Tuesday, September 1, 2009

Sebat Menjadi Debat, Kita 'Take Part'

Harap saya tidak terlewat untuk melontar pandangan berkaitan isu sebat ke atas Kartika Sari Dewi Shukarnor baru-baru ini. Pelbagai pihak telah menebarkan pandangan masing-masing dari pelbagai dimensi.

Ada yang memuji, mengkritik, mencemuh dan mempersoalkan akan relevennya peruntukan undang-undang sebat syarie ke atas model sambilan terbabit.


Walau sebanyak manapun pandangan tersebut, melalui telahan saya, hanya ada dua yang membezakan sudut pandang masing-masing.


Pertama, pandangan dari yang bercita-cita mahu melihat syariat Islam tertegak di Malaysia. Kedua, pandangan dari yang bercita-cita sebaliknya.


Kita sangat meraikan pandangan dari ulama’ dan golongan agama lain. Namun begitu amat menyedihkan, mereka tidak menjadi golongan yang mempunyai autoriti besar untuk menerangkan kepada masyarakat apabila berlaku isu-isu Islam sebegini.


Bukan mulut mereka yang tertutup rapat tetapi kenyataan mereka telah ditutup rapat dari diketengahkan kepada khalayak secara meluas, tepat dan jelas.


Maka, siapakah yang mempunyai autoriti bersuara?


NGO Sisters In Islam, menteri-menteri dan pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk kenyataan mereka didedahkan. Amat malang sekali, kenyataan yang pincang dan songsang begitu yang menjadi halwa telinga dan tatapan mata masyarakat yang tidak tahu dan faham Islam.



Lihat sahaja di dada akhbar dan sumber media lain, bagaimana kenyataan mereka mendominasi malah menjadi tumpuan utama sungguhpun berbau persepsi negatif tentang Islam. Persepsi negatif tersebut berselindung di sebalik alasan mahu menjaga nama Islam dan imej negara. Masyarakat semakin dikelirukan dengan putar belit tali barut liberalis atas nama keadilan dan hak asasi manusia.


Saya mengungkit kembali kenyataan SIS. Kata mereka, sebat tersebut mendiskriminasi wanita dan bercanggah dengan hak asasi kemanusiaan. Persepsi positifnya; mereka mahu membela wanita. Itu tindakan yang benar dan betul dan masyarakat menyambut baik.


Sebaliknya, terselindung persepsi negetif tentang Islam iaitu undang-undang syariah tidak berupaya membela wanita sebaliknya berunsur zalim dan penindasan. Persepsi negatif ini dilindungi di sebalik subjek alasan pembelaan dan keadilan wanita.


Sebenarnya, sudah banyak respon balas yang dihujahkan oleh golongan agama. Kita menyambut baik wibawa ilmu mereka. Meskipun begitu, saya percaya, golongan yang menolak secara halus undang-undang syariah ini pasti akan mencipta pelbagai alasan lagi. Selagi ideologi mereka tidak kesampaian, selagi itulah mereka akan mencipta alasan, sekalipun alasan itu alasan bodoh.


Tiada pakar yang mahir merotan? Tidak menjumpai rotan yang sesuai?. Saya tidak pasti, adakah dua alasan ini alasan yang sangat, sangat, sangat releven untuk gagasan hebat 1 Malaysia. Mungkin mereka belum habis ronda 1 Malaysia untuk mencari perotan dan rotan yang sesuai.


Pada pandangan saya, inilah masanya untuk para aktivis Islam berada di belakang ulama’ untuk mengangkat isu ini di tengah-tengah masyarakat Islam dan bukan Islam.


Jadikan isu ini sebagai gelombang kecil untuk pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Kita kurang media, apalagi, mulut kitalah yang harus digerakkan menjadi media.


Perkara yang perlu dijelaskan bukan sahaja seputar bahaya arak dan kelebihan hukum Islam. Satu perkara yang perlu dijelas bersama ialah propaganda liberalis untuk menyekat pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Propaganda mereka semakin mengelirukan.

Seja o primeiro a comentar

Post a Comment

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO