Monday, December 7, 2009

Siri 2 Baitul Dakwah: 'Taman Desa Percintaan'


Hari ini seperti biasa, aku membuka email yang hampir 3 hari dibiarkan tanpa dibaca. Email dari sahabat alumni lebih menarik perhatianku. Kebanyakan berkongsi cerita keluarga, tidak kurang mengusik teman-teman yang akan meninggalkan status bujang tidak lama lagi. Ada juga yang berkongsi gembira kerana bakal menimang cahaya mata. Semua bercerita suka, tiada yang bercerita duka.


Mendengar berita sahabat, fikiranku terbang melayang ke sebuah desa percintaan aku dan suami. Hati kami sentiasa berkunjung di taman-taman bunga yang terletak di desa percintaan itu. Ada tiga buah taman kesemuanya.


Satu taman bernama Sakinah, taman yang kedua bernama Mawaddah dan yang ketiga Rahmah namanya. Ketiga-tiga membawa maksud Taman Ketenangan, Taman Kasih sayang dan Taman Belas Ihsan.


Baja yang ditabur pada bunga-bunga di taman itu bukan calang-calang bajanya. Bunga di Taman Ketenangan, kami bajai ia dengan baja ‘cinta Illahi’. Manakala di Taman Kasih Sayang, bunga-bunganya ditaburi dengan baja ‘cinta kami’. Baja di Taman Belas Ihsan sungguh mahal harganya, hinggakan Allah berhitung mahu berjual-beli dengan kami. Baja itu dinamai baja ‘Cinta Perjuangan’. Sekiranya taman kami dihidupkan dengan baja yang ketiga ini, Allah akan membeli jiwa dan harta kami dengan Syurga.


Masakan kami tidak yakin akan janji Allah ingin berjual beli dengan kami?


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah; lalu mereka membunuh atau terbunuh. (Itu telah menjadi) janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur'an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.”


Aku kembali mengimbau syair yang dinukil seawal perkahwinan. Aku semakin kemaruk dengan cinta kami, cinta Illahi dan cinta perjuangan. Dan biarlah cinta Allah, cinta yang mengatasi segalanya.


Aku & Dia,

Merajah renungan pada lautan

Menikmati lakaran ciptaan Tuhan

Meninggal memori seputar kenangan

Membugar hati biar bertahan



Hamparan lautan menguntum senyum

Desiran ombak memukul mesra

Sang Burung berkicau menyanyi riang

Pengunjung datang bertamu girang

Aku & Dia kembali mengalun lagu-lagu itu..



Kata hamparan lautan,

"Aku raikan senyum kamu berdua sebagai pejuang agama"

Tegas desiran ombak,

"Aku pukuli mesra kalian dengan kata-kata pujangga"

Kicau sang burung,

“Aku nyanyikan lagu-lagu jihad bersama"

Usik pengunjung,

"Lihat mereka berpimpin mesra"

Kata Aku & Dia,

"Kami dalam nikmat bercinta kerana Dia"



Monolog Aku & Dia,

Sebagai hamba yang kudus

Tekad Aku & Dia,

Sebagai pejuang yang tulus

Gapaian Aku & Dia,

Syahid pada jalan yang mulus

Destinasi Aku & Dia,

Syurga tanpa dunia yang rakus



Biarkan Aku & Dia bercinta,

Dengan cinta pada-Mu yang mengatasi

Biarkan Aku & Dia hidup,

Dengan hidup beragama yang merajai

Biarkan Aku & Dia bersama,

Dengan amanah jihad yang ditekuni



Biarkan, biarkan, biarkan kami bercinta

Hingga ketemu sampai ke Syurga!

2 Comentários:

alQasam said...

Askum

Ukht yang dikasihi,

Sedang hangat dengan cinta dan basah dengan kasih sayang.

Semoga mithaqhan gholiza (Ikatan berat) yang kita bina dan diamanahkan ALLAH ini, sentiasa dipimpin dan dibantu Allah, Pemilik Cinta pertama kita.

Selamat dan terus memadu cinta buat akak dan suami.:)

ustazah-engineer said...

Syukron al-qasam. Moga adik & suami pun sama memperoleh sakinah, mawaddah & rahmah Allah.

Alam rumahtangga yg penuh ujian, kdg2 kita kalah dgn ujian-ujian tersebut. Hanya Allah tempat bergantung & memohon pertolongan...

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO