Monday, May 25, 2009

BERCUTI YANG TAK BEREHAT...


Assalamualaikum. Salam motivasi Islami kepada semua pembaca yang setia dan tanpa jemu terus mengikuti perkembangan blog saya setiap masa. Ketika ini, saya menemui khalayak dalam ruang yang mungkin seketika sehingga suatu masa yang agak lama saya akan kembali ke sini semula.


Esok, hari Selasa dan Rabu, saya mempunyai tuntutan kerja luar. Saya akan ke IKIM untuk menghadiri Seminar “Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa” atas jemputan sebagai pihak media. InsyaAllah, telah saya sematkan dalam hati untuk berkongsi ilmu yang diperolehi sepanjang dua hari itu pada entri-entri akan datang.


Bermula Khamis hingga Selasa minggu hadapan, saya akan bercuti sempena Majlis Walimah saya. Ingatan jemputan buat anda yang saya kasihi sentiasa. Andai ada ruang masa dan kesempatan, sudilah menyambut undangan dari pihak saya dan keluarga.

Kak Nik bertanya semasa makan tengahari tadi, “Apa perasaan dayah nak dekat kahwin ini?”

Saya jawab, “Ntah, macam takde apa-apa perasaan pun”.

“Kamu tu memang selalu macam orang takde perasaan,” balas kak Nik semula.


Saya senyum. Betullah tu. Tak tahu apa perasaan saya ketika ini. Nasihat sahabat saya, jangan dilayan sangat perasaan itu. Katanya yang baru sahaja berkahwin, “Redah je!”.


Untuk itu, saya mohon pengunduran diri buat mengambil nafas bertenang dan semangat “Redah je!”.


Jumpa lagi nanti. Kerana Ukhuwwah, akan saya ke sini lagi.

Syukur ada kalian. Assalamualaikum w.b.t.

Friday, May 22, 2009

FOKOS ATAU FOKUS

Saya sedang mencipta hobi baru sekarang. Layan adobe photoshop. Agak-agak dah bosan menulis, boleh tukar mood design apa-apa grafik pula. Untuk peringkat awal, saya explore part imej dulu. Explore sendiri-sendiri je..

Cuma masalahnya satu, saya ni cepat bosan dengan sesuatu perkara yang sama. Tak sampai setengah jam ber'grafik', mood bosan sampai. Erm, jadi dua gambar ni jelah hasilnya.


Kerja wartawan...tiap-tiap hari cuba mempertingkatkan perbendaharaan kata. Sampai dah jadi konfius untuk dua perkataan semudah ini. FOKOS atau FOKUS? Banyak kali edit text sebab konfius. Kejap taip Fokus, lepas tu tukar balik kepada FOKOS. Banyak kali mengedit perkataan yang sama sebab konfius. Lastly tengok kamus dewan. Baru jumpa yang betul iaitu Fokus.


Tak cantik pun. Tapi oklah buat permulaan.

"Tingkatkan kemahiran untuk lebih maju ke hadapan"

Jangan mudah berasa selesa dengan apa yang kita miliki sekarang. Lakukan anjakan dari masa ke semasa. Dari membaca kepada menulis, kemudian melukis. Selepas itu, cuba belajar menguasi kemahiran-kemahiran lain. Paling utama ialah 3P - Public speaking, Public relation dan Peka isu.

"Jangan salah mendefinisikan 'Syukur dengan apa yang ada'"

Wednesday, May 20, 2009

IKHTIBAR DARI SEMUT


Cubalah perhatikan sang semut, serangga bertubuh kecil yang sentiasa hidup dalam satu komuniti yang bersatu padu. Jika haiwan kecil ini muncul dalam jumlah yang banyak, pasti gawat manusia sehingga mereka terpaksa melakukan pelbagai cara untuk menghapuskannya.


Rajin dan dedikasi sang semut sangat menarik untuk dikaji dan diteliti. Perhatikan ketika sang semut mencari makanan, si kenit itu begitu tekun, gigih malah cukup tabah meneroka kawasan yang ada sumber makanan.


Justeru jika dibandingkan dengan manusia yang diberikan akal, tubuh badan yang sihat, serta fizikal yang cergas, mengapa tidak kita mengambil iltibar daripada sang semut ini?



Allah menetapkan dalam sunnah kehidupan bahawa kejayaan itu adalah hasil kerja tekun dan berdedikasi. Orang yang hebat dan berjaya cemerlang memang selalu fokus sama seperti semut yang selalu bersungguh-sungguh dalam usaha mereka.


Ini bertepatan dengan firman Allahyang bermaksud;

“Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya."(Surah al-Najm:39)


Hayati juga pesanan seorang tokoh Barat, bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Amerika Syarikat, Charles Evans Hughes yang berkata, "Orang tidak akan mati kerana bekerja kuat. Mereka mati kerana pembaziran dan kecemasan."

Jadi, apa lagi alasan kita untuk tidak bekerja kuat?

(sumber gambar)
Adakah kita yakin akan hidup selepas ini sehingga kita malas untuk bekerja kuat sekarang?


Monday, May 18, 2009

SELAMAT HARI PENDAKWAH!


“Petikan menjelaskan tentang punca-punca keracunan makanan di kalangan masyarakat Malaysia”, tutur saya sewaktu mengajar minggu lepas.


“Cikgu, perkataan ‘di kalangan’ tak boleh guna. Cikgu kat sekolah kita orang ajar ‘dalam kalangan’. Kalau tulis ‘di kalangan’ salah!,” tegur salah seorang pelajar.


“Eh, ye ke?. Cikgu tak pernah dengar pun orang lain sebut ‘dalam kalangan’. Cikgu pun wartawan dan menulis juga, tak pernah cikgu guna perkataan tu. Lagipun dalam mana-mana tulisan akhbar ke, majalah ke, biasa guna ‘di kalangan’,” jawab saya.


Nampak macam pertahankan diri pun ada juga. Maklumlah, tercabar juga wibawa sebagai guru untuk kesilapan yang begitu remeh.


Saya cuba memadankan perkataan tersebut dengan ayat. “…keracunan makanan ‘dalam kalangan’ masyarakat Malaysia. Isshh..macam something wrong pulak bunyi ayat dia. Bersungut sendiri.


“Tak cikgu, betul!. Cikgu kita orang kat sekolah sebut macam tu. Dekat akhbar memang dorang masih tak tukarkan lagi ‘di kalangan’ dengan ‘dalam kalangan’. Sebenarnya, memang ‘dalam kalangan’."


Dari detik itu, bermula sekali lagi episod Pelajar Mengajar Cikgu dalam sejarah saya yang sepicing ini.


Dulunya, kerap kali juga murid mengajar saya. Tamat diploma, sementara membuat permohonan ijazah di universiti yang sama, saya menimba pengalaman mengajar. Dari kerjaya itulah, saya belajar dengan mengajar orang lain. Pengetahuan dimiliki, pengalaman didambai, cabaran dicari. Segalanya bermula dengan satu proses timbal balik daripada pelajar ke diri saya kembali.


“Ustazah!, ustazah salah eja ‘untuk’. Sepatutnya ada huruf ‘waw’ lepas huruf ‘alif’,” tegur murid darjah 2. Saya terbiasa dengan kaedah tulisan jawi lama ketika itu.


“Ustazah!, ustazah lupa nak tulis tarikh dan hari dekat papan hitam”, tegur seorang lagi.


“Ustazah!, tengok Bahak ni, dia pukul saya!”, seorang murid mengadu. Bahak antara murid saya yang paling nakal. Kerana kenakalannya, dia diejek dengan gelaran ‘Bahak ketawa terbahak-bahak.’


Selama setahun saya dihadapkan dengan pelbagai tahap pelajar dalam satu hari. Pagi menjadi guru kafa menengah di sebuah sekolah agama rakyat. Tengah hari mengajar 4 subjek tanpa henti di Sekolah Menengah ABIM. Selepas Zuhur, balik semula ke sekolah agama rakyat mengajar darjah 2 dan 3. Kadang-kadang menjadi guru ganti kelas tadika. Tekanan bertambah, tugas diberatkan lagi sebagai kerani di sekolah yang sama.


Rutin harian saya, keluar jam 7 pagi dan balik jam 7 petang. Sahabat akrab saya ketika itu ialah cabaran dan tekanan yang bergilir-gilir memaut hati ini dengan neraca iman. Alhamdulillah, saya betah dan tabah dengan sebuah prinsip akidah iaitu ‘Kerja Kerana Allah’.


Ramai orang menyarankan saya menjadi guru. Katanya, menjadi guru senang. Waktu kerja pendek, sabtu ahad tidak bekerja, cuti sekolah bercuti lagi dan tidak ada outstation. Tambahan, jika sebagai guru kerajaan tentu banyak kemudahan.


Pada asasnya, kerjaya guru nampak senang. Yang paling susah ialah menjadi pendidik. Paling sukar ialah menjadi murobbi. Dalam masa yang sama dia juga seorang guru. Maksudnya, menjadi guru dengan menjiwai integriti.


Pendidik dalam erti kata lain ialah pentarbiyyah. Tarbiyyah ialah satu proses membawa manusia semakin hampir dengan Allah. Begitu juga murobbi yang dibebani dengan kata ‘robbi’ beerti Tuhan (baca: Allah). Ia berbeza dengan pengertian seorang guru yang terbatas pada ruang lingkup definisi kerjaya atau tugas. Pandangan saya, definisi guru tiada membawa beban kerohanian.


Sebagai tamsilan, seorang guru sains mengajar anak muridnya tentang teori tenaga E=mc2. Sememangnya dia seorang guru yang memperkenalkan ilmu sains yang tulen. Meskipun begitu, dia bukan seorang pentarbiyyah dan murobbi andai dia gagal menjelaskan siapa yang mencipta tenaga, dari mana tenaga datang, kemana tenaga akan kembali dan untuk apa tenaga itu digunakan.


Kembali kepada Allah – itulah prinsip pengajaran seorang pentarbiyyah atau murobbi.


Bukan saya tidak sukakan kerjaya guru. Malah, saya juga seorang guru sambilan dalam masa yang sama. Dulu, sebagai guru agama rakyat. Kali ini sebagai guru tuesyen rakyat. Cuma saya rasa satu kerugian andai guru tidak benar-benar menjiwai bidang membangun insan. Tiada kompetensi iaitu kemampuan dan integriti iaitu amanah.


Cikgu hanyalah satu gelaran kerjaya. Sebagaimana gelaran ‘Ir’ pada jurutera, gelaran ‘Ar’ pada arkitek dan gelaran ‘Dr’ pada pegawai perubatan. Begitu juga gelaran Biduan dan biduanita pada ahli seni.


Saya bukan mahukan kerjaya sebagai guru. Saya mahu menjadi pendidik. Pendidik tidak semestinya berada di sekolah dan universiti. Pendidik bukan hanya mengajar orang di papan putih atau hitam.


Penulis juga adalah pendidik. Wartawan Islam juga adalah pendidik. Dia mendidik manusia dari mata penanya. Kadang-kadang, mata pena itulah lebih berbisa dari cakapan dan bebelan yang tidak ikhlas serta lancang dari mulut seorang guru!.


Setiap tempat adalah sekolah, setiap orang adalah guru. Guru mengajar tentang kehidupan, bukan hanya mengajar tentang subjek pelajaran. Bukan juga tunggu gaji di hujung bulan.


Guru sebenar ialah pendidik. Hakikat seorang guru ialah pendakwah.


SELAMAT HARI PENDAKWAH!

p/s: Saya mengharapkan anda berhati-hati ketika memahami maksud entri saya kali ini. Ia memerlukan anda berfikir di luar kotak malah lebih jauh lagi berfikir di luar terowong. POSITIF!.



Wednesday, May 13, 2009

al-Muslimah: KEMATANGAN WANITA BERPOLITIK, MEMATANGKAN GENERASI

Artikel di bawah adalah tulisan saya dalam ruangan Topik, Majalah Muslimah, keluaran Mei 2009, bil 214.


Turut dimuatkan di bawah ruangan yang sama ialah artikel bertajuk 'Selamatkah Wanita Menjadi Calon?' oleh M Faqih dan artikel 'Daya Juang Tinggi Hadapi Fitnah Politik' oleh Jamilah Aini hasil temubual bersama YB Dr. Halimah Ali.



Wanita merupakan bahagian yang tidak dapat dipisahkan dari masyarakat. Ketika manusia hidup bersama dalam satu masyarakat, tentunya ada persoalan-persoalan bersama yang muncul di tengah-tengah kehidupan mereka. Wanita tidak boleh berlepas tangan, lebih-lebih lagi persoalan yang menyangkut urusan umat. Inilah pandangan Islam berdasarkan nas sebagai berikut:


“Barangsiapa yang tidak memperhatikan kaum muslimin, maka ia bukanlah termasuk di antara mereka, dan barangsiapa yang tidak berada di waktu pagi dan petang selaku pemberi nasihat bagi Allah dan Rasul-Nya, bagi kitab-Nya, bagi pemimpinnya dan bagi umumnya kaum muslimin, maka bukanlah ia termasuk di antara mereka.” (Hadith riwayat Thabrani).


Wanita hari ini dituntut menceburkan diri dalam bidang politik sebagaimana lelaki. Tidak dapat diingkari bahawa jumlah wanita zaman ini lebih banyak dibandingkan dengan lelaki. Penglibatan mereka dalam persatuan di kampus, badan kemasyarakatan, organisasi pekerjaan dan arena politik tanahair semakin meningkat sesuai dengan peningkatan kemampuan yang dimiliki. Maka, apabila kaum wanita mampu berperanan secara optimal, tentunya memberi sumbangan besar ke arah pencapaian ‘umat terbaik’.


Selain memberi nasihat, kedapatan sesetengah mereka yang lantang bersuara, malah memberi tekanan kepada penguasa untuk menjalankan aktiviti pengurusan umat dengan baik, yang diyakini tidak akan tercapai tanpa menegakkan syariat Islam. Dengan kata lain, mereka mendukung sebarang perkara positif yang dianjurkan penguasa dan membanteras penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. Dengan demikian, aktiviti politik yang dilakukan oleh wanita adalah semata-mata penunaian kewajipan dari Pencipta-Nya dan sentiasa mengikat diri dengan hukum-hukum Allah.


Amboi, Merahnya mak ngah!


Arena Perjuangan Rakyat.

Hidup Muslimat PAS!

Chaiyok Nisa' Gombak!


Sebagai manusia, wanita memiliki potensi untuk dibangunkan sama seperti lelaki. Kematangan dan kemampuan mereka untuk menerima kebenaran dan menolak kebatilan adalah sama. Secara tidak langsung kecenderungan dalam lapangan politik Islam untuk meniupkan nilai-nilai spiritual ke dalam diri masyarakat turut sama. Allah menyeru hamba-Nya untuk melakukan aktiviti politik sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 104;


“Dan haruslah ada di antara kalian segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam), mengajak kepada yang makruf dan melarang dari kemungkaran. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”


Secara tabi’inya, terdapat perbezaan antara lelaki dan wanita. Tanggungjawab wanita menguruskan hal rumahtangga adalah tugas utama. Mereka ditakdirkan menjadi ibu yang mengandung, menyusui, mengasuh, mendidik anak dan tugas-tugas lain yang tidak mungkin dilakukan oleh lelaki. Namun, penglibatannya dalam aktiviti sosial juga tanggungjawabnya. Jadi, kedua-duanya perlu diseimbangkan.


Wanita yang bergelar ibu di samping memiliki kesedaran politik, sangat berpotensi mencetak generasi yang baik. Atas kesedaran politiknya, ibu ini mempunyai kepekaan tentang realiti dunia semasa dalam menjustifikasikan hal-hal yang merbahayakan kelangsungan pendidikan anak-anak. Hanya ibu yang memiliki kesedaran politik tinggi berupaya membina masyarakat, membentuk pandangan dari senario semasa dan menggalas amanah untuk melakukan proses amar makruf dan nahi mungkar.


Sebagai contoh, rancangan-rancangan televisyen berunsur hedonisme, gangsterisme, kurafat, dan syirik sedaya upaya dijauhkan bagi mengelakkan anak-anak terjerumus ke lembah nilai tanpa moral dan akhlak. Begitu juga bahaya dari lingkungan tempat tinggal, sekolah, kenalan, media massa, dan masyarakat. Ibu berpolitik mampu menangkap dan menganalisis elemen-elemen berbahaya dalam lingkungan itu, malah mencari langkah-langkah penyelesaian yang tepat.


Bagaimana pula dengan ibu yang hebat politik melahirkan anak yang juga hebat berpolitik? Adakah kehebatan politik boleh diwarisi?. Bukan suatu yang mustahil ibu yang berkesedaran politik dapat mencetak seorang ahli politik handal. Bagaimana tidak, dalam setiap interaksinya dengan anak, mereka meniupkan wawasan, mengajak anak melihat realiti, membawa anak mencakna isu, lalu menganalisisnya.


Kebiasaan sebegini mengasah ketajaman pemikiran politik anak. Barangkali langkah inilah yang dilakukan oleh ibu bapa yang handal di lapangan politik sehingga lahirlah anak-anak yang juga handal berpolitik. Jika anak dibesarkan dengan medium politik sihat, terbentuklah peribadi ahli politik hebat. Secara tidak langsung memudahkan proses perkaderan oleh parti dalam membentuk generasi ahli politik muslim yang berjiwa ikhlas, bersih, berani dan pantang menyerah.


Pendidikan Politik Wanita

Salahkah Puteri contohi Nisa'?


Sejarah merekodkan beratus-ratus nama tokoh pejuang wanita pada zaman awal Islam. Mereka memiliki sifat sabar, tidak gentar pada kekalahan dan tidak gopoh menanti kemenangan. Sifat-sifat yang dimiliki ini mendorong kepada kesedaran politik ke arah mengembalikan ketinggian agama. Antaranya Sumaiyah bt Khaiyath, Al-Khunsa, Ummu Ummarah, Asma’ Abu Bakar dan ramai lagi.


Tentunya ada faktor pendorong bagaimana kesedaran politik di kalangan wanita pada permulaan Islam berlaku. Antaranya kemampuan istimewa yang mereka miliki, serba boleh menyesuaikan keadaan, kepetahan berhujah dan mempunyai faktor-faktor pendorong dalam sejarah. Selain itu, mereka mempunyai pendirian yang tetap, keputusan sepakat, strategi-strategi bijak serta kepimpinan yang mantap di samping pendekatan yang halus dalam mesyuarat serta idea-idea bernas.


Dr. Abdul Rahman bin Califa menulis di dalam bukunya Fi’Ilmi al-Siasah al-Islami mengatakan “Sejarah politik Islam tidak hanya berkisar mengenai pejuang lelaki sahaja, bahkan ia juga menceritakan penglibatan kaum wanita yang lantang bersuara dan aktif berpolitik.”


Adik Nurul Syuhada yang bercita-cita menjadi senator. Sejauh manakah politik menjadi 'medan ramah' bagi wanita?


Memandang betapa pentingnya strategi wanita dalam perjuangan umat, pendidikan politik menjadi penting. Pendidikan politik bukan sahaja meningkatkan kematangan politik mereka tetapi turut mematangkan generasi yang akan dibentuk nanti. Diharap dengan kematangan tersebut, wanita lebih kental menghadapi cabaran politik yang tidak tentu hala, melahirkan peranan yang lebih besar dan memperjuangkan kepentingan umat dengan jalan yang benar.


Perkara pertama yang sangat ditekankan dalam pendidikan politik ini ialah memberi kefahaman politik menurut pandangan Islam. Ia menghilangkan kesan bahawa politik adalah wilayah yang ‘tidak ramah’ bagi wanita. Aktiviti politik wanita adalah berorientasikan pada redha Allah, sangat berbeza dengan aktiviti feminis yang berorientasikan perjuangan menuntut kesaksamaan gender. Dalam perspektif Islam, aktiviti politik adalah terikat dengan perkara yang diwajibkan, dibolehkan dan diharamkan bagi wanita.


Keduanya, meningkatkan kesedaran politik wanita. Sama ada langkah diambil oleh parti atau inisiatif individu, wanita perlu dibentuk untuk terlibat aktif mengikuti peristiwa-peristiwa politik, melakukan penyelidikan dan mengambil sikap untuk merencana perubahan menggunakan sudut pandangan Islam. Garapan ini diberikan kepada semua wanita tidak kira apa jua posisi mereka, sama ada suri rumah tangga, bekerjaya atau mahasiswa.


Wanita seharusnya meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan politik, malah menyikapi sesuatu peristiwa yang terjadi dengan hukum hakam Islam. Tidak seharusnya mereka berdiam diri dan terlena, tetapi kualiti kesedaran yang dimiliki akan mendorongnya untuk terus bersuara dan bertindak bersesuaian dengan potensi dan keistimewaan yang dimiliki.


Zaman ini, membaca kondisi politik umat Islam ibarat membaca sebuah cerita tragedi. Rakyat tidak mendapat gambaran jelas, utuh lagi benar tentang apa sebenarnya politik itu. Majoriti rakyat beranggapan bahawa politik diklasifikasikan sebagai kekuasaan. Aktiviti politik adalah aktiviti mendapatkan kekuasaan, menumbangkan kuasa lainnya, aktiviti di dalam parti dan aktiviti sebagai ahli parlimen. Persepsi pemikiran mereka tidak melangkau lebih jauh, menganggap politik hanya aktiviti mengurus parti bukan aktiviti mengurus umat.


Usaha merencana kematangan politik rakyat mencakup juga usaha kematangan politik wanita. Dengan itu, kefahaman dan kesedaran tidak memadai tanpa adanya kematangan. Kematangan politik adalah ketajaman analisis terhadap apa yang berlaku di sebalik peristiwa politik. Mereka bukan sekadar memahami politik dan mengikuti perkembangan politik, malah berani melontarkan kritikan dan memberi langkah penyelesaian khususnya berkaitan hal ehwal wanita.


Di pihak penguasa, harus memberi suasana yang kondunsif untuk melayan semua urusan dan kepentingan kaum wanita dengan baik dan berlapang dada. Paling penting yang dilakukan oleh kelompok penguasa atau wakil rakyat ialah memberikan pendidikan politik di tengah-tengah kaum hawa, baik sebelum mahupun selepas pilihanraya. Dengan pendidikan politik matang, wanita dapat menentukan langkah-langkah yang tepat dalam menukangi aktiviti politik yang terjadi sama ada di peringkat nasional mahupun internasional.



Monday, May 11, 2009

BUKU? ERRMM,,

Saya semakin sibuk. Minggu ini ialah minggu deadline majalah. Tambahan, hujung minggu tiada langsung sela masa istirehat. Celik mata, terus gagahkan diri untuk melunaskan amanah yang setia menanti. Alhamdulillah, nasib baik berat badan saya tak menyusut. Kalau tak, bertambah ‘sekepinglah’ saya ketika bergelar pengantin nanti. Oppss!!

Apa yang menarik, Kak Nik kata saya semakin tembam. Ahaks!.


Kini, saya sedang meninjau-ninjau apakah perancangan saya di masa hadapan. Salah satunya, melakukan transformasi dalam bidang penulisan. Hujung Mei ini, genaplah usia setahun blog saya. Tentunya, ulangtahun kelahiran blog yang setahun jagung ini lebih bermakna disambut dengan azam untuk pencapaian yang lebih berjaya.


Dari blog ke media, saya sudah mencapainya. Dari Blog ke Majalah, saya sudah hadapinya tiap-tiap bulan. Dari blog ke buku? Saya terfikir tentang itu.



Minggu lepas, saya menyelak majalah Anis. Tujuan asalnya, mahu mencari idea merangka ayat untuk artikel majalah. Dalam ruangan iklan Anis, ‘Buku Kita Harta Kita’, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. telah mengalu-alukan calon-calon penulis yang berminat untuk menghasilkan khazanah buku.

Saya macam berminat!. Macam je...tetapi lebih kepada betul-betul berminat.


Dahulunya, saya pernah berazam ingin menulis buku sendiri. Sebagai permulaan, buku berbentuk motivasi adalah pilihan terbaik bagi saya yang baru bertatih dalam bidang ini. Motivasi berbentuk fleksibel dan ilmunya tidak bersifat mutlak. Pengalaman, pemikiran, pengamatan, cerita orang lain dan apa sahaja yang sifatnya kehidupan, semuanya mempunyai nilai-nilai motivasi. Semuanya boleh dicedok dan dipersembahkan kepada khalayak asalkan tidak tersasar dari orbit syariat.


“Murtad – Jangan Pandang Sebelah Mata”, saya membaca tajuk buku di atas meja kerja. Bijak Ustaz Ann Wan Seng mencari tajuk bukunya.

Membaca tajuk buku tersebut kembali mengingatkan saya dengan filem seram, ‘Jangan Pandang Belakang’.

Errmm, apa tajuk buku saya pula nanti. Berfikir.

Motivasi – Jangan Pandang Belakang

Ok juga...huhu...



Friday, May 8, 2009

CGPA BUKAN PENENTU KEJAYAAN


*Artikel di bawah adalah merupakan penulisan saya terdahulu yang dipapar semula. Saya fikir ia sangat baik dihayati dalam situasi mahasiswa yang sedang mengambil peperiksaan, sudah selesai peperiksaan atau baru sahaja menamatkan program pengajian di saat ini.

*Saya dalam usaha menyiapkan artikel 'CABARAN KEPIMPINAN MUSLIMAT MUDA', perlukan sedikit masa untuk penilaian dan pandangan. Harapan, penulisan di bawah sebagai nilai tambah buat sementara waktu.


”Ish, takutnya nak tunggu result minggu depan”, kata adik saya menyatakan kerisauannya terhadap keputusan final exam semester lepas. Sekarang memang masanya, kebanyakan student U menanti-nanti keputusan exam dengan harapan yang menggunung tinggi.


Kegundahan menanti keputusan peperiksaan sememangnya dirasai oleh semua mahasiswa. Kadang-kadang yang lebih cemerlang akademiknya lebih rungsing daripada yang kurang cemerlang. Yang bijak rungsing takut-takut keputusan tidak memenuhi harapan, yang kurang cerdik ’cool’ sahaja, mungkin beranggapan cukuplah sekadar cukup-cukup makan. Dulunya semasa bergelar mahasiswa, saya juga rungsing cuma belajar berlagak tenang.


Mentaliti kebanyakan mahasiswa telah dikemuncupkan dengan ’mind setting’ yang pesimis tentang kecemerlangan. Bagi mereka kecemerlangan itu ialah duduk terperap di dalam bilik, belajar dan belajar, jawab peperiksaan, dapat CGPA sekurang-kurangnya 3.5 dan tamat pengajian dengan Ijazah kelas pertama. Mereka adalah golongan yang hanya mengangkat topi kepada mahasiswa yang berjaya menggapai kejayaan seperti itu. Tabiat pemikiran mereka bukan berada pada litar ’single track mind’- menjangkaui disiplin ilmu yang lain.


Sebaliknya, bagi pelajar yang tidak memenuhi sasaran kecemerlangan berdasarkan CGPA yang tinggi tetapi memiliki kemahiran dan kecenderungan tertentu telah dikesampingkan. Golongan ini bukannya kurang cerdik cuma kurang CGPA. Ketika ini timbul pandangan serong, ”itulah, aktif sangat berpersatuan sehingga akademik terabai”. Malah, aktivis persatuan ini dikatakan telah melakukan ’jenayah akademik’di mana penglibatan dalam organisasi sudah menjadi fitnah kerana akademik yang merudum.


Bukan mereka tidak berusaha tetapi sudah usaha, cuma keterbatasan dan kemampuan tertentu untuk meletakkan akademik sebagai subjek utama dalam kehidupan kemahasiswaan. Saya tabik golongan sebegini. Agenda hidupnya bukan setakat belajar tetapi cuba mencapai disiplin ilmu yang lain. Dengan pengalaman dan gerak kerja organisasi, golongan ini lahir dengan kecerdasan yang sangat seimbang. Baik dari segi Kecerdasan Intelektual (Intelectual Quotient - IQ), Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient - EQ) dan Kecerdasan Spiritual (Spiritual Quotient - SQ) . Lebih-lebih lagi mereka yang menyatukan diri dengan sebuah organisasi Islam yang sudah tentu menerapkan elemen-elemen ‘multidisciplinary’ dalam setiap kegiatannya.


Adakah anda ingin menjadi golongan dengan kerjaya bergaji besar, setelah penat bekerja lalu tidur, lapar cari makan, balik kampung bila rindu mak ayah, kahwin beranak pinak, sakit masuk hospital dan bila tua menunggu ajal? Atau menjadi golongan yang seimbang IQ, EQ dan SQ dan dengan keseimbangan itu, anda menyumbang sesuatu buat pembangunan masyarakat sekitar?


Mahasiswa atau penuntut yang pintar di sekolah (yang mempunyai keputusan peperiksaan dan CGPA yang bagus) belum tentu menjadi orang yang berjaya di dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, kejayaan dalam hidup tidak hanya ditentukan oleh keputusan peperiksaan atau CGPA seseorang. CGPA hanya satu format penilaian kepada pelajar terhadap markah peperiksaan dan kerja kursus yang tidak mengambil kira sama ada pelajar itu betul-betul belajar, terpaksa belajar atau belajar untuk ambil peperiksaan semata-mata. Maka tidak mustahil, ada di kalangan mereka yang membawa ‘toyol’ ke medan peperiksaan, menyalin assingment teman sekuliah, belajar bersama kekasih di kafeteria dan meninggalkan solat Subuh kerana tidak cukup tidur, turut mendapat CGPA yang tinggi. Adakah mereka di kalangan yang berjaya dalam hidup?


Ketulusan, integriti, tanpa maksud atau tujuan tertentu, rendah hati, rasa hidup bertuhan dan kecenderungan dalam kebajikan sosial adalah beberapa perkara penting dalam kehidupan spiritual yang memberi kepuasan menyeluruh apabila seseorang itu menemui kejayaan, malah kebahagiaan.


Namun jangan salah anggap. Saya tidak bermaksud anda tidak perlu berusaha untuk mendapat CGPA yang baik. Cuma jika anda berjaya mengejar banyak tuntutan dalam hidup terutama aktiviti spiritual, anda akan temui suatu cahaya yang menerangi lorong-lorong hidup anda yang semakin gelap.


Menurut Daniel Goleman iaitu seorang ahli psikologi, Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya menyumbang lebih kurang 5 hingga 10 peratus kejayaan hidup. Selebihnya adalah gabungan beberapa faktor lain, yang salah satunya adalah kecerdasan emosi. Menurut Paul Stoltz pula, IQ adalah sebahagian kecil daripada pohon kejayaan dalam segala hal. Stoltz yang menulis buku terkenal, Adversity Quotient (Gramedia, 2000), mengatakan, usaha, bakat dan kemahuan, sifat, kesihatan kecerdasan, faktor genetik, pendidikan, dan keyakinan adalah kunci kejayaan manusia.


Kecerdasan boleh bersifat kontekstual. Masalah yang dihadapi ataupun keadaan, menjadi faktor penting ketika kecerdasan ditentukan atau dikenal pasti. Sebagai contoh, ketika seorang mengalami kerosakan kereta, siapakah yang lebih diperlukan? Seorang profesor ekonomi berkelulusan PhD luar negara atau seorang mekanik lulusan politeknik? Saya yakin, semuanya akan menjawab mekanik, walaupun dia hanya berkelulusan sijil politeknik. Maka, siapakah yang lebih bijak antara keduanya dalam hal ini? Kenyataan ini sekaligus menunjukkan kecerdasan bersifat konstektual.


Sebahagian yang lain lebih mengagumi Thomas Edison daripada peninju Muhammad Ali. Sebahagian yang lain pula mengagumi Albert Einstein daripada Mike Tyson. Ini tidak salah. Namun ia membuktikan kurangnya penghargaan kepada kemampuan lain yang dimiliki oleh setiap orang yang berlainan. Jika dinilai dari sudut IQnya, mungkin Thomas Edison dan Albert Einstein lebih pintar, tetapi dari sudut kecerdasan kinestatik Muhammad Ali dan Mike Tyson lebih hebat.


Anda juga punyai kelebihan dan kecenderungan tertentu. Cari, gali dan bangunkan keistimewaan yang anda miliki walaupun setakat mahir menggubah bunga atau melukis kartun. Tidak mustahil bunga yang anda gubah memikat hati manusia lantas mengagungkan kebesaran Allah dan kartun yang anda lakar berguna sebagai medium dakwah menyedarkan manusia.


Kekuatan terbesar bukan terletak pada bahagian luar tubuh badan manusia, tetapi ada pada diri manusia itu sendiri. Masalahnya, manusia kurang mengenal dirinya. Betul apa yang dikatakan oleh Socrates apabila dia mengatakan masalah utama manusia adalah pengenalan diri. ”Gnothi Teauton,” kata Scorates yang bermaksud ”Kenalilah diri anda sendiri!”.


Alangkah ruginya mereka yang merendah diri kerana tidak berpelajaran tinggi, rugi lagi yang meninggi diri dengan kerjaya dan jawatan tetapi tidak memahami tujuan sebenar kehidupan. Anda beruntung jika berada dalam kelompok ketiga ini. Iaitu mengenalpasti kemahiran dan kecenderungan diri lalu bangunkan ia atas nama Islam. Kenal diri, anda akan temui sesuatu yang membanggakan!


Anda pandai melukis? Apa kata anda bangunkan kemahiran itu atas nama Islam. Lihat seperti lukisan di atas.



Thursday, May 7, 2009

JEMPUTAN WALIMAH SAYA

Assalamualaikum. Salam ceria. Semoga ketenangan itu sentiasa bersama-sama kalian setiap masa dan keadaan.

Saya agak sibuk sekarang dalam tempoh bulan ini dan bulan hadapan. Banyak idea dan pemikiran mahu dinukilkan di blog ini, namun masih belum punya ruang & kesempatan.

InsyaAllah, saya akan tampil selepas ini dengan wajah blog yang baru. Doakan saya untuk terus menulis.

Dengan kesempatan ini, saya ingin menjemput kalian sebagai rakan rapat blog, kenalan blogger, pengunjung blog dan sesiapa saja yang ingin memanjangkan perkenalan kita kepada sebuah pertemuan...

...ke majlis walimah/perkahwinan saya.



Maka, saya mengajak kalian untuk ke BLOG WALIMAH SAYA di http://nur-irsyad.jimdo.com/

Di blog tersebut, ada ruangan download kad walimah, jemputan dari pihak kami, pengesahan kehadiran, ucapan untuk pengantin dan doa. Lagu pengantin pun ada...:)

Jemput ya...berharap sungguh jika kalian dapat meninggalkan jejak di situ dengan ucapan & doa-doa yang baik.

Semoga keredhaan Allah bersama dalam setiap perkataan dan perbuatan kita.

Wassalam. Jumpa lagi dengan izin Allah.

Tuesday, May 5, 2009

SAYA CANTIK? YA, MEMANG CANTIK!




Mereka tidak memandang kepada rupa. Apakah perspektif cantik pada penilaian mereka?


Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda.


Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.


Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain.


Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu. Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular. Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia.


Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam.


Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.


Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini.


Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa.


Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara.


Jika anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.


Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam Islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.


Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN? Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.


Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu.



Itu saja yang membezakan.



Monday, May 4, 2009

REPOST: BIJAK DENGAN BERFIKIR MUDAH

Benda dicipta sebagai 'Mudah, kemudahan dan mudah-mudahan'.


Sebahagian orang berfikir, orang-orang yang cerdas adalah mereka yang dapat membentangkan sesuatu hal secara kompleks dan susah difahami oleh orang lain. Pada pandangan saya perkara ini tidak benar. Apabila pemahaman seperti ini dibiarkan berada dalam sebuah organisasi, ia tentu bergerak dengan lambat dan menjadi kompleks. Ahli takut membuat keputusan, sukar melihat sesuatu dengan jelas dan kerumitan-kerumitan dalam pekerjaan sehari-hari semakin banyak.


Dalam dunia ini, kita dapat membezakan dua jenis orang yang bijak, yang pertama adalah mereka yang sekadar bijak sahaja. Kedua, adalah mereka yang bijak dan mewujudkan kesan yang luar biasa. Contoh orang seperti ini ialah Albert Einstein yang bukan sekadar pintar, malahan menciptakan sesuatu yang luar biasa iaitu teori relativitinya. Einstein mampu membawa kesan yang besar melalui rumusan yang mudah dan dapat difahami orang ramai iaitu E = mc2.


Begitu juga tokoh-tokoh besar yang lain. Adam Smith menjelaskan mekanisme pasaran dengan konsep invisible hands, Sigmund Freud menerangkan tentang konsep diri manusia dengan id, ego, dan super ego. Mereka berupaya menjelaskan pemikiran secara fokus dan mengabaikan hal-hal lain yang menjadikan sesuatu itu kompleks.


Kita juga mengenal pemimpin-pemimpin negara yang berfikir secara mudah. Bill Clinton mengajukan konsep Reinventing the Government atau mencipta semula pemerintahan. Pemimpin Costa Rica iaitu Jose Maria Figueres memperkenalkan IT Cluster. Margaret Thatcher melaksanakan program penswastaan dan Mikhail Gorbachev pula popular dengan konsep Glasnost dan Perestroika. Semua pemimpin besar ini menghadapi situasi yang kompleks sewaktu zaman pemerintahan mereka tetapi mereka mampu mengambil langkah-langkah yang kreatif dengan cara-cara yang mudah. Dengan tindakan itulah, para pengikut memahami dan menyokong mereka.


"Mempermudahkan itu sentiasa dapat membantu manusia bekerja dengan lebih cepat"


Kita mampu melakukan kawalan dengan lebih mudah apabila bertemu dengan sesuatu yang jelas. Apabila semua orang jelas dengan apa yang mereka perlu dilakukan, maka setiap kerja menjadi mudah dan mampu dilakukan dengan lebih cepat dan cekap.


Dalam kerja berkumpulan, kejelasan itu begitu penting supaya setiap orang dalam kumpulan tugas mereka saling melengkapi serta membantu satu sama lain. Apabila tidak ada kejelasan dan ahli-ahli kumpulan tidak tahu apa yang dilakukan sesama mereka, mungkin ada yang membuat kerja yang sama, membuat kerja berulang kali dan melakukan kesalahan yang sama berulang kali tanpa menyedarinya. Waktu habis begitu sahaja dan kerja tidak juga selesai. Maka, semua orang dalam organisasi mesti jelas dengan fungsi, bidang kerja dan tanggungjawab masing-masing.


"Memudahkan sesuatu yang kompleks membantu orang bekerja dengan lebih bijak. Dengan memudahkan perkara yang rumit, kita lebih mudah dapat melihat mana yang penting dan mana yang tidak penting."


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO