama Dia dipanggil, Dia akan menjawab dengan rahmat dan kasihan belas. Sayang sekali, ada di kalangan kita melupakan Nama Dia, malah menyebutnya di saat kesusahan menerjah kehidupan.


Sekali sekala Nama Dia disebut, selalu saja Nama Dia dilupa, jarang-jarang Nama Dia disahut, kadang-kadang Nama Dia berpaut. Tetapi kali ini, Nama Dia direbut!.


Hari ini kita berbahas mempertahankan Nama Dia supaya tidak digunakan oleh orang tidak seagama. Kristian mahu melakar Nama Dia di kitab-kitab mereka. Sebilangan kita hanya mahu Nama Dia ada pada Kitab kita. Bilang mereka, hanya Islam yang layak memaktubkan Nama Dia. Ada yang ambil kisah, ada juga yang buat tidak endah.


Malang sekali. Lentingan itu hanya pada buku dan kitab suci tetapi tidak dihati. Marah kita Nama Dia akan digunakan oleh agama lain. Sedangkan kita sendiri gagal meletakkan selayaknya Nama Dia ditempat yang sepatutnya.


Dialah ALLAH, Tuhan kita dan Tuhan seluruh manusia. Sebenarnya, apa yang direbut pada Nama Dia? Perkataan atau Iman?


Tepuk dada, tanyalah siapa-siapa.


Tuesday, February 24, 2009

KURSUS BERHARGA RM 9K

Salam sihat, cergas dan cerdas. Semoga kesejahteraan yang anda miliki hari ini diraikan bersama rakan, sahabat jemaah, keluarga dan organisasi kerja mahupun dakwah. Raikan kesejahteraan yang anda miliki pada perkara-perkara spiritual, bukan ritual. Sumbanglah sesuatu dengan nilai keikhlasan dan kejujuran ditahap luar biasa hebat!.


Pada entri sebelum ini, saya mengajak anda membina motivasi. Saranan saya agar anda beraktiviti secara sihat dan manfaat. Saya ingin bercerita satu pengalaman yang mencambahkan pelbagai pengalaman lagi seterusnya. Pengalaman saya dan sahabat ketika ke program hujung minggu kelmarin. Menarik!.


Saya, Liza dan Tie mewakili Nisa’ Gombak ke Kursus Nuqoba di UNISEL, Shah Alam. Pagi itu, perasaan saya tidak seperti biasa. Semangat kembali merajuk dengan saya. Barangkali saya masih tegar melayan malas yang menggedik-gedik itu. Ketika Tie dan Liza menjemput saya, kelihatan mereka juga kurang ceria. Keletihan mungkin.


Selesai melalui lebuhraya, kami tersesat di bandar Shah Alam. Sehinggalah kami melalui taman perumahan di Seksyen 7, berdekatan dengan kediaman rasmi Menteri Besar. Mula menyedari kesesatan itu, kami kembali ke pangkal jalan. Saya meminta Tie selaku driver berpatah semula ke laluan awal tadi.


Kedegarrngggg!!! (bukan bunyi sebenar).

Ada gaung di bawah. Pokok-pokok di sekeliling. Apa yang sudah berlaku kepada kami?


Alhamdulillah, kereta kami cuma terlanggar tunggul kayu. Kalau tidak, memang syahid di jalan Allah lah hari itu. Ada dua orang datang membantu. Kami pula membuntu. Maklumlah, perempuan memang lemah dalam hal-hal begini.


Alhamdulillah, orang berjuang ini sahabatnya serata alam. Walau tidak dikenali sekalipun, pasti akan datang pertolongan itu atas dasar sebagai ahli jemaah. Sahabat seperjuangan di Shah Alam, Ustaz Ridhaudin sudi membantu setelah diberitakan hal ini. Ketika mendengar namanya melalui panggilan telefon, seolah tidak dikenali. Rupanya Ustaz Ridha mantan Timbalan Gamis dulunya.


Semalam, saya bertanya khabar tentang servis kereta. Liza beritahu servis kereta mencecah RM 9000! Terkejut. Bayaran untuk kursus nuqoba ialah RM 60 untuk tiga orang. Maka, RM 9060 untuk dua buah kursus yang kami hadiri hari itu. Satu kursus nuqoba’ daripada penceramah secara teori, satu lagi ‘kursus tarbiyyah’ daripada Allah secara praktikal. Wah, inilah ‘kursus’ paling lumayan seumur hidup saya!


Pengalaman ini adalah ’kursus pembelajaran’ yang memaknakan kehidupan agar kami semakin baik. Pastinya ‘kursus’ itu bukan teori tetapi praktikal yang memerlukan usaha, ilmu, kemahiran dan strategi. Banyak perolehan manfaat jika direnungi setiap hal yang melatari kejadian itu. Wang RM 9000 yang dikeluarkan kerananya bukan suatu kerugian tetapi suatu ‘bayaran’ sebuah ‘kursus’. Kursus tanpa diminta tapi diberi atas harga suatu tarbiyyah.


Tarbiyyah Allah berhikmah!.

Jom Yong, kita fikir sama-sama bantu sahabat.


Walaupun kemalangan, kami tetap meneruskan kursus nuqoba' hari itu. Hati memang rungsing, fikiran tak keruan, mood telah ditarik. Tekanan itu menjadi modul 'kursus'.


Anak Ustaz Ridha. Comelnya...sebenarnya ustaz adalah suami kepada kembar Arfifah, ketua nisa' gombak. Berkenalan juga akhirnya...


Wednesday, February 18, 2009

MERAJUK


Saya sedang menyiapkan entri baru berkenaan dengan isu PPSMI. Sebenarnya, saya sudah 'mengantuk' membicarakan isu ini, tetapi setelah mendengar berita kelmarin tentang maklumat terkini PPSMI, saya kembali membugar.


Saya masih dipihak haluan kiri tentang PPSMI. Iaitu pihak yang tidak bersetuju dengan dasarnya sehinggalah dasar itu mengembalikan beberapa hak dan kepentingan masyarakat seadilnya. Inikan pula jika melihat pada sudut pandang ketemadunan dan islamisasi yang kian dirobek oleh hegemoni bahasa tersebut. Kita sudah melalui era penjajahan yang sengit iaitu penjajahan bahasa. Penjajahan yang amat bahaya.


Panjang pula ceritanya, walhal bukan isu ini yang mahu disuguhkan dalam entri kali ini. Cuma entri kali ini sekadar selingan mengisi kebuntuan idea berfikir dan menulis. Entri santai dan anti bosan. Tajuknya merajuk. Ditujukan kepada diri sendiri dan sesiapa yang berada dalam rajukan saat ini.


Janganlah merajuk wahai diriku...
Ramai di kalangan manusia yang merajuk hanya kerana perkara-perkara kecil yang tidak bererti. Lihatlah orang-orang munafik; betapa rendahnya semangat dan tekad mereka.


Janganlah merajuk lagi...
Kasihan orang yang merajuk. Mereka adalah orang yang dikalahkan, dan jiwa mereka akhirnya sengsara.


Cuba perhatikan perjalanan hidup manusia. Engkau melihat mereka pagi dan petang dalam keadaan merajuk. Terkadang merajuk mereka hanya disebabkan berselisih dengan isteri, anak, keluarga dan sahabat. Setiap pagi dan petang ada sahaja terdengar kata-kata yang tidak enak dan terlihat sikap yang tidak menyenangkan kerana rajuk. Kebanyakan aktiviti yang mereka lakukan tidak berdasarkan motivasi dan niat yang agung. Waktu yang mereka habiskan sama sekali tidak berorientasi pada kepentingan yang mulia.


Pepatah mengatakan: “Jika air telah keluar dari bejana, udara akan datang memenuhinya.” Andai kau sisihkan perasaan mulia, perasaan hina menyelimuti dirimu.


Maka, renungkanlah kembali hal-hal yang selama ini telah engkau pentingkan dalam hidup engkau, atau yang telah membuat engkau resah setiap saat. Benarkah semuanya itu layak memperolehi perhatian dan bahagian yang besar dalam hidup engkau? Mengapa engkau rela mengorbankan fikiran, perasaan, ketenteraman dan juga waktu hanya untuk persoalan-persoalan remeh tadi?


Ibarat orang berjual-beli, apa yang dilakukan itu sebenarnya suatu kerugian besar yang dibayar dengan harga yang murah. Ahli psikologi ada menyatakan “Buatlah batasan yang rasional untuk setiap hal.” Dan lebih tepat dari kalimah ini ialah firman Allah Ta’ala:


....Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Thalaq:3)


Yakni, letakkanlah setiap persoalan sesuai dengan ukuran, nilai dan kadarnya dan janganlah sekali-kali engkau melakukan kezaliman dan melampaui batas!


Oleh kerana itu, tinggalkanlah perkara-perkara yang remeh dan tidak penting. Janganlah engkau disibukkan olehnya dan waktu dihabiskan kerananya. Dengan demikian, nescaya engkau akan merasa sebahagian besar rajukan selama ini lenyap dan yang tersisa hanyalah kesenangan dan kegembiraan.


Usah merajuk lagi diriku…buat yang terkena tempias hujan rajukku ini, maafkanlah.


Monday, February 16, 2009

TOLONG BERIKAN SAYA JAWAPAN


Jika anda diberikan 4 huruf di bawah yang mengandungi makna yang berlainan iaitu huruf M, A, T, dan I, cuba anda dapatkan jawapannya.


M
– Malaikat Izrail datang, A – Akhir hidup di dunia, T – Tanam di dalam tanah, I – Ibadah dihitung dan dinilai Allah.


Kemudian, keempat-empat huruf itu ditambah antara satu sama lain. Cuba anda fikir sekali lagi apakah jawapannya yang paling tepat tanpa sebarang ralat perpuluhan sedikitpun.


Apabila dipadatkan soalan bunyinya begini; Apabila Malaikat Izrail datang menjemput anda dengan wajah yang buruk atau cantik untuk mengakhiri hidup anda dengan izin-Nya, kemudian anda ditanam di tempat asal anda iaitu tanah. Selesai urusan itu, segala ibadah yang dilakukan di dunia akan dihitung dari sebesar-besar perbuatan sehinggalah sekecil-kecil perbuatan walau sekecil zarah sekalipun. Anda tahu apa itu zarah bukan? Suatu yang tak terlihat dengan pandangan mata kasar. Itu soalan panjangnya.


M + A + T + I =?, apakah jawapannya. Bukankah anda orang yang bijak dan tinggi ilmunya. Ada di antara anda seorang guru matematik penyelesai formula yang susah-susah, seorang doktor yang dapat melihat zarah, seorang jurutera yang dapat merekabentuk sebuah bangunan megah, seorang artikek yang boleh melakar pelan yang indah, seorang akauntan yang boleh mengira jumlah akaun beribu-ribu ringgit; Inikan pula untuk menyelesaikan satu formula MATI dengan 4 huruf sahaja. Mesti anda boleh melakukannya, cuba lagi…


Siapa yang dapat menjumpai jawapannya ialah ‘Mati dalam kebaikan’? Ada lagi jawapan lain? Siapa yang mendapat jawapan ‘Mati dalam keburukan’? Ada lagi jawapan yang berbeza? Mati itu akan berlaku esok jam 8.30 pagi sebelum sampai ke kuliah atau ke tempat kerja. Itu jawapan anda? Menemui jawapannya ‘Syurga’. Siapa yang bertemu dengan jawapan itu? Ada yang memberikan jawapannya 28 Februari 2009? ‘Saya akan memberi jawapannya 20 tahun lagi’. Ada yang berkata begitu?


Bukankah anda bagus, hebat dan bijak. Kenapa tidak bertemu dengan jawapan itu? Sebelum ini anda sentiasa mengakui kepandaian, merendahkan orang di sekeliling dan apa sahaja perbuatan bermegah-megah dan bangga diri. Di manakah keberanian itu?


Saya yakin anda ahli akademik, ada yang bergaji besar, berduit banyak, bersyarikat besar dan segala macam kebesaran. Mana kebesaran itu sehingga persoalan 4 huruf itu tidak mampu di jawab?


Yang ada Ijazah, Master dan phD, cepat berikan jawapan. Mana IQ anda di saat ini? Buktikan.


Siapa yang suka tidur, mesti menemui jawapannya di dalam mimpi. Mungkin juga di sebalik selimut anda. Atau ada jawapannya di dalam siri-siri televisyen kegemaran anda? Barangkali jawapannya ada dalam tutur borak kosong bersama rakan meja sebelah. Atau dua pinggan nasi yang anda makan tiap-tiap hari itu boleh bercakap lalu memberikan jawapannya. Mana tahu handphone yang dikepit setiap masa milik anda boleh menghantar pesanan kematian. Mungkin. Cuba tanya mereka, mana tahu mereka boleh membantu.


Tanya pada itu semua, apakah jawapan kepada formula M+A+T+I =?

Saya sendiri tidak akan menemui jawapannya sampai bila-bila. Hanya menunggu jawapan itu datang pada bila-bila masa, di mana-mana tempat tanpa pengetahuan walaupun sedikit. Saya cukup takut andai mati mengejut. Mati tanpa tanda-tanda kematian dan mengaibkan. Na'uzubillah...


Batu (kayu) nisan sebagai cenderamata dari program Tamrin Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak, pada 14 & 15 Februari 2009, selepas modul muhasabah kematian-prinsip wawasan. Ketika itu umur saya 26 tahun. Agak-agak bila saya akan mati ya? Boleh anda tolong isikan ruangan 'wafat' yang masih kosong tarikhnya itu?


Friday, January 30, 2009

TEGURAN UNTUKKU YANG LEMAH

Firman Allah di dalam surah Al-A’raf, ayat 199:

“Jadikanlah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.”


Sangat tidak sepatutnya menjauhi saudara hanya kerana satu atau dua kebiasaan buruk yang tidak dapat diterima, sementara selebihnya baik. Dalam konteks ini, satu atau dua kesalahan masih dapat dimaafkan, dan kesempurnaan adalah tingkatan yang sukar dicapai.


Al-Kindi seorang ahli falsafah muslim terkenal pernah mengatakan:

“Bagaimana boleh anda mengharapkan satu moraliti tertentu dari teman anda, sementara dia terdiri dari empat tabiat. Jiwa saja yang merupakan bahagian paling dekat dengan setiap manusia dan merupakan pusat kendali untuk memilih dan berkehendak, tidak dapat memberikan kendalinya kepada orang yang memilikinya untuk melakukan semua kehendaknya, dan tidak boleh pula mengiyakan semua yang diharuskannya. Bagaimana dengan jiwa orang lain?”


Firman Allah dalam An-Najm ayat 32:

“…maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.”


Cukuplah untuk menerima bahagian terbesar dari tabiat saudara anda. Abu Darda’ mengatakan: “Mencela teman itu lebih baik daripada harus kehilangan dirinya. Siapa orangnya yang boleh mendapatkan segalanya pada diri saudaranya?”. Perkataan Abu Darda’ ini kemudian memberi inspirasi para penyair untuk mencipta bait-bait syair dengan makna yang sama. Di antaranya Abul Atahiyah:

Hai saudaraku tersayang

siapakah engkau sebenarnya

hingga ingin mendapatkan dari saudaramu

yang menghuni dunia ini

apa yang engkau inginkan?

Pertahankan sebahagian kemampuanmu

yang diperlukan oleh orang lain

agar kamu tidak membosankan setiap orang

yang tidak dapat engkau berikan kepadanya

Semua kemampuanmu


Kemudiannya Abu Tamam Ath Tha’i mengatakan:

“Tiada kerugian yang paling parah bagi seseorang selain kehilangan akalnya. Dan tiada seorang pun yang dapat memperoleh seluruh yang diinginkan dari saudaranya.”


Seorang ahli ilmu balaghah pernah berkata:

“Janganlah kerana satu aib tersembunyi atau dosa kecil yang sebenarnya dapat ditutupi oleh kebaikannya yang lebih banyak, anda menjadi jauh dari seseorang yang pernah anda puji latar belakangnya, yang pernah anda terima kehidupannya, yang pernah anda ketahui kemuliaannya, dan yang pernah anda ketahui kemampuan berfikirnya. Sesungguhnya engkau selamanya tidak akan mendapat teman yang bersih tanpa kelemahan dan tidak pernah melakukan suatu kesalahan. Oleh itu cerminlah pada dirimu sendiri sesudahnya; pertimbangkanlah ia dengan pandangan yang objektif; dan janganlah kamu menilainya dengan pandangan seenakmu. Sesungguhnya pertimbanganmu terhadapnya dan penilaianmu kepadanya akan membantumu untuk mendapatkan apa yang engkau inginkan dan membuatmu bersikap penyantun terhadap orang yang berbuat kesalahan.”


Sehubungan dengan itu seorang penyair menyatakan:

Tiada seorang pun yang dapat memuaskan

semua karaktornya

cukuplah bijak bagi seseorang

bila dia mahu menghisab

kelemahan-kelemahan dirinya

Seorang penyair Mukhadhram bernama An-Nabighah Adz-Dzibyani telah mengatakan:

Engkau tidak akan mendapat seorang teman pun

yang bebas dari celaanmu

kerana kelemahan yang ada padanya

kerana mana ada orang yang bersih

dari kelemahannya


Hendaklah semua kekurangan itu dialihkan ke dalam jiwa yang lapang dan hati yang damai. Sebab sebagai seorang manusia terkadang lalai untuk memperhatikan jiwanya, bahagian paling dekat dengan dirinya itu.


Pesan Ja’far bin Muhammad kepada anaknya:

“Wahai anakku, siapa di antara teman-temanmu yang marah kepadamu sebanyak tiga kali, dan yang dikatakannya adalah kebenaran, maka jadikanlah ia teman.”


Al-Hasan bin Wahab pernah berkata:

“Di antara hak-hak mencintai adalah memberi maaf terhadap kesalahan teman, dan menutup mata atas kekurangannya. Itu pun jika ada.”


Ibnu Rumi pernah berkata:

Manusia dan dunia ini

Pasti mempunyai kekurangan

Yang tidak sedap dipandang mata

Atau kelemahan yang mencemari kemulusannya

Tidaklah adil jika engkau

Menginginkan teman yang bersih di dunia ini

Sedangkan engkau sendiri tidak bersih.


Seorang penyair lain mengatakan:

Hubungan kita sepanjang masa tetap bestari

adapun perpisahan antara kita

hanyalah seperti hujan di musim semi

curahnya yang deras menakutkanmu

tetapi engkau akan lihat segera kelemahannya

kerana ia cepat beranjak

semoga Allah menghindarkan kita

dari kebencian saat bersua

selain hanyalah kemanjaan orang yang dicintai

kepada orang yang mencintainya.


Sumber penulisan: Jangan bersedih karya Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni

Tuesday, January 6, 2009

REZEKI PENDAKWAH: MEMBERI BUKAN SAHAJA MENERIMA

Keluangan masa mengejar deadline yang ditujah tekanan minda dan emosi mendorong saya kembali menulis diblog ni. Hendak diikutkan kekangan, sememangnya tiada masa percuma untuk menyuguhkan seni menulis blog buat masa ini. Saya kelusuh apabila bahan untuk ruangan topik masih di awangan email yang belum dibalas. Namun, ada yang kata blog tempat meluah rasa, saya percaya dan kerana itu saya menulis.






Selepas melabuhkan punggung di tempat duduk bas tempoh hari, saya mahu belajar menjadi orang Jepun yang rajin membaca. Walau di mana sahaja, mereka pasti membaca. Saya kepingin menjadi orang Jepun sekejap, lantas saya membuka majalah Solusi – membaca. Tertarik pada ruangan kata dua – Rezeki yang Cukup vs Rezeki yang Tidak Cukup-cukup.


“Katalah, kita memiliki wang lima puluh ringgit. Tiba-tiba seorang yang sangat memerlukan pertolongan datang memohon bantuan. Terkesan dengan kesusahannya, kita menghulurkan bantuan. Kita hulurkan separuh wang yang ada kepadanya – dua puluh lima ringgit.”


“Maka yang tinggal buat kita ialah bakinya dua puluh lima ringgit. Dengan itu, apakah wang kita bertambah atau berkurang?. Tentu sahaja jawapan kita ialah berkurang. Jumlah wang kita telah susut dua puluh lima ringgit.”


“Itulah jawapan kita. Tetapi bukan itu ‘jawapan’ Allah. Bagi Allah, sekiranya hati kita ikhlas membantu, wang kita tidak akan berkurang, malah semakin bertambah.”


“Dilihat dengan pandangan biasa, memang wang kita menyusut, tetapi pada pendangan mata hati, wang kita sebenarnya telah bertambah. Bertambah bukan setakat sekali, dua kali atau tiga kali ganda, bahkan tujuh ratus kali ganda. Jika dinisbahkan secara matematik wang RM 25 kita telah ‘bertambah’ menjadi RM 17,500!”


Saya menoktahkan seketika bacaan saya selesai perenggan ini. Hanya kerana RM 25, kita menjadi kaya serta merta!. Alangkah ruginya mereka yang lokek menyumbang kerana kedekut perilaku. Inikan pula menyumbang untuk membangunkan masyarakat Islam yang kian jengkel tamadun sikap tanpa peradaban. Dalam erti kata lain – menyumbang sebagai pembantu jamaah Islam dan gerakan dakwah, menyelamatkan seantero dunia Islam yang semakin tersepit ini.


Serasa rusuh hati kita. Porak peranda sudah dunia, entah bila Tuhan akan mendatangkan kita cahaya itu, sedangkan kita kikir memberi apa yang kita ada.


Perhatikan benar-benar maksud firman Allah ini:

“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Al-Baqarah: 261).”


Rezeki pendakwah ialah apa yang diberi.

Jika anda rasakan dibahu anda tersemat sayap pejuang agama-Nya, maka tiada kekhuatiran anda terhadap peribahasa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan.


Sayidina Ali pernah mengungkapkan: “Harta yang menjadi milik kamu yang sebenar ialah harta yang kamu belanjakan ke jalan Allah.”


Saya menyambung menjadi orang Jepun kembali. Meneruskan pembacaan artikel itu sehingga pada satu perenggan yang melatari keterujaan saya terhadap sifat pendakwah yang sentiasa memberi.


“Justeru, boleh dikatakan bahawa rezeki itu bukanlah sesuatu yang kita terima, sebaliknya apa yang kita berikan. Semakin kita berikan, rezeki (boleh jadi dalam bentuk harta, ilmu, masa, tenaga) akan semakin ‘bertambah’ apabila dibelanjakan di jalan Allah. Rezeki yang kita simpan hakikatnya belum tentu kepunyaan kita. Mati boleh datang tiba-tiba. Sebaik kematian datang, rezeki kita sudah bertukar tangan – menjadi pusaka, warisan setelah difaraidkan.”


Alhamdulillah, hati saya semakin lapang setelah membacanya. Saya bukanlah pekerja yang bergaji besar. Pada pandangan setengah orang, pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan kelulusan Ijazah yang dimiliki. Saya boleh memohon pekerjaan lain jika saya mahukan wang setebal buku di dalam dompet. Apa yang menggugahkan saya untuk terus diposisi biasa-biasa saja, tanpa jawatan yang diidam-idamkan, tanpa pendapatan yang lumayan, berkhidmat di sebuah syarikat besar, bekerja siang malam dan hujung bulan mengeluarkan wang di bank untuk pergi bercuti?


Minda saya kembali mengingati suatu memori berjuang saya semasa tamat diploma sedikit masa dulu. Sewaktu itu, saya begitu betah menganjurkan program remaja di kawasan saya. Hati kecil saya cukup terasing tanpa melakukan apa-apa. Hanya melihat anak dara sekampung bertelanjang tidak cukup kain, berasmara di tepian jalan, ada yang jadi ‘monyet’ bergayut menelefon teman lelakinya, merempit barangkali juga ada. Ada yang tanpa segan silu merapatkan buah dadanya di belakang ‘boyfriend’ sewaktu bermotor. Rambut mereka juga cantik, tiada yang bewarna hitam. Malah, dikhabarkan anak jiran terdekat menjadi pembunuh!.


Bak kata pepatah melayu lama; ‘Dari jauh orang angkat telunjuk, bila dekat orang angkat mata’.


Pendapatan kerja yang saya terima, saya asingkan sedikit sebagai peruntukan program. Secara sukarela dengan sokongan sahabat, saya memulakan langkah merencana sesuatu buat mereka. Penat dan payah. Namun, gusar hati lebih menebal tanpa melakukan apa-apa. Pernah suatu ketika, gaji saya yang baru diperolehi dibelanjakan keseluruhannya kerana lewat menerima peruntukan program. Ketetapan hati dan keyakinan kepada Allah, cukup sekadar peninggalan harta yang paling mahal dengan wang kosong di bank.


Adakah pengorbanan ini boleh disama tarakan dengan ucapan Abu Bakar ‘cukuplah aku meninggalkan Allah dan Rasul’ bila ditanya Rasulullah ‘apakah yang kamu tinggalkan buat keluargamu setelah semua harta kamu diinfakkan ke jalan jihad?’. Sungguh kita tidak mampu mencapai iman setinggi Abu Bakar. Hendak mengeluarkan wang RM 25 pun sudah keluh-kesah.


Saya yakin dengan keberkatan rezeki dengan sifat sentiasa memberi. Alhamdulillah, dengan rezeki yang cukup-cukup itu, saya boleh membiyai wang pengajian sewaktu menyambung Ijazah. Saya pun tidak tahu mana datangnya rezeki itu. Gaji banyak dibelanjakan untuk melaksanakan program, tetapi jalannya terasa mudah, terasa rezeki datang mencurah-curah. Mana datangnya rezeki itu?


Sedikit yang mengingatkan lebih baik daripada banyak yang melalaikan. Mensyukuri sedikit nikmat mengundang limpahan berkat. Besar kemungkinan keberkatan rezeki yang sedikit itu, menjadikan rezeki itu cukup bukan rezeki tidak cukup-cukup.


Rezeki orang mukmin yang menyerahkan harta, masa & tenaganya untuk Islam sentiasa cukup. Tengok, pergi usrah pun dapat makan. Yang banyak diberi, yang sedikit dikongsi.


Yakinlah dengan Berkat Dhuha dan Al-Waqiah.

Bicara YM bersama seorang sahabat tempoh hari ditundakan sebentar.


“Maaf, ana mohon berundur sekejap. Ana belum solat dhuha”, lebih kurang bicara sahabat itu.


Saya amat mengkagumi mereka yang boleh istiqamah dengan Solat Dhuha. Disitulah pintu rezeki yang berkat dibuka seluas-luasnya oleh Al-Razzak (Maha Pemberi Rezeki) dan Al-Wahhab (Maha Pemberi). Yakinilah Dhuha dan Al-Waqiah sebagai duta penyelamat kemiskinan dan kepapaan seperti yang disabdakan Rasulullah.


“Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah, tidak akan menjadi miskin selama-lamanya.”


Ingat lagi ketika saya bekerja selesai tamat degree. Suatu yang membetahkan saya bekerja apabila majikan kami telah mewajibkan kakitangan melakukan Solat Dhuha dan Al-Waqiah yang dijadikan salah satu peraturan syarikat. Ternyata, rezeki syarikat mencurah-curah dan projek yang tidak putus-putus. Walau dihambat nuansa ekonomi yang menjuman, kami masih lapang dada dan mudah urusannya.


Tiada kata lain melainkan ucapan syukur saya kepada Allah yang sentiasa memelihara kerja buat saya sehingga hari ini. Allah pengatur hidup saya walau adakalanya sesuatu itu berlaku di luar jangkaan dan tidak disukai.


Allah ‘planner’ terbaik kita agar setiap yang lahir dari tingkah laku menjadi kebaikan yang mengundang takwa. Bukan baik pada lahirnya sahaja tetapi tidak ada nilaian takwa di sisi Allah. Maka, untuk mengharapkan yang baik-baik, kita perlu menjadi baik!.


Semoga yang dinukilkan kali ini bukan berniat untuk mendabik dada dengan setiap kelebihan. Saya menceritakan perihal diri saya, sama seperti saya menceritakan nikmat yang diganjari Allah kepada saya. Harapnya Allah menetapkan telapak kaki kita di landasan mendaulatkan agama-Nya untuk melihat Islam kembali di pandang tinggi. Yakinilah dengan Allah, Pemberi Rezeki.


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO