Monday, August 18, 2008

MOTIVATOR TERBAIK!


Assalamualaikum. Apa khabar anda hari ni? Saya akan terima macam-macam jawapan. Okey...atau.. okeyla...Mungkin juga, baik atau Hermm...baik. Kalau anda jawab okey dan baik dengan confident, saya yakin anda dalam situasi cemerlang bagus. Tapi kalau okeyla...hermm baik, sila cari semangat semula.


Dalam suka, elok jugak kita ingat derita supaya kita tak terlalu lupa diri. Dalam derita elok jugak kita ingat detik-detik gembira supaya kita tak lupa nikmat TUHAN. Takkanlah tak pernah berasa bahagia, tak pernah berasa gembira sekalipun dalam hidup. Mustahil. Mesti ada.


Dalam masa hidup, ingat-ingat jugak saat kematian. Orang yang ingat mati tak tergamak dia buat perkara yang tak tentu. Kita ni jadi tergamak buat perkara yang tak tentu sebab tak perasan mati sedang mengintai. Tengah buat, kalau ingat maut boleh datang tiba-tiba tak akan tergamak.


Anda pernah nampak orang tunggang motosikal accident lalu mati, terlentang mayat di atas jalan raya?. Kalau anda pengguna jalan raya yang setia, saya percaya anda pernah terjumpa, pernah tengok, kadang-kadang pernah jadi penyebabnya. Betul tak?


Agak-agak orang yang meninggal di atas jalan raya, dia tahu tak yang dia bakal tak bernyawa lagi hari tu? Takkan tahu punya. Kalau dia tahu, dia tak tunggang motosikal hari tu. Tak usahkan nak tunggang motosikal, nak keluar pun taknak. Sebab dia tahu maut menanti.


Tapi dia keluar jugak, tunggang motosikal jugak. Begitulah maut 'juruintai' yang tak pernah lalai. Tiba masanya dia datang, dia datang.


Suatu hari saya pernah dalam perjalanan, rasa jammed semacam. Biasalah highway tu jam, tak hairan dah. Tapi hari tu jammed semacam, sebab accident, sebuah lori melanggar sebuah motosikal akibat hujan lebat. Meninggal, di situ jugak. Macam mana saya tahu dia meninggal?. Tubuh dah tak berkuit dan orang ramai dah tutupnya dengan surat khabar.


Dalam hati, Ya Allah, takutnya. Giliran kita entah bila. Nabi kata, orang yang paling cerdik orang yang paling banyak ingat mati. Maut atau kematian adalah antara motivator terbaik manusia. Ya, sungguh!. Ingatlah mati, kita tak tergamak buat perkara yang tak tentu.


Saya akhiri entri santai dan nak cepat hari ni dengan satu kata-kata motivasi.


"Biar pendiam tapi berisi daripada bising menyusahkan orang. Biar banyak ingatkan mati, daripada hidup bagaikan arang". Orang arang ini adalah hitam yang menghitam orang lain pulak. Macam arang...dahla hitam, bila sentuh abis semuanya berjangkit menghitam. Jadi, mari kita tetapkan matlamat bermula hari ini, jangan jadi macam orang arang yang hitam dan turut menghitamkan orang lain.

BIJAK DENGAN BERFIKIR MUDAH


Sebahagian orang berfikir, orang-orang yang cerdas adalah mereka yang dapat membentangkan sesuatu hal secara kompleks dan susah difahami oleh orang lain. Pada pandangan saya perkara ini tidak benar. Apabila pemahaman seperti ini dibiarkan berada dalam sebuah organisasi, ia tentu bergerak dengan lambat dan menjadi kompleks. Ahli takut membuat keputusan, sukar melihat sesuatu dengan jelas dan kerumitan-kerumitan dalam pekerjaan sehari-hari semakin banyak.


Dalam dunia ini, kita dapat membezakan dua jenis orang yang bijak, yang pertama adalah mereka yang sekadar bijak sahaja. Kedua, adalah mereka yang bijak dan mewujudkan kesan yang luar biasa. Contoh orang seperti ini ialah Albert Einstein yang bukan sekadar pintar, malahan menciptakan sesuatu yang luar biasa iaitu teori relativitinya. Einstein mampu membawa kesan yang besar melalui rumusan yang mudah dan dapat difahami orang ramai iaitu E = mc2.


Begitu juga tokoh-tokoh besar yang lain. Adam Smith menjelaskan mekanisme pasaran dengan konsep invisible hands, Sigmund Freud menerangkan tentang konsep diri manusia dengan id, ego, dan super ego. Mereka berupaya menjelaskan pemikiran secara fokus dan mengabaikan hal-hal lain yang menjadikan sesuatu itu kompleks.


Kita juga mengenal pemimpin-pemimpin negara yang berfikir secara mudah. Bill Clinton mengajukan konsep Reinventing the Government atau mencipta semula pemerintahan. Pemimpin Costa Rica iaitu Jose Maria Figueres memperkenalkan IT Cluster. Margaret Thatcher melaksanakan program penswastaan dan Mikhail Gorbachev pula popular dengan konsep Glasnost dan Perestroika. Semua pemimpin besar ini menghadapi situasi yang kompleks sewaktu zaman pemerintahan mereka tetapi mereka mampu mengambil langkah-langkah yang kreatif dengan cara-cara yang mudah. Dengan tindakan itulah, para pengikut memahami dan menyokong mereka.


"Mempermudahkan itu sentiasa dapat membantu manusia bekerja dengan lebih cepat"


Kita mampu melakukan kawalan dengan lebih mudah apabila bertemu dengan sesuatu yang jelas. Apabila semua orang jelas dengan apa yang mereka perlu dilakukan, maka setiap kerja menjadi mudah dan mampu dilakukan dengan lebih cepat dan cekap.


Dalam kerja berkumpulan, kejelasan itu begitu penting supaya setiap orang dalam kumpulan tugas mereka saling melengkapi serta membantu satu sama lain. Apabila tidak ada kejelasan dan ahli-ahli kumpulan tidak tahu apa yang dilakukan sesama mereka, mungkin ada yang membuat kerja yang sama, membuat kerja berulang kali dan melakukan kesalahan yang sama berulang kali tanpa menyedarinya. Waktu habis begitu sahaja dan kerja tidak juga selesai. Maka, semua orang dalam organisasi mesti jelas dengan fungsi, bidang kerja dan tanggungjawab masing-masing.


"Memudahkan sesuatu yang kompleks membantu orang bekerja dengan lebih bijak. Dengan memudahkan perkara yang rumit, kita lebih mudah dapat melihat mana yang penting dan mana yang tidak penting."

Saturday, August 9, 2008

'KELIRU' PUNYA CERITA


Saya yakin anda dalam situasi bagus dan hebat sekali. Kalau tak luar biasa bagus pun, tentu bagus.? Kalau tak hebat sekalipun tentu hebat. Dan saya percaya ramai antara anda yang amat baik, bukan setakat baik!. Saya pula, ntahlah..keliru.


Entri saya sebelum ini, ‘Zon Selesa, Sampai Bila’ ada menyentuh tentang monolog diri saya ‘Saya mahu hidup, bukan hidup-hidupan. Apa beza hidup, apa itu hidup-hidupan?.


Satu soalan mudah. Apakah perbezaan antara ‘makan’ dengan ‘makan-makan’, beza antara ‘bermain’ dengan ‘main-main’, ‘buat’ dengan ‘buat-buat’, begitu juga dengan istilah ‘jalan’ dengan ‘jalan-jalan’. Satu perbezaan yang paling ketara walaupun istilahnya sama tapi bila jadi berganda, bezanya pada ‘MATLAMAT’.


Jika kita makan bermaksud kita makan dengan matlamat mengenyangkan dan memberikan tenaga bagi meneruskan hidup. Begitu juga bermain bola memberi maksud bermain dalam satu perlawanan dengan matlamat menjaringkan gol dan menang. Namun, kalau sekadar bermain-main, buat-buat, jalan-jalan, makan-makan seolah-olah seperti melakukan aktiviti sambilan, tiada matlamat, tiada kesungguhan dan mungkin sekadar mengisi masa kelapangan. Main-main je..buat-buat je..alah, jalan-jalan…uhh, saya tambah keliru!


Bagaimana dengan hidup kita? Adakah hidup atau hidup-hidupan? Adakah hidup kita terarah kepada sesuatu matlamat yang jelas lagi bersuluh ataupun sekadar mengikut rentak semasa dan rutin harian kebiasaan?.


Saya sebenarnya masih keliru dengan self management saya ketika ini. Saya rasa masih berada dalam zon selesa. Benar, saya bukan lagi di alam perjuangan mahasiswa dengan semangat juang darah muda. Bukan ‘hidup mahasiswa’ sahaja laungan juang saya. Kini saya berdepan dengan komuniti jiran tetangga yang pelbagai rupa, masyarakat berbilang bangsa dan agama yang meronto-ronta minta dihidupkan hati mereka, kaum keluarga yang perlu dipelihara, golongan remaja dan belia yang semakin ‘menyinga’ menunjukkan belang krisis moral, bapa-bapa, ibu-ibu, makcik-makcik, anak dara jiran sebelah rumah berpeleseran tanpa panduan, belum lagi sasaran dakwah dalam lrt, shopping compleks, sekolah-sekolah, kolej swasta dan entah di mana lagi yang dihambat dosa maksiat tidak sudah-sudah. Ohh..saya keliru.


Hebat di kampus bukan bermakna kita akan turut hebat di gelanggang masyarakat. Untuk mengekalkan setitik istiqomah itu sangat sukar, penuh mujahadah walhal itulah amalan yang disukai Allah. Saya keliru mencari kembali identiti diri bergelar pendakwah, saya rungsing jika tidak berfikir apa-apa dan berbuat apa-apa untuk merencanakan sesuatu buat masyarakat sekeliling saya.


Adakah saya sekadar berblog? Cukupkah dakwah saya hanya sampai pada mereka yang sering malayari blog saya walhal yang melayari blog saya kemungkinan hanya orang yang sememangnya faham Islam. Ah, takkan remaja yang memakai baju tidak cukup kain berminat melawat blog seorang yang bergelar Ustazah-Engineer. “‘Engineer’ boleh tahan lagi, ‘Ustazah’ pulak tu!, gerun aku! Mungkin begitu bentak mereka.


Namun, saya masih bersyukur. Saya masih memiliki kekuatan untuk meneruskan ‘kerjaya’ saya yang telah sedia diacu di zaman tarbiyyah kampus lagi. Cuma, saya masih belum berpuas hati dengan apa yang sedang saya lakukan. Kelebihan dan keistimewaan yang Allah anugerahkan masih belum dioptimumkan sebaik mungkin. Risau jika dikatakan hamba yang tidak bersyukur. Cemburu melihat sahabat-sahabat nabi yang berlumba-lumba menyumbangkan apa yang ada pada diri mereka untuk menegakkan Islam. Belum lagi diceritakan tentang sifat Tajarrud Abu Bakar yang dijawab dengan “Cukuplah aku meninggalkan Allah dan Rasul untuk mereka”.


Saya sangat keliru, adakah saya Ber BLOG atau GOBLOG! Menulis pandai, buat tidak mahu!

Wednesday, August 6, 2008

ZON SELESA, SAMPAI BILA?


Sejak kebelakangan ini, saya sering bermonolog dengan diri sendiri. Apa perlunya saya membina kejayaan? Untuk apa saya bersusah payah dan berhempas pulas? Bukankah hidup tidak mensyaratkan kejayaan sebagai tiket kebahagiaan? Mengapa perlu bersusah payah mengejar kecemerlangan sedangkan kecemerlangan itu sendiri menjanjikan cabaran-cabaran tanpa penyudah?


Soalan-soalan begini selalu ditanyakan oleh mereka yang percaya hidup perlu dilalui seadanya. Bagi golongan ini, memburu kejayaan hanya menyukarkan hidup. Selama tidak menyusahkan orang, laluilah hidup mengikut kebiasaan-kebiasaannya sahaja. Yang penting bahagia.


Semasa di universiti dulu pun begitu, melihat rakan-rakan mahasiswa yang lain tidak perlu sibuk berkejar ke sana ke mari menguruskan persatuan, tidak rungsing memikirkan assignment yang membukit kerana mempunyai banyak masa untuk belajar sedangkan kita berkira-kira membahagikan masa untuk program dakwah dan gerak-kerja organisasi. Cemburu juga melihat kehidupan mereka yang penuh kerehatan dan kegembiraan berbentuk peribadi. Ah, buat apa perlu cemburu! Saya memikirkan hidup, bukan hidup-hidupan.


Kalau kita melihat kehidupan itu sendiri sebagai suatu perlumbaan, sudah tentu kita tidak mahu ketinggalan paling belakang. Berada pada kedudukan tercorot dalam apa-apa pertandingan memang memalukan. Apakah anda rela berada di tempat paling belakang?


Lalang, tumbuhan yang sering dikatakan tidak berguna kepada manusia sentiasa bersaing untuk tumbuh lebih tinggi, lebih subur dan lebih menonjol. Haiwan liar di hutan sering berjuang untuk hidup, ayam peliharaan juga sanggup berkelahi untuk mendapat lebih makanan malah siang dan malam saling kejar mengejar sebagai tamsilan kehidupan itu adalah persaingan dan pertandingan, mengapa tidak kita, insan yang dikurniai akal, kebolehan dan keinginan-keinginan tertentu?


Hidup perlu diisi dengan matlamat. Matlamat perlu dikejar. Mengejar matlamat perlu berlari. Berlari perlu bersungguh-sungguh supaya benar-benar sampai kepada matlamat. Mencapai matlamat itu adalah kejayaan. Kejayaan lambang keunggulan, mungkin diri sendiri, bangsa yang diwakilinya, agama yang dianutinya malah negara mana dia berada. Bangsa yang belum pernah menempah kejayaan akan sentiasa dipandang rendah dan bakal menjadi permainan bangsa-bangsa yang lebih menonjol. Apakah kita rela melihat keadaan ini berlaku?


Ramai orang terperangkap dalam zon selesa. Zon ini membuatkan orang berasa selesa dalam tempurung yang diserkupkan ke atas kepala mereka. Orang yang dipeluk zon selesa lebih rela berkata, “Tak apa” daripada “Kita perlu bersaing”.


Zon selesa membuatkan orang ramai tidak sedar pinggir sungai di mana dia berada sedang terhakis. Jika dia terus lalai, dia akan jatuh apabila tanah tempat dia berpijak itu dimakan hakisan. Tapi dengan selesa dia berkata. “Tak apa, kalau tempat aku berpijak ini terhakis, aku akan naik lagi ke atas.” Walhal semakin terhakis bermakna dia semakin hilang tempat berpijak. Orang yang tidak terperangkap dalam zon selesa nampak betapa dia patut bertindak membina benteng agar tebing tidak terus terhakis. Menyelamatkan tebing lebih utama daripada berlari menjauhi tebing.

Sunday, August 3, 2008

RINDU ITU DATANG LAGI



Ingatan saya terimbau pada kenangan manis menghuni bumi tarbiyyah kampus. Tarbiyyah, thaqafah, mujahadah pastinya menjadi bekal diri yang sangat berguna dalam mengharungi perjalanan panjang sebuah harakah dakwah. Di sinilah saya menjalani kehidupan remaja dalam acuan tarbiyyah, terkadang jiwa memberontak lantaran tidak betah dengan ’peraturan’ yang dirasakan sebagai kekangan..walhal ‘peraturan’ itulah yang membentuk generasi acuan Islam.


Ya Allah, thabatkan hati ini…


Saya tersenyum sendiri bila teringat pusat tumpuan membeli-belah kerepek ketika diri ini menjadi ‘orang Parit Raja’. Di Pekan Parit Raja atau bandar Batu Pahat tiada apa-apa yang menarik sangat namun tetap menjadi tumpuan ramai kerana ’kerepek’nya. Maka, bukan suatu yang menghairankan, kebanyakan mahasiswa di sini berjaya sebagai ’usahawan kerepek’. Tidak kisahlah, berapa ramai pesaing di kalangan usahawan student ini, namun kerepek tetap laku dijual. Kemungkinan sudah menjadi tabiat student makan kerepek ketika merepek-repek (bersembang-sembang), merehatkan minda yang sedang stress belajar.


Kunjungan saya ke Johor kali ini atas urusan menyelesaikan laporan praktikal benar-benar mengembalikan ke semua nostalgia zaman permukiman di Parit Raja ke dalam kotak fikiran. Bahagia memenuhi setiap ruang rasa. Benar, perasaan tenang yang sukar digambarkan tatkala menjejakkan kaki ke sini. Sukar untuk saya menjelaskan dari manakah punca tenang itu.

“ Usrah tazkirah, medan tarbiyyah
Ceramah halaqah wadah ilmiah
Bi’ah solehah membina syakhsiyah
Du’at sejati penjana ummah”


Bumi yang banyak membentuk diri saya pada hari ini, dan juga bumi yang menjadi saksi pertemuan saya dengan sahabat-sahabat seperjuangan yang masih akrab sehingga kini. Mudah-mudahan akrab kami ini buat selamanya.

“Ukhuwwah fillah takkan goyah
Walau ombak dan badai mendesah
Tautan erat takkan patah
Dengan Ismullah kita berbai’ah”


Johor yang semakin lama dirindui kembali saya jejaki.
Memugar semangat juang yang kadang-kadang malap..
Mengajar diri untuk melihat dunia dengan pandangan iman..
dan..


Menyedarkan saya bahawa di depan saya terbentang 1001 mehnah dalam perjuangan.

PENYAKIT ROHANI YANG MENIMBULKAN MALAPETAKA

Rawatan terhadap berbagai-bagai penyakit termasuk penyakit moden yang muncul di abad ini menjadi agenda utama dalam dunia perubatan, seluruh dunia berganding bahu mewujudkan institusi kesihatan bagi memerangi penyakit berkenaan, terutama bagi mengatasi kemunculan penyakit AIDS yang belum ditemui ubatnya.


Sebaliknya dunia belum membuka mata untuk membuka institusi rawatan bagi penyakit yang lebih dahsyat, iaitu penyakit rohani yang mencetuskan sifat-sifat mazmumah. Pesakit rohani mungkin jumlahnya lebih besar, jika dibanding dengan pesakit-pesakit yang sedang terlantar di wad-wad rumah sakit di seluruh dunia.


Derita yang ditanggung oleh para pesakit jasmani sekalipun berbahaya, namun kemuncaknya sama ada sembuh ataupun kematian. Sedangkan risiko yang ditanggung oleh pesakit rohani adalah lebih dahsyat, kuman ataupun virus itu akan merosakkan keimanan dan ketakwaan, memusnahkan keikhlasan beramal, kurang berminat melakukan kebajikan sebaliknya lazat melakukan kejahatan dan kemaksiatan, akibatnya dia akan menanggung derita azab yang berpanjangan di dalam neraka.


Nama-nama bagi penyakit rohani tidaklah sebanyak nama-nama penyakit jasmani, namun ia lebih sukar diubati. Jika ada jenis penyakit jasmani yang boleh menular seperti menularnya virus HIV dan lain-lain penyakit yang berbahaya, penyakit rohani bukan sahaja menular malah boleh menghancurkan kerukunan rumah tangga, mengkocak kedamaian masyarakat serta menghuru-harakan negara jika ia dihadapi oleh ketua keluarga, pemimpin masyarakat, terutamanya pemimpin negara.


Pemimpin negara yang jiwanya dihinggapi penyakit 'keras hati', tidak akan menerima nasihat agama. Sekalipun pemimpin negara itu seorang muslim, tetapi tetap memandang serong terhadap undang-undang Islam. Bukan sekadar dia tidak yakin dengan hukum dan peraturan Islam, malah menganggap undang-undang Allah sebagai punca kemunduran.


Jika seorang pemimpin, rohaninya dijangkiti virus 'tamak', maka dia tidak akan menganggap kuasa yang ada ditangannya sebagai amanah yang besar dari Allah, sebaliknya menjadikan kekuasaan itu sebagai alat untuk mengaut kekayaan negara, menyelewengkan harta rakyat untuk kepentingan peribadi dan kaum kerabat mereka.


Demikian juga apabila pemimpin negara itu rohaninya mengidap kanser 'hasad dan dengki', dia tidak sekadar berusaha untuk mengekalkan kedudukannya dengan apa cara sekalipun termasuk meminda undang-undang yang menguntungkan kedudukannya sebagai orang terpenting malah berusaha menjatuhkan orang lain dengan cara yang terkutuk sekiranya orang itu dianggap menggugat kedudukannya. Diri mereka bukan berperanan sebagai khalifah Allah di bumi tetapi sebagai khalifah iblis di dunia.


Andainya seseorang itu sedar bahawa hatinya sudah berpenyakit, maka lebih mudah dia mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakitnya itu. Tetapi, jika dia tidak menyedari atau sengaja tidak mahu sedar sekalipun penyakit itu sudah menunjukkan tandanya, maka apabila dia mati, matinya sebagai seorang yang membawa penyakit. Penyakit rohani tidak tamat dengan matinya seseorang, tetapi kelak akan lebih parah dan dirasai deritanya apabila berada di alam barzah dan seterusnya apabila dia dibangkitkan oleh Allah S.W.T dengan keadaan hatinya yang berpenyakit.


Justeru itu, orang yang hatinya berpenyakit hendaklah berusaha mengubati penyakitnya, agar mereka menghadap Allah S.W.T dengan hati yang bersih dan tidak berpenyakit. Kerana segala sifat mahmudah iaitu sifat yang terpuji hanya akan tersimpan di dalam hati yang sejahtera.

Friday, August 1, 2008

ADIKKU NAHWAN DAN MIMAR KOCA SINAN



Kagum…


Saya amat mengkagumi senibina bangunan di Dubai. Teruja melihat kehebatan teknologi yang digunakan dan perasaan kagum itu semakin menebal apabila negara yang membangun dengan bidang senibina ini adalah Arab, negara umat Islam. Wah, kita juga mampu menjadi seperti Jepun, seperti Amerika dan Cina. Fikir saya dengan akal yang dangkal dan ilmu yang sedikit. Kagum melihat senibina Al-Burj Dubai dan The Palm melalui foto-foto kenalan friendster seorang pengurus projek di Dubai.



Angan-angan yang kadang-kadang kejap di hati saya, alangkah seronok jika dapat bekerja di Dubai lalu membawa pulang ilmu kejuruteraan mereka ke Malaysia. Jika Dubai hebat dengan senibinanya, Jepun dengan kecanggihan teknologinya, dan Amerika semakin tercabar dengan Iran melalui projek Nuklearnya.. Malaysia? Oh, Malaysia kaya dengan program reality show nya, menghasilkan ramai artis-artis mee segera dan rakyat hedonisme. Bentak saya.


Ohh..rupanya saya tidak berfikir jauh


Minggu lepas, sempat ber YM dengan adikku nahwanNur. Saya meminta pandangan nahwan tentang senibina Al-Burj dan The Palm. Adik Nahwan mengambil jurusan senibina, tentu lebih bijak menilai dan berbeza pandangan daripada saya. Saya nyatakan pandangan nahwan tentang senibina Dubai ini.


"Pada saya senibina dan perancangan di Dubai banyak melawan hukum alam. Sememangnya unik dan teknologinya masyaALLAH hebat. Sungguh kadangkala jangkauan otak tak sampai ke tahap itu. Maksud saya yang melawani hukum alam ialah contoh yang kita lihat kepada The Palm. Mengikut apa yang kami belajar dan tentunya ustzh pun belajar tentang pembinaan man-made island yang melibatkan pelbagai proses dari menggali, menimbus, menyedut dan sebagainya, lalu itu semua tentu memakan ribuan malahan jutaan duit. Satu, fitrah islam tolak, pembaziran. Kedua, melawan hukum alam, dengan satu fakta pembinaan man-made island adalah mengubah corak ombak. Corak ombak semulajadi merupakan suatu kejadian yang cukup sempurna mengikut maha suci ALLAH swt yang maha mengetahui. Dan perubahan arah ombak telah memberi kesan kepada kawasan lainnya. Kawasan sekelilingnya bakal menghadapi kekuatan hentaman ombak yang jauh berbeza dari sebelumnya dan membawa kepada kemungkinan hakisan yang teruk"



"
Dulu sewaktu di tahun akhir, saya ada belajar subjek reclamation and the palm is one of the famous issue. Lagi satu, ia telah mengganggu ekosistem hidupan laut. Berapa puluhan hidupan terpaksa berpindah kawasan dan mungkin menjadi mangsa rakusnya manusia untuk membina suatu tamadun high-teknologi. Perpindahan habitat hidupan lain tidak seperti manusia...manusia mungkin boleh survive atas kelebihan yang ALLAH swt bagi namun hidupan lain tidak, mereka akan terus menghadapi kepupusan lalu tidak lagi wujud di dunia. Lagi satu tentang senibina bangunan di Dubai, ada certain yang tidak diberitahu ketinggiannya dek kerana tidak mahu ada yang melawani ketinggiannya dalam masa terdekat. Ini semua saya lihat suatu perasaan ujub dan ego menolak ada yg lebih dari apa yg kita bina"


"Akak kenal Mimar Koca Sinan? Dia ada kata, janganlah kamu memandang tinggi aku atas apa yang aku bina, tapi pandanglah apa yang aku bina untuk sesuatu yg boleh di manfaatkan buat agamamu. Kalau nak tahu di setiap bangunan yang Sinan bina, di atas bumbung akan ada ayat ni: 'Glory praise to ALLAH who the real creator of heaven/earth without a single pillar'-ayatul quran. Dan bila orang tanya, dia akan kata, pujian itu hanya layak buat ALLAH yang merupakan pencipta sebenar atas sesuatu, dan dia (as architect/engineer) hanya melakukan atas kebenaran ALLAH swt. Dan dia juga menyatakan...sesiapa yang mahu menjadi architect/engineer/designer sebenar-benarnya haruslah memahami agama"


"I dont really agree with the development at Dubai yang mana dalam masa yang sama bangunan-bangunan di Iraq, Palestin etc roboh. Kalau kita concern, it won’t happen until semua negera bergolak aman. Selain itu, pembangunan tidak harus membelakangkan alam. Kita hidup sebagai arkitek atau engineer bukan hanya untuk manusia, but for entire universe. Alam dan hidupan lain juga makhluk ALLAH swt"


Jelas panjang lebar oleh nahwan.


Penjelasan nahwan menyebabkan saya semakin kagum. Bukan lagi kagum dengan senibina Dubai. Tetapi kagum dengan adikku Nahwan dan mungkin juga Mimar Koca Sinan.


Jika anda seorang arkitek dan jurutera muslim, apakah pemikiran anda?

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO