Mengejar atau Terkejar-kejar
Sehingga artikel ini ditulis, Ramadhan sudah memasuki hari yang kelima. Hari kelima Ramadhan perlu lebih baik dari hari yang keempat. Begitu juga hari yang keenam dan seterusnya, perlu lebih baik dari hari ini.
Ramadhan kelima, bermakna ruang dan masa ibadah sudah memasuki fasa kelima kali ganda. Bukan pada kuantiti, bahkan pada kualiti. Ia menepis sikap salah faham individu yang menyingkapi Ramadhan dengan mengejar ‘banyak pahala’ dengan mengejar ‘banyak ibadah.’
‘Banyak ibadah’ memang dapat dikejar tetapi akhlak, adab, cara, sistem dan uslub yang dirangkum dalam satu perkataan iaitu ‘kualiti’ dibiar keciciran. Maka, ibadah tidak menghasilkan kesan dihati atas sifat tidak berhati-hati dan teliti dalam memenuhi tuntutan ibadah yang sebenar.
Mengejar ibadah dalam keadaan terkejar-kejar. Ini yang sering terlihat dalam majlis tadarus al-Quran mahupun membaca al-Quran secara individu.
Justeru, terlihatlah pelbagai kelajuan dalam proses pembacaan untuk mencapai khatam itu. Ada yang kelajuan membacanya di luar kebiasaan. Ada yang membaca secara luar biasa. Perihal adab membaca diletak ke tepi, tajwid dan tartil entah ke mana, yang penting matlamatnya khatam.
Awas dengan silap faham tentang ‘mengejar ibadah’ ini. Mengejar bukan dengan terkejar-kejar untuk melengkapkan ibadah, tetapi proses melengkapkan diri. Untuk melengkapkan diri, seluruh sifat seorang ahli ibadah itu yang harus diterapkan sepanjang proses pengamalan itu. Teliti, berhati-hati, tersusun, betul, cermat, khusyu’, tawadhu dan lain-lain sifat.
Begitulah dengan aktiviti tadarus atau membaca al-Quran. Teliti dan berhati-hatilah. Kuasailah adabnya. Baca dengan bertajwid dan bertartil. Biar lambat habis atau tidak berjaya khatam. Itu lebih baik dari khatam tetapi tidak menghasilkan sedikit pun pahala, beribadah dalam keadaan sia-sia dan menambah dosa sebab salah membaca.
Ingat bahawa al-Quran juga mempunyai satu kuasa. Kuasa melaknat kita!
1 Comentário:
syukran..kerana mengingatkan..tu realiti y blaku hari ni..sama2 mengingati demi kemaslahatan bsama..
Post a Comment