Thursday, December 23, 2010

LUAR BIASA HEBAT DENGAN SIKAP "TETAP LAPAR, TETAP BODOH"

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah yang telah memberi keluangan dan kesempatan untuk saya menulis, berkongsi ilmu sekaligus saling belajar antara saya dan pembaca.


Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca yang tetap sudi menjenguk blog yang hampir bersawang sesudah sekian lama tidak dikemaskini. Saya bersyukur dan gembira dengan sambutan terhadap blog ini. Meskipun semakin kurang, tetapi kunjungan tidak pernah putus daripada peminat tegar.

Secara terus terang, masa untuk mengemaskini blog ini semakin terhad. Kesibukan semakin menunjangi kehidupan yang semakin hari semakin kompleks. Permasalahan hidup sudah menjadi semakin sukar. Beban kehidupan semakin berat. Amanah semakin membukit.

Saya percaya, sahabat juga begitu. Justeru, saya dapat merumuskan bahawa kekuatan tenaga positif yang mampu menangani apa jua cabaran kehidupan. Dan dengan kekuatan tenaga positif tersebut saya meringankan hati dan jari untuk menaip setiap butir kata. Tidak lain, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan bantuan Allah jua.

Saya rindu untuk berkongsi ilmu, maklumat dan pengalaman yang diceduk dari beberapa buku dan program yang pernah saya tekuni. Sekadar permulaan, apa kata kita menerobos tujuan kewujudan kita sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Jika sains banyak mengkaji ‘bagaimana sesuatu itu terjadi?’, maka kajilah ajaran agama tentang ‘apa tujuan sesuatu itu terjadi?’.

Sebenarnya, kita sering terlupa tujuan sebenar kita dijadikan. Sebagaimana pengertian ‘manusia’ yang berasal dari kata ‘nasi’ yang bermaksud lupa. Justeru definisi manusia itu menjerat diri kita sendiri. Kita dibawa arus kelalaian, kelupaan, keduniaan, keseronokan dan pelbagai arus kebejatan yang lain. Langsung kita tenggelam ketika merunduk bah tersebut, mengasingkan kita dari makhluk yang berjiwa besar dan berminda hebat.

Manusia ialah sebaik-baik makhluk ciptaan Tuhan, Saya dan sahabat mampu melakukan pelbagai perkara yang luar biasa. Sedihnya, kita sering melihat kehebatan itu pada diri orang lain, tidak pada diri kita menyebabkan kita mudah menyerah kalah sebelum bertarung dengan keupayaan sendiri. Barangkali mitos yang biasa kita tuturkan ialah ‘sudah nasib aku begini’ atau ‘ini sahaja yang termampu aku lakukan’.

Hidup ini terlalu singkat, jadi berikan yang terbaik!

Setiap apa yang saya tulis, itu adalah untuk saya. Setiap apa yang saya fikir, itu adalah untuk saya. Setiap apa yang saya buat, itu adalah untuk saya. Jadi, bagaimanakah hidup yang saya pilih?.Bagaimana pula hidup yang sahabat pilih?

Ketika saya membaca buku ‘Menjadi Pemimpin Super’, saya tertarik dengan satu saranan yang diutarakan penulis, Beliau menyarankan kita menjadi orang yang “Tetap Lapar, Tetap Bodoh”.

Orang lapar adalah orang yang sentiasa mensyukuri nikmat sesuap nasi. Orang lapar sentiasa tabah dalam menghadapi segala cabaran. Orang lapar sentiasa berusaha keras demi mencapai kehidupan yang lebih baik.

Orang bodoh biasanya tidak mempunyai perasaan syak wasangka. Orang bodoh biasanya bersikap terbuka pada perkara-perkara baru. Orang yang merasa dirinya bodoh akan sentiasa belajar dan terus sahaja mempelajari pelbagai ilmu baru.

Selamat menjadi manusia yang luar biasa hebat dengan sifat “Tetap Lapar. Tetap Bodoh”.

InsyaAllah, moga dapat berkongsi dan saling belajar di lain masa.

Monday, May 10, 2010

Menulis Dengan Konsep 3i



Alhamdulillah, tiada kalimah yang lebih indah diungkapkan pada kali pertama meletakkan jari di papan kekunci notebook ini, melainkan kalimah syukur kepadaNya. Allah masih memberi nikmat ilmu dan ilham untuk menulis. Meskipun minda seakan buntu dek banyaknya tanggungan di kepala, akhirnya laman blog berjaya dikemaskini dengan 'paksaan' dalam rela.


Apabila mengungkit keadaan di atas, saya teringat akan satu kata-kata motivasi yang pernah dituturkan dalam sebuah program. Dalam program tersebut, saya menyedarkan sahabat-sahabat peserta betapa pentingnya mengurus fikiran untuk mengurus ucapan. Maksudnya, ucapan yang terurus, tersusun, berkesan dan tidak dipengaruhi emosi adalah implikasi dari fikiran yang turut diurus dengan baik.


Tidak salah jika saya kaitkan ucapan sama dengan penulisan. Bahawa salah satu hambatan yang mengekang saya mengemaskini blog kerana fikiran saya turut dikekang dengan timbunan tugas yang berat dan semakin banyak. Ia membantutkan motivasi saya untuk menulis. Kadang-kadang keinginan itu datang, idea sudah tergolek di depan mata tetapi apabila teringat kerja yang lain, keinginan terhenti di tengah jalan.


Apa yang menarik, saya termotivasi dengan konsep 3i yang diperturunkan oleh Ust. Nasarudin Isa dalam satu ucapannya. Ujar beliau, teguhkanlah hati untuk berdiri dengan konsep 3i dalam setiap kerja buat kita iaitu Ikhlas, Itqan dan Istiqamah.


Ya, 3 amal yang amat payah diperteguhkan, namun apabila ia semakin sebati dan selalu diingati, setiap yang berat akan menjadi ringan, yang sukar menjadi mudah. Tidak ada yang senang dalam beramal, segala perlu mujahadah. Menulis juga begitu walau sekadar menaip apa yang kita fikir. Tanpa ketiga-tiganya, usaha menjadi sia-sia.


Adakah kita benar-benar ikhlas menulis? Adakah kita sudah itqan dalam menulis? Adakah kita istiqamah dalam amalan menulis?


Saya akui belum cukup sempurna pada ketiga-tiganya, tetapi setiap kali saya ingat 3i di atas, saya akur bahawa bakat dan kelebihan menulis perlu digunakan seoptimanya. Peluang dakwah sudah terbuka dengan mata pena. Apa yang penting, istiqamah dengan usaha yang sedikit, biar lama-lama menjadi bukit.


Saya akan mulakan sekarang! Langkahnya? Dengan mengurus fikiran seiring dengan mengurus masa dan kerja. Urus fikiran untuk mengurus tulisan!

Sunday, February 7, 2010

Motivasi Usrah

Petang ini sangat menarik dalam banyak-banyak petang sepanjang minggu ini. Masa terisi dengan aktiviti yang paling saya rindui setiap masa. Meskipun hampir setiap minggu saya mengikuti aktiviti tersebut, namun kali ini berbeza momentumnya.


Saya baru pulang dari mengikuti satu usrah di Batu Caves, Gombak. Sudah berbulan-bulan lamanya usrah itu tidak dihidupkan. Ramai yang ternanti-nanti jemputan usrah tetapi tidak ramai yang mampu membinanya semula. Sebagai tamsilan, ramai yang suka menerima, tetapi tidak ramai yang mahu dan mampu memberi.


Saya begitu kagum dengan kesungguhan muslimat Taman Jasa untuk menghidupkan usrah ini kembali. Setahu saya, muslimat yang berpangkat ‘makcik-makcik’ dan ‘nenek-nenek’ agak lemah dalam kerja-kerja teknikal. Namun berlaku sebaliknya dalam perlaksanaan usrah ini. Kerja menaip surat, menghantar surat, jemputan nakibah, persiapan tempat, segalanya diurus oleh mereka. Saya datang dengan hati yang lapang. Kehadiran hampir 50 orang.


Saya telah mencadangkan agar Ustazah Nafisah selaku nakibah usrah, membawa tajuk ‘Motivasi di jalan dakwah’. Biarlah usrah ini kembali hidup dengan asas dan tapak yang kukuh terlebih dahulu. Mereka perlukan suntikan yang mempunyai vitamin motivasi untuk menyegarkan tubuh dakwah yang semakin hari semakin tua, jauh dan lemah.


Sebagai AJK Lajnah Tarbiyah, amanah saya semakin bertambah. Adalah suatu cabaran untuk memastikan program ini berterusan secara konsisten. Namun begitu, selesai mendapat suntikan tadi, saya memperoleh iltizam baru yang lebih luar biasa.


Amanah ini akan digalas sebaik mungkin sebagai bukti pada diri sendiri bahawa saya adalah seorang agen perubahan masyarakat dan jamaah. Kata Ustazah Nafisah, setiap orang mahu mencapai kemuncak yang paling tinggi dalam memenuhi impian hidup. Seharusnya hal yang sama digarap dalam ibadah. Kemuncak ibadah ialah dakwah atau jihad di jalan Allah.


Rabu ini, saya akan mengendalikan usrah Nisa’ pula. Seperti yang dirancang, usrah pada 2 minggu yang lepas berobjektifkan pembinaan fikrah. Manakala Rabu ini pengisiannya menjurus kepada modul pengurusan dan latihan kepimpinan. Pembinaan fikrah dan pembentukan pengurus dan pemimpin adalah objektif yang akan diselang selikan pada usrah Nisa’ Gombak 2010.


Semoga Allah memudahkan urusan saya. Allah pemilik semua perkara dan penentu segalanya!


Sekiranya seruan ini dapat menjelma menjadi angin,
Biarlah ia menembus ke setiap hati para pejuang,
Menelusup ke dalam bahagian yang paling putih,
Menjaganya supaya tetap bersih dan suci.


Agar sentiasa hadir keperkasaan,
Yang sentiasa mampu menentang kelemahan,

Supaya sentiasa mampu menentang kebatilan,
Supaya sentiasa tertorehkan catatan emas,
Hingga sentiasa jaya,
Islam dan kaum Muslimin Seluruhnya.

Sunday, January 24, 2010

Politik Pelajar

Semasa subjek Sejarah, saya bertanya pada pelajar, "Zaman paling awal zaman apa?.” Pertanyaan saya berkaitan dengan Bab 2 Tingkatan 1 iaitu Zaman Prasejarah.

Lantas pelajar saya menjawab, "Paleolitik cikgu".

Saya bertanya lagi, "Lepas tu zaman apa?.” “Mesolitik,” jawab mereka.

“Selepas Mesolitik?,” saya menguji lagi.

"Neolitik cikgu!”

Kemudian saya bertanya, "Sekarang zaman apa?”

"Zaman Politik cikgu!"


Jawapan pelajar saya membuatkan saya tersenyum. Saya tidak terfikir jawapan yang sebegitu rupa ketika saya menjadi pelajar dulu. Barangkali tsunami politik sedikit menjentik minda mereka walau masih belum matang memikirkannya. Buka surat khabar, ada cerita politik. Buka televisyen, ada berita politik. Di rumah mendengar komen politik jika ibu bapanya peminat politik.


Namun, saya tidak lanjutkan sesi pembelajaran dengan cerita politik semasa. Sekolah bukan tempat dan masa yang sesuai untuk perkara itu. Sepanjang 3 minggu menjadi guru, saya sendiri gagal mem'politik'kan para pelajar.


Kerajaan kata guru jangan berpolitik!. Maka, jangan ada yang salah faham. Maksud politik di sini ialah bagaimana bersosial dengan pelajar, membina hubungan yang berkesan, mengawal hura-hara di dalam kelas, pastikan mereka duduk diam, dan menyiap kerja sekolah tanpa saya perlu marah-marah dan rotan-rotan. Mudahnya, mempolitikkan para pelajar ialah mengurus tadbir mereka, menjaga urusan mereka, memberi khidmat kepada mereka sebagai warga atau rakyat sekolah.


Kata as-siyasah (politik) dalam bahasa Arab berasal daripada kata saas yasuus siyasah yang bermaksud mengatur atau memimpin. Oleh itu, dikatakan binatang atau kuda mengatur urusan (berpolitik) jika binatang tersebut mencari sendiri makanan dan minuman, juga berlatih dan membersihkan diri sendiri.


Pada saya, guru juga harus bijak ber’politik’. Ilmu psikologi juga adalah cabang ilmu politik iaitu disiplin ilmu tentang organisasi sosial kemasyarakatan. Kemahiran mendidik bukan sekadar dalam lingkaran teori pedagogi. Sampai suatu tahap, saya akan menggunakan kemahiran ‘membodek’ (auta) pelajar yang disebut sebagai autagogi.


Pernah suatu hari, saya meletakkan status ini di facebook dan menerima komen-komen dari sahabat yang kebanyakan daripada mereka adalah guru dan pensyarah berpengalaman. Terus terang saya katakan, hampir kesemua pelajar saya luar biasa ‘baiknya’. Sampai hari ini saya belum menemui formula membentuk dan mencorak sikap mereka yang luar biasa itu.




Saya hanya seorang guru sandaran. Tapi harapnya, sandaran itu tidak membawa maksud saya seorang guru yang hanya tahu menyandar di pintu bilik darjah. Saya tempat pelajar menyandarkan harapan kejayaan dan kebijakan.


Nasihat saya kepada pelajar tidak kira di sekolah atau universiti, hormatilah guru dan pensyarah anda. Jika anda menjadi guru dan pensyarah kelak, baru anda tahu bagaimana perasaan seorang pendidik yang tidak dihormati dan disanjungi anak didiknya.


Akhir sekali, saya tertawa menonton Raja Lawak malam ini. Kata pelawak Alex yang melakonkan watak guru, “Jika orang yang belajar namanya student, orang yang tidak mahu belajar namanya stupid. Maka stop it dari menjadi stupid!”

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO