Friday, August 7, 2009

Cabaran Akidah Umat, Bagaimana Penyelesaiannya?


Artikel saya dalam Majalah Muslimah keluaran Ogos 2009: Bil 217



Masyarakat Islam di Malaysia telah lama menerima dan mengamalkan Islam berdasarkan pendekatan Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga menjadi begitu dominan dalam pegangan akidah, amalan syariah dan sistem nilai iaitu akhlak. Natijahnya telah menampakkan kesan yang baik kepada kestabilan rohani, susunan masyarakat dan perpaduan ummah di Malaysia dan rantau ini.


Namun begitu, perkembangan sunnah alam pada zaman langit terbuka dan bumi ilmu tanpa batas tidak mungkin dapat disekat. Keresahan dan percanggahan tetap timbul apabila fahaman-fahaman lain ditonjolkan dalam masyarakat Islam tanpa pematuhan terhadap disiplin ilmu itu sendiri. Tentunya ia berlaku apabila perbincangan mahupun pendebatan tentang perkara akidah menjejer di kalangan yang bukan ahlinya, tidak betul dan tepat serta tidak melalui sistem dan kaedah yang tersurat dan tersirat.


Jika diteliti latarbelakang perpecahan umat Islam di sepanjang sejarah, adalah tidak lain kerana bid’ah dan jahiliah yang tersebar pesat di kalangan umat Islam seperti bid’ah Khawarij, bid’ah Rafidhah, bid’ah Mu’tazilah, bid’ah al-Kalam dan sebagainya.


Melihat kepada situasi ini, tidak mungkin umat Islam dapat disatukan selama mana kedua-dua unsur fitnah (bid’ah dan jahiliah) itu bermaharajalela dalam masyarakat. Sudah pasti perbalahan dan percanggahan pendapat berlaku apabila sifat taksub terhadap fahaman-fahaman tertentu menguasai diri masing-masing tanpa diselesaikan dengan manhaj dan kaedah yang tepat di sebalik perbezaan fahaman tersebut.


Tanpa masyarakat sedar, tipu daya musuh Islam seperti ini telah menyebabkan rosaknya cara penerapan dan pendekatan ilmu tauhid di hati umat. Dengan itu, lahirlah segala macam firqah dan kumpulan-kumpulan sesat. Maka, tenggelamlah ajaran tauhid secara sunnah dalam amalan umat.


Ancaman Mu’tazilah Moden


Di antara cara musuh Allah dalam memecahbelahkan ummat Islam ialah dari dalam dengan pendekatan yang cukup halus. Mereka berjaya memasukkan bid’ah ilmu kalam falsafah Gerik atau Yunan ke dalam medan pengetahuan umat Islam dengan pendekatan yang boleh diterima oleh sesetengah masyarakat Islam. Natijahnya, lahirlah golongan beraliran Mu’tazilah yang bergantung kepada beberapa aspek pemikiran dari falsafah Islam, Greek dan Helenistik.


Golongan ini menggelar diri mereka sebagai Ahl al-Tawhid wa al-'Adl (golongan tauhid dan keadilan Tuhan) berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan yang antaranya mahukan sistem Islam yang dibentuk berdasarkan akal. Mereka juga dilabel sebagai golongan free will dan free act kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan melakukan sesuatu. Golongan Mu’tazilah adalah golongan yang sangat suka berbahas namun terlalu lemah dan malas untuk mempraktikkan ajaran agama.


Mu’tazilah adalah satu dari cabang pemikiran dalam Islam yang terkenal dengan sifat rasional dan liberal. Ciri utama yang membezakan pemikiran ini dari pemikiran teologi Islam lain adalah pandangannya yang lebih banyak menggunakan dalil 'aqliah (akal) sehingga sering disebut sebagai aliran rasionalis Islam.


Meskipun golongan mu’tazilah tiada lagi, namun masyarakat Islam saat ini diancam dengan gejala pemikiran Islam liberal dari pelbagai kumpulan dan nama. Wajah pemikiran Islam liberal yang dikembangkan zaman kini nampaknya terjebak dengan filsafat Barat dari segi roh dan keadaannya yang bertuhan kepada akal atau rasionalisme semata-mata.


Seperti mu’tazilah, liberalis juga mempunyai teori sendiri tentang akal, wahyu dan hubungan di antara keduanya. Mereka menghargai kekuatan akal dan intelek manusia dengan membenarkan semua orang mempunyai hak untuk menginterpretasikan al-Quran dan hadis. Malah, hukum-hukum Islam yang telah mutlak dibongkar dan dibuat hukum baru yang dianggap sesuai dengan perkembangan zaman.


Justeru itu, banyak idea kontroversif dalam perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam. Bertindak antara takut dan berani, liberalis tetap menjadi ancaman yang menyelewengkan umat Islam dengan pelbagai metodologi secara sedar atau tidak sedar. Ini termasuk pendekatan yang dikehendaki kelompok ini dalam menafsirkan Islam secara teguh, mengikut konteks dan releven dengan peradaban manusia yang terus berubah dengan mempertikaikan apa yang sudah ditetapkan syariah..


Jika dicermati aliran pemikiran liberalis ini, mereka ibarat golongan mu’tazilah zaman moden yang menyusupkan cabang pemikiran bersifat rasional dan liberal ke minda umat. Sekalipun golongan mu’tazilah tradisi sudah tiada, golongan liberalis pula muncul membawa kekeliruan pada penerapan ilmu akidah di kalangan umat Islam zaman ini. Amat merungsingkan jika pemikiran yang tidak selari dengan sunnah Rasulullah dan para sahabat ini mendapat sokongan di sebalik kejahilan umat Islam.


Cabaran dan Pemurnian Akidah

(sumber gambar)


Akidah merupakan perkara dasar atau akar Islam yang sering dibicarakan zaman berzaman, kurun ke kurun malah ia menjadi agenda perjuangan Rasulullah di awal kebangkitan Islam. Betapa sirah baginda mengajar umat Islam bahawa sistem kepercayaan (belief system) atau disebut sebagai akidah ini menjadi tunjang untuk umat Islam berdiri teguh dan ampuh.


Inilah akar yang membentuk sikap umat Islam dahulu dan akhir zaman. Apabila soal akar ini tidak dapat dilihat secara mata kasar, segalanya menjadi terlepas pandang untuk dilaksanakan. Ancaman dan cabaran yang membuah fitnah terhadap Islam juga adalah kerana kegagalan umatnya meletakkan akidah sebagai paksi utama kehidupan.


Apabila membicarakan tentang pemurnian akidah masyarakat di Malaysia khususnya, ia melibatkan penelitian kepada 3 perkara utama kekukuhan pegangan masyarakat Islam dalam akidah Islam. Pertamanya, pegangan dan amalan masyarakat Islam di negara ini. Keduanya, sistem pengajian dan pendidikan yang dibangunkan dari peringkat generasi muda hingga golongan dewasa dan ketiga, pentadbiran undang-undang Islam dan penguatkuasaannya


Soalnya, berjayakah kita menanam soal kepercayaan (belief system), pandangan alam (worldview) dan sistem nilai dalam kalangan masyarakat Islam dari satu generasi ke satu generasi? Sejauh manakah sistem pengajian pendidikan harus dibangun di atas kerangka kuat yang memungkinkan umat memiliki kekuatan keislaman dan pengetahuan yang memadai tentang ajaran agama mereka? Malah, adakah wujud pentadbiran undang-undang Islam serta penguatkuasaan yang signifikan menyelesaikan permasalahan akidah yang semakin kompleks?


Dalam aspek pertama, pegangan dan amalan masyarakat Islam dengan fahaman aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah sangatlah kukuh dan sukar dirungkai, terutamanya di kalangan orang awam. Masyarakat Islam akan merasa ganjil dan resah apabila terdapat aliran lain yang berbeza daripada apa yang telah mereka anuti, cuba menyelinap masuk atau cuba melebarkan pengaruhnya.


Maka dalam isu-isu akidah, walaupun tidak dinyatakan secara khusus dan jelas, pemahaman dan penghayatan masyarakat Islam tetap kepada pemahaman dan pendekatan Ahli Sunnah. Hakikat ini dapat dilihat dalam setiap kes penyelewengan akidah dan kerohanian yang timbul dalam masyarakat Islam, maka ukuran dan penilaian dirujukkan kepada fahaman aliran Ahli Sunnah. (Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Negeri Pahang 1991, Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993, Johore Administration of Islamic Law Enactment 1978; Selangor Administration of Islamic Law Enactment 1989).


Namun begitu, gerakan Islam liberal, Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme tetap menjadi ancaman umat Islam arus perdana. Ummah kini sedang berhadapan tentangan dan cabaran daripada gerakan aliran pemikiran baru yang mengancam akidah, merobohkan kemurnian sistem nilai , memecah belahkan masyarakat sekaligus menjadikan agama kurang atau tidak signifikan dalam hidup bermasyarakat.


Ancaman ini menjadikan masyarakat terlalu bersifat materialistik yang berlebihan hingga melihat semua perkara sebagai bahan komoditi. Selain berpecah belah akibat fahaman pelbagai jenis yang bercanggah dengan pemikiran arus perdana, mereka juga gagal menjayakan fungsi agama sebagai penasihat dalam menghuraikan kepelbagaian pemikiran yang timbul.


Ia ditambah dengan usaha gerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar yang bertindak mempengaruhi NGO negara secara negatif. Salah satunya gerakan liberal Sister In Islam (SIS) yang menyediakan ruang terbuka kepada tokoh liberal luar negara melalui penglibatan mereka dalam anjuran-anjuran program di negara ini.


(sumber gambar)


Menurut Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady ketika membentangkan kertas kerja bertajuk 'Gerakan Aliran Pemikiran Baru dan Cabarannya Kepada Umat Islam' telah menjelaskan, cabaran gerakan membabitkan fahaman serta cara berfikir seperti Islam liberal, gerakan Syiah, Wahhabiah, pemikiran sekular, budaya konsumerisme dan mengagungkan selebriti.


Bagi memperkasakan akidah umat Islam, sistem pengajian dan pendidikan yang benar dan tulen harus disiap siagakan kepada setiap peringkat masyarakat. Dalam erti kata yang lain, penyuburan ilmu akidah seiring dengan pembangunan modal insan dalam sebuah institusi keluarga, komuniti masyarakat dan pembangunan negara. Peranan ini diletakkan atas punggak ibu bapa dalam proses mendidik anak-anak, ketua dalam mendidik ahli organisasi dan pemimpin dalam proses pembentukan jiwa rakyat.


Baru-baru ini, sebuah NGO mahasiswa, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) telah menganjurkan Kongres Pertama Rejuvenasi Sistem Pendidikan Islam Negara (Ko-Spin) dalam usaha untuk mewujudkan kesedaran rakyat terhadap pendidikan Islam di Malaysia. Kongres yang berlangsung pada 11 Julai itu bertujuan untuk menilai semula keberkesanan sistem pendidikan Islam yang diamalkan dan membetulkan pandangan dunia terhadap pendidikan Islam yang sebenar.


Semestinya, ia merupakan rentetan daripada masalah sosial dan kes gejala murtad kesan daripada kecelaruan akidah dan kegagalan ilmu berperanan sebagai benteng dalam diri. Sistem pendidikan dan pengajian Islam di sekolah mahupun di peringkat universiti belum cukup menjurus kepada peranannya yang sebenar. Malah, setelah dicermati, terdapat pensekularan dalam sistem pengajian di universiti dalam subjek-subjek pengajian Islam yang ditawarkan.


Selain pemurnian fahaman akidah dan sistem pendidikan, pentadbiran undang-undang Islam dan penguatkuasaannya memainkan peranan dalam menyediakan kayu ukur, peraturan dan prosedur dalam hal ehwal akidah dan syariah. Di Malaysia, Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam dan Penguatkuasaan – Perkara yang berkait dengan agama Islam, adalah di bawah kuasa Raja-raja dan Kerajaan Negeri di Malaysia.


Menyoroti cabaran akidah yang semakin menipiskan keimanan ummah, masyarakat Islam harus didedah dan dididik dengan pemahaman yang mendalam dan betul tentang akidah dan pemikiran arus perdana. Masyarakat Islam terutamanya pihak berkuasa agama patut berusaha mencegah dan menghalang fahaman dan aliran lain yang boleh menghakis pegangan masyarakat.


Maka usaha yang lebih gigih harus dilakukan antaranya memantapkan lagi enakmen dan undang-undang pentadbiran agama Islam dan penguatkuasaan yang menyeluruh termasuk jenayah akidah dan kerohanian. Kesatuan sistem dalam fahaman dan pegangan akidah Islam, amalan syariah dan sistem akhlak boleh memberikan impak besar dan menyumbang secara berterusan kepada kestabilan masyarakat dan perpaduan umat Islam.


Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO