Wednesday, October 21, 2009

Bercerita Tentang Novel

‘Menunggu Cinta Tuhan’ hampir seminggu di tangan saya. Di mana diri saya berada, di situ novel ini dipegang kemas sambil menyelak sehelai demi sehelai kandungannya. Bukan bermakna saya peminat tegar novel. Cuma itulah caranya agar novel tersebut habis dibaca biarpun secara berdikit-dikit dalam kesempitan ruang dan masa.


Saya amat lekit dengan novel. Sesekali saya memandang sinis pada sudut novel yang disusun kemas pada rak-rak kedai buku yang ada. Pengarahan saya lebih kepada buku bergenre motivasi, kepimpinan, pengurusan, falsafah, dakwah, haraki dan buku ilmiah yang agak berat. Cerewet juga pada pemilihan majalah. Jika tidak cukup wang membeli buku, Milenia Muslim boleh menggantikan kempunan saya terhadap buku-buku itu.



Menunggu Cinta Tuhan

Seperti biasa, Kak Nik tidak jemu berceloteh setiap novel yang dibacanya hanya beberapa hari. Tambahan, penulis novel tersebut adalah rakan penulis kami. Kak Lily Haslina, Kak Norhayati Berahim dan Kak Nora antara kenalan terakhir ditemui saya semasa melepak di gerai buku NB Kara pada Pesta Buku Antarabangsa yang lalu. Mereka antara bahan borak saya dan Kak Nik di ofis Muslimah.


Lain benar dengan karya Kak Lily Haslina kali ini. Beriya-iya benar Kak Nik bercerita tentang sinopsis ‘Menunggu Cinta Tuhan’, agar saya tertarik sama untuk menekuninya. Kata Kak Nik, jurus pengajarannya amat sesuai diambil ikhtibar oleh seorang wartawan seperti kami.


Bayangkan pertembungan prinsip yang ditempuh oleh graduan syariah yang bekerja sebagai wartawan media hiburan. Dalam masa yang sama, ditugaskan mencipta gosip-gosip liar artis yang tentunya bergelumang dengan aib dan fitnah. Bagaimana tindakan yang akan saya lakukan jika situasi yang sama menjadi latar kerjaya saya? Bagaimana pula dengan anda, andai ditakdirkan anda berdepan dengan situasi yang mencarik prinsip islami yang dipegang selama ini?


Hidup tidak semestinya apa yang kita suka dan apa yang kita harapkan. Apabila naluri ‘tidak suka’ menjadi hambatan diri, adakah perlu kita mencipta ‘suka’ dengan menggadaikan kemurnian prinsip asalnya. Atau perlu kita tinggalkan perkara yang ‘tidak suka’ itu tanpa menunjuk jalan yang sebenar kepada mereka yang tersasar.


Antara betul dan rasa bersalah, ia menjadi konflik yang mencelarukan takwa dalam diri. Antara masalah atau cabaran, watak utama novel ini, Khalida Atikah, membuktikan dirinya mampu ber’aksi’ dalam situasi ini. Khalida memiliki kreativiti yang mengkagumkan dalam keteguhan prinsipnya, hingga layak saya gelarkan sebagai pendakwah media hiburan dengan cara tersendiri.


Jiwanya terbang melayang entah ke mana. Memikirkan seribu perkara. Kebisingan diluar bagai disedut buang. Dia semakin tenggalam dalam dunia fikir yang semakin diam. Diam yang teramat diam. Tuhan, mudah-mudahan tiada hati yang terluka kerana tulisan aku! Tuhan, mudah-mudahan huruf yang aku cantum dan susun menjadi ayat ini menjadi bekal aku di sana kelak!

Khalida Atikah


Novel dan Dakwah

Apabila saya menekuni novel ini, saya bukan sekadar melakukan telahan pada jalan ceritanya. Malah mencermati perbendaharaan kata dan susunan ayatnya. Langgam bahasanya sungguh mengujakan saya. Buah tangan Kak Lily Haslina kali ini bermakna untuk dijadikan ‘guru’ , selaras dengan keindahan dan seni tulisannya. Membaca novel bermakna satu peningkatan ke arah keupayaan menulis. Seperti mana tips yang biasa didengari daripada rata-rata penulis berjaya, ‘penulis perlu banyak membaca’.


Pada pandangan saya, pendakwah juga perlu membaca novel. Novel boleh mengimbangi ilmu dan pengetahuan dakwah. Novel ialah ceritera kehidupan. Dakwah pula adalah lantunan perasaan, perkataan dan tindakan terhadap kehidupan. Cuma pemilihan novel itu harus ditimbang tarakan.


Keberhasilan membaca sebuah novel ialah bagaimana pendakwah boleh melihat intipatinya dari sisi pandang dakwah. Dalam novel terdapat kata-kata yang indah, dialog yang hikmah, testimoni yang baik untuk dilebarkan sebagai bahan dakwah. Sebagai contoh, novel Syabab karya Fatimah Syarha mengajar saya hikmah dakwah kepada seorang anak kecil. Manakala novel VT karya Hilal Ashraf memberitahu saya akan hikmah mendidik kumpulan remaja Islam. Kedua-dua novel ini saya membaca secara paksa.


Dakwah dan novel, kedua-duanya boleh diadun dalam memahami sikap, pemikiran, dan naluri watak-watak manusia semasa. Kerana watak-watak novel adalah tamsilan kepada watak-watak yang hidup di luar sana. Walaupun penulisan novel tidak lari dari teknik khalayan, namun jangan disangkal bahawa novel adalah adunan dari kisah pengalaman dan kehidupan orang lain. Dengan memahami kehidupan, kita dapat meneka apakah reaksi dakwah yang harus ditonjolkan dalam memperbaiki manusia yang pelbagai ragam dan rencam.


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO