Tuesday, October 6, 2009

Wanita Berjaya: Bekerja atau Bekerjaya?



“Wanita yang menceburi kerjaya profesional sebagai ahli sains, penyelidik, pentadbir dan pegawai undang-undang biasanya perlu memberikan tumpuan kepada profesionnya. Mereka kerapkali dikehendaki mengikuti latihan, berkursus, menjalankan tugas di luar daerah untuk beberapa lama, ke luar negara dan pelbagai lagi.”


“Hal ini menyebabkan mereka terpaksa meninggalkan keluarga khususnya anak-anak, menyediakan makanan yang cukup dan pelbagai lagi. Adakalanya mereka terpaksa mencari penjaga sementara seperti ibu, ibu mertua atau saudara mara perempuan jika mereka tidak ada pembantu. Jika tidak mereka terpaksa membuat persediaan lain dan meminta kerjasama suami atau anak-anak yang sudah besar.”


“Masalah-masalah domestik ini menjadi antara sebab mengapa ramai wanita lebih suka memilih kerja-kerja yang mudah dan pada masa yang sama tidak perlu meninggalkan keluarga, khususnya anak-anak (Fatimah Abdullah, 2001). Dalam erti kata lain, ramai wanita yang memilih untuk bekerja dan bukan bekerjaya.”


Ketika saya menyelak kandungan kertas kerja tersebut bertajuk ‘Mengimbangi Peranan Wanita: Antara Ruang Peribadi dan Awam' oleh Fatimah Abdullah , sepintas lalu saya terjumpa dengan petikan di atas.


Kertas kerja tersebut adalah antara himpunan beberapa kertas kerja yang membuka ruang ‘semak dan imbang’ terhadap perbincangan isu-isu wanita kontemporari yang dikumpulkan dalam satu buku bertajuk ‘Isu-isu Wanita di Malaysia’. Turut menjadi bahan perbincangan yang amat releven dengan dunia semasa wanita ialah Isu wanita dalam pengurusan rumahtangga, pendidikan, ekonomi dan cabaran kerjaya serta isu wanita dalam media dan undang-undang.



Apa yang menjentik paradigma saya untuk berfikir lebih jauh lagi ialah bagaimana penulis boleh mengasingkan definisi bekerja dan bekerjaya. Saya tidak pernah berfikir akan perbezaan dua istilah ini. Tiada jauh bezanya , malah membincangkan perbezaan definisi keduanya bukanlah mendatangkan hasil yang menguntungkan untuk difikir dan dibahas.


Saya rasa rugi hanya mengambil tahu, tetapi gagal membina faham. Mudah untuk memberi tahu dengan memetik fakta lalu disampaikan pada orang lain. Namun, sukar sekali untuk menghubungkan apa yang dibaca dengan realiti dunia semasa. Apatah lagi membaca dan menginterpretasikannya kepada sisi pandang yang berbeza.


Bekerja dan Bekerjaya

“Wanita Berjaya: Memilih untuk bekerja atau bekerjaya?”

Saya meletakkan mesej di atas sebagai status Facebook saya beberapa hari sebelum ini. Tidak lama kemudian, status tersebut mendapat respon dari rakan Facebook yang lain.

“Dari persepsi akak, apa bezanya antara dua ni? Kalau saya, saya pilih bekerjaya. Bekerja sahaja seolah-olah macam tiada matlamat jangka panjang. Bila bekerjaya, ada goal and aim yang jelas.”


Benar, tiada salahnya kita membuat persepsi sebegitu rupa. Bekerja adalah mengerjakan sesuatu, dilakukan sebagai tanggungjawab, kewajipan dan tugas. Didefinisikan juga sebagai usaha atau kegiatan yang dilakukan berterusan untuk keperluan hidup atau kegiatan mendapatkan wang dan harta pencarian. Bekerja itu perbuatan.


Kerjaya ialah singkatan kepada kerja dan berjaya. Oleh sebab itu, kerjaya juga disebut sebagai profesion atau karier. Bidang kerjaya memerlukan ahlinya berkarektor profesionalisme, mempunyai misi dan peningkatan diri. Maka, perlunya pendidikan dan kemahiran ke arah perjalanan atau kemajuan dalam bidang kerja pilihannya.


Maka, wanita yang memilih untuk bekerjaya turut memilih untuk berjaya dalam kerjanya. Untuk berjaya, mereka perlu bersedia. Bersedia untuk dihantar berkursus, outstation lalu meninggalkan keluarga, ditaja sambung belajar, ditawar kenaikan jawatan dan pelbagai latihan peningkatan profesional dalam bidang kerjanya.


Atas komitmen yang memerlukan pengorbanan tanpa mengira masa dan bebanan, ramai wanita tidak memilih untuk ‘kerja & berjaya’. Dalam erti kata lain, bekerja sahaja untuk menampung ekonomi keluarga atau membantu suami mencari nafkah hidup tanpa mengira soal kemajuan atau peningkatan pada lapangan kerja.


Setakat mana 'konsep takutkan kejayaan' (fear of success) yang dikemukakan oleh Horner dan Walsh (1974) boleh diaplikasikan di sini tidak dapat dipastikan. Sebagai contoh, ada wanita yang memilih untuk bersara awal kerana menjangkakan akan dinaikkan pangkat. Ada antara mereka yang tidak berani tampil lebih ke hadapan kerana takut diberikan peranan yang lebih besar di syarikat. Malah, rata-ratanya juga tidak menjadikan bidang pengajian di kampus sebagai bidang dalam sektor pekerjaan sekalipun ia menjanjikan pendapatan dan jawatan yang lumayan.


Situasi yang sama berlaku di kalangan pendakwah. Ramai yang menceburkan diri sebagai pendakwah sepenuh masa dengan tidak memilih kerja bersesuaian dengan kelayakan dan kelulusan universiti. Mereka lebih serasi dengan lapangan kerja yang tidak menuntut komitmen kerja yang tinggi, masa kerja yang fleksibel atau bersifat anjal, mudah memohon cuti dan pelbagai lagi yang dilihat tidak mengekang pergerakan dan aktiviti dakwah secara organisasi. Semasa saya memohon kerja dahulu, saya juga amat memikirkan ciri-ciri ini.


Di kalangan kelompok itu, terdapat pendakwah yang berbeza pandangan. Melibatkan diri dalam kerjaya profesional juga merupakan suatu dakwah. Justeru, adalah rugi andai universiti tidak mampu melahirkan lebih ramai profesional Islam dalam pelbagai bidang. Adalah lebih baik, ahli gerakan dakwah kampus yang akan graduasi nanti tampil di tengah-tengah masyarakat dengan peranan seorang pemikir dan penyelamat ummah melalui kerjaya yang digalasinya.


Dengan melihat persepsi seperti di atas, sejauh manakah penilaian wanita bekerja yang berjaya itu? Adakah mereka yang bekerjaya, tidak bagi mereka yang bekerja sahaja. Adakah mereka yang mempunyai misi yang tersusun terhadap karier itu dikatakan ‘kerja & berjaya’, tidak bagi mereka yang tidak merancang dan menyusun misi kerja?


Bagaimana Islam menilai perspektif wanita berjaya dalam kerja?


p/s: Artikel ini masih ada sambungannya. Namun begitu, saya tidak berminat untuk publish keseluruhan artikel ini. Adalah lebih baik, jika kalian para pembaca dapat mengutarakan pandangan masing-masing tentang beberapa persoalan yang cuba dibangkitkan pada artikel ini dahulu. Silalah berkomentar.

1 Comentário:

mamayaya said...

masih ada pilihan untuk jadi wanita bekerjaya tanpa meninggalkan rumah tangga dan mengabaikan suami dan anak-anak

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO