Wednesday, July 23, 2008
Friday, July 18, 2008
LETAKKAN CABARAN & CABAR DIRI

Buku motivasi ’Membina Jatidiri Gemilang’ karya Dr HM Tuah Iskandar menitipkan satu kata-kata motivasi untuk saya hari ini. Walaupun ia hanya satu kata-kata motivasi, tetapi saya cukup menghargainya. Saya kembali mengingati duri-duri yang telah menusuk dan tersedia untuk menusuk setiap kali saya bangun! Bangun bersama kenangan-kenangan kemahasiswaan di kampus hampir 6 tahun. Masih ingat lagi kata-kata En. Zainudin, 'jadilah kepimpinan yang meninggalkan lagenda'. Saya tidak pasti, adakah saya meninggalkan lagenda untuk rujukan generasi berzaman-zaman atau sekadar kenangan yang diingati sekali sekala.
Sinar Harian dan Ikonku Nurul Izzah
Hari ini, saya mula belajar membuka helaian demi helaian akhbar Sinar Harian. Mak menegur saya, kenapa selalu beli sinar harian, bukannya ada apa-apa sangat, cuma penuh dengan laporan aktiviti, program masyarakat dan gambar-gambar wakil rakyat. Saya diam sahaja dan terus membaca. 'Bas awam enggan masuk kampung'-liputan dari Kg Cheras Baru. 'Isu Penduduk terbahagi dua: Saari'- liputan dari Hulu Klang. 'Bina tembok lebih tinggi, elak banjir kilat'- liputan dari Segambut. 'Ahli Parlimen PJS mahu pili diselenggara'- liputan dari Petaling Jaya. '120 keluarga terima bantuan makanan' – liputan dari Meru. Dan macam-macam lagi liputan saya baca dalam sinar harian malam itu.
Sememangnya saya punyai jiwa kepimpinan yang sangat mendalam. Saya belajar mencintai dunia kepimpinan seawal usia setahun jagung di kampus. Sebab itu saya gagaskan pada minda saya, bahawa saya perlu lebih membaca liputan sinar harian itu bukan semata-mata untuk mengetahui satu-satu isu tetapi belajar mentadbir dan mengurus dari wakil-wakil rakyat mahupun pemimpin negara. Bagaimana menjadi pemimpin masyarakat yang berkaliber, apa program kebajikan yang mereka lakukan, bagaimana cara mereka mendekati masyarakat, semuanya saya catatkan dalam diari saya. Hampir setiap hari saya tidak miss membeli sinar harian lebih-lebih lagi bila terpampang di dalamnya gambar Nurul Izzah, YB Lembah Pantai lalu terdetik dalam hati saya 'bila aku akan jadi sepertinya?'. Ah, omong-omong kosong saja. Wibawa saya belum terbukti jika posisi saya hanya sebagai pemimpin pelajar. Saya perlu pergi lebih jauh untuk menyumbangkan sesuatu pada masyarakat, semuanya untuk Islam.
Debat lagi..
Saya ghairah menonton debat agadendaily malam itu. Antara Datuk Sri Anwar Ibrahim dan Datuk Ahmad Shabery Cheek, masing-masing ada kemenangan yang tersendiri. Saya ghairah menonton bukan semata meraikan isu tetapi menambah pengetahuan dan kemahiran berdebat. Ya, nak jadi pemimpin harus bijak berhujah!.
Saya juga membentuk jiwa debat di kampus. Sewaktu rakan seorang MPP mengajak saya mewakili kolej kediaman untuk berdebat, saya berkira-kira. Saya langsung tiada pengalaman berdebat ditambah perasaan malu yang menebal. Pendebat perlu fakih tentang isu di samping kemahiran mematahkan hujah. Saya kurang cakna tentang isu semasa, pengalaman hanya menjadi fasilitator program dan nakibah usrah. Saya prinsipkan dalam diri, 'saya tidak mahu berada pada standard diri yang sama untuk 5 tahun akan datang', saya perlu tingkatkan kualiti perjuangan, saya perlu garapkan lagi ilmu kepimpinan, saya mesti sahut cabaran untuk berdebat! Buangkan sifat malu, gantikan dengan suatu keberanian untuk berubah. Dari pemudahcara LDK yang meraikan pandangan, saya gemakan suara dalam dewan besar tontonan ribuan orang sebagai pematah hujah. Monolog saya: Anjakan paradigma jika nak jadi pemimpin!.
Alhamdulillah, kumpulan saya menjadi Johan Pertandingan Debat kali itu. Walaupun hanya pertandingan di peringkat universiti, menjadi johan permulaan yang baik untuk saya mencipta motivasi diri, berubah dan terus berubah. Saya masih belum berpuas hati dengan posisi saya ketika itu.
Cinta luar biasa pada ’kerjaya’
Sememangnya saya memiliki cinta luar biasa kepada dunia kepimpinan. Dunia kepimpinan dianggap 'kerjaya' saya semasa dikampus. Saya menjadi Timbalan Presiden Kolej Kediaman seawal usia saya 19 tahun, masih dalam tahun 2 pengajian diploma. Sangat perit menjadi pemimpin muda, bekerja dengan orang yang lebih berusia, ditambah lagi dengan bebanan akademik bidang kritikal seperti kejuruteraan, dan senario ta’addud jamaah yang mendatangkan krisis kerana berbeza prinsip berpersatuan. Saya terus positif dengan memberikan cabaran lagi pada diri sendiri. Masalah dan cabaran organisasi memberikan tekanan, tekanan membawa saya lebih banyak berfikir dan bertindak. Cabaran menjadikan saya lebih kreatif, mematangkan diri dan lebih bekerja. Lebih bekerja memberikan saya banyak pahala.
Saya meletakkan cabaran lagi semasa menjadi Timbalan Pengerusi organisasi di bawah Pusat Islam. Kali ini saya bukan lagi hanya perlu melakukan transformasi diri tetapi transformasi organisasi. Jawatankuasa Teman Pusat Islam ketika itu hanya 3 orang yang bergerak kerja dengan prinsip faham dan sedar. Saya set cabaran yang baru, saya perlu transform organisasi ini walaupun saya sedang berada di tahun akhir menyiapkan tesis PSM 1 & 2. Ramai sahabat-sahabat saya yang tarik diri memegang amanah kepimpinan apabila di tahun akhir pengajian, Tesis PSM adalah alasan paling kukuh. Saya perlu unik dan berbeza dari mereka. Dari 3 orang akhirnya lahir 18 orang pelapis memimpin jawatankuasa. Kamil dan Khay sudah tentu banyak membantu.
Saya berbangga dengan Kamil, Ashraf, Nik, Sharil, Fairuz, Hasrol, Ida, Herna, Syi, Suan, Wawa, Liza, Hidayah Jr, Fatihah dan Liza. Semestinya kebanggaan saya memuncak semasa program ESMAR dulu. Bukan bangga dengan kehadiran orang ramai memenuhi ruang dewan tetapi kesungguhan kalian membuktikan bahawa organisasi Islam juga punya kredibiliti tersendiri. Kita hebat dengan daya juang dan semangat berkorban.
Saya bercerita pengalaman bukan tujuan kagum dengan diri sendiri. Saya ingin mengajak diri saya dan anda untuk meletakkan cabaran dalam hidup. Fikirkan, adakah kita tetap berada pada posisi kita sekarang untuk tempoh-tempoh akan datang. Jika tidak, cabar diri anda untuk membina landskap kehidupan yang penuh seni. Letakkan cabaran...dan cabar diri...
Posted by Nurhidayah Jaafar at 3:17:00 PM 0 comments
Labels: AGEN PERUBAHAN, PENGURUS PEMIMPIN
Artigos Relacionados:Tuesday, July 15, 2008
KITA ARKITEK LANDSKAP TARBIYYAH
Modul Champion Leader
Sewaktu menjadi moderator salah satu kem kepimpinan Islam di kampus, saya membawa peserta kepada satu modul bertajuk Champion Leader bertujuan menerapkan sifat 'memberi' sebagai mahasiswa dan pemimpin di kampus. Di akhir modul tersebut saya membuat resolusi dan saya katakan kepada peserta:
"Penglibatan seseorang di dalam organisasi dan aktiviti di kampus, mestilah secara proaktif iaitu dengan menyumbangkan sebanyak mungkin idea dan tenaga untuk membangunkan organisasi. Keterlibatan individu di dalam apa sahaja program adalah ke arah untuk memperbaiki diri, tetapi melibatkan diri dalam program semata-mata untuk 'menerima', bukanlah ciri seorang mahasiswa ataupun pemimpin yang cemerlang. "Cemerlang is Better than Good or even Better than Best". Kita sepatutnya terlibat dengan organisasi dan aktiviti di kampus, mestilah atas dasar untuk memberi. Kerana ketika kita memberi, disitulah bermulanya proses pembentukan diri. Jiwa memberi itu harus datang dari suatu kesedaran bahawa kita perlu melakukan sesuatu."
Sememangnya kem itu untuk melahirkan jiwa-jiwa yang membugar dengan kesedaran untuk berdakwah, maka saya kaitkan dakwah itu sebagai sifat 'memberi'. Berdakwah adalah gerak kerja 'memberi sesuatu' bukan hanya sekadar menerima. Saya analogikan begitu kepada adik-adik peserta kerana bimbang jika ada di kalangan peserta agak berat menerima bila saya terus gunakan istilah berdakwah. Semestinya mereka masih mentah untuk menerima perkara ini secara direct.
Memang benar, setiap daripada kita telah dibentuk dengan jiwa dakwah melalui acuan tarbiyyah yang bukan sedikit. Jiwa itu lahir atas slogan faham dan sedar. Maka kita katakan pada sasaran dakwah yang bakal lahir sebagai jiwa-jiwa yang baru, "tak semestinya kita nak berdakwah ni nak tunggu sampai jadi perfect, jangan risau kita bergerak kerja secara amal jama’i, sahabat-sahabat boleh membantu", jawab kita bila ada sebilangan mereka mula bersuara, "saya tidak layak la kak, abang!" Sedikit sebanyak kata-kata itu menjadi motivasi pada jiwa-jiwa baru untuk belajar bertatih, berjalan dan akhirnya berlari gah dalam gelanggang dakwah ini.
Penggerak tarbiyyah yang luar biasa

Enam tahun saya berpencak silat dalam dunia tarbiyyah dan kepimpinan kampus. Menggalas amanah mentarbiyyah dan memimpin ahli sememangnya bukan tugas mudah. Sebab itu saya rasakan, mereka yang sangat komitmen berhadapan dengan cabaran portfolio sebagai penggerak agenda tarbiyyah adalah seorang yang 'luar biasa'. Saya yang bergelumang hampir 6 tahun dengan gerak kerja tarbiyyah pun ada kalanya agak 'muak' dengan masalah-masalah tarbiyyah yang kecil dianggap besar, yang mudah disukarkan, yang boleh ditoleransi kadang-kadang menjadi konflik.
Sepanjang tempoh itu, saya cuba cakna dengan pandangan dan penilaian peribadi saya terhadap beberapa landskap tarbiyyah dan kepimpinan yang semakin diperbaharui sistemnya dari satu generasi ke generasi yang lain. Perubahan landskap politik negara turut menuntun kita untuk menjadi arkitek masyarakat merebentuk satu landskap tarbiyyah yang kontemporari bukan lagi tarbiyyah tradisional. Jika sebelum ini kita mentarbiyyah dan ditarbiyyah untuk lahir sebagai pemimpin lajnah, namun kini tsunami tarbiyyah kita adalah untuk melahirkan pemimpin negara.
Pendakwah biasa-biasa saja
Sebelum itu kita kaji kembali, adakah perubahan landskap tarbiyyah itu boleh terlaksana dengan melihat senario pendakwah kita hari ini. Organisasi kita masih lagi mengendalikan masalah tarbiyyah yang remeh. Nuqoba’ 'segan' melaksanakan usrah, ahli kurang kemahiran dakwah, kepimpinan tidak bijak mengurus, jenayah akademik tiap-tiap semester, masalah hati dan hati yang bermasalah, hanya menjadi agen pengikut, tidak berani menjadi agen perubah, budaya malas membaca, minda malas berfikir, kurang kemahiran politik organisasi, buat kerja sedikit tapi hasil nak banyak dan macam-macam lagi.
Saya kembalikan semua itu kepada diri saya juga.
Mungkin kerana kita katakan kepada mereka, juga kepada diri kita, "saya perlu memberikan sesuatu, kita perlu memberikan sesuatu, kamu perlu memberikan sesuatu". "Kita perlu rancang ini, kami perlu buat itu, saya harus laksanakan demikian". "Kita mesti memberi, memberi dan terus memberi." Tanpa sedar, kita leka bahawa kita juga perlu memiliki sesuatu bukan sekadar memberikan sesuatu. Kerana tidak memiliki sesuatu itulah, kualiti diri kita sebagai pendakwah tidak seperti yang diharapkan. Standard matlamat dakwah kita tinggi tetapi standard diri kita rendah.
Apakah itu memiliki sesuatu? Saya serahkan kepada anda untuk berfikir. Kita muhasabah kembali adakah kerja buat kita sehingga hari ini sudah sampai pada objektif dan matlamatnya, atau kita buat kerja banyak tapi hasilnya masih kurang, atau kita buat kerja sedikit tapi hasil nak banyak, atau misi dakwah kita masih tak terlaksana dan segala macam atau lagi. Kemungkinan semua itu kerana kita masih belum memiliki sesuatu untuk kita dilabelkan sebagai pendakwah 'luar biasa'.
Elok perhati bicara lidah, takut rupa-rupanya untuk diri sendiri. Saya kembalikan semua komentar ini kepada diri saya juga. Saya perlu muhasabah diri kerana sememangnya saya juga pendakwah yang 'biasa-biasa' sahaja.
Posted by Nurhidayah Jaafar at 4:43:00 PM 1 comments
Labels: AGEN PERUBAHAN, TARBIYYAH WORLD
Artigos Relacionados:Friday, July 11, 2008
STRATEGI DAKWAH KITA
Strategi Serigala. Strategi serigala adalah strategi yang agresif. Serigala cerdik dan banyak akalnya tetapi dia bekerja dengan kompleks. Apabila dia menyerang, dia melihat mangsanya daripada pelbagai sudut bagi mencari kedudukan terbaik. Dengan kata lain, serigala menggunakan pelbagai pendekatan, namun banyak juga melakukan perkara yang sia-sia. Serigala mengambil masa yang lama untuk mengintai mangsanya. Kadang-kadang usahanya yang kompleks itu hanya sia-sia apabila ia menyerang terlalu agresif hingga seekor mangsapun tidak mengena.
Strategi Landak. Landak hanya menggunakan satu jalan yang jelas, sederhana dan sama di mana-mana. Landak mengesan mangsanya secara pasti dan apabila dia melihat mangsanya, ia terus menerkam dan membawanya kembali ke sarang. Ia tahu apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak. Apabila ia diserang, ia hanya mengambil satu tindakan mempertahankan diri iaitu menggulung tubuhnya yang penuh duri. Dengan cara itu, duri-duri tubuhnya menghalang haiwan lain menyerangnya dan ia pasti selamat. Landak fokus pada melakukan perkara yang betul pada masa yang betul. Ringkas tetapi bijak. Mampu bergerak cepat, efektif dan efisyen kerana tidak memikirkan banyak hal dan tidak menanggung beban yang tidak perlu.
Strategi Tikus. Tikus adalah haiwan yang rajin dan cerdik. Kerana itulah, barat selalu menjadikan tikus sebagai ikon-ikon dalam filem dan kartun. Apabila tikus mempunyai sekeping keju dan tiba-tiba keju itu hilang, dia tidak berdiam diri. Dia mencari dan terus mencari hingga berhari-hari si tikus itu berjalan ke sana ke mari mencari kejunya yang hilang. Akhirnya si tikus bertemu dengan barang yang lain di tempat yang jauh dari tempat asalnya. Ia berjaya bertemu sesuatu yang baru kerana tikus berorientasikan tindakan.
Apakah strategi dakwah kita?
Agresif dan kompleks seperti serigala
cepat, efektif dan efisyen seperti landak
atau berorientasikan tindakan seperti tikus
Posted by Nurhidayah Jaafar at 4:05:00 PM 0 comments
Labels: TA'ADDUD METHOD
Artigos Relacionados:Thursday, July 10, 2008
Antara 'SEPI' dan 'CINTA'
Saya bukan ingin mengulas tentang filem SEPI mahupun filem CINTA, atau...
Saya bukan sedang dilanda SEPI atau sedang dilamun CINTA...
Saya berharap agar perasaan SEPI itu tidak hadir...
Dan jika ia datang...
Moga-moga perasaan CINTA itu boleh menutupi perasaan SEPI
CINTA pada Tuhan,
CINTA pada Manusia,
CINTA pada Makhluk dan,
CINTA pada Perjuangan ini.
Bila waktu telah berakhir
Teman sejati hanyalah amal
Bila waktu telah terhenti
Teman sejati tinggallah sepi
Jangan ada SEPI, hadirlah CINTA
Biarkan SEPI itu terus menyepi
Dan CINTA mengambil tempatnya
Posted by Nurhidayah Jaafar at 5:39:00 PM 2 comments
Labels: MOTIVASI
Artigos Relacionados:Wednesday, July 9, 2008
BERKUASA DENGAN JIWA, BUKAN EMOSI
Biar siapa pun kita, sama ada kita duduk atas timbangan atau sudah naik ke bulan mahupun bermata satu, yang pastinya kita sudah pun tidak berupaya. Kita sudah pun menjadi bangsa yang hampir gugur akibat kuasa yang ada di tangan. Kita berpecah akibat kuasa yang kita ingin perjuangkan tetapi tanpa sedar kita memberi orang lain berkuasa kerana kita sibuk untuk bertelagah.
Kuasa yang kita perjuangkan itu tiada erti bila kuasa itu kita perjuangkan untuk diri sendiri, kita bukan pertahankan kedaulatan bangsa tetapi kepapaan diri. Diri yang sudah jatuh miskin akibat jiwa yang kosong. Kuasa hanya boleh dipertahankan apabila kita meletakkan Allah s.w.t sebagai pemandu utama dalam perjuangan. Jika kita lihat zaman sahabat juga begitu, apabila kita meletakkan diri sebagai wadah untuk berkuasa maka sistem khalifah menjadi kucar-kacir.
Berkuasalah dengan jiwa bukan emosi agar kuasa tidak menguasai kita. Jika kita benar-benar ingin mendaulatkan bangsa, meninggikan darjat beragama, lihatlah pertikaian yang ada ini boleh membuat kita kuat atau sebenarnya menjadi wayang gambar yang menghiburkan orang lain.
Posted by Nurhidayah Jaafar at 4:10:00 PM 1 comments
Labels: TARBIYYAH WORLD
Artigos Relacionados:Monday, July 7, 2008
10 CARA MENARIK PENGUNJUNG BLOG

Saya ada terjumpa satu artikel berkenaan dengan 10 cara untuk menarik perhatian pengunjung blog. Saya berminat untuk berkongsi informasi ini bersama dengan rakan blogger yang lain. Semoga aktivitis dakwah alam cyber akan lebih berkesan dengan mengamalkan tips2 ini. Sama-samalah kita memajukan diri untuk berdakwah.
1. Penggunaan imej. Jangan takut untuk meletakkan imej disetiap postingan, mata pengunjung lebih tertumpu kepada imej sebelum teks. Sebaiknya imej yang ingin diletakkan haruslah di resize dulu kelebarannya agar tidak terlalu besar. Satu imej untuk setiap satu posingan sudah cukup. Terdapat banyak perisian percuma yang boleh didapati di internet yang sesuai digunakan contohnya Picasa ataupun Photoscape.
2. Blog unik. Elakkan menggunakan templat yang popular. Sehebat manapun templat itu bila sudah ramai yang menggunakannya pasti ianya memboringkan. Apa yang penulis syorkan, cuba ubah apa yang templat anda sudah ada contohnya warna, widget dan sebagainya. Jika blog anda unik, pastinya anda lain dari yang lain. Contohnya blog ini, asalnya ia adalah default template Tic Tac, selepas 2 hari ianya nampak lebih berbeza dari templat asalnya.
3. Link Tab. Link Tab memang penting, cuba letakkan alamat URL yang penting sahaja. Antara alamat URL yang kerap digunakan adalah Home, Donate, About Me dan Subcribe. Cuba jadi kreatif agar idea yang anda ingin sampaikan berbeza dengan blogger lain.
4. Format penulisan. Bagi Wordpress, dashboardnya mungkin banyak kelebihan dari Blogger bukan? Walaupun begitu, apa yang penting cuba optimumkan penggunaan dashboard. Tulisan yang bervariasi membuatkan mata lebih fokus. Jangan jadikan blog anda seperti suratkhabar, lagipun tidak ada orang yang ingin membelinya. Penggunaan bold, italic, hyperlink, quote dan sebagainya harus diambil perhatian.
5. Interaksi dua hala. Adakalanya postingan kita akan di komen jika ia betul-betul menarik. Jangan biarkan pengunjung anda ‘bercakap dengan dinding’, cuba balas apa yang mereka komen. Jika komen berbentuk pertanyaan, cuba jawab secepat mungkin. Jika komen berbentuk pujian, cuba jadi bersederhana. Jika komen berbentuk teguran, jangan jadi sombong untuk terus membuangnya.
6. Menulis Headline dan Katakunci. Katakunci adalah untuk mesin pencari (search engine), ianya bukan untuk pengunjung. Cuba belajar kombinasi untuk cari headline dan katakunci terbaik untuk menarik perhatian pengunjung dan mesin pencari. Pastikan ejaan yang ditaip mengikut tatabahasa yang betul kerana Google amat menitikberatkan penggunaan ejaan. Tak kisahlah walaupun anda menulis dalam bahasa melayu pun.
7. Ringkas dan padat. Cuba jangan menulis sesuatu artikel terlalu panjang, secepat mana yang anda ingin sampaikan itu adalah penting. Seribu perkataan pun belum tentu boleh membuatkan pengunjung blog anda faham tentang apa yang anda telah tulis. Sebaiknya pecahkan topik yang anda ingin sampaikan kepada beberapa postingan. Contohnya bila anda menulis tentang Technorati, tak perlu menulis seperti Wikipedia. Pecahkan kepada maksud, kegunaan, isu semasa dan pelbagai lagi mengikut idea anda.
8. Sederhana dan bersih. Anda perlu memastikan blog anda besederhana dan bersih. Buangkan widget yang terlalu banyak. Walaupun ianya widget berguna, terlalu banyak widget boleh membunuh minat pengunjung. Cuba bezakan mana widget yang penting dan yang tak penting, seterusnya optimakan penggunaannya.
9. Widget Tentang Saya. Wajibkan diri anda memasang widget Tentang Saya pada Sidebar masing-masing. Walaupun nampak remeh, bagi pengunjung ianya amat penting dan mereka perlu tahu tentang siapa tuan punya blog itu. Letakkan imej yang paling hensem atau cantik sahaja, gunakan Photoshop jika perlu menipu. Diskripsi pula harus pendek dan ringkas, tak perluayat memuji-muji diri sendiri. Cukuplah memberitahu nama, lokasi dan tujuan anda berblogging.
10. Masa adalah segalanya. Anda pernah kira berapa berat blog anda? Anda pernah kecilkan saiz CSS anda? Jika tidak sila lakukan sekarang. Sudah lama penulis berblogging, banyak sekali templat yang dikeluarkan setiap hari dan ada sahaja yang menarik hati. Tak kira secantik manapun templat, elakkan memilih templat yang mempunyai banyak imej. Semakin berat templat, semakin bosan pengunjung blog anda untuk menjelajah ke postingan seterusnya. Templat yang terlampau berat merugikan diri sendiri.
Jadi untuk meningkat jumlah pembaca, bacalah tips di atas.
Sebar-sebarkanlah ya.
Posted by Nurhidayah Jaafar at 6:39:00 PM 0 comments
Labels: TA'ADDUD METHOD
Artigos Relacionados:Friday, July 4, 2008
TARBIYYAH WORLD

Karya ini menunjukkan kepada kita kebijaksanaan dan kesungguhan bangsa Jepun dalam membina satu bangsa dan tamadun yang berjaya. Doraemon ada wawasan. Menyelamatkan bumi, menjaga alam sekitar, menghormati guru dan ibu bapa, semangat setiakawan, melebihkan orang lain berbanding diri sendiri, cinta antara dua anak kecil, dan juga kesetiaan Doraemon terhadap tuannya Nobita mempamerkan satu nilai yang sangat berharga untuk dipungut.
Arena dakwah dan tarbiyyah zaman sekarang bukan lagi seperti arena dakwah dan tarbiyyah 5 tahun yang lepas, 10 tahun yang lepas mahupun 50 tahun yang lalu. Contohilah Fujo F Fujiko yang mempunyai pemikiran yang luar biasa, kehadapan, ada wawasan dan cita-cita, mindanya tidak sempit dan beku, komitmen dan bersungguh-sungguh, tidak jumud dan ditakok lama dan paling penting ada cetusan semangat untuk membangunkan bangsanya. Adakah kesan sistem tarbiyyah kita seperti kesannya karya Fujo F Fujiko kepada bangsa Jepun? Matlamat kita memang berbeza namun yang perlu dipersoalkan, apakah sikap dan pemikiran kita?
Belajar dari Ultraman

Jepun juga boleh berbangga dengan Ultraman. Raksasa mengganas menghancurkan negara Jepun tetapi apabila Ultraman bejaya mengalahkan raksasa, bumi Jepun kembali kepada asal dalam sekelip mata. Itulah kebanggaan Jepun, Jepun berjaya membina negaranya kembali sehingga kini selepas musnah akibat pengeboman Hiroshima dan Nagasaki hanya dalam tempoh 100 tahun.
Jepun ada wawasan dan dengan wawasan itu mereka membentuk negara. Jepun ada perancangan yang strategik, pegangan dan berprinsip. Kerana pegangan dan prinsip itu, Jepun boleh kekal dengan budaya dan bahasa mereka sendiri. Budaya kerja Kamikaze dan semangat Kaizen melatih rakyat Jepun bermotivasi untuk bekerja. Bagaimana pula dengan corak dan budaya kerja kita? Cakap tak serupa bikin atau bikin serupa cakap?
Belajar dari Superman
Barat pula berbangga dengan Superman, Spiderman, Catwomen, Incredible Hulk, X-Men dan Ice-Man. Jangan melihat kepada bentuk luaran kerana setiap filem dan watak yang dibuat, ada mesej tersirat yang ingin disampaikan. Meskipun berseluar dalam di luar, namun Superman membayangkan bahawa Amerika Syarikat adalah gergasi dunia yang tidak tercabar.
Zaman tarbiyyah sekarang bukan lagi zaman yang hanya membincangkan bagaimana melahirkan nuqoba’ yang baik tetapi zaman tarbiyyah untuk melahirkan pemimpin yang berkarismatik. Jika kita sudah bersedia untuk merubah sistem kerajaan hari ini, maka kita juga perlu bersedia melahirkan pakar ekonomi, jurutera sistem, pakar IT, penggubal undang-undang, pendidik, perancang bandar, kontraktor, karyawan filem, penulis novel, dan ahli profesional yang lain untuk mengubah seluruh sistem sekular hari ini. Tiada negara Islam lagi yang menjadi gergasi dunia, kerana itu tidak mustahil Islam dikatakan agama mundur dan menolak kemajuan.
Belajar dari Putera Katak
Seorang putera raja menjadi seekor katak kerana sumpahan tukang sihir dan sumpahan ini hanya boleh disembuhkan oleh ciuman sejati seorang wanita. Bertahun-tahun Si Putera Katak cuba memikat hati wanita untuk menciumnya, namun tiada seorang pun yang sudi sehinggalah seorang puteri raja yang baik hati benar-benar mencintainya.
Kenapakah gadis-gadis sebelum ini tidak berselera hendak mencium katak itu walhal sebenarnya dia adalah seorang putera raja yang kacak. Jawapannya, kerana rupa putera raja itu seperti katak! Walaupun dia begitu tampan, baik hati, berkedudukan dan kaya namun tiada siapa yang sudi kerana rupanya adalah rupa katak.
Begitulah dalam urusan kita. Tidak kira siapapun kita, orang lain akan membuat tanggapan awal dengan perwatakan, penampilan, cara berpakaian, berkomunikasi, bertingkah laku dan pelbagai ciri yang melambangkan personaliti kita. Kita tidak boleh menghalang mereka daripada membuat macam-macam tanggapan tetapi kita boleh menghalang diri sendiri daripada membiarkan diri terus ditanggapi sebagai ’katak’.
Walaupun kita optimistik dengan slogan ’don’t judge a book by is cover’ namun jangan ambil lewa dengan istilah ‘cinta pandang pertama’. Tidak mustahil, kegagalan kita menarik perhatian dan minat sasaran dakwah pada pertemuan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya pada mana-mana program yang dikendalikan hanya kerana kita gagal mendapatkan tanggapan pertama yang baik!
Wujudkan personaliti yang adaptif. Adaptif adalah menyesuaikan diri dengan keadaan dan tempat. Adaptif adalah meraikan harapan orang lain. Adaptif adalah satu kemahiran dakwah. Adaptif juga petanda kemesraan dan kasih sayang.
Posted by Nurhidayah Jaafar at 1:27:00 PM 0 comments
Labels: TARBIYYAH WORLD
Artigos Relacionados:Posted by Nurhidayah Jaafar at 11:06:00 AM 0 comments
Artigos Relacionados:
JGN OPTIMIS MESKIPUN DLM KETAATAN (2)
Seseorang tertarik dengan tajuk post saya yang lepas, Jangan Optimis Meskipun Dalam Ketaatan namun artikel saya agak ringkas dan seolah-olah terbantut. Agak kurang jelas untuk difahami. Di sini saya berpeluang untuk menjelaskan semula apakah yang dimaksudkan dengan jangan optimis itu.
Untuk mencapai hasrat dan cita-cita menjadi seorang hamba Allah yang taat amatlah sukar bagi manusia yang lemah ini, meskipun manusia itu telah mendapat hidayah sehingga pada zahirnya dia menjadi seorang yang taat, namun Allah mempunyai kuasa mutlak untuk merubah keadaan itu menjadi sebaliknya. Meskipun manusia berusaha untuk berdiri teguh di atas keimanannya, namun ia terserah kepada kemahuan Allah dan natijah kepada segala perbuatan manusia itu sesungguhnya masih ghaib dan hanya di dalam ilmu Allah.
Justeru itu, tidak boleh bagi seseorang yang telah melakukan ketaatan kepada Allah merasa senang hati di atas segala qirbah atau usaha mendamping diri kepada-Nya. Walaupun segala usaha ketaatan telah dilakukan sekuat tenaga sedaya mungkin tetapi ibarat cerita masih dipertengahan belum diketahui apakah kesudahannya, maka atas alasan apakah seseorang itu boleh merasa senang hati?
Sekalipun sudah dimaklumi bahawa segala yang makruf itu disukai Allah Taala, malah dijanjikan pahala tetapi manusia tidak boleh merasa bangga dengan semua ketaatan itu kerana segala usaha itu ibarat seorang usahawan yang menggunakan modal orang lain.
Jika seseorang melakukan solat, dia menggunakan anggota tubuh yang dipinjamkan. Jika bersedekah dan menginfakkan harta untuk jihad pasti menggunakan kemudahan rezeki yang didatangkan oleh Allah. Berdakwah dan mengadakan kuliah ilmu tidak lain hanya menyampaikan ilmu yang didatangkan oleh Allah Taala melalui rasul-Nya. Sesungguhnya semua itu adalah pemberian dan kurnia Tuhan yang mencurah-curah kepada hamba-Nya, maka yang manakah yang datang daripada manusia itu sendiri?
Bertarung dengan musuh secara berdepan ada kalanya manusia tertewas, tidakkah manusia akan lebih sulit apabila bertarung dengan musuh yang tidak dapat dilihat? Iblis sebagai makhluk yang tidak dapat dilihat dengan indera penglihatan, pasti lebih mudah menyusup ke dalam diri dan hati manusia. Manusia yang hidup di muka bumi ini adalah khalifah dan tentera Allah yang sedang berperang dan bertarung dengan musuh tradisi dari luar iaitu iblis serta disokong pula oleh musuh dalaman iaitu nafsu.
Merasa amankah setiap orang yang sedang berperang? Sedangkan musuh terus menerus menghujani berbagai-bagai jenis peluru yang dahsyat. Musuh tradisi itu menggunakan peluru hasad, peluru dengki, peluru tamak, peluru khianat, peluru takbur, peluru ujub, peluru riya’, peluru sum’ah dan macam-macam jenis peluru lagi. Justeru itu, tidak ada kawasan aman dan selamat sehingga manusia tidak mungkin dapat rehat.
Dalam suasana begini mana mungkin manusia merasa optimis untuk mencapai kemenangan yang total terhadap iblis itu kerana sikap optimis akan menjadikan manusia lalai dan tidak berwaspada malah tidak berusaha untuk mengatasi musuhnya. Janganlah menjadi manusia yang berbangga dengan bunga-bunga dipohon serta putik-putik buah di dahan, apabila datang hujan ribut yang memusnahkan bunga dan putik tiada apa lagi yang tinggal. Andaikata Allah tidak menerima kesemua jenis kebajikan dan ketaatan yang manusia banggakan, nescaya ia menjadi kosong ibarat perut unta, kerana sebenarnya perut unta itu jika dibedah ia hanya dipenuhi dengan najis tetapi kosong dari kebaikan.
Seseorang yang pulang ketika petang dengan keimanan dan rajin beramal tetapi pastikah keadaan itu berkekalan hingga esok harinya? Segala kemungkinan boleh terjadi, mungkin ketika malam harinya mendengar bisikan iblis lalu melakukan maksiat, maka matahari yang terbit di pagi itu menyambut dia sebagai seorang yang zalim, bukan lagi sebagai hamba yang soleh dan bertakwa.
Posted by Nurhidayah Jaafar at 10:04:00 AM 0 comments
Labels: DOKTOR HATI
Artigos Relacionados:







