
Anda berminat menjadi wartawan atau penulis? Cadangan saya, belajarlah teknik pengurusan stress terlebih dahulu. Mengikut kajian, wartawan/penulis merupakan kerjaya dalam raking tertinggi untuk cenderung mengalami stress. Sebagaimana perkataan ‘deadline’ yang berhubungkait dengan dua profesion ini, begitulah rasa ‘dead’ menerjah diri jika tekanan di luar kawalan. Lebih-lebih lagi ketika ‘deadline’ itulah idea turut ‘dead’ sekali.
Saya mengakui, menyiapkan bahan untuk majalah lebih stress dari menyiapkan tesis degree dahulu. Walaupun begitu, bekerja di media islamik suatu kemanisan kerana dikelilingi dengan teman sefikrah dan fahaman bekerja kerana Islam. Bak kata Kak Milah, rakan wartawan, “Biar stress dengan kerja, jangan stress dengan rakan sekerja”.
Sebagai orang lama, Kak Nik editor pun selalu mengomel, “Ahrgghh, stress, stress, tension!”, setiap kali tibanya deadline. Inikan pula saya yang baru tiga bulan bekerja tanpa sebarang pengalaman dan kelulusan dalam bidang ini. Cuma, tekanan itu tidak sama dibandingkan dengan wartawan/penulis akhbar yang terikat dengan deadline setiap hari.
Tekanan sebegini tidak salah. Ia tekanan yang positif dan amat membina. Tekanan itu beransur hilang bila melihat penulisan terpapar di media yang dibaca ribuan orang setiap bulan. Cuba bayangkan, jika intipati penulisan itu disebarkan oleh pembaca kepada orang lain, lalu diamalkan. Ketika itu, tiada apa yang diharapkan oleh seorang penulis, melainkan setiap tulisan adalah amal dan menjadi salah satu pahala yang berterusan selepas mati.
Teknik pengurusan idea dan pengurusan masa juga penting. Idea datang tanpa mengenal masa. Kadang-kadang idea datang semasa di dalam bas. Ada masanya sebelum tidur, ketika bersembang dengan kawan, masa menonton drama melayu, ketika membeli belah di pasaraya, semasa menonton Raja Lawak, tak mustahil ia datang ketika aktiviti termenung di dalam toilet. Malah, saya juga pernah mendapat idea di dalam mimpi. Ketika itulah idea perlu diuruskan dengan baik supaya ia tidak hilang walau bukan waktu menulis.
Penulisan memerlukan hampir seratus peratus idea dari sudut pandang yang berbeza. Pada saya, kurang masalah diperingkat penulisan buku kerana fokus bidang ilmunya adalah sama. Ilmu itu perlu digarap dan dikembangkan lagi. Tetapi menulis buku juga mencabar jika disiplin ilmu yang digarapkan juga mencabar. Terutamanya, jika penulisan berbentuk teknikal dan disiplin ilmunya adalah kritikal. Ia amat memerlukan taktikal.
Cabaran besar bagi saya adalah menulis akhbar atau majalah. Keduanya memerlukan kita menguasai isu yang berbeza hampir setiap hari. Minda perlu cekap membuat tanggapan terhadap apa yang dilihat, dibaca, dan diperhatikan tentang dunia semasa. Maka, satu kelebihan bagi individu yang suka berfikir, suka membaca dan bijak membuat persepsi. Paling penting, menggarapkan isu yang diminati sasaran pembaca.
Jika penulis juga seorang wartawan, dia juga perlu ada kemahiran mencari soalan ketika sesi temubual. ‘Soalan yang baik memberi idea penulisan yang baik’. Sama seperti menghadapi sasaran dakwah, ‘ucapan yang baik, mendapat respon yang baik’.
Andaikata pendakwah tidak menguasai kemahiran interaksi dengan manusia atau kekok dalam berkomunikasi, maka pulangannya amat mendukacitakan. Dalam hal ini, saya terlebih dahulu akan membuat research tentang individu yang ingin ditemubual dan fokus terhadap penulisan itu nanti. Sama seperti pendakwah yang perlu mengenali personaliti mad’unya dan mencari bahan perbualan yang berkesan.
Wartawan juga perlu mempelajari perkara baru dari masa ke semasa. Perlu banyak membaca, bertanya, berbincang dan membuat persepsi terhadap isu yang berlaku ketika itu. Agak tertekan bila kita sudah mengkaji dan mencari bahan untuk satu isu pada minggu ini, tetapi ada perubahan apabila wujud isu yang lain di minggu hadapan. Justeru, satu kemahiran yang harus dipelajari lagi ialah pengurusan menghadapi risiko.
Ibarat seorang jurujual yang menjual produk tetapi tidak pandai memikat hati pembeli. Bagaimana kita harus meyakinkan pelanggan terhadap kelebihan produk yang dijual sedangkan mereka belum menggunakannya dan merasai hasil produk itu? Begitu juga seorang pendakwah sebagai ‘jurujual produk Islam’. Bagaimana kita meyakinkan mad’u kita terhadap Islam andai mereka masih belum mengamalkannya dan merasai kesan amalan itu? Pandangan saya, wartawan/penulis juga begitu. Penulisannya harus meyakinkan, penyampaian intipatinya berkesan dan nasihatnya mendorong amalan. Saya masih belum mahir menguasainya.
Cara saya, ‘Bermotivasilah dengan motivasi dakwah!’. Anggaplah menulis adalah kerja dakwah. Tuan Guru Nik Aziz yang terlalu sibuk dengan urusan kepimpinannya, masih sempat mengeluarkan buku terbaru hampir setiap bulan. Malah, ulama’ silam memanjangkan ilmunya dalam bentuk karya-karya agung seperti Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Hasan Al-Banna dan lain-lain.
Pemimpin yang berkarisma seperti Tun Mahathir juga menulis sehingga kita. Pendakwah juga harus cuba menulis. Kerana musuh Islam menyusupkan pemikiran batil seperti sekularisme, liberalisme, orientalisme dan isme-isme lain melalui karya-karya mereka. Malah, karya mereka lebih hebat daripada orang Islam sendiri.
Akhirnya, saranan saya, “Tulislah sepotong ayat setiap hari walaupun tak sedap!”.