Thursday, October 8, 2009

Perspektif Wanita Berjaya


Wanita mengisi banyak status, maka banyak pula peranan yang harus dilaksanakan. Status sebagai ibu, isteri, anak perempuan dan pengurus rumahtangga. Jika wanita bekerja, peranannya bertambah sebagai pekerja. Belum lagi sekiranya dipilih sebagai kumpulan atasan, menjadi ketua dan mentadbir kerja orang lain. Tentu peranannya lebih besar, tidak sekadar pada tugas-tugas yang mendasar.


Dari segi psikologikal, kerjaya itu boleh meningkatkan konsep kendiri wanita tetapi membataskan masa dan kredibiliti sebagai isteri dan ibu. Keluarga dan pekerjaan; kedua-duanya adalah institusi yang ‘tamak’, sama-sama meminta komitmen dan ketaatan tidak berbelah bagi. Kehidupan wanita nampak seperti sentiasa berkonflik kerana masalah-masalah terbit dalam mengimbangi tugas yang dipikul.


Mengimbangi tugas bermakna cuba berlaku adil pada setiap peranan. Pada saya, adil pada peranan bukan menyamaratakan setiap peranan, tetapi meletakkan peranan pada tempat yang sebenarnya. Proses keseimbangan yang dibuat ialah memberi tumpuan yang lebih pada perkara yang lebih utama. Dalam erti kata lain, keseimbangan dengan menentukan keutamaan.


Ada yang berasa fokus peranannya adalah pada rumahtangga, memilih untuk berkerja yang mudah-mudah sahaja agar tumpuan lebih dapat diberikan pada fokus peranannya itu. Mereka tetap mempunyai misi kejayaan. Kejayaan melihat keluarga dibentuk dan dijaga sebaik mungkin tanpa dikekang kesibukan kerjaya yang tidak menentu. Dalam erti kata lain, kejayaan bekerja bagi mereka ialah kesibukan kerja tidak menjejaskan persekitaran rumahtangga.


Ada yang merasa fokus peranannya adalah pada kerja, mahukan kemajuan dan reputasi cemerlang. Mempunyai misi terhadap peningkatan kendiri, mahu ke takuk yang lebih baik dari kedudukan terkini dan berdedikasi dalam menyumbang dan meningkatkan potensi diri. Di kalangan ini, kejayaan kerja bagi mereka ialah berjaya menuju kemajuan dan peningkatan kemampuan sebagai pekerja, dalam masa yang sama tidak menjejaskan persekitaran rumahtangga.


Merujuk kepada Al-Quran dan sejarah Islam, wanita boleh mempunyai kerjaya. Namun demikian, syariat masih mengikat wanita ketika melaksanakan apa jua tuntutan dalam lapangan hidup. Persoalan bekerja atau bekerjaya bukanlah persoalan yang utama. Yang menjadi utama ialah sejauhmana kerja membuahkan ibadah dan syariat dijaga. ‘Gaji’ sebenar yang lebih lumayan adalah Rahmat dan keberkatan.


Wanita dianggap berjaya dalam kerjanya apabila:

Pertama, berjaya melaksanakan kewajipan kepada Allah seperti menjaga solat, berpuasa, menutup aurat dan lain-lain kewajipan sepanjang berada di luar rumah (baca:bekerja).


Kedua, berjaya melaksanakan tanggungjawab terhadap rumahtangga dengan berkualiti.


Ketiga, berjaya apabila kerja itu dapat memberi sumbangan ke arah kebaikan masyarakat dan menghalang keburukan melalui kerjaya yang diceburi tanpa menjejaskan kualiti sumbangannya kepada institusi rumahtangga.


Inilah kedudukan wanita bekerja yang berjaya dalam Islam, iaitu yang berjaya dengan kerjanya dan membawa masuk kejayaan itu dalam persekitaran rumahtangga dan masyarakat.


“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pemberian pahala yang lebih baik dari apa yang mereka kerjakan.

(Surah al-Nahl: 97)

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO