Thursday, May 29, 2008

ILMU BUKAN DI KEPALA LUTUT

Arkitek dan senibina,
Jurutera dan bangunan,
Jurubina dan pembinaan,
Interior design dan layoutnya...


Saya masuk ke dalam rumah. Rumah tetap kukuh berpasak di bumi. Meja teratur bilik tersusun, makanan terhidang, tempat tidur bersih, ada ruang makan, ruang tamu, bilik air dan tandas. Saya memetik suis lampu dan kipas, ada cahaya ada udara. Lalu pandangan beralih ke luar, pandangan pada alam dan melihat benda dengan ketentuan masing-masing. Saya melihat pada buah manggis tumbuh berdekatan dengan durian. Durian dan manggis tumbuh pada tanah yang sama tapi rasa manggis tetap manggis, rasa durian tetap durian. Dilihat dari sudut manapun insan menghadapkan mukanya, kelihatan pada setiap sesuatu itu, pada setiap saat, ada yang memeliharanya.


Takjubnya saya merenung semua itu, adanya aturan memastikan manusia berfikir adanya Pengatur, Pemelihara dan Penjaga. Malam itu saya memandang ke langit. Cakerawala yang luas dihiasi dengan bintang-bintang yang berkelip-kelip. Matahari terbit setiap pagi dan terbenam setiap petang. Bulan sejak 1 haribulan, lalu menjadi purnama ke hari 15 dan bulan mengecil lagi menjadi bulan sabit. Peraturan yang tertentu ini menjadi asas untuk ilmu pasti. Ya, ilmu Matematik.


7.00 pagi
Selesai solat subuh, baca al-Quran dan Mathurat.
Rutin harian tarbiyyah pejuang muda.
Ya, Allah, istiqamahkan diriku menunaikan tuntutanMu...


Saya dalamkan renungan sedikit lagi atas gerak alam ini. Ilmu fizik yang saya belajar di sekolah. Juga konsep kinematik yang dipelajari di universiti. Mengapa matahari ini tidak pernah terjatuh padahal ia sangat besar dan berat? Mengapa bintang-bintang ini tidak pernah berkisar, kacau bilau?


Bola disepak oleh budak-budak di depan rumah. Melambung tinggi ke udara, akhirnya kembali juga ke tanah. Sebab ringan ia terapung ke atas dan sebab berat dia turun ke bawah. Mengapa matahari, bulan dan bintang tetap begitu, tidak pernah jatuh ke bawah padahal ia berat? Banyaknya bintang dilangit tidak terhitung, tidak sekali pun berlaga, tidak sekali pun berlanggar antara satu sama lain. Padahal beribu-ribu kenderaan di Kuala Lumpur mahupun kota-kota besar walaupun ada peraturan menggunakan lalu-lintas, sehinggakan berpeluh keringat abang polis trafik menjaga, pelanggaran terjadi juga.


Memang pasti teori fizik, yang berat turun, yang ringan terapung. Padahal yang lebih besar dan lebih berat iaitu bumi sendiri, matahari, bulan dan bintang-bintang menjadi bukti yang nyata, ke mana semua teori-teori itu. Mahu ataupun tidak, ilmu atau bukan ilmu, semua itu seakan-akan bersorak menyerukan nama : ALLAH, ALLAH!.


Ilmu Geologi...ilmu kajibumi, antara subjek kejuruteraan mencabar mindaku,
Ilmu alam ini berjuta-juta tahun!
Batu ditaksir sekian tahun!
Tanah ini sekian abad!
Himalaya yang sekarang, bukan Himalaya yang dulu
Bukan juga Himalaya yang esok!


Peraturan alam ini ialah alam akan berubah. Bumi sendiri pun, melalui perubahan-perubahan dalam jangkamasa beribu-ribu tahun, bahkan berjuta tahun, baru menjadi bentuk seperti sekarang. Kesan air, dari hujan ke sungai, dari sungai ke laut. Air disejat ke udara semula, gegaran hebat gempa bumi kerana runtuhan tanah pada perut bumi atau kerana letusan gunung berapi.


Kita berdiri ditepi laut. Kita lihat ombak menggulung.
Lalu kita bertanya: Kenapa ombak ini menggulung? Kerana udara!
Mengapa udara bergerak?
Kerana hawa panas!
Dari mana datangnya panas itu?
Dari matahari!


Siapa yang letakkan haba pada matahari? Bagaimana haba matahari itu dapat bertahan sekian lama? Apakah bahan yang memanaskan itu? Dari mana pula ia datang? Siapakah yang membuatnya?


......Athies terdiam. Nak kata jadi dengan diri sendiri, maka itu jelas menipu. Karl Marx sendiri, ketika hampir ajalnya, menyeru dan memanggil: God, oh god!


Akhirnya,
Allah... jawab orang beragama.

Wednesday, May 28, 2008

REFORMASI SOSIAL ISLAM


Menurut al-Qardhawi:


“Konsep-konsep yang menjalar masuk dalam masyarakat kita seiring dengan kedatangan penjajah. Konsep dan idea tersebut menyelinap masuk mendokong kehadirannya. Konsep itu memang menjadi dasar pegangan penjajah barat. Pada hal tidak pernah terlintas di hati kita untuk menanggapinya sedemikian rupa. Konsep dan idea tersebut berkaitan dengan urusan agama dan dunia, isu mengenai lelaki dan wanita, keutamaan dan kekejian, kebebasan dan kebekuan, kemajuan dan kemunduran, halal dan haram.


Konsep dan idea tersebut juga berkaitan dengan batasan pemisah antara kebebasan berfikir dan kebebasan untuk kufur, kebebasan sebagai hak dan bebas untuk fasiq, antara yang ilmiah dan sekular, antara negara agama dan negara Islam. Konsep dan idea tersebut sebahagian dari serangan pemikiran dan budaya yang menganggap keimanan kepada yang ghaib adalah lambang kemunduran, berpegang teguh dengan amalan agama suatu kebekuan, mengajak kepada perlaksanaan syariat Islam adalah manifesti ektremisme, amr makruf nahi munkar adalah kerja menjaga tepi kain orang, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas adalah liberalisasi, penghayatan wanita muslimat terhadap kewajipan memakai tudung sebagai amalan reaksioner, menurut legacy (Islam) adalah fanatik. Manakala menganggap ulama sebagai pelindung agama adalah suatu kemunduran, sedangkan golongan sekularis yang kebaratan mereka anggap sebagai pembawa obor kecelikan”.


Oleh kerana penjajahan itu juga dimangkinkan oleh situasi politik, ekonomi dan sosial dalam negeri yang buruk hasil dari dasar politik yang korup dan sebagainya, maka usaha hendaklah dilakukan untuk mewujudkan pemerintahan yang demokratik, adil, bersih, cekap, amanah dan seterusnya. Ini bukan dibuktikan oleh slogan yang diwarwarkan dalam media massa sahaja tetapi mesti dibuktikan dalam amalan. Masyarakat perlu yakinkan dengan kebenaran dan kejujuran jentera pemerintahan.


Antara agenda reformasi sosial Islam yang boleh ditampilkan ialah perkara-perkara seperti berikut:


  1. Merealisasikan budaya Rabbani dan kepekaan hidup beragama dalam masyarakat dan negara.
  2. Menjaga dan melindungi piawai tata-laku umum dan memperkasa institusi piawai tata-laku umum dan memperkasa institusi sosial dan madani seperti sekolah, masjid dan sebagainya.
  3. Membela institusi keluarga, merangkumi belia, wanita, kanak-kanak dan golongan cacat.
  4. Memerangi jenayah, kejahatan dan maksiat.
  5. Menegakkan sistem hisbah.
  6. Mengukuhkan keadilan sosial, menyediakan peluang pekerjaan untuk mencari sara hidup.
  7. Mereformasikan institusi kepolisian, mahkamah dan pentadbiran negara untuk mencapai taraf Good Governance.
  8. Mereformasikan sistem undang-undang negara.
  9. Meningkatkan kualiti sistem perlaksanaan pendidikan.
  10. Melindungi dan meningkatkan fasiliti kesihatan awam.
  11. Mewujudkan institusi media yang profesional, adil, seimbang dan beretika.
  12. Menggalakkan kegiatan dan membangunkan institusi seni yang beradab dan berorientasikan agama.
  13. Mengatur program pelancongan yang sihat dan berdaya maju.

Monday, May 26, 2008

BERFIKIRLAH SEPERTI AHLI POLITIK

“Memandangkan masa begitu mencemburui kita, saya akhiri ucapan ini dengan...bla,bla,bla”. Sebagai seorang pengerusi majlis atau pemberi ucapan, ungkapan seperti ini biasa disebut untuk mengakhiri suatu ucapan sama ada memang betul masa tidak mencukupi atau alasan kerana kekeringan idea untuk meneruskan ucapannya.


Masa mencemburui kita atau kita mencemburui masa? Pertanyaan ini diutarakan oleh seorang pensyarah saya sewaktu mengajar subjek Matematik Kejuruteraan. Kata-kata beliau sangat pedih, “Siapa yang mengatakan masa mencemburui kita adalah seorang yang bodoh”. Bodoh ke?.


Kata beliau memang ada benarnya. Masa tidak pernah mencemburui kita. Masa tidak mempunyai perasaan, masa tidak memikirkan tentang manusia, masa akan berlalu tanpa mengira siapa sahaja. Masa tetap akan melaksanakan tugasnya mengikut aturan Ilahi. Masa tidak terikat dan dikawal oleh sesiapa. Saat-saat masa akan terus berjalan sedetik demi sedetik tanpa mengira sama ada anda seorang Perdana Menteri, pegawai kerajaan, wakil rakyat, Jurutera, CEO syarikat, penjenayah negara, pelajar ponteng mahupun sebagai seorang peniaga atau petani kampung.


Kita yang sepatutnya mencemburui masa. Cemburu bila detik-detik masa berlalu tanpa terisi dengan program dan aktiviti bermanfaat. Cemburu juga bila orang lain di sekeliling kita bertambah cemerlang kerana menggunakan masa seoptimum mungkin. Tidak mustahil juga, cemburu kerana kita gagal mengurus masa sedangkan banyak tanggungjawab tugas yang masih belum selesai. Kita perlu rasa cemburu dengan masa apabila jarum saatnya bergerak tetapi kita masih lagi menangguh kerja. Apabila kita melihat jam, kita biasa akan melihat jarum jam dan minit yang bertukar dari semasa ke semasa tetapi kita tidak perasan dan kisahpun dengan jarum saat yang bergerak sedetik demi sedetik. Walhal, walaupun ia hanya detik-detik saat, namun ialah yang menentukan perubahan masa.


Jika tidak, masakan Allah berfirman. Demi masa, sesungguhnya manusia itu sentiasa berada dalam kerugian melainkan orang beriman dan beramal soleh.


Ada salah satu teknik yang saya pelajari berkaitan dengan pengurusan masa. Berfikir seperti ahli politik. Anda mungkin berkata anda bukanlah ahli politik untuk berfikir seperti ahli politik. Tetapi dalam keadaan yang tertentu anda perlu berfikir seperti mereka untuk mengawal masa anda. Kadang-kadang ada kemahiran politik yang sesuai untuk semua, jika keadaan memerlukannya. Mungkin sebab itulah Aristotle pernah berkata maksudnya, “Manusia adalah haiwan (hidupan) yang berpolitik.”


Ahli politik menyusun prioriti dengan berhati-hati supaya mereka tidak membazirkan masa mereka dengan melakukan perkara yang tidak memberikan kredit kepada mereka. Kebiasaanya, yang diberi keutamaan adalah kuasa. Jika seorang ahli politik menerima sepuluh panggilan telefon dalam satu masa, mereka tidak akan bertanya “Yang mana dulu?” tetapi mereka akan bertanya “Yang mana paling berkuasa?” ataupun “Yang mana paling membantu?” ataupun “Yang mana paling berbahaya?”. Mereka tidak akan membiarkan hidup mereka ’dicuri’ oleh ’pencuri-pencuri masa yang berkeliaran di sana-sini.


Jadi, berfikirlah seperti ahli politik.

ALAMAK! TERLEBIH SUDAH..


Saya sempat mengikuti beberapa siri siaran Akademi Fantasia 6 melalui diari AF tiap-tiap hari, itupun bukan dengan menonton tetapi mendengar. Sesuatu yang menggeletek diri saya dengan AF ialah trademark peserta-pesertanya yang akan disebut dan disorak setiap kali menaiki pentas menyampaikan persembahan. Mereka bukan sahaja dikenali dengan namanya tetapi juga dengan trademarknya yang selalu menjadi bahasa-bahasa para remaja. Riz dengan ’Ape kehe nyer yop!, Stacy – ’Alamak terlebih sudah!’. Toi popular dengan trademarknya “Yeye Aje”, manakala Nadia pula lebih senang dengan main “Redah je”. Nubhan dengan trademark yang biasa kita dengar “Cayalah”. Anak asuhan mak saya yang berumur 2 tahun pun pandai menyebut walaupun bunyinya agak pelat.


Mengapa mereka menjadi idol remaja? Kerana mereka menyediakan resepi sup santapan yang menyelerakan kena dengan citarasa remaja. Mereka bersungguh-sungguh memperkenalkan satu genre hiburan yang memenuhi jiwa remaja. Mereka membawa keseronokan dan keghairahan yang merangsang minat sehingga mereka berjaya menjadi ikon remaja. Yang paling penting mereka juga adalah remaja yang memahami remaja. AF bukan hanya mengetuk pintu hati golongan remaja belasan tahun, tetapi ’remaja’ berumur 50 tahun pun amat menggilai program realiti TV ini.


Hari ini kita melihat keruntuhan akhlak dan moral para remaja adalah lahir dari kepincangan dalam mengisi program untuk golongan ini. Gelombang hiburan yang melampaui batas, budaya galak bercinta monyet, watak-watak pemberontakan dan derhaka, gejala kemalasan untuk menggandakan usaha, ketumpulan daya fikir dan intelektual serta ketandusan budi dan akhlak mewarnai sebahagian anak muda hari ini.


Pada saya, senario hiburan melampau ini adalah suatu insiden yang telah mengorbankan berjuta-juta jiwa remaja. Akademi Fantasia, program realiti TV yang berada pada raking tertinggi dalam banyak-banyak program realiti TV yang lahir bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Bukan cendawan yang boleh dimakan, tetapi cendawan yang merbahaya dan membunuh. Saya percaya, selepas berakhirnya AF6 dengan kemenangan Stacy sebagai juara, remaja akan beralih arah ke program Geng Starz yang menyediakan menu sup yang hampir sama. Tetapi saya kagum dengan alternatif salah satu stesen televisyen untuk mewujudkan Akademi Nasyid, menyediakan satu platform untuk remaja menghayati konsep hiburan yang sebenar.


Bila menyebut tentang nasyid, saya teringat dengan dialog saya dengan seorang peserta program saya. “Nak buat macam mana kak? Saya memang tak minat nasyid. Nasyid tak kena la dengan jiwa saya nih!”. Kata salah seorang adik peserta program kem pembangunan diri yang pernah saya kendalikan. “Eh, nanti dulu, akak tak kata adik hanya perlu mendengar nasyid, dan akak tak kata mendengar lagu dari artis yang bukan nasyid itu juga tidak boleh. Percaya atau tidak, akak juga meminati beberapa kumpulan artis Indonesia. Akak suka dengan kumpulan Ungu, mereka bukan artis nasyid tetapi mereka ada alternatif untuk membawa mesej kesedaran dengan lirik-lirik lagu yang membentuk jiwa. Akak paling suka dengan dua buah lagunya, Andai ku tahu dan syurgaMu. Bukan sehingga memuja artisnya, cuma hayati liriknya. Tak salah kan, adik mendengar lagu-lagu artis seperti itu asalkan ia tak membawa adik lalai dan lupa kepada Allah”. Pesan saya. Saya menyambung lagi. “Akak bawa adik kepada satu keratan lirik lagu ini, tajuk lagu ’Ada cinta’ nyanyian Acha dan Irwansyah”. Saya tahu dia memang meminati dua artis Indonesia ini.


Mengapa berat ungkapkan cinta
padahal ia ada
dalam renai hujan
dalam terang bulan
juga dalam sedu-sedan

mengapa sulit mengaku cinta
padahal ia terasa
dalam rindu dendam, hening malam
cinta... terasa ada...


“Akak tahu, ia sebuah lagu duet antara dua pasangan kekasih yang menyatakan perasaan cinta antara satu sama lain. Tetapi akak cuba menghayatinya secara positif dari perspektif cinta kita sebagai hamba-Nya. Memang sukar dan sulit kan untuk mengungkap dan mengaku cinta kepada Allah”. Saya jelaskan kepadanya.


Belajarlah mendengar dan menghayati hiburan yang membentuk jiwa. Tidak mengapa, jika ia terlalu sukar, belajar secara perlahan-lahan. Islam itu mudah, yang menjadikannya ia sukar adalah diri kita sendiri. Bagi remaja yang menjadikan Al-Quran sebagai hiburan jiwanya, tahniah buat kalian. Teruskan membaca dan menghayati maksudnya kerana itulah sup santapan untuk jiwamu yang paling terbaik. Kata Nubhan AF6 – Cayalah!


Saturday, May 24, 2008

DARI JURUTERA BANGUNAN KE JURUTERA MANUSIA

Kejuruteraan awam merupakan bidang pengajian saya semasa dikampus. Skop bidangnya amat luas, namun dalam banyak2 yang saya pelajari, jiwa saya lebih tertarik kepada pengkhususan bangunan – ilmu secara teori dan praktikal untuk mengetahui dan memahami semua sistem-sistem dan perkhidmatan yang berfungsi di dalam bangunan. Kami didedahkan dengan sistem kebakaran dan pengangkutan bangunan, sistem elektrikal dan mekanikal, sistem akustik, sistem pencahayaan, dan pertama kalinya saya didedahkan dengan istilah kejuruteraan bangunan yang disebut bangunan pintar. Saya fikir pintar hanya pada akal fikiran, rupanya bangunan pun ada pintarnya juga. Semua sistem ini perlu diselenggara dan dikawalselia operasinya dengan teliti untuk menjamin keselamatan penghuninya.


Betapa teliti dan terperincinya seorang jurutera merekabentuk sesuatu binaan sehinggakan semua rekabentuk mempunyai standard yang perlu diikuti dari sebesar-besar struktur hinggalah yang paling kecil. Saya teringat beberapa sesi makmal outdoor bagi subjek trafik, kami diminta berdiri dan menunggu ditepi jalan depan kampus untuk mengira satu persatu berapa bilangan kenderaan yang melalui jalan tersebut sekadar mengambil data bagi merekabentuk sebuah traffic light. Rekabentuk struktur konkrit ’killer subject’ bagi saya dan rakan-rakan sekuliah tetapi inilah knowledge and skill yang paling penting dikuasai jika ingin bergelar engineer. Dari pembinaan struktur asas, tiang, lantai, tangga hingga ke bumbung semuanya ada standard yang perlu dipatuhi supaya bangunan yang dibina kukuh, stabil dan selamat. Tidak mustahil pensyarah saya selalu membingitkan telinga kami dengan pesannya dalam sesi kuliah, ”You’re engineer, please study hard for this subject. It’s important to you”.


Menjadi jurutera bagi saya amat mencabar walaupun saya belum mahir menerokai bidang ini. Apa yang anda fahami bila saya mula membuka topik di awal kelahiran blog ini – DARIPADA JURUTERA BANGUNAN KE JURUTERA MANUSIA. Saya teringat semasa aktif di kampus, saudara Kamil selaku pengerusi kelab saya sering mempromosikan saya dalam beberapa sesi suai kenal kepada peserta program: ”Apa yang menarik tentang kak hidayah ialah matlamatnya ingin menjadi jurutera manusia walaupun tidak berjaya menjadi jurutera bangunan”. Maaf saudara Kamil jika dialog ini ada silapnya, tapi bunyinya lebih kurang begitu. Saya semakin ghairah mengejar cita-cita ini kerana ini adalah jiwa saya dan saya berdoa agar terus istiqamah dengan cita-cita ini . Ya, menjadi seorang JURUTERA MANUSIA, menjadi agen perubah membangunkan ummah.


Saya ingin mengajak anda merungkaikan apa yang ada dibenak fikiran golongan remaja dan belia zaman sekarang. Apa pentingnya keseronokan dan hiburan pada mereka hingga sistem hidup Islam di pandang sebelah mata, itupun jika mereka masih ada mata – mata hati. Mereka dihinggapi dengan penyakit hati yang begitu kronik malah penyakit ini adalah penyakit berjangkit, virus keseronokan pada minat yang dikongsi bersama rakan, merebak dan terus merebak memakan sel-sel hati lalu mati. Tak perlu saya ceritakan sumber dan punca mengapa jadi begini kerana anda boleh membuka mata dan melihat sendiri. Dunia kian berubah dan semakin berubah untuk mengubah manusia kepada jiwa-jiwa syaitan.


Semasa di kampus saya selalu mengadakan slot diskusi bersama adik-adik yang rapat dengan saya. Saya selalu teringat kepada Zila, Yana, Aizat, Fairuz, Fiza dan Wani. Bagi saya, mereka adalah jiwa-jiwa muda yang tekun membina fikrah Islam tanpa jemu walaupun ada slot-slot diskusi yang saya bawa memang menjemukan. Latar belakang kami semua hampir sama, kenal Islam yang sebenar setelah memasuki alam mahasiswa. Tidak mustahil, kami juga pernah terjerat dengan jerat percintaan, menghayati bait-bait lagu siti nurhaliza juga mungkin, mengatur rentak menari ballet, bergaya dan berfesyen up to date, Wooow..amat menyeronokkan zaman remaja ketika itu. Mengapa kami semua terbuka hati menjadi kumpulan yang mencintai Islam? Kerana ukhuwwah kami telah mengikat hati-hati kami untuk tidak meletakkan cinta selain cintaNYA. Kerana ketekunan kami pada majlis ta’alim, pada puasa dan qiamullail, pada bacaan-bacaan ilmiah, duduk dalam suasana usrah, mengikat hati pada program-program yang telah menjana momentum perubahan dan terus-menerus melakukan perubahan. Berfikir untuk berhijrah, berhijrah untuk berubah. Berubah menjadi lebih baik. Tahniah buat kalian. Kalian lahir sebagai jiwa-jiwa muda yang meneruskan perjuanganku membina kembali bangunan yang telah usang. Apa itu bangunan usang? Teruskan membaca bebelan saya. Saya percaya anda remaja di luar sana juga mampu melakukan perubahan jika anda berfikir tentangnya.



Membangunkan manusia lebih baik daripada membangunkan bangunan tetapi membangunkan manusia juga lebih sukar daripada membangunkan bangunan. Rekabentuk dan sistem operasi bangunan semuanya direka oleh manusia. Sebagai jurutera, anda berhak menciptanya dan mengubahnya berdasarkan ilmu yang dimiliki. Tetapi untuk merekabentuk manusia dan mengoperasikan manusia, semuanya di tangan manusia itu sendiri. Kita tidak boleh mengubahnya jika mereka tidak mahu berubah. Yang mampu dilakukan hanya memberi kesedaran untuk melakukan perubahan. Merekabentuk bangunan ada standard JKR yang perlu dipatuhi, tetapi untuk ’merekabentuk’ manusia dengan memenuhi standard Allah sangat sukar.


Nah, adakah saya mampu menjadi seorang jurutera manusia yang berjaya? Saya tidak risau dengan masa depan saya sebagai jurutera bangunan kerana ramai lagi para jurutera di luar sana berlumba-lumba membangunkan bangunan megastructure. Walaupun kejuruteraan bukan bidang anda, anda tetap seorang jurutera yang mempunyai amanah membangunkan manusia kerana anda adalah khalifah Allah. Amanah anda akan ditanya, bersedialah...


’Andai Islam itu seperti bangunan usang yang hampir roboh, maka akan ku berjalan ke seluruh dunia mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramai bilangan mereka, tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantuku dan membina kembali bangunan usang itu menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah’.

– hasan al-banna-


Saya amat memerlukan kalian sebagai jiwa-jiwa muda yang mempunyai kesedaran untuk bersama-sama membina bangunan yang kian usang. Islam semakin jauh dari hati jiwa-jiwa muda...

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO