Wednesday, October 28, 2009

Persoalan Bayt Dakwah

Artikel ini hanya sesuai dibaca oleh sesiapa yang memahami akan konsep Bayt Muslim atau Bayt Dakwah. Juga buat mereka yang akan, sedang dan telah membina rumahtangga atas dua prinsip itu.


Dalam Usrah AJK Nisa’ Selangor Ahad lalu, Dr. Rosni Adam, Pengarah Nisa’ Malaysia selaku nakibah telah membangkitkan satu persoalan, menyentuh tentang institusi Bayt Muslim. Perkara yang diutarakan beliau turut membuahkan rentetan persoalan demi persoalan dari pihak saya pula.


Persoalan itu menyerkup minda saya untuk terus berfikir, melihat situasi yang dialami muslimat du’at bergelar isteri yang pada awalnya gagah bertempur di gelanggang dakwah, namun akhirnya kecundang dan tumbang. Bukan tumbang kerana faktor luaran tetapi kerana faktor dalaman yang paling dekat dengan diri isteri, iaitu suaminya sendiri.


“Kenapa ada suami yang membenarkan isterinya keluar bekerja, tetapi tidak membenarkan isterinya keluar berjuang?”


Antara Primer dan Sekunder

Asas atau pokok utama pada persoalan di atas ialah sejauh mana suami atau muslimin du’at benar-benar mencaknai tugas primer dan sekunder seorang isteri. Primer ialah utama atau pertama. Sekunder ialah kedua, ketiga atau seterusnya atau boleh dikelaskan sebagai tanggungjawab sokongan.


Adakah bekerja itu merupakan tanggungjawab primer atau sekunder isteri? Adakah berjuang itu tanggungjawab primer atau sekunder isteri?


Bekerja bukan tugas primer isteri. Bekerja bukan tanggungjawab wajib seorang isteri. Tugas primer seorang isteri ialah membantu dan melayan suami di samping mengurus rumahtangga dan anak-anak. Suami tidak berhak memaksa isteri keluar bekerja dan mengambil harta isteri tanpa izin. Disimpulkan, tugas mencari nafkah ialah tugas primer suami dan tugas sekunder isteri.


Bagaimana pula dengan berjuang, berdakwah dan menyebar risalah Islam? Tugas tersebut adalah tugas semua pihak tanpa mengira pangkat dan darjat, warna kulit dan keturunan, gender dan kedudukan.


Menegakkan kalimah Allah, mengembalikan ke’izzahan Islam pada tempatnya adalah tugas suami dan isteri, lelaki dan perempuan dalam apa jua bentuk sekalipun. Senario umat Islam yang lemas dilautan nafsu dan kepimpinan yang dibuai keasyikan duniawi, jelas membisikkan sesuatu kepada kita - bahawa tanggunggjawab berjuang dan berdakwah sudah menjadi wajib dan fardhu ain ke atas yang bergelar khalifah Allah.


Hukum dakwah yang asalnya fardhu kifayah, (atau fardhu ‘ain sesuai dengan kemampuan setiap orang) menjadi fardhu ‘ain dalam keadaan-keadaan tertentu.


Syaikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Bazt dalam kitab Wujubu Dakwah Ila Allah wa Akhlaqud Du'at berkata:

“Dan terkadang kewajiban (dakwah) itu menjadi fardhu ‘ain, jika engkau berada di suatu tempat yang di sana tidak ada orang yang menunaikannya selainmu”.


Beliau juga menjelaskan:

“Di saat sedikitnya da’i, di saat banyaknya kemungkaran-kemungkaran, di saat dominannya kebodohan, seperti keadaan kita hari ini, dakwah menjadi fardhu ‘ain atas setiap orang sesuai dengan kemampuannya”.


Jika keadaan kita pada zaman ini demikian, sebagaimana dijelaskan oleh Syaikh Bin Bazt, maka siapakah yang akan ikut berlumba di dalam kebaikan, berdakwah menuju agama Allah, dengan ilmu, ikhlas dan mengikuti Sunnah?


Ia turut menjadi tanggungjawab suami dan isteri. Kejayaan dakwah suami ialah apabila dia berjaya membentuk isterinya untuk berjaya sama dalam dakwah. Namun sebaliknya banyak berlaku. Isteri tekun sekali menunaikan tugas sekundernya iaitu keluar bekerja tetapi tidak untuk berdakwah. Ada juga isteri yang ingin keluar berdakwah tetapi tidak mendapat keizinan suami atau suami tidak menyokong sepenuh hati.


Dalam situasi yang lain, suami seorang sahaja yang komitmen tetapi dibiarkan isterinya duduk beristirehat di rumah, seolah-olah persekitarannya telah aman dari maksiat dan kemungkaran. Atau merasakan isterinya sudah hebat ubudiyyah tanpa memerlukan apa-apa tarbiyah. Malah mungkin suami mampu membentuk isterinya tanpa sokongan sosial masyarakat. Segala di atas mungkin mampu dilakukan suami sehingga tidak ‘membenarkan’ isterinya untuk keluar berdakwah.


Perkataan ‘membenarkan’ di sini bermaksud; mengizinkan isteri untuk keluar, menyuruh, mendidik dan memotivasikan isteri untuk bersemangat sama. Malah, bukan suatu yang melampaui batas jika suami menggunakan kaedah paksaan atau gesaan secara halus jika isteri malas atau futur.


Kenapa situasi ini yang menerjah kebanyakan muslimat? Adakah kekeliruan suami dan isteri memahami tugas primer dan sekunder? Adakah suami atau kedua-duanya sekali merasakan bekerja buat seorang isteri itu lebih penting sedangkan tidak pada dakwah?


Persoalan Seterusnya…

Yang menjadi pelik terhadap persoalan awal tadi “Kenapa ada suami yang membenarkan isterinya keluar bekerja, tetapi tidak ‘membenarkan’ isterinya keluar berjuang?” ialah:


  1. Suami menerima isterinya pulang lewat malam kerana ‘overtime’ kerja tetapi sukar sekali untuk menerima isteri pulang lewat malam kerana usrah, meeting atau program.
  2. Suami sanggup mengambil alih menjaga anak-anak sementara menunggu isteri pulang kerja tetapi tidak bila diminta isteri jika isteri pula yang ada aktiviti dakwah di luar.
  3. Suami boleh menghantar dan mengambil isteri pergi dan balik kerja setiap hari, tetapi malas sekali untuk menghantar dan mengambil isteri untuk aktiviti dakwah yang hanya sekali sekala itu. (Jika isteri tiada transport)
  4. Jika isteri mengalami tekanan kerja, suami berusaha memotivasikan dan memulih kembali semangat isteri. Tetapi apabila isteri kehilangan kualiti dakwah, semakin malas ke program atau terbeban dengan tugas yang lain, suami berdiam diri. Sementelah, berasa seronok melihat isterinya sentiasa di rumah dan melayannya lebih baik daripada layanan semasa sibuk dahulu.
  5. Ada juga yang apabila isteri memberitahu mahu berhenti kerja, suami menjadi gundah gulana kerana ekonomi keluarga akan ditanggung suami seorang. Namun sebaliknya apabila isteri seakan berhenti dari menjadi aktivis. Suami tidak giat mencari alternatif agar ada penyelesaiannya.
  6. Paling utama direnung oleh suami ialah jika isteri sanggup berkorban membantu suami mencari nafkah, kenapa tidak suami juga membantu isteri membuat kerja-kerja rumah. Sekurang-kurangnya tugas isteri sedikit ringan dan membuka ruang padanya untuk keluar berdakwah juga.


Senario di atas bukan senario ciptaan saya sendiri. Ia senario yang realiti dialami isteri atau muslimat du’at. Akhirnya muslimat du’at semakin lama semakin jauh dari dakwah, semakin menyepi tanpa khabar berita dan semakin diam terus membisu. Dia berenang di lautan dengan labu-labunya, bukan bersama-sama dengan yang lain di atas kapal ‘amar makruf dan nahi munkar’.


Namun berkata tidak semudah yang ditulis. Membuat tidak semudah yang dikata. Saya sendiri tidak tahu situasi saya akan datang. Setiap suami dan isteri tentu mempunyai alasan yang tersendiri sehingga tidak semua tugas mampu dipikul dalam satu-satu masa. Kita tetap perlu berlapang dada dengan mereka, membantu dan terus berdoa agar setiap muslimat du’at di kampus boleh terus istiqamah sehingga ke akhir hayat.


Teringat kata-kata Kak Masyitah, Ketua Nisa’ Selangor yang mempunyai 4 orang anak, “Nak tahu muslimat ni istiqamah ke tak bila sudah ada anak-anak, tengok sampai dia beranak lima. Kalau sudah ada anak 5 orang dia tetap istiqamah, insyaAllah dia akan terus istiqamah.” (Mesej yang ingin disampaikan di sini ialah anak-anak tidak menjadi penghalang berdakwah. Ujian 5 orang anak sebagai proses tarbiyah yang berjaya dilalui oleh muslimah du’ah)


Semoga saya dan anda diberikan kekuatan dan pertolongan dari-Nya.


1 Comentário:

Miss X said...

Ya Allah, thabatkan kami di jalan ini..

Tak tahu macam mana lakaran masa depan, bimbang juga kalau terpaksa memilih menurut perintah suami (yg juga dengan menurutinya dikira menuruti perintah Allah) dengan tuntutan keperluan muslimat turun ke lapangan dakwah. Ya Allah, nauzubillah

Kedua, takut juga kalau-kalau suami izinkan, tapi tuntutan kerjaya dan anak-anak yg mengikat. Dalam tamrin mudah untuk mengangguk-angguk tentang aqidah perjuangan, tapi realitinya?

Tengok senior-senior yg dah kahwin, bekerjaya tapi belum punya anak pun dah sangat penat bekerja, balik lewat, tergesa-gesa nak urus rumah, kalau tak cukup kuat mau kalah juga..

Ketiga, paling takut kalau diri sendiri yang kecundang. Nauzubillah..

Moga kita tergolong dalam hamba yg berkerja dan diberkati masanya, seolah-olah mempunyai 48jam dalam sehari.

~Sentiasa berfikir panjang tentang BM~

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO