Monday, March 30, 2009

HATIKU YANG LETIH...

“Aiman tak kisah!”, kata Aiman.

Aiman memang tak kisah, tapi saya kisah. Sebabnya, saya bukan Aiman…

Apa yang saya kisahkan?


Ahad semalam saya sudah merancang usrah remaja. Hendak diturutkan hati memang tak mampu. Saya buntu dan emosi saya agak terganggu. Badan saya terlalu penat, fikiran saya bercelaru, ditambah dengan demam, batuk & selesema. Dimudahkan, saya mahukan tidur dan istirehat.


Namun begitu, saya sangat serba salah. Temujanji bersama adik-adik usrah telah ditetapkan. Pasti mereka sedang bersemangat malah lebih semangat dari saya. Biasalah, remaja memang sukakan loving and caring. Mereka sukakan kakak yang selalu bertanya khabar mereka, sudi menjadi tempat meluah rasa mereka, bercerita masalah dan memberi nasihat. Malah, jika dapat kakak fasi yang pandai tackle, kakak itulah yang lebih dipercayai dari keluarganya sendiri. Kerana itu, mereka sukakan usrah.


Oh, saya sangat serba salah jika membatalkan usrah. Tapi saya mahu tidur...saya tak sihat. Pergi usrah... tidur, pergi usrah...tidur, pergi usrah...tidur, mana satu pilihan di hati saya?


Kelihatan jam menunjukkan pukul 8.30 pagi. Saya masih menimbang tara. Usrah bermula jam 9.30 pagi. Sementara menunggu masa, saya berbaring di katil. Saya terus berfikir...mahu teruskan usrah atau batalkan usrah.


Sedang menimbang tara, entah bagaimana saya tertidur. Sedar-sedar jam 11.30 pagi. Asalnya dari perasaan serba salah, kini menjadi sangat bersalah. Saya sudah terlepas usrah. Ada 9 missed call di handphone saya. Kata fatin pembantu fasi yang tidak dapat hadir, ada 7 orang adik datang ke usrah, mereka balik setelah menunggu saya terlalu lama.


Aduh, lemahnya saya…saya terlepas 7 sasaran dakwah hari ini dengan begitu mudah. Saya memanjakan diri saya dengan berbaring di katil sehingga tidur. Saya membuang masa adik-adik usrah saya. Saya memutuskan harapan mereka. Saya menyusahkan fatin yang berusaha menetapkan janji dengan adik-adik usrah.


Saya berfikir…adakah Allah sengaja tidurkan saya untuk memberi ruang istirehat kepada saya atau Allah mahu menguji kekuatan saya? Adakah ia wujud kerana kecuaian saya atau kesihatan saya yang tidak mengizinkan saya?


Tiba-tiba kata Rabiatul Adawiyyah menyentak hati bersalah saya;

“Sesungguhnya aku tidak pernah berasa letih dan jemu beribadah kepada Tuhanku, kerana yang letih dan jemu itu adalah jasadku bukan hatiku.”


Rupa-rupanya, saya memiliki hati yang letih…

Jika badan saya sakit sekalipun tetapi hati saya sentiasa sihat, pasti saya mampu meneruskan usrah sekalipun sakit. Hati yang sihat itulah ubat buat jasad yang sakit.


Semoga Allah mengampuni saya dan adik-adik usrah memaafkan saya.

Friday, March 27, 2009

MEMBINA 'KERAJAAN IMPIAN' DALAM BUKU IMPIAN



Bayangkan seandainya anda diberi panjang umur sampai 10 atau 20 tahun ke depan, apa yang akan anda hasilkan?
Prestasi dan karya apa yang ingin anda persembahkan untuk kemanusiaan? Bagaimana kira - kira orang akan mengenang anda 100 tahun yang akan datang ketika semua harta, teman dan keluarga anda sudah pula tiada?

Ini perlu anda rumuskan sejak sekarang. Membangunkan kerajaan impian dan merencanakan masa depan sangatlah penting. Tanpa itu, kita akan berjalan tanpa semangat. Kerana itu, apapun yang anda impikan perlu anda tulis dan catat dalam BUKU IMPIAN anda. Apa maksudnya buku impian itu? Buku impian adalah buku yang berisi daftar keinginan (Wish List) yang ingin anda capai dengan batasan waktu tertentu.

Tuliskan apa impian anda dalam hidup dalam buku tersebut dan...

...TAKE ACTION!



Wednesday, March 25, 2009

KATA-KATA SEMANGAT BUAT ADIK PELAJAR

Dedikasi buat adik NahwanNur yang amat disayangi, Angah dan Muni di UiTM yang amat dirindui (bila nak balik rumah ni?), Yana dan Zila UTHM yang dimanjai selalu, adik-adik kampus UTHM, adik-adik blog yang masih belajar, Adik-adik Nisa’ yang belajar lagi seperti Dekma, Tina dan lain-lain. Di samping sesiapa sahaja yang mahu terus belajar secara rasmi atau tidak rasmi.


Adik yang bermotivasi sukses, hidup adalah belajar. Mahu hidup? Adik harus mahu belajar. Apalagi jika ingin sukses dan bukan hanya sekadar hidup. Belajar mutlak diperlukan. Kerana hidup sejati merupakan proses belajar yang tiada henti (Life is a continuous learning process).


Jika anda hanya sekadar hidup dan menjadi biasa-biasa saja, anda telah menurunkan kualiti kemanusiaan anda. Kenapa? Kerana kita, anda dan saya diciptakan bukan tanpa sebab. Plato mengatakan, "Segala sesuatu yang diciptakan, tentu diciptakan untuk suatu sebab." Sebagaimana firman Allah, “Tidak Aku jadikan manusia untuk sia-sia”.


Apakah anda tahu untuk apa anda diciptakan? Apakah anda tahu sebab dari kehidupan anda? Jika anda tahu, maka jangan berhenti sampai di situ. Bukan hanya tahu tetapi tindak lanjuti apa yang anda tahu itu. Bukan hanya ingin berjaya, tetapi sungguh-sungguh berjuang untuk berjaya. Oleh itu, untuk berjaya, anda perlu harus bin wajib untuk belajar. Bukan hanya tamatkan belajar tetapi harus terus belajar dari yang terbaik.


Jangan hanya sekadar belajar dari yang biasa-biasa saja kerana anda akan menjadi biasa-biasa pula. Pepatah Cina mengatakan, "Belajar dari seorang pakar dalam waktu semalam lebih baik nilainya daripada belajar dari yang biasa-biasa saja dalam waktu bertahun - tahun".


Belajar haruslah menjadi bahagian yang tidak dipisahkan dari hidup kita. Belajar itu ibarat makan atau bernafas.
Belajar adalah makanan bagi roh dan jiwa kita. Kita bisa belajar dari apa saja, siapa saja, bila saja dan dari mana saja. Imam Syafi'e mengatakan, "Setiap orang adalah Guru. Setiap tempat adalah Sekolah". Kita bukan hanya dapat belajar dari sekolah konvensional semata tetapi juga dari sekolah kehidupan yang guru-gurunya adalah penderitaan, kegagalan, keberhasilan hingga kesulitan hidup.


Kerana itu, sekali anda berhenti belajar, saat itulah anda telah berhenti berkembang. Pertanyaannya sekarang, siapkah anda untuk terus belajar? Bagaimana persiapan anda untuk itu? Persiapan anda untuk terus belajar haruslah digalasi dengan persiapan untuk menerima segala risiko, akibat dan persiapan untuk tetap berjuang, berkorban dan berusaha. Apapun yang terjadi, anda harus hadapinya. Tidak boleh dielak kecuali anda mati kelak.

Belajar yang terbaik adalah belajar untuk menjadi peribadi yang lebih baik dan berkualiti dari detik ke detik, selanjutnya setiap hari. Tidak perlu terburu-buru. Segala sesuatu memerlukan waktu, proses dan kesabaran. Yang penting, anda tetap memiliki komitmen dan konsisten untuk terus belajar memperbaiki diri, mengubah diri, meningkatkan kualiti diri lebih baik dari diri sendiri setiap hari. Itulah kemenangan dan keberjayaan sejati. Iaitu ketika anda telah menjayakan diri sendiri dan orang lain.

Adik yang bermotivasi sukses, siapkah anda untuk terus belajar? Jika ya jawapan anda, sejauh mana persiapan anda untuk berjuang mewujudkan kejayaan yang anda inginkan? Mari sama-sama belajar menjadi yang terbaik dari diri sendiri!.

Disusun semula dari artikel asal di sini.


ALAHAI ANAK-ANAKKU...


Selamat pagi, jika anda membaca entri saya di waktu pagi. Selamat petang, jika membacanya di waktu petang. Good night jika membacanya di waktu malam dan salam qiamullail jika membacanya seusai solat tahajud. Keseluruhannya, Assalamualaikum w.b.t...bertemu lagi dan terus membaca.



Pernah melihat anak-anak saya? Inilah anak-anak saya. Ada lima orang semuanya, seorang lagi tiada dalam gambar. Paling besar namanya Nabihah (biha), 6 tahun. Diikuti oleh Fakhirah (yaya), 3 tahun. Alhamdulillah, selepas itu dikurniakan anak kembar lelaki iaitu Ikram dan Ehsan. Saya sangat sayangkan mereka. Yelah, mana ada ibu tak sayangkan anak bukan? Kucing pun sayangkan anak. Kecuali anak bulan...sebab bulan tiada ibu atau bapa.


Sebelum pergi kerja, sempat juga saya menguruskan mereka. Menguruskan apa yang sempat dilakukan. Selanjutnya tugas diambil alih oleh mak pula. Membangunkan mereka tidur, memandikan, mencuci kencing berak, bagi sarapan, mencium, memeluk dan menampar mereka jika buat perangai. Ops, menampar? Ya, menampar ala angin sepoi-sepoi bahasa. Yela, mak dia sibuk-sibuk siap pergi kerja, anak pula buat perangai. Apa lagi, tampar jelah punggung masing-masing. Bukan sakit pun, kena pampers!.


Nabihah, Fakhirah, Ikram dan Ehsan sememangnya anak-anak yang baik. Biha bijak belajar dan suka belajar. Dia suka berlakon jadi cikgu ketika main-main dengan adiknya. Yaya pula sibuk dengan tarian shufflenya, mungkin terpengaruh dengan pelajar AF7 yang pandai tarian shuffle. Ikram dan Ehsan baby lagi, cuma tahu ‘mengemas’ rumah. Maksud ‘mengemas’ ialah menyelerakkan apa yang telah dikemaskan. Pantang disergah sedikit, mulalah menangis. Manja...macam ibunya ini.


Siapa ayahnya? Jeng...jeng...jeng...Percaya atau tidak, mereka mempunyai ramai ayah. Lain ibu dan lain bapa.

Sebabnya, mereka bukan anak-anak sebenar saya. Mereka hanya menumpang kasih saya yang kasihan ini. Ibu ayah mereka pergi bekerja. Jadi, mak sayalah yang menjaga mereka sementara waktu. Secara tidak langsung saya turut terasa tempias jagaannya itu. Dapatlah saya menonjolkan bakat keibuan saya yang belum sampai masanya untuk ditonjolkan lagi. Adakah saya syok sendiri saya berbakat ibu? Tidak! Bagi saya, semua wanita di dunia ini semestinya dikurniakan Allah bakat keibuan.


Bukan maksud saya begitu kepingin memiliki anak, mahupun mengada-ngada untuk bergelar ibu. Cuma, sahabat saya kata, tahap usia saya sepatutnya sudah mempunyai anak kecil seperti mereka. Saya tidak menafikan. Sebab itu, saya menganggap mereka seperti anak-anak saya walaupun mereka memanggil saya Kak Long, bukan Mak Long. Bagus juga panggil Kak Long. Mak Long itu seakan saya ini sudah tua.


Apa kesimpulan dari cerita hari ini? Kesimpulannya, mari kita sama-sama belajar pendidikan anak-anak. Moga anak-anak yang lahir nanti seorang mujahid dan mujahidah. Jika dia doktor, dia adalah doktor yang mujahid. Jika dia jurutera, dia adalah jurutera yang mujahid. Seandainya dia pakar IT, dia juga mujahid. Seorang penulis juga adalah penulis mujahid. Andai dia memilih untuk menjadi artis, dia adalah artis yang mujahid.


Saya tak sanggup sarankan macam-macam untuk dilakukan. Takut terkena batang hidung sendiri kerana tidak mengotakan apa yang di kata. Namun begitu, tanggungjawab masing-masing untuk berubah dan terus berubah. Marilah kita saling nasihat-menasihati. Sekurang-kurangnya, jika tidak memperoleh pahala melakukan, kita memperoleh pahala menyebarkan. Semoga dengan sebaran tersebut, kita turut berubah kerana mengajak orang lain untuk berubah. Pastinya perubahan itu bermula dengan nasihat dan pandangan sekalipun kontroversi atau hangat-hangat tahi ayam.

Monday, March 23, 2009

PENDAKWAH WANITA & FEQAH WANITA

Suatu hari saya ditanya oleh seorang adik kampus (mad’u);

“Akak, apa bezanya air mani, air mazi dan air wadi? Setahu saya perempuan yang sudah baligh akan datang darah haidh, lelaki pula akan keluar air mani melalui mimpi dan ketika mencapai klimaks syahwat. Perempuan ada air mani juga ke kak?”

“Apa beza air mazi dan air mani? Bukankah kedua-duanya kerana syahwat? Bagaimana mahu membezakannya? Air wadi saya tahu, ia hanya untuk perempuan”, dia bertanya lagi.


Lalu saya menerangkan jawapan sekitar persoalan tersebut. Perbezaan ketiga-tiganya dan cara mengenal sifat-sifatnya. Juga saya perbetulkan anggapannya yang salah ketika mengutarakan soalan tadi. Alhamdulillah dia berpuas hati.


Hari yang lain saya ditanya persoalan feqah tentang masalah haidh wanita pula.

“Kak, saya sudah datang haidh (antara ya atau tidak) walhal tempoh suci saya belum cukup 15 hari. Tapi saya rasa ia tetap darah haidh walaupun belum cukup tempoh suci. Saya confiuslah nak beribadah, sah ke tak sah. Macam mana yer?”, mukanya berkerut-kerut menampakkan penyakit was-was yang dihadapi.


Permasalahan begini akan dihadapi wanita yang gagal mengenalpasti sifat-sifat darah haidh. Saya percaya ramai yang akan mengatakan ia bukan darah haidh berdasarkan tempoh suci yang belum matang. Sebaliknya, saya memberikan jawapan ya. Kenapa?


Penyelesaian yang harus diberi bukan berdasarkan teori feqah semata-mata. Kadang kala ia bersifat anjal bergantung kepada beberapa masalah dan keadaan seseorang. Antaranya penyakit-penyakit kewanitaan dan tahap kesihatan seseorang yang perlu diambil kira. Memandangkan permasalahan sebegini memberi kesan kepada kualiti ibadah seseorang, maka adalah wajib bagi seorang wanita mengetahui dan mendalaminya sebaik mungkin.


Lelaki tidak terkecuali mempelajarinya kerana anda adalah pemimpin isteri dan anak-anak perempuan kelak. Seharusnya anda juga boleh menjadi pakar rujuk yang dipercayai.


Kebanyakan pendakwah muslimat tidak menguasai feqah. Dalam erti kata yang lain, tidak mendalami ilmu feqah wanita sehingga mampu menyelesaikan kekusutan mad’u yang bertanya. “Tanyalah ustazah masa kuliah feqah nanti”, itulah jawapan yang acapkali diungkap, walhal persoalan yang diutarakan oleh mad’u adalah persoalan enteng yang sepatutnya mampu dijawab.



Umum menerima tidak semua pendakwah wanita fakih tentang ilmu feqah. Tidak semua di kalangan kita adalah pelajar jurusan agama. Meskipun begitu, tidak ramai juga yang mahu meningkatkan ilmu feqah mereka. Kita masih selesa dengan ilmu feqah yang sedikit tanpa mahu membaca, belajar, bertanya, berguru, hadir ke kuliah feqah atau melalui sumber ilmu yang lain. Akhirnya, kita kehilangan sasaran dakwah yang rajin bertanya dan mencari-cari kita yang tampak bijak ugamanya.


Bagaimanakah pendakwah muslimat zaman kini boleh mencontohi Saiditina Aisyah, tempat rujuk masyarakat wanita di zamannya?


Jadikan adik-adik di kampus, kenalan wanita di tempat kerja dan makcik-makcik sejiran di sekitar kita sebagai sasaran dakwah utama. Tidak perlu bicara politik, sebaliknya bantu mereka merungkaikan masalah-masalah feqah dengan hikmah yang anda miliki. Andai jawapan anda melapangkan fikiran mereka, pasti Allah akan membuka kelapangan mereka untuk merapati anda. Percayalah, mereka akan merujuki lagi anda selepas itu.


Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Belajarlah.


Thursday, March 19, 2009

KAHWIN DENGAN MANUSIA ATAU AGAMA?

“Suami siap-siap nak balik rumah, isteri di rumah ‘siap’!,” seloroh seorang ustaz di kursus kahwin.


Ucapan ustaz tersebut disahut dengan gelak ketawa peserta lelaki. Lawaknya menjadi barangkali. Peserta perempuan pula tersipu-sipu malu. Saya buat muka selamba saje sambil bergetus geram di dalam hati. Faham-faham sajalah apa maksud ‘siap’ ustaz tersebut.


Hal seksualiti sering menjadi bahan seloroh di kursus kahwin. Apabila modul berkisar tentang akidah dan ibadah, mulalah syaitan bertenggek di mata. Gusar jadinya bila disoal ustaz. Buntu dan bosan apabila asas Islam menjadi topik ceramah. Lidah terkedu menjawab soalan bab iman, Islam dan ihsan. Tapi bila bab hubungan seks suami isteri disampaikan, masing-masing jadi tak keruan.


Saya tidak salahkan si ustaz yang membuat lawak. Hilang juga bosan saya yang turut berkursus. Cuma saya tak setuju jika jenakanya keterlaluan dan tidak ilmiah langsung. Masa habis pada cerita-cerita dan jenaka-jenaka basi aksi suami isteri.


Cerita pasal suami yang main kayu tiga dan isteri yang kuat cemburu. Cerita pasal suami panas baran dan isteri kuat merajuk. Cerita pasal malam pertama dan berbulan madu. Isu-isu keluarga yang terjadi kini tidak pula dibicarakan. Ilmiahnya sedikit tetapi lawaknya yang lebih.


Saya teringat pandangan Dr. Nora dalam topik muslimah yang lepas. Beliau mencadangkan agar modul kursus kahwin dikaji semula. Sebabnya, semakin hari akan timbul isu-isu terkini bersesuaian dengan zaman yang makin berubah. Contohnya, perceraian dengan SMS, email, faksimili dan sebagainya. Wujudlah fatwa-fatwa terbaru dari masa ke semasa. Pandangan saya, penerangan perlu diberikan sebelum pasangan berkahwin lagi.


Sisters In Islam (SIS) pula semakin konsisten dengan usaha meliberalkan undang-undang syariah. Mereka memperjuangkan agar Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) disesuaikan dengan zaman ini sehingga menolak autoriti ulama dan golongan fuqaha’ untuk berbahas dalam mana-mana wacana mereka. Bahkan mereka sangat komited membuka ruang seluas-luasnya kepada pakar intelektual barat untuk berdiskusi ke arah transformasi gendang perjuangan mereka.


Tindakan SIS memang salah dari landasan agama tetapi kesungguhan mereka yang harus dipelajari. Aturan agenda mereka sentiasa berterusan sekalipun tentangan terus diterima dari golongan agamawan. Kalau SIS mahu melakukan perubahan, kenapa jabatan agama tidak seiring bertindak sebagai ‘counter wave’ merasionalkan masyarakat kembali?


Ramai pasangan gagal mendalami hal-hal ini. Modul kursus sekarang hanya berkisar tentang asas seperti yang dipelajari di sekolah-sekolah. Pada saya, ia perlu diubahsuai dan lebih releven dengan situasi semasa. Beri sesuatu yang lebih realistik dengan cabaran institusi keluarga kini. Bukan berlegar di sekitar teori sahaja dan seks yang menjadi bahan jenaka.


Hal yang sama diutarakan ketika menemubual PM. Dr. Raihanah dalam topik kali ini. Beliau kata kursus kahwin hanya sekadar kursus untuk mendapatkan sijil pra-perkahwinan. Saya pun rasa begitu juga. Sebelum ke kursus saya selalu merungut, “Alahai, malasnya nak pergi kursus, bosan.” Tetapi kerana sekeping sijil, saya turutkan hati juga.


Akhirnya, nak tanya semua, sebenarnya kita berkahwin dengan siapa? Berkahwin dengan manusia atau berkahwin dengan agama?


Monday, March 16, 2009

WARTAWAN & PENULIS: SEKADAR PERKONGSIAN


Anda berminat menjadi wartawan atau penulis? Cadangan saya, belajarlah teknik pengurusan stress terlebih dahulu. Mengikut kajian, wartawan/penulis merupakan kerjaya dalam raking tertinggi untuk cenderung mengalami stress. Sebagaimana perkataan ‘deadline’ yang berhubungkait dengan dua profesion ini, begitulah rasa ‘dead’ menerjah diri jika tekanan di luar kawalan. Lebih-lebih lagi ketika ‘deadline’ itulah idea turut ‘dead’ sekali.


Saya mengakui, menyiapkan bahan untuk majalah lebih stress dari menyiapkan tesis degree dahulu. Walaupun begitu, bekerja di media islamik suatu kemanisan kerana dikelilingi dengan teman sefikrah dan fahaman bekerja kerana Islam. Bak kata Kak Milah, rakan wartawan, “Biar stress dengan kerja, jangan stress dengan rakan sekerja”.


Sebagai orang lama, Kak Nik editor pun selalu mengomel, “Ahrgghh, stress, stress, tension!”, setiap kali tibanya deadline. Inikan pula saya yang baru tiga bulan bekerja tanpa sebarang pengalaman dan kelulusan dalam bidang ini. Cuma, tekanan itu tidak sama dibandingkan dengan wartawan/penulis akhbar yang terikat dengan deadline setiap hari.


Tekanan sebegini tidak salah. Ia tekanan yang positif dan amat membina. Tekanan itu beransur hilang bila melihat penulisan terpapar di media yang dibaca ribuan orang setiap bulan. Cuba bayangkan, jika intipati penulisan itu disebarkan oleh pembaca kepada orang lain, lalu diamalkan. Ketika itu, tiada apa yang diharapkan oleh seorang penulis, melainkan setiap tulisan adalah amal dan menjadi salah satu pahala yang berterusan selepas mati.


Teknik pengurusan idea dan pengurusan masa juga penting. Idea datang tanpa mengenal masa. Kadang-kadang idea datang semasa di dalam bas. Ada masanya sebelum tidur, ketika bersembang dengan kawan, masa menonton drama melayu, ketika membeli belah di pasaraya, semasa menonton Raja Lawak, tak mustahil ia datang ketika aktiviti termenung di dalam toilet. Malah, saya juga pernah mendapat idea di dalam mimpi. Ketika itulah idea perlu diuruskan dengan baik supaya ia tidak hilang walau bukan waktu menulis.


Penulisan memerlukan hampir seratus peratus idea dari sudut pandang yang berbeza. Pada saya, kurang masalah diperingkat penulisan buku kerana fokus bidang ilmunya adalah sama. Ilmu itu perlu digarap dan dikembangkan lagi. Tetapi menulis buku juga mencabar jika disiplin ilmu yang digarapkan juga mencabar. Terutamanya, jika penulisan berbentuk teknikal dan disiplin ilmunya adalah kritikal. Ia amat memerlukan taktikal.


Cabaran besar bagi saya adalah menulis akhbar atau majalah. Keduanya memerlukan kita menguasai isu yang berbeza hampir setiap hari. Minda perlu cekap membuat tanggapan terhadap apa yang dilihat, dibaca, dan diperhatikan tentang dunia semasa. Maka, satu kelebihan bagi individu yang suka berfikir, suka membaca dan bijak membuat persepsi. Paling penting, menggarapkan isu yang diminati sasaran pembaca.


Jika penulis juga seorang wartawan, dia juga perlu ada kemahiran mencari soalan ketika sesi temubual. ‘Soalan yang baik memberi idea penulisan yang baik’. Sama seperti menghadapi sasaran dakwah, ‘ucapan yang baik, mendapat respon yang baik’.


Andaikata pendakwah tidak menguasai kemahiran interaksi dengan manusia atau kekok dalam berkomunikasi, maka pulangannya amat mendukacitakan. Dalam hal ini, saya terlebih dahulu akan membuat research tentang individu yang ingin ditemubual dan fokus terhadap penulisan itu nanti. Sama seperti pendakwah yang perlu mengenali personaliti mad’unya dan mencari bahan perbualan yang berkesan.


Wartawan juga perlu mempelajari perkara baru dari masa ke semasa. Perlu banyak membaca, bertanya, berbincang dan membuat persepsi terhadap isu yang berlaku ketika itu. Agak tertekan bila kita sudah mengkaji dan mencari bahan untuk satu isu pada minggu ini, tetapi ada perubahan apabila wujud isu yang lain di minggu hadapan. Justeru, satu kemahiran yang harus dipelajari lagi ialah pengurusan menghadapi risiko.


Ibarat seorang jurujual yang menjual produk tetapi tidak pandai memikat hati pembeli. Bagaimana kita harus meyakinkan pelanggan terhadap kelebihan produk yang dijual sedangkan mereka belum menggunakannya dan merasai hasil produk itu? Begitu juga seorang pendakwah sebagai ‘jurujual produk Islam’. Bagaimana kita meyakinkan mad’u kita terhadap Islam andai mereka masih belum mengamalkannya dan merasai kesan amalan itu? Pandangan saya, wartawan/penulis juga begitu. Penulisannya harus meyakinkan, penyampaian intipatinya berkesan dan nasihatnya mendorong amalan. Saya masih belum mahir menguasainya.


Cara saya, ‘Bermotivasilah dengan motivasi dakwah!’. Anggaplah menulis adalah kerja dakwah. Tuan Guru Nik Aziz yang terlalu sibuk dengan urusan kepimpinannya, masih sempat mengeluarkan buku terbaru hampir setiap bulan. Malah, ulama’ silam memanjangkan ilmunya dalam bentuk karya-karya agung seperti Imam Al-Ghazali, Syed Qutb, Hasan Al-Banna dan lain-lain.


Pemimpin yang berkarisma seperti Tun Mahathir juga menulis sehingga kita. Pendakwah juga harus cuba menulis. Kerana musuh Islam menyusupkan pemikiran batil seperti sekularisme, liberalisme, orientalisme dan isme-isme lain melalui karya-karya mereka. Malah, karya mereka lebih hebat daripada orang Islam sendiri.


Akhirnya, saranan saya, “Tulislah sepotong ayat setiap hari walaupun tak sedap!”.

Tuesday, March 10, 2009

BERSAMA MENENTANG, ATAU IKUT SAMA MENJILAT?







  • PPSMI adalah idea bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad
  • Rakyat jelata tidak pernah meminta PPSMI
  • PPSMI hanya menguntungkan anak-anak yang ibu bapanya bertutur bahasa Inggeris di rumah
  • PPSMI menguntungkan anak orang-orang kaya di bandar
  • Ibu bapanya yang tidak pandai bertutur bahasa Inggeris, tidak dapat menolong pelajaran anak-anak mereka di rumah
  • Anak-anak keluarga miskin dalam bandar dan di luar bandar menjadi mangsa PPSMI
  • PPSMI akan menyusahkan anak orang miskin
  • PPSMI dibuat oleh kerajaan tanpa berunding dengan rakyat
  • Kerajaan tidak pernah mendapatkan pandangan guru-guru sebelum membuat dasar PPSMI
  • PPSMI dilaksanakan dengan cara paksaan walaupun ditentang oleh majoriti rakyat
  • Guru-guru tidak pernah bersetuju dengan PPSMI
  • Cendikiawan dan cerdik pandai melayu tidak pernah dirundingi oleh kerajaan sebelum melaksanakan PPSMI
  • Kerajaan membakul-sampahkan puluhan memorandum yang menentang PPSMI
  • PPSMI terus dilaksanakan walaupun hasil kajian oleh bijak pandai di universiti mendapati dasar itu gagal
  • Setiap tahun markah lulus peperiksaan diturunkan demi mengaburi mata rakyat
  • PPSMI menguntungkan kontraktor krono yang membekalkan bahan-bahan Bahasa Inggeris
  • Kaum Cina pun menentang PPSMI
  • Yang menyokong PPSMI adalah segelintir golongan yang mendewa-dewakan BI
  • PPSMI tidak sah di sisi perlembagaan negara
  • PPSMI menghina Bahasa Melayu
  • PPSMI membunuh masa depan Bahasa Melayu
  • BI gagal mengkayakan negara-negara di benua India dan Afrika yang meminjam BI
  • Semua negara maju di dunia menggunakan bahasa masing-masing
  • Semua negara yang meminjam bahasa penjajah gagal menjadi negara maju dan kaya raya
  • Di mana-mana negara pun, bahasa penjajah gagal memandaikan rakyatnya yang miskin
  • 2+2, jawapannya tetap 4 dalam mana-mana bahasa, di mana-mana negara

Wednesday, March 4, 2009

NAMA DIA...


Nama Dia. Ada yang gementar seluruh tubuhnya menyebut Nama Dia. Tidak mustahil jiwa terasa damai dan tenang apabila menyebut Nama Dia. Kita menyebut Nama yang sama setiap hari. Dan seharusnya ada bibit-bibit cemburu di kalangan kita, apabila orang lain menyebut Nama Dia lebih kerap berbanding kita.


Acapkali kita menyebut Nama Dia, acapkali jugalah Dia menyebut nama kita. Malah, beribu-ribu kali, mungkin berjuta-juta kali sehingga gegak gempita seluruh alam meraikan nama kita kerana menyebut Nama Dia. Kita semakin popular di seluruh petala langit dan bumi hanya kerana menyebut satu Nama tanpa rasa jemu, setiap saat dan detik nadi yang berdenyut.


Apabila Nama Dia dipanggil, Dia akan menjawab dengan rahmat dan kasihan belas. Sayang sekali, ada di kalangan kita melupakan Nama Dia, malah menyebutnya di saat kesusahan menerjah kehidupan.


Sekali sekala Nama Dia disebut, selalu saja Nama Dia dilupa, jarang-jarang Nama Dia disahut, kadang-kadang Nama Dia berpaut. Tetapi kali ini, Nama Dia direbut!.


Hari ini kita berbahas mempertahankan Nama Dia supaya tidak digunakan oleh orang tidak seagama. Kristian mahu melakar Nama Dia di kitab-kitab mereka. Sebilangan kita hanya mahu Nama Dia ada pada Kitab kita. Bilang mereka, hanya Islam yang layak memaktubkan Nama Dia. Ada yang ambil kisah, ada juga yang buat tidak endah.


Malang sekali. Lentingan itu hanya pada buku dan kitab suci tetapi tidak dihati. Marah kita Nama Dia akan digunakan oleh agama lain. Sedangkan kita sendiri gagal meletakkan selayaknya Nama Dia ditempat yang sepatutnya.


Dialah ALLAH, Tuhan kita dan Tuhan seluruh manusia. Sebenarnya, apa yang direbut pada Nama Dia? Perkataan atau Iman?


Tepuk dada, tanyalah siapa-siapa.


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO