Monday, September 7, 2009

Nuzul Quran: Ubah Tabiat Pembacaan


Hari ini 17 Ramadhan, hari turunnya al-Quran atau lebih dikenali sebagai Nuzul al-Quran. Bagi yang mengamalkan pembacaan satu juzu’ satu hari, mesti sudah sampai ke juzu’ yang ke-17.


Ramai yang membaca al-Quran sehingga khatam. Tetapi tidak ramai yang membacanya secara bertartil dan bertajwid.


Ada yang membaca mengikut tartil dan tajwid, tetapi tidak faham pula maknanya.


Ada yang faham maknanya, malang sekali mereka tidak mahu mengikuti apa yang mereka faham.


Itulah jawapan kenapa kita selalu membaca al-Quran tetapi al-Quran tidak membersihkan hati.


Saya ingin memberi satu analogi.


Semasa berjalan di hari raya nanti, jalan raya akan kembali sesak. Semasa perjalanan, mesti ramai yang akan bergantung kepada papan tanda jalan. Ketika itu, kita akan melihat 4 golongan manusia yang membaca papan tanda.


Pertama; yang tidak pandai membaca. Pasti ini golongan yang akan sesat jalan.


Kedua; yang pandai membaca tetapi tidak faham. Ini juga golongan yang akan sesat jalan.


Ketiga; yang pandai membaca dan faham tetapi tidak mahu ikut. Juga menjadi golongan yang sesat jalan.


Keempat; yang pandai membaca, faham dan ikut. Inilah golongan yang akan berjaya sampai ke destinasi yang dituju.


Begitulah kita dan al-Quran. Contohi golongan yang keempat. Mereka tahu baca, faham dan ikut. Mereka menjadi golongan yang berjaya menuju destinasi sebenar kehidupan.


Sempena Nuzul al-Quran hari ini, apakata kita mengubah tabiat pembacaan kita. Jika tidak setiap hari, apa salahnya hari ini sahaja.


Kita membaca al-Quran dan dalam masa yang sama kita baca juga terjemahan. Jika ada kesempatan, cuba buka kitab tafsir atau bertanya kepada golongan yang lebih berilmu. Boleh juga menghadiri kuliah dan forum yang dianjurkan.


Semoga kita menjadi golongan yang tahu baca, faham apa yang dibaca dan ikut apa yang difahami.


Selamat beramal!.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO