Thursday, November 27, 2008

INSPIRASI CINTA YANG SENGAL

Selamat Bergraduasi.

“Selamat bergraduasi. Semoga berjaya menamatkan degree dengan ijazah kelas pertama”.

Sebaris ayat tersebut saya nukilkan di atas sekeping kad lalu diselitkan di celah sejambak teddy bear + bunga. Bangga dan kagum memiliki adik seperti Murnirah. Hadiah sejambak teddy bear + bunga belum tentu tandingannya dengan kesungguhan Murnirah menamatkan Diploma Mikrobiologi, UiTM dengan sipi-sipi kelas pertama. Harap-harap, baki pengajiannya dalam Ijazah Sarjana Muda Biomolekul berakhir dengan keputusan pecah rekod keluarga, kejayaan kelas pertama. Usaha sedaya mungkin, doa sebanyak usaha dan tawakkal sehebat burung.

Inspirasi Cinta.

Usai menghadiri majlis konvokesyen adik saya, Murnirah, saya luangkan masa membaca akhbar Harian Metro lalu terjumpa dengan satu berita ini.

“Orang kata bercinta boleh melalaikan tapi bagi saya, cinta memberi inspirasi dan semangat untuk lebih berjaya dan hari ini saya sudah buktikan tidak salah bercinta ketika belajar asalkan tahu batas-batasnya,” kata salah seorang penerima Anugerah Naib Canselor yang ditemui ketika Majlis Konvokesyen ke-69, Universiti Teknologi Mara.

Menurutnya, teman lelakinya yang juga seniornya di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal sentiasa membantunya dalam pelajaran dan sering memberi nasihat berguna.

"Dia sering mengingatkan saya walaupun bercinta, jangan hingga abaikan pelajaran dan apabila berada di dalam kelas mesti sentiasa fokus pada subjek yang diajar pensyarah," katanya.

"Saya beruntung kerana bercinta dengan senior sendiri kerana secara tidak langsung dia banyak menurunkan tips berguna terutama apabila menjelang peperiksaan", katanya yang mendapat CGPA 3.84 dalam Diploma Kejuruteraan Mekanikal.”

Ibubapanya mengetahui dia mempunyai teman lelaki dan tidak pernah menghalangnya, tetapi sentiasa berpesan supaya tidak mengabaikan pelajaran.

"Ibu saya selalu pesan, tidak salah bercinta ketika masih belajar asalkan jangan keterlaluan hingga pelajaran entah ke mana. Nasihat itulah yang saya pegang sampai hari ini dan syukur akhirnya penat lelah saya selama tiga tahun akhirnya berbayar dengan penganugerahan yang diterima ini".

Saya selesai membaca. Berita yang memualkan. Saya mencipta monolog negatif sendiri, "Kalau aku pun ada teman lelaki senior secourse masa belajar dulu, mungkin aku pun akan grade dengan Anugerah Naib Canselor". Satu inspirasi cinta yang sengal lagi memualkan.

Anda mahu bergraduasi dengan Anugerah Naib Canselor? Carilah inspirasi cinta seperti itu. Tapi jangan tanya saya soal keberkatan ilmu!

Tuesday, November 25, 2008

MARI KE SEKOLAH CINTA, BELAJAR TENTANG CINTA


Nisa’ Gombak menghela nafas lega. Bahu kami sedikit ringan jika sebelum ini terasa seperti senget sebelah. Program 'Berpaut di Dahan Cinta' selesai dijayakan dengan gandingan daya usaha ahli jawatankuasa, gabungan kerjasama pihak-pihak penganjur, kemantapan hujah panelis forum dan kebijaksanaan moderator mengeksploitasi peluang sebagai pemudah cara. Sesungguhnya, program ini meninggalkan 1001 kenangan manis buat kami, seluruh ahli jawatankuasa penggerak program lebih-lebih lagi kepada para hadirin sebagai pendengar forum yang setia.


Saya secara konon-kononnya, menunaikan amanah sebagai AJK pendaftaran forum


Barisan AJK Nisa' Gombak, penganjur bersama, moderator forum & panelis forum.




Seronok, menarik, best, bermanfaat, kelakar, semangat, motivasi dan macam-macam lagi adalah antara gambaran perasaan bagi mereka yang hadir ke forum percintaan dan perkahwinan ini. Bagi mereka yang tidak berpeluang atau melepaskan peluang ini secara sengaja, satu sahaja: RUGI! Benarkan saya menanggapinya sebagai program Motivasi Perkahwinan dan Percintaan.


Kenapa perlu Motivasi Perkahwinan dan Percintaan? Asalnya, berkahwin dan bercinta itu tidak perlukan motivasi. Kahwin dan cinta tak perlu diajar dan ditekan-tekan untuk keluar. Tiada siapa yang perlu ke program motivasi untuk membangunkan diri dengan semangat cinta dan semangat berkahwin. Perasaan ingin bercinta lalu berkahwin akan datang dengan sendirinya. Budak sekolah rendah pun sudah pandai bercinta dan berbicara tentang seksual walaupun tiada matapelajaran cinta dan seks di sekolah. Namun, apa yang perlu dimotivasikan ialah bagaimana membangunkan diri dan masyarakat dengan kebenaran cinta dan kebahagiaan perkahwinan. Cinta juga perlu disekolahkan!


Kenapa cinta? Sikit-sikit cinta, sikit-sikit cinta. Zaman sekolah dahulu, ibu bapa menegah anak: "sekolah dahulu, habiskan belajar, baru bercinta." Masuk universiti, usia semakin matang, nafsu melonjak-lonjak ingin bercinta dan dicintai. Namun, di slogankan oleh ahli Persatuan Islam di universiti: "No Coupling, Jauhi Maksiat!" Pengisian dominan dalam program-program di universiti sememangnya tak lari dari bicara tentang cinta dan couple. Ini tandanya cinta perlu di sekolahkan agar ia sentiasa terbimbing dan terdidik untuk berada pada landasan yang sebenar. Orang kata cinta itu buta, tapi kalau kita orang yang celik, kita akan jumpa cinta yang celik juga. Setiap orang berhak mencari cinta yang dibangunkan atas redha Allah.


Kenapa kahwin? Kahwin ini perihalnya ada dua. Bahagia atau kecewa. Setiap orang mengimpikan rumahtangga yang sakinah mawaddah warahmah. Rumahtangga yang merdeka, yang bahagia, yang sentiasa dalam rahmat dan keampunan Allah. Rumahtangga yang dipanggil juga sebagai 'baldatun, thaibatun wa Rabbun Ghafuur.'


Maka, untuk menikmati kebahagiaan alam rumahtangga, masing-masing perlukan ilmu dan belajar daripada pengalaman orang yang lebih dahulu makan garam. Ibarat hendak menyelamatkan kereta, perlu berbuat sesuatu. Jangan sama menjerit dengan penumpang, jangan ikut mengutuk pemandu lain atau melompat ikut pintu belakang. Maksudnya, drebar itu adalah suami, kelindan itu ialah isteri dan penumpang itu adalah anak-anak. Harapannya, agar rumahtangga jangan ibarat orang memakan tebu daripada pangkalnya, semakin ke hujung semakin tawar, semakin hambar, semakin sejuk. Tapi seperti orang meminum teh tarik, semakin hirup semakin sedap, semakin tua semakin mesra, berbimbing-bimbing ke dalam syurga.


Pada penilaian saya, forum 'Berpaut di Dahan Cinta' ini bukan sahaja membicarakan tentang perihal 'dahan cinta' tetapi seluruh 'pohon cinta' – akarnya, dahannya, batangnya, rantingnya, pucuk dan bunganya. Jika hendak mendapatkan buah jambu, tanam biji jambu maka hasilnya akar, batang, dahan, daun dan buah jambu. Tiada yang menanam biji jambu keluar buah durian. Seperti mengambil kata-kata panelis forum, Dr. Rubiah K.H, "Kalau awal jalannya bersih, maka hujungnya pasti bersih. Tapi kalau kotor jalannya, hujungnya takkan jumpa yang bersih." Inilah penilaian keberkatan dalam perkahwinan, awal jalan menujunya baik, pasti di hujungnya berakhir dengan kebaikan. Cintanya atas redha Allah, perkahwinannya sebagai sinergi yang menyatukan dua perbezaan, keluarga terbina atas dasar baitul dakwah dan baitul muslim, InsyaAllah jawapannya ketemu di Syurga.


Saya sarankan anda ke laman web Ustaz Hasrizal: Saiful Islam [link] untuk memperolehi catatan pengisian forum ini. Luangkan masa ke laman web Nisa’ Gombak juga. [link]


"Mari ke Sekolah Cinta, Belajar tentang Cinta"



Wednesday, November 19, 2008

RE-ENGINEERING DAKWAH METHOD (2) : MANUSIA YANG MATI AKAR


Jangan Hanya Bercakap Soal Pucuk dan Bunga


Apabila bercakap soal permasalahan sosial masyarakat, maka pelbagai pihak yang merasai amanah berusaha mengembalikan ketemadunan sikap masyarakat. Telah banyak forum, kuliah, ceramah dan bahan-bahan didikan yang bermesej Islam muncul di tengah-tengah masyarakat. Malah kumpulan-kumpulan nasyid dengan kepelbagaian penampilan juga semarak tumbuh dengan banyaknya. Produk-produk Islamik semakin melambak di pasaran. Anehnya, masalah sosial dan keruntuhan moral juga semakin bertambah. Media ponografi, dadah, dedah, aksi lucah pelajar sekolah, belasah guru, budaya gangster, ragut, pecah amanah dan macam-macam lagi gejala negatif semakin berleluasa. Di mana salahnya? Mungkinkah pendekatan kita untuk menyelesaikan masalah-masalah ini sudah tersasar?


Begitu ketara sekali, betapa lambakan maklumat dan ilmu tentang kebaikan hanya bagaikan pelita yang diletakkan di atas atap rumah. Justeru, di dalam rumah tetap bergelap kerana cahaya pelita hanya tersebar di atas atap. Begitulah jika ilmu tidak meresap menjadi keyakinan di dalam hati. Ia tidak mendarah daging untuk dapat dipraktikkan. Cahayanya hanya tersebar sekitar teori dalam bentu
k lisan dan slogan.


Senario ini menterjemahkan penawar yang kita pilih sudah tidak berkesan lagi. Atau kita berlegar-legar pada ‘pucuk’ masalah sedangkan masalah sebenar terletak pada ‘akar’nya.
Boleh kita katakan masyarakat kita sudah lama ‘mati akar’ (walaupun kebanyakan masyarakat lebih gemar bercakap soal mati pucuk…)


“Akar dalam diri kita sudah semakin goyah daya tahan dan kemampuannya untuk menolak keburukan dan kejahatan yang datang menggoda dengan wajah yang begitu mengiurkan!


Kita gemar menggunakan yang ‘lahir’ untuk mengawal yang ‘batin’. Sedangkan hakikat manusia itu bukan lahiriyyah tetapi batiniyyah – akal, hati, perasaan dan nafsunya. Pelajar yang jahat, perketatkan disiplin. Isteri tidak taat, longgokkan harta. Suami curang, naik court. Pekerja malas, potong gaji. Majikan yang tamak, boikot. Membuang sampah, denda. Mengedar dadah, gantung! Inilah pendekatan yang kurang berkesan yang kita amalkan sekarang.


Umpama hendak memadam lampu elektrik hanya dengan meniupnya, tidak mungkin. Yang tepat kita cari suisnya. Lalu di manakah suis yang mengawal perilaku manusia?


Belief System dan Worldview


‘Belief System’. Manusia itu adalah apa yang diyakininya. Keyakinan ini dibentuk oleh fitrah insani dan soal keimanan yang bersumber daripada wahyu. Dalam Islam, ‘Belief System’ ini dinamakan sebagai akidah atau iman. Bila keyakinan sudah teguh, maka terbentuklah ‘worldview’ atau pandangan alam. Dari situlah terbentuknya sistem nilai yang menjadi penentu dalam diri dan mempengaruhi pilihan seseorang. Dia akan memilih sesuatu yang dilihatnya bernilai dan meninggalkan sesuatu yang tidak benilai. Inilah ‘akar’ yang membentuk sikap dan kelakuan seseorang.


“Aku ini siapa?. Alam ini apa? Manusia ini siapa? Dari mana aku datang? Hidup ini apa? Ke mana aku selepas ini? Kematian itu apa? Bagaimana keadaan akan datang? Yang menanti aku sesudah ini? Adakah lagi ‘hidup’ selepas ini?”


Walaupun kini teknologi sudah semakin canggih namun tamadun dalaman manusia masih kuno. Semakin ramai yang tidak tahu jawapan yang tepat tentang soalan-soalan asasi tentang hidup. Sepertimana kereta yang tidak ada pemandu, atau ada pemandu tetapi tidak ada arah tujuan. Begitulah hidup orang yang gagal mendapat jawapan yang tepat tentang apakah tujuan asasi dalam hidup.


Soalnya, berjayakah kita menanam soal kepercayaan (belief system), pandangan alam (worldview) dan sistem nilai dalam generasi kita?. Guru dan ibu bapa berjaya mengajar ilmu Matematik, Sains, Geografi tetapi mereka gagal menanam nilai-nilai dalam diri murid dan anak mereka. Bagaimana mendidik tentang nilai syukur, sabar, jujur, integriti, amanah dan sebagainya. Bagaimana para guru dan ibu bapa menanam soal keyakinan (belief system) dan memandu pelajar mempunyai pandangan alam (worldview) yang betul dan benar.


“Sistem pendidikan harus dibangun di atas kerangka kuat yg memungkinkan generasi muda memiliki kekuatan keislaman, kesempurnaan akhlak, pengetahuan yang memadai tentang ajaran agama mereka & kebanggaan terhadap kejayaan peradabannya yg agung.”


Ini adalah soal maknawi, soal akar, soal yang tidak nampak, yang hanya mampu dilihat secara tersirat. Analoginya, pelukis apabila melukis pokok tidak melukis akarnya. Yang dilukis dan diwarnakan hanya batang, dahan, ranting dan buahnya. Sebab kenapa? Sebab akar itu tersirat, tidak nampak! Apabila soal akar ini tidak dapat dilihat secara mata kasar, segalanya menjadi terlepas pandang untuk dilaksanakan.



“Marilah kita mengorak langkah untuk menyuburkan hati dan budi di dalam. Marilah kita bicarakan soal akar setelah lama kita bercakap soal pucuk dan bunga!”

Thursday, November 13, 2008

RE-ENGINEERING DAKWAH METHOD (1)


Bismillah saya bermula di hujung


Usai balik dari Midvalley, saya ‘all out’ ke usrah cawangan. Setiap kali ke usrah cawangan, saya pasti akan terkena syndrome ‘cakap tak serupa kena’ memandangkan ahli usrah adalah di kalangan makcik-makcik yang berumur 20 hingga 30 tahun lebih tua daripada saya. Tetapi seronok juga sebab rasa diri sentiasa muda.


“Ok, saya rasa sebelum kita pergi lebih jauh lagi untuk berbincang hari ini, cuba kita perhatikan tentang isu-isu yang berlaku sama ada di peringkat global, negara dan tempatan iaitu di cawangan kita sendiri.” selesai saya memulakan usrah petang itu.


“Ha, apa dia, Global. Global tu ape?”, terpancul soalan daripada mulut makcik Aishah.


Ah, sudah. Inilah dia syndrome ‘cakap tak serupa kena’. Saya terlupa bahawa saya berusrah dengan makcik-makcik yang kurang biasa dengan istilah-istilah sebegitu. Memang teragak-agak hendak menutur percakapan, semuanya perlu dikawal baik dari segi cara percakapan, cara penyampaian, perkataan yang digunakan dan topik perbincangan. Environment bekerja dengan nisa’ kadang-kadang terbawa-bawa apabila berurusan dengan orang berusia. Nasib baiklah tiada antara makcik-makcik ini bakal mentua saya. Kalau ada, pasti saya akan menjadi ‘perempuan melayu terakhir’.


“Oh, global ke?
Ha, selalu jugak tengok kat Astro Oasis tu rancangan Arena Global, global-global jugakla dia sebut. Makcik Minah menyampuk. Arena Global hanya sebuah rancangan temubual artis nasyid dan bukannya global yang dimaksudkan oleh saya.


“Takpelah, kita tinggalkan cerita tentang global, kita bincang apakah isu-isu masyarakat di cawangan ini dan cara-cara untuk kita menyampaikan dakwah kepada mereka”. Idea saya untuk tidak memanjangkan usrah kerana ‘Global’.


Sepanjang usrah, kami mencari pelbagai alternatif untuk melakukan perubahan terhadap metodologi dakwah kepada masyarakat setempat. Fokus utama kami adalah kefahaman dan kesedaran masyarakat tentang fardu ain dan fardu kifayah.
Kami mula mengakui sikap kebanyakan masyarakat yang beribadah ikut-ikutan dan tanpa ilmu. Ibadat yang sudah menjadi adat, ‘cukup sekadar buat’ dan ‘buat cukup-cukup’ sahaja.


Apakah re-engineering cara penyampaian dakwah yang efektif dan efisyen kepada masyarakat yang jahil tamadun dan sikap? Bagaimana metodologi kita menghadapi masyarakat yang ‘mulut sahaja bergerak’ tapi ‘telinga tidak mahu mendengar’? Doktor sudah berikan ubat, mereka yang sakit buat-buat terima, bila sampai dirumah ubat tidak ditelan. Hasilnya, penyakit masyarakat bertambah kronik.


Umat Islam masa kini sebenarnya tidak memerlukan pembaharuan dari segi prinsip (akidah), hukum hakam (kecuali dalam perkara-perkara baru) dan sistem nilai (akhlak). Sebahagiannya sudah mutlak dan mantap. Apa yang diperlukan ialah ‘pembaharuan’ dalam kaedah penyampaian dakwah agar lebih menarik, interaktif, kreatif untuk mudah difahami, dihayati dan ditegakkan dalam hidup sehari-hari. Kita tidak menghadapi banyak masalah dalam soal ‘content’ tetapi cabaran sebenar ialah soal ‘container’. Islam adalah ‘content’ dan kita sebagai pendakwah adalah ‘container’.
Soalan saya, siapakah yang anda akan lihat di cermin?


Saya tidak berminat menulis panjang tetapi banyak yang ingin dikongsi. Jumpa lagi saya, ustazah-engineer pada sambungan entri ini akan datang.
Dengan ucapan ‘BISMILLAH’ saya mulakan pencarian idea dan menulis untuk ‘RE-ENGINEERING DAKWAH METHOD (2)’.

Monday, November 10, 2008

INTROSPEKSI 25: GEMUKKAN BADAN ATAU GEMUKKAN IMAN?


“Allah amat amuuu..Allah amat amuuu…”

“Allah amat kakak ayong…Allah amat amuuu…”


Anak jagaan ibu saya, yang lebih mesra dipanggil Yaya menyanyikan lagu ‘Allah Selamatkan Kamu’ dalam versi pelat budak-budak baru belajar bercakap. Begitu bersungguh-sungguh dinyanyikan lagu itu kepada saya dengan muncungnya yang panjang sambil bertepuk tangan. Cukup menghiburkan hati saya, tuan empunya hari jadi.


Hari jadi atau hari lahir? Bagi saya, istilah yang paling sesuai digunakan ialah ‘Hari Lahir’ berbanding ‘Hari Jadi’. Tidak terjangkau pada fikiran kita bilakah kita dijadikan melalui proses-proses saintifik, tapi kita tahu bila kita dilahirkan. Mungkin ada benarnya pandangan saya ini. Terpulang…yang pastinya saya dilahirkan pada 8 November 1983, maka hari Sabtu yang lepas umur saya sudah menjangkau 25 tahun. Umur yang sudah layak menduduki alam kedewasaan yang matang, tapi entah kenapa saya masih rasa muda remaja.


Jangan tidak percaya, ada kenalan yang mengatakan saya kelihatan baru berumur 20 tahun walaupun sudah 25 tahun. Alasannya antara dua, sama ada perangai saya yang kebudak-budakan atau saya kelihatan awet muda.
Rasanya sebab yang kedua lebih kukuh! Hoho, jangan salahkan saya, bukan saya perasan tapi orang lain yang cakap.


Setiap daripada kita sudah tentu mula membina azam baru apabila umur semakin menginjak dewasa. Saya berkira-kira apakah azam sempena umur baru saya ini. GEMUKKAN BADAN? Adakah azam itu sesuai untuk saya yang sangat KURUS? Dan perubahan ciri fizikal ini sangat membantu dalam kerangka ketaatan saya kepada Pencipta KURUS dan GEMUK itu?


Saya bukan merapu-rapu dalam penulisan kali ini dengan isu GEMUK dan KURUS. Saya mohon maaf kepada Adibah Noor dan Enot jika membaca tulisan saya ini. Cuma sejak kebelakangan ini, isu kekurusan saya semakin menjadi gurauan sahabat-sahabat dan ahli keluarga.


Pernah suatu hari, seorang sahabat menegur:

“Kau ni bila la nak GEMUK? KURUS sangat! Cuba la makan banyak sikit!” Kata sahabat saya itu.


Lalu saya menjawab, “Aku ni makan banyak ke, makan sikit ke, tetap tak gemuk, bukan tak usaha, tapi dah usaha, tetap tak gemuk. Kalau macam tu baik aku makan sikit, sama je.”


“Kalau macam tu baik kau makan banyak sebab kau tak yah risau pasal diet”, sahabat saya menambah.


“Kan lebih baik makan sedikit. Sedikit makan itukan merupakan sunnah Rasulullah, lagipun makan melampaui batas adalah antara sepuluh sifat terkeji, makan banyak menjadikan kita semakin lalai dan malas beribadah, lebih baik aku memilih sedikit makan”. Jawapan saya yang membuatkan sahabat saya terdiam 1000 bahasa. Itulah jawapan yang biasa saya berikan kepada sesetengah orang bila isu kekurusan saya ini dibangkitkan.


Prinsip saya mudah. Antara GEMUKKAN BADAN dengan KURUSKAN BADAN, saya memilih GEMUKKAN IMAN!


Siapa yang tak nak badan cantik? Memiliki ketinggian yang bersesuaian dengan saiz badan. Allah itu cantik, maka kita sebagai hambaNYA turut mencintai kecantikan. Kalian juga ingin cantik dan sihat bukan? Siapa yang jawab ‘tidak’, maksudnya dia kurang normal.


Sejak umur saya 20 tahun, saya mencuba pelbagai produk makanan tambahan untuk gemukkan badan. Maksud ‘gemuk’ di sini ialah ‘berisi’. Sebab kebanyakan orang, biasa menggunakan istilah ‘gemuk’ berbanding ‘berisi’. Contohnya, “Kau ni bila nak gemuk?”. Jarang kita dengar, “Kau ni bila nak berisi?”. Jadi ‘gemuk’ itu maksudnya ‘berisi’.


Maka, saya pun telah mencuba pelbagai ‘supplement’. Vitamin tambah selera makan, vitamin tambah tenaga, minuman-minuman kesihatan malah produk tambah berat badan ‘weight gain’ pun saya sudah cuba. Namun, keadaan fizikal saya tetap KURUS dan KECIL, cuma saya kelihatan TINGGI setinggi impian saya. Harap-harap jiwa saya tidak KURUS dan KECIL seperti kurus dan kecilnya fizikal saya.


Saya malas untuk rungsing dan pening kepala memikirkan bagaimana saya harus GEMUK. Saya senang dengan fizikal yang KURUS ini walaupun urat-urat tangan saya kelihatan tertimbul-timbul. Bukankah itu tandanya bekerja kuat? Kerana perihal itu, saya suka dengan prinsip ini, “Biar berbadan kecil asal berjiwa besar, daripada berbadan besar tapi berjiwa kecil”.


Anda pula bagaimana? GEMUKKAN BADAN dengan makan, makan, makan dan makan sehingga kurang ibadah atau GEMUKKAN IMAN dengan sedikit makan tapi kuat berusaha. Kalau badan sahaja GEMUK tapi iman KURUS, maksudnya GEMUKKAN syaitan!


Jika ditanya kepada saya, saya akan pilih dua-dua. GEMUKKAN BADAN dan GEMUKKAN IMAN.


Sebelum terlupa, saya berkesempatan meraikan hari lahir saya (syok sendiri) di sebuah Restoran Western Food dengan nahwanNUR. Agak-agak makan western food ini gemukkan badan tak? Tak kisahlah apa jawapan kalian, yang penting fikirkan untuk GEMUKKAN IMAN.


"MESTI KUAT WALAUPUN KURUS SEPERTI SAYA"

Friday, November 7, 2008

MESTI KUAT WALAU KURUS SEPERTI SAYA


Saya mulakan tulisan saya dengan satu soalan, “Siapakah orang yang paling kuat?”


Mungkin ada yang mengatakan seorang ahli bina badan yang terkuat sekali. Mungkin juga ahli angkat berat. mungkin juga seorang yang mempunyai ilmu pertahanan diri itulah yang terkuat. Jika ditanya kepada budak-budak pra-sekolah, mungkin jawapan mereka ultraman, atau wonderpets.


Soalan saya yang kedua, “Bagaimana dengan solat Subuh anda hari ini?”


Sebenarnya, orang yang terkuat adalah orang yang mampu bangun pada waktu Subuh untuk menunaikan solat Subuh secara berjamaah. Jawapan yang lucu pada pendengaran sesetengah orang. Mungkin jawapan ini tidak masuk akal bagi sesetengah yang lain. Sebenarnya inilah jawapan yang paling tepat dalam konteks kehidupan seorang mukmin sejati.


Lihatlah hakikat kehidupan anda. Anda akan saksikan waktu Subuh adalah waktu yang paling berat untuk dihadapi. Sesetengah orang sanggup membuang selimutnya untuk tuntutan pekerjaan dan kehidupannya tetapi tidak sanggup pasrahkan dirinya kepada ALLAH pada awal pagi, pada saat kita amat memerlukan TUHAN kita untuk menghadapi hari-hari yang entah bagaimana itu. Hari-hari yang penuh kabut dan kalut.


Sekuat manapun diri kita, kalau tangan tidak bertenaga untuk mengangkat dan melemparkan selimut yang cuma sekilo itu, kita bukanlah kuat tetapi manusia yang amat lemah dalam mengendalikan diri kita sendiri. Mengapa kita ghairah dan kuat bangkit untuk menunaikan tuntutan hidup, tetapi tidak kuat untuk sekadar mengangkat takbir, melakukan gerak tubuh sebanyak dua rakaat itu sahaja, padahal dalam sehari entah berapa ratus kali kita menggerakkan tubuh kita, malah hingga berpeluh-peluh dan begitu letih sekali, tetapi untuk Subuh berjamaah tidak berupaya kita laksanakan. Apakah kita tidak berasa pelik? Atau ini fenomena biasa bagi manusia zaman mutakhir ini?.


Tuntutan kita sebagai muslim bermula pada awal pagi. Pada waktu begitulah rezeki dan rahmat menjadi murah. Burung terbang awal meninggalkan sarangnya untuk mencari nafkah yang melimpah. Semut-semut tidak pernah berhenti berusaha. Demikian juga semua haiwan lain yang melata di muka bumi ini.


Bagaimana kita mahukan keberkatan dalam hidup sedangkan perintah dari TUAN PUNYA keberkatan tidak kita hiraukan? Apakah kita sudah berasa cukup kuat untuk hidup bersendiri?. Apakah kita rasa cukup terjamin untuk menjalani kehidupan kita dengan meraih rezeki-rezeki yang belum pasti, yang sentiasa berada di tangan ALLAH itu?


Lihatlah makhluk lain yang begitu akur dengan kehidupan mereka. Dengarlah kokokan ayam pada awal Subuh. Sejak dahulu, sejak berzaman lagi, haiwan ini tidak pernah ponteng melakukan tugas mereka mengejutkan kita dari tidur. Kokokan yang panjang, sayu dan syahdu tetapi kita tetap juga angkuh. Dan pada saat yang sama kita terus mengaku kitalah yang termulia, kitalah makhluk yang terhebat dan terkuat, kitalah yang termulia, kitalah segala-galanya. Hakikat yang sebenarnya, ayamlah terlebih dahulu bangkit menunaikan tanggungjawab daripada kita. Kita yang mengaku memiliki minda yang cemerlang dan mempunyai akal yang berfikir rupanya gagal dalam peraduan dengan ayam.


Untuk siapakah laungan azan itu? Untuk ayam, untuk kambing, untuk burung, untuk kerbau, atau untuk kita semua? Sudah tentulah untuk kita kerana kitalah yang bernama manusia, kitalah yang terpintar, terhebat dan terkuat. Kitalah yang memiliki akal 1,000,000,000,000 neoron.

Wednesday, November 5, 2008

BUTA SEJARAH ATAU BUTA AGAMA?

Kita semakin kusut dan serabut. Apa sudah jadi dengan sistem pendidikan negara sekarang? Jika ada dua perkataan yang dapat menggambarkan situasi sistem pendidikan negara dalam dunia dewasa ini adalah ‘kekeliruan’ dan ‘kecelaruan’. Saya keliru. Sejauh manakah rasional dan dasar logiknya sistem pendidikan yang telah dirangka sejak tahun 80-an lagi mampu membentuk generasi pewaris yang mempunyai nilai-nilai kehormatan dan kemanusiaan yang tinggi.


Sistem pendidikan negara bukan sahaja melahirkan generasi pewaris dengan isu-isu sosial yang tidak pernah disaksikan oleh peradaban Melayu sebelum ini, malah berkiblatkan kepada sistem orientalis dan barat yang rosak dan mabuk dengan kehancuran perilaku mereka. Kita sepatutnya menggaru dagu yang tidak gatal. Kita menyaksikan dengan mata yang tahu melihat dan akal yang menuntun berfikir tentang kehidupan remaja dan belia barat yang hanyut dengan tabiat tanpa peradaban, namun masih ada pihak yang mengungguli pendidikan yang dicanang barat ini. Mudah sahaja, pendidikan sekular semakin menempelak pendidikan dan penerapan nilai-nilai agama Islam dalam institusi peradaban melayu.


Sebelum ini, KBSR dan KBSM diperkenalkan pada tahun 80-an. Saya juga berada di bawah program ini. KBSR dan KBSM ternyata tidak berupaya memperkenalkan apa itu moral dan sahsiah yang lurus untuk dipraktikkan dalam kehidupan beragama. Hasilnya amat mengejutkan. Masyarakat semakin pening kepala dengan isu-isu sosial yang busuk dan rosak seperti bohsia, rempit, black metal, murtad, sumbang mahram, dadah, gangsterisme, vendalisme dan macam-macam isme lagi.


Keadaan bertambah parah. Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris pula diperkenalkan oleh kerajaan Barisan Nasional. Program ini semakin menjadikan orang melayu ketinggalan dan terkebelakang daripada bangsa-bangsa yang lain. Puncanya cuma satu, orang Melayu tidak menguasai Bahasa Inggeris. Pelajar garu-garu kepala di kelas kerana tidak faham, guru-guru pun turut garu-garu, manakala ibu bapa hanya tahu angguk-angguk apabila guru memaklumkan prestasi anak-anak kian merosot. Angguk-angguk sahaja namun tiada tindakan yang dibuat memprotes program ini terhadap anak-anak mereka.


Semasa saya belajar, saya tahu saya adalah bangsa yang ada bahasa. Saya belajar Bahasa Melayu, maka saya tahu Bahasa Melayu adalah bahasa bangsa Melayu. Kawan saya Lim, bangsa Cina ada Bahasa Cina, Ravita berbangsa India ada Bahasa Hindi. Namun sekarang, Bahasa Melayu iaitu bahasa ibunda bumiputera terbesar semenanjung tidak lagi dinamakan Bahasa Melayu sebaliknya ditukarkan menjadi Bahasa Malaysia. Melayu yang tiada bahasanya. Adakah kerana ketinggalan anak Melayu dalam pendidikan dan kerjaya kerana bahasanya sehingga bahasa ini telah dikambing hitamkan? Atau kelemahan pemimpin mentadbir negara? Korea, Russia dan Jepun maju dengan bahasanya sendiri, pelajar kita pula semakin mundur dengan bahasa orang lain.


Ada lagi. Menjelang 2010 nanti negara bakal menyaksikan pertambahan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek wajib diambil oleh murid-murid bersekolah rendah. Maka, Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) menjadi enam kertas soalan semuanya termasuk Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Malaysia 1 dan 2.


Apa relevennya subjek Sejarah yang ilmunya sudah dimanipulasikan fakta-faktanya oleh penjajah orientalis? Apa relevennya diajar kepada peringkat rendah, sedangkan di peringkat menengah, Sejarah bukan satu penyelesaian mengubati penyakit-penyakit sosial pelajar? Adakah kerana penyakit-penyakit sosial yang meresapi golongan muda hari ini kerana buta sejarah? Atau mereka sendiri yang buta agama? Pendidikan diperingkat rendah tidak perlu dicemar dengan sebarang agenda dan masalah negara atau fahaman-fahaman falsafah. Sepatutnya, pendidikan yang menerapkan nilai-nilai asas kehidupan seperti Sains, Matematik, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral yang akan membantu mereka memahami sekeliling dan menjadi persediaan ke peringkat menengah nanti.


Kita meraikan subjek Sejarah diajar di peringkat rendah dan menengah jika ia merupakan pokok penyelesaian kepada permasalahan sosial yang diibaratkan seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Bukan cendawan yang baik untuk dimakan tetapi cendawan yang boleh ‘membunuh’. Kerajaan perlu cakna merancang silibus Sejarah ini agar bersesuaian dan berkesan, bukan Sejarah yang mengandungi fakta-fakta yang telah dimanupulasikan oleh barat dan agen-agennya seperti sebelum ini. Suatu yang mengecewakan jika Sejarah dimanupulasikan dengan virus-virus politik dan hanya mengambil ketokohan pemimpin-pemimpin tertentu.


Firman Allah S.W.T yang bermaksud:


“Dan (Katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu); apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaannya ialah Allah Tuhanku; kepadaNyalah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku rujuk kembali (dalam segala keadaan).”


Surah Ash-Syura: ayat 10)


Renungkanlah…


Apakah segala permasalahan sosial hari ini, jawapannya kita benar-benar buta sejarah atau kita sebenarnya lebih memerlukan agama. Jari-jari hanya mampu bersatu apabila kita mempunyai tapak tangan yang kuat.



Jangan Salahkan Kegelapan, Carilah Cahaya

Monday, November 3, 2008

LASKAR CINTA

Wahai jiwa –jiwa yang tenang
Berhati-hatilah dirimu
Kepada hati-hati yang penuh
Dengan kebencian yang dalam


Kerana sesungguhnya iblis
Ada dan bersemayam
Di hati yang penuh dengan benci
Di hati yang penuh dengan prasangka


Laskar cinta
Sebarkanlah benih-benih cinta
Musnahkanlah Virus-virus benci
Virus yang bisa rosakkan jiwa
Dan busukkan hati


Laskar cinta
Ajarkanlah ilmu tentang cinta
Kerana cinta adalah hakikat
Dan jalan yang terang
Bagi semua umat manusia


Jika, kebencian meracunimu
Kepada manusia lainnya
Maka sesungguhnya iblis
Sudah berkuasa atas dirimu


Maka jangan pernah berharap
AKU akan mengasihi
Menyayangi manusia-manusia
Yang penuh benci seperti kamu


Laskar cinta
Sebarkanlah benih-benih cinta
Musnahkanlah Virus-virus benci
Virus yang bisa Rosakkan jiwa
Dan busukkan hati


Laskar cinta
Ajarkanlah ilmu tentang cinta
Kerana cinta adalah hakikat
Dan jalan yang terang
Bagi semua umat manusia

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO