Friday, July 31, 2009

KAHWIN ITU BUTA...


Semalam, 30 Julai, genaplah dua bulan anniversary saya. Kami menyambutnya di warong kopi dengan menu nasi lemak dan teh tarik. Kata suami, dia teringin makan di warong. Mengimbau kembali zaman sebelum berkahwin bersama kawan-kawan, menyantap juadah sambil bersembang-sembang.


Pulang ke rumah, suami menghadiahkan sebuah buku sebagai kenangan ulangtahun bulan kedua perkahwinan kami. Hadiah sebuah buku adalah hadiah paling bermakna buat saya. Ia menjadi tambah bermakna kerana pemberian hadiah itu dari seorang yang amat saya cintai. Diharap isi kandungannya lebih memaknakan kehidupan saya sebagai seorang isteri, anak, aktivis dakwah dan hamba Allah.


Sewaktu rehat-rehat di ofis semalam, Kak Nik berceloteh pula tentang fenomena orang yang bercinta dan berkahwin ini.


"Kak Nik ingat lagi kata pensyarah Kak Nik dulu. Katanya.. “memang betullah agaknya bila remaja sekarang kata cinta itu buta…sebab tu saya tengok mereka yang bercinta ni jadi buta. Berjalan kena berpimpin tangan, nak melintas jalan kena berpimpin tangan. Biasanya orang buta sahaja yang berpimpin-pimpin. Tapi bila dah kawin ramai yang celik yer!”


Hehe..gelak dengar celoteh Kak Nik. Benar, itulah fenomena yang berlaku dengan orang buta bercinta dan celik ketika kahwin. Sebelum kahwin berpimpin tangan macam orang buta. Bila sudah kahwin, terbalik pula jadinya. Suami di depan, isteri tertinggal di belakang. Suami isteri macam pandai-pandai jalan sendiri.


Kalau boleh, sehingga akhir hayat, saya mahu menjadi orang ‘buta’ di samping suami. Buta itu romantik!


Bersama menghayati anugerah yang Allah berikan, menikmati pahala yang Allah janjikan, menghidupkan sunnah yang Rasulullah tunjukkan. Akhirnya, cinta dan kasih sayang berpanjangan.


Anda bagaimana, cinta buta, cinta celik atau cinta rabun-rabun ayam?


Monday, July 27, 2009

Beli Buku Lagi..

Entri kali ini pendek sahaja. Sekadar bercerita dan mengisi sedikit masa sebelum Zuhur. Lagipun, deadline majalah sudah diawalkan oleh Kak Nik. 1 Ogos perlu hantar bahan. Jadi, kena pulun kerja minggu ini. Nak mengupdate blog sambil-sambil, bolehlah...


Jumaat minggu lepas, saya membeli 2 lagi buku koleksi Risale-i-Nur, karya Bediuzzaman Said Nursi. Epitomes of Light dalam terjemahan Bahasa Indonesia dan The Rays dalam Bahasa Inggeris.


The Reasonings & Epitomes of Light. The Rays tiada dalam gambar.


The Rays, saya hadiahkan kepada adik saya, Nahwan Nur. Tetapi adik saya tidak mahu terima sebagai hadiah. Katanya, “nak pinjam je”. Tidak kisahlah, sebagai hadiah atau pinjam. Asalkan dapat membaca dan memenuhkan ilmu di dada.


Sebelum ini, saya ada memiliki 1 koleksi Risale-i-Nur iaitu The Reasoning yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa yang lalu. Kesempatan menghadari seminar ‘The Role of Justice in Solving The Problems of the Muslim Ummah According to Bediuzzaman Said Nursi' di UIA jumaat minggu lepas, saya membeli dua lagi koleksi tersebut.


Ada siapa yang nak pinjam buku saya? Angkat hidung…

Oh, saya tak nampak hidung semua.


Ada siapa yang nak pinjam buku saya? Angkat tangan…

Oh, saya pun tak nampak tangan anda…


Alamatnya, tiada siapa pun dapat pinjam buku saya…


Jemputlah datang ke Maktabah Nur Irsyad, di rumah saya Kg. Laksamana, Gombak. Saya akan menambah lagi koleksi buku saya..


Ok ya, sampai sini sahaja. Mahu sambung kerja..selepas ini akan muncul entri baitul muslim. Tunggu...siapa yang berminat membacanya.


(Himpunan Risalah An Nur telah dijilidkan kepada beberapa buah buku dari pelbagai penerbit. Koleksi buku utamanya ialah The Words, The Flashes, The Rays and The Letters. Keseluruhan himpunan Risalah An Nur ini ialah 6000 halaman/muka surat. Boleh lihat di sini atau melalui enjin carian yang lain)


Thursday, July 23, 2009

NEO-MU'TAZILAH & PENGALAMAN MENULIS


Kalaulah saya boleh mewajibkan anda melayari laman web tertentu, saya akan wajibkan anda untuk melayari laman INSISTS biarpun hanya sebentar. Terokailah laman itu, galilah sebanyak mungkin ilmu di dalamnya dan fahamilah keadaan umat yang kian menitiskan peluh kekufuran. Dalam laman itu, anda akan melalui proses kelana ilmu dengan laras bahasa yang tinggi dan termonologi yang berat tetapi mampu mengubah dogma dan pemikiran yang sempit kepada lebih terbuka.


Jika saya boleh mewajibkan anda membaca buku tertentu, akan saya wajibkan anda membaca buku-buku aliran pemikiran arus perdana khususnya sekularisme dan liberalisme. Cukup saya bertanya kepada anda, apakah yang anda baca, faham dan kaji tentang dasar pensekularan yang diterapkan dalam sistem pendidikan hari ini? Adakah anda mengenali Zainah Anwar dan Prof. Yakin Erturk di sebalik gerakan feminisme SIS?


Gejala pemikiran Islam Liberal (Islib) kian ligat menapaki hati ummat. Tanpa sedar, aliran pemikiran baru ini mengancam akidah umat dari dalam, dengan pendekatan yang halus, bersama strategi yang tersurat dan tersirat. Sekalipun golongan mu’tazilah sudah tiada, banyak lagi aliran pemikiran yang baru yang hadir dengan wajah neo-mu’tazilah. Mu’tazilah moden - Itulah liberalisme.


Pengalaman saya menulis satu artikel majalah minggu lepas menyebabkan saya mahu sahaja hanyut dalam lautan buku dan ilmu. Di hadapan saya komputer, di atas meja saya timbunan buku dan kertas kerja. Alangkah ceteknya ilmu dan gagasan pemikiran saya rasakan ketika itu. Satu ayat pun tidak tertaip, satu persoalan pun tidak terungkai. Saya buntu dalam menulis satu artikel tentang asas Islam. Akidah.



Akidah adalah akar dan pokok kehidupan Muslim. Bagaimana saya mampu mengulas tentang dahan, bunga dan ranting Islam, sedangkan saya tidak menjumpai persoalan akarnya. Rupanya baru saya sedar, akidah bukan hanya berbicara tentang Tauhid Rububiyyah, Uluhiyyah dan Asma’ Wal Sifat. Bukan saja apa yang diceritakan oleh Fathi Yakan dalam Maza Ya’ni. Tidak cukup setakat membaca Asas-asas Islam dan Amal Islami karangan tokoh gerakan era 80-an. Kita ketinggalan ke belakang jika masih menatapi bahan bacaan ringan seperti itu. Pada pandangan saya, ia ringan.


Cabaran akidah semasa amat rumit. Neo-mu’tazilah telah mencengkam kita dengan pelbagai nama dan gaya pendekatan. Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia ligat mempengaruhi pemikiran umat di sana. Dan SIS menjadi duta liberalis di Malaysia dengan agenda feminisme, menuntut kesaksamaan gender. Malah, kebanyakan mereka adalah pensyarah di universiti Islam Indonesia dan Malaysia. Medan intelektual seperti di universitilah, ruang mereka melahirkan kader-kader dan pelapis liberalis. UIA tidak terkecuali.


Setelah saya membaca buku Ancaman Islam Liberal tulisan Dr Ugi Suharto, saya semakin dibuai keasyikan untuk terus mentelaah beberapa bahan tentang aliran akidah semasa yang lain. Ia termasuk buku Fenomena Pemikiran Islam Liberal dan Implikasinya kepada Kedudukan Islam dan Penganutnya di Malaysia. Dua buah buku ini amat membantu saya ketika menulis artikel Majalah bertajuk Feminisme: Tuntutan Keadilan Kontemporari. Cuma masalah saya ialah menulis dalam laras bahasa yang difahami umum.


Saya mencadangkan kepada anda untuk mendapatkan buku-buku ini di pasaran terutama buku Ancaman Liberal Islam tersebut. Setahu saya inilah bacaan paling akademik dan analitikal yang pernah saya baca dalam timbunan buku tentang akidah yang lain. Pada sesetengah orang, ia amat berat dan membebankan. Tambahan, ditulis dalam bahasa Indonesia.


Kebanyakan penulisan saya berbunyi ‘ancaman’, ‘kritikan’ dan ‘cabaran’. Untuk keluaran Ogos hadapan, saya menulis tentang ancaman neo-mu’tazilah mencabar akidah (bukan tajuk sebenar). Saya mengakui, saya bukanlah pakar untuk mengulas sesuatu isu yang asalnya bukan disiplin ilmu saya. Sejujurnya, saya amat meminati bidang kewartawanan dan penulisan kerana ia merupakan ruang terbaik untuk banyak belajar, membaca, menganalisis, berfikir dan melihat dunia semasa.


Saya tidak layak mewajibkan anda untuk membaca dan melayari ilmu-ilmu tertentu. Setiap individu sudah tentu ada kecenderungan budaya membaca masing-masing. Alangkah baiknya, jika usaha ini bermula dari dalam diri anda sendiri.


Sekadar muhasabah bersama, apakah usaha kita untuk mengesat air mata umat? Tentulah dengan persiapan yang paling utama.


Persiapan ilmu.

Cukupkah ilmu di dada?



Tuesday, July 21, 2009

ANTARA BERAT ISI, BERAT TULANG & BERAT HATI...

Kurus & Gemuk


38.7 kg! Terkejut saya sambil memandang muka suami ketika melihat nilai tersebut pada alat timbangan. Berat badan saya semakin susut nampaknya. Sebelum berkahwin dulu, sampai jugalah 41 kg. Sebulan selepas kahwin berat turun hampir 3 kg. Tetapi ramai yang kata saya kelihatan lebih berisi berbanding dulu. Entahlah, mana satu yang betul. Yang pasti, saya semakin risau. Suami lebih lagi.


Dulu, sebelum kahwin, ramai sahabat saya kata, “Jangan risau, lepas kahwin nanti gemuklah tu!” saya jawab, “Aku taknak gemuk, berisi tu ok.” Waktu itu, saya sibuk mencari supplement untuk naikkan berat badan. Daripada pil vitamin menambah tenaga, pil meningkatkan selera makan sehinggalah weight gain saya mencubanya.


Tetapi sekarang, jangan kata hendak gemuk, berisi pun tidak. Jangan kata hendak naikkan berat isi, berat tulang saya pun hanya 1.7 kg! Kata ahli farmasi semasa pemeriksaan kesihatan tempoh hari, “Kamu kena dapatkan berat tulang lebih daripada 2.5 kg untuk kesihatan yang ideal. Tulang kamu kecil sangat”.


Aduh, kalau begini, antara berat isi dan berat tulang, saya pilih berat hati!


Saya ini bukan kuat makan orangnya. Nak kata jaga makan pun tidak. Sedikit sebanyak, perangai saya ini terkena tempias pada suami. Selalu saya berleter pada suami, “Abang kena jaga makan. Jangan makan banyak sangat sebab sayang taknak tengok abang gemuk dan perut buncit!.”


Suami gelak bila saya kata begitu. Katanya, susah nak jumpa orang lelaki yang tidak berisi badan dan perutnya lepas berkahwin. Saya bukan apa, takut saiz badan saya dan suami tidak sepadan. Kata orang, biar ‘Duduk sama berisi, berdiri sama serasi’.


Makan banyak kali boleh, tapi setiap kali makan ambil sikit sahaja. Maksudnya, makan sikit,” pesan saya lagi sambil berkongsi tips sihat yang sempat saya baca di ofis hari itu.


“Tapi makan sikit ni ada dua maksud,” balas suami. “Satu makan sikit iaitu makan dengan kuantiti sedikit. Satu lagi makan sikit, ‘sikit-sikit…makan!, sikit-sikit…makan! Jadi makan sikit pun tetap gemuk,” suami berseloroh.


“Jaga makan pun ada dua maksud,” saya pula cuba membuat jenaka. “Satu jaga makan dalam erti kata menjaga diet pemakanan. Jaga makan yang kedua ini bahaya; ‘asal jaga je…makan!, asal jaga je… makan,” jawab saya dan suami tersenyum lebar.


Akhirnya, saya buat keputusan. Daripada saya pening-pening fikir macam mana hendak gemukkan badan dan takut suami gemuk, lebih baik saya berfikir akan gemuk yang kedua ini.


Kalau ‘makan sikit’ ada dua maksud, ‘jaga makan’ pun ada dua maksud, bagi saya gemuk pun ada dua maksud. Satu, gemukkan badan, kedua gemukkan iman.


Saya pilih gemukkan iman!.


Nampaknya lepas ini kena merancang diet pemakanan iman pula. Agak-agak apa supplementnya ya?



Monday, July 6, 2009

VARIASI & SINERGI DALAM IDEALISME


Ada dua orang sahabat mahasiswa. Seorang pelajar jurusan sastera. Seorang lagi pelajar aliran sains tulen. Keduanya mempelajari bidang yang berbeza antara satu sama lain. Terdapat banyak kontradiksi pada sikap dan pemikiran keduanya.


Pelajar sastera tadi mengajak sahabatnya berjalan di tepi tasik, “Marilah kita berjalan-jalan sambil melihat tasik itu. Tasik itu menyejukkan mata. Airnya tenang dan mendamaikan jiwa.” Dia berpuitis.


Jawab sahabatnya pula, pelajar sains itu, “Bagaimana kamu boleh kata tasik itu tenang dan damai? Bukankah dalam airnya terdapat molekul-molekul yang saling bertembung dan melanggar antara satu sama lain? Tenangkah air jika molekul saling berlanggar dan berlawanan?”


Inilah tamsilan suatu variasi…



‘Banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam.’ Betapa sinonim pepatah ini dalam menyemak kamus kehidupan manusia yang pelbagai warna dan citra rasa.


Ada yang begitu, ada yang begini. Ada yang suka itu, ada yang suka ini. Ada juga yang tidak suka melakukan apa yang dia suka dan suka melakukan apa yang orang lain tidak suka. Hidup untuk suka-suka pun ada.


Dalam konteks dakwah pun begitu. Pendakwah seperti udang dan garam, lain orang lain ragamnya. Yang ‘meragam’ pun ada. Begitulah juga dengan dua orang pelajar tadi. Terdapat kontradiksi dari sudut pandangan masing-masing. Mereka berfikir, bertutur, bertindak dan bernaluri dalam kepelbagaian. Kepelbagaian tersebut dipengaruhi usia, kemampuan fizikal, kebolehan bertindak dan tahap intelek seseorang.


Konsep kepelbagaian ini dinamakan variasi. Variasi diseimbangkan dengan sinergi. Kemahiran bersinergi ialah bagaimana kita mampu mencari titik paduan dalam variasi atau kepelbagaian. Sinergisme dizahirkan apabila kesan tindakan gabungan dua individu atau lebih menghasilkan nilai yang lebih baik dibandingkan dengan tindakan individu tersebut secara bersendirian.


Begitu juga dalam variasi dakwah, kita akan temui idealisme yang bernas dan hebat. Ada yang mampu mengeluarkan idealisme yang lebih bernas dan lebih hebat. Selebihnya berdiam diri, menjadi kumpulan yang dengar dan taat.


Bagaimanakah kejayaan idealisme itu diukur? Hebat dan bernas atau lebih hebat dan lebih bernas? Atau yang berdiam diri?


Idealisme yang berjaya ialah idealisme yang bersatu. Variasi idealisme didokongi bersama sinergisme. Kita bekerja merealisasikan idealisme dengan dimensi kesatuan dan kebersamaan. Kita berjaya mencari titik paduan yang berkesan disebaliknya.


Kejayaan dakwah diukur dengan bersatu atau tidak bersatu, bukan hebat atau tidak hebat. Meskipun kita pemimpin yang beridealisme unggul, namun tanpa kesatuan ahli, kita seperti tunggul. Tiada kejayaan pada pengislahan tanpa kesatuan fikrah dan amal secara bersama dan menyeluruh.


Kata Imam Hasan al-Banna: Prinsipnya, “Bersatu dalam perkara yang benar dan betul lebih baik dari tidak bersatu dalam perkara yang lebih benar dan lebih betul.”



Thursday, July 2, 2009

BEREHAT MENCARI TEMPO

Sehingga sekarang, saya dalam rehat yang panjang dari menulis blog. Idea saya tidak sempat dirajahkan dalam bentuk peta minda sebelum menulis. Kebiasaannya, sebelum menulis, saya akan melakar peta minda dengan cabangan idea yang lebih fokus. Tiada peta minda, tiadalah saya menulis.


Dalam tempoh dua minggu ini, jadual saya padat dengan program, mesyuarat dan usrah. Hampir tiap-tiap malam tiada masa senggang untuk duduk sahaja. Suami juga begitu. Masih fresh lagi dengan gelaran pengantin baru, maka banyak urusan perlu diselesaikan. Rumah sewa pun masih belum cukup terurus. Fizikal yang kurus inipun belum terbiasa dengan bebanan yang semakin bertambah.


Kerana itu, saya tidak terlalu tergoda untuk menulis. Banyak lagi bahagian-bahagian terpenting dalam kehidupan ini yang perlu diraikan dengan keutamaan. Terlalu banyak perkara untuk saya muhasabah.kepada suatu permulaan bagi satu perjalanan yang lebih panjang.


Kata-kata sasterawan Marsli N.O.:


“Bagi saya peribadi, jika sedang tidak berasa terlalu tergoda untuk menulis, lebih baik saya melakukan sesuatu untuk meraikan bahagian lain di dalam diri saya. Melakukan sesuatu yang sama sekali lain yang dapat meredakan rasa tegang dan gelisah di dalam diri saya.“Saya tidak menjadi terlalu gelisah kerana sedang tidak menulis kerana bagi saya, saya berasa saya sebenarnya masih tetap berada di dalam porses untuk menuliskan sesuatu sebenarnya.“Saya katakan begitu kerana ketika saya sedang bersantai-santai atau melakukan sesuatu yang lain itu, saya sedar di dalam kepala saya sesekali saya juga sedang berfikir mengenai sesuatu yang terasa mengganggu hati dan perasaan seni saya.”


Tuan Marsli menulis lagi di dalam blognya:


“… menulis itu bagi saya adalah suatu proses yang panjang. Proses itu tidak bermula ketika saya sedang menghadap papan kekunci, tetapi ianya sebenarnya bermula tatkala hati dan perasaan saya tersentuh oleh sesuatu, sama ada peristiwa yang saya lihat, dengar, baca atau alami sendiri. Ketika saya sedang bersanta-santai dan melakukan sesuatu yang lain yang tiada kena-mengena dengan menulis, otak saya sebenarnya ikut dan sedang aktif berfikir juga mengenai sesuatu yang nanti boleh saya kembangkan menjadi sebuah tulisan yang utuh.”


Kredit buat Tuan Haji Zakaria Sungib, editor Galeri Ilmu . Kata-kata tersebut saya dapati dari entri blognya – Tempoh Berehat untuk Mencari Tempo Menulis.


InsyaAllah, kerana dakwah akan saya ke sini lagi...


Akhirnya, terima kasih buat 'abang' untuk hadiah sebulan ulangtahun perkahwinan kita. Penghargaan yang tidak terluah dengan kata-kata. Semoga cinta kita terus kekal abadi. Ya Allah...peliharalah mawar ini...



RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO