Tuesday, December 30, 2008

TANPA TAJUK, ADA MAKNA TERSEMBUNYI


SATU

Sanah Helwah Ya shohibi. Selamat pertambahan umur saudaraku sekalian. Selamat Datang 1430 Hijri dengan senyuman harapan membawa tuah. Selamat Tinggal 1429 Hijri dengan lambaian ceria dan duka yang dibawa bersama.


Perkasakan aturan langkahmu dengan lagak gaya seorang pejuang muda, bukan lagi pejuang picisan yang jelek mengatur laku. Luruskan pandanganmu ke sinar yang semakin terang, penuh tegap dengan pendirian. Paling penting, ‘Jangan Pandang Belakang!’.


Tidak kira Hijri atau Masihi, sama saja. Kita tetap kita jika kita membiarkan diri kita terus menjadi kita seperti kita sekarang. Hidup tetap mati jika gagal menghidupkan yang hidup itu untuk terus hidup. Inilah kita, inilah hidup kita. Masing-masing muhasabahlah akan ‘Kita’ dan ‘Hidup’ itu.


DUA

Ada individu yang sudah berlari dan ada pula yang masih berdiri untuk belajar berjalan malah ada yang baru merangkak-rangkak. Ada yang sudah berada dipuncak sedangkan ada juga menjadi golongan yang mendongak, melihat mereka sambil bertepuk tangan dan bersorak-sorak. Malah ada yang berjalan dengan sepatu baru penuh lagak dan gaya seorang berjaya, sebilangannya pula tetap tegar mencium sepatu yang busuk dan kusam tanpa mahu diganti. Mereka selesa tanpa sepatu yang baru, mereka selesa tanpa nilai motivasi tinggi.


Tiada sepatu yang berganti untuk mengatur langkah semangat kerana kita masih selesa dengan budaya yang sama. Mereka memijak-mijak kepala kita dengan sepatu gagah yang mereka miliki, sedangkan kita hanya mampu melemparkan sepatu busuk dan kusam ke arah mereka. Itupun kita tidak dipedulinya malah dipenjara!.



Friday, December 26, 2008

KITA PELANGI WALAU BERBEZA WARNA

Semasa Nisa' Pillow Talk tempoh hari, kita memilih gula-gula itu bukan? Ada yang memilih warna merah, ada yang memilih warna hijau, ada yang memilih warna oren juga memilih pelbagai warna yang kita sukai. Fadilah memilih warna oren, saya memilih warna merah, saya rasa Tie memilih ungu dan Wani memilih semua warna yang ada. Nisa' yang lain juga memilih yang mereka suka tetapi maaf, saya tidak ingat.




Gula-gula itu menjadi kenangan bagi kita. Kita bertemu pada titik persamaan kerana gula-gula itu. Kita juga bertemu pada titik perbezaan kerana gula-gula itu. Gula-gula itu membuka ruang bagi kita semakin mengenali, memahami dan merindui. Kita semakin dekat kerananya. Kita makan gula-gula itu kemudiannya. Sungguh manis, semanis ukhuwwah kita. Gula-gula yang berjasa...


Saya ingin menjadi burung sebentar. Membawa kalian terbang ke suatu 'Daerah Ukhuwwah Kita'. Saya bukan sahaja burung yang boleh terbang, tapi saya boleh bercakap. Saya ingin sekali bercerita...


"Di suatu masa warna-warna dunia mulai bertengkar. Semua menganggap dirinyalah yang terbaik, yang paling penting, yang paling bermanfaat dan yang paling disukai".



HIJAU berkata:
"Jelas akulah yang terpenting. Aku adalah petanda kehidupan dan harapan. Aku dipilih untuk mewarnai rerumputan, pepohonan dan dedaunan. Tanpa aku, semua haiwan akan mati. Lihatlah ke pendesaan, aku adalah warna mayoritas..."


BIRU menginterupsi:
"Kamu hanya berfikir tentang bumi, pertimbangkanlah langit dan samudera luas. Airlah yang menjadi dasar kehidupan dan awan mengambil kekuatan dari kedalaman lautan. Langit memberikan ruang dan kedamaian dan ketenangan. Tanpa kedamaian, kamu semua tidak akan menjadi apa-apa"


KUNING mencelah:
"Kalian semua serius? Aku membawa jenaka, kesenangan dan kehangatan bagi dunia. Matahari berwarna kuning, dan bintang-bintang berwarna kuning. Setiap kali kau melihat bunga matahari, seluruh dunia mulai tersenyum. Tanpa aku, dunia tidak ada kesenangan."


JINGGA menyusul:
"Aku adalah warna kesihatan dan kekuatan. Aku jarang, tetapi aku berharga karana aku mengisi keperluan kehidupan manusia. Aku membawa vitamin-vitamin terpenting. Fikirkanlah labu, jeruk, mangga dan pepaya. Aku tidak ada dimana-mana setiap saat, tetapi aku mengisi lazuardi saat fajar atau saat matahari terbenam. Keindahanku begitu menakjubkan hingga tak seorangpun dari kalian akan terdetik di fikiran manusia."


MERAH berteriak:
"Aku adalah Pemimpin kalian. Aku adalah darah - darah kehidupan! Aku adalah warna bahaya dan keberanian. Aku berani untuk bertempur demi suatu kuasa. Aku membawa api ke dalam darah. Tanpa aku, bumi akan kosong laksana bulan. Aku adalah warna hasrat dan cinta, mawar merah, poinsentia dan bunga poppy."


UNGU bangkit dan berdiri setinggi-tingginya ia mampu:
Ia memang tinggi dan berbicara dengan keangkuhan.
"Aku adalah warna kerajaan dan kekuasaan. Raja, Pemimpin dan para uskup memilih aku sebagai petanda kuasa dan kebijaksanaan. Tidak seorangpun menentangku. Mereka mendengarkan dan menuruti kehendakku."


Akhirnya BIRU berbicara lebih perlahan dari yang lainnya, namun dengan kekuatan niat yang sama:
"Fikirkanlah tentang aku. Aku warna diam. Kalian jarang memperhatikan adaku, namun tanpaku kalian semua menjadi aneh. Aku merepresentasikan pemikiran dan refleksi, matahari terbenam dan kedalaman laut. Kalian memerlukan aku untuk keseimbangan dan kontras, untuk doa dan ketenteraman batin."



Jadi, semua warna terus menyombongkan diri, masing-masing yakin akan superioritas dirinya. Pendebatan mereka menjadi semakin keras. Tiba-tiba, sinar halilintar melintas membutakan. Guruh berdentum. Hujan mulai turun tanpa henti. Warna-warna terkejut bersama ketakutan, berdekatan satu sama lain mencari ketenangan.


Di tengah suara gemuruh, hujan berbicara:

"WARNA-WARNA BODOH, kalian bertengkar satu sama lain, masing-masing ingin mendominasi yang lain. Tidakkah kalian tahu bahwa kalian masing-masing diciptakan untuk tujuan khusus, unik dan berbeza?


"Berpegangan tanganlah dan dekatlah kepadaku!". Menuruti perintah, warna-warna berpegangan tangan mendekati hujan, yang kemudian berkata:


"Mulai sekarang, setiap kali hujan turun, masing-masing dari kalian akan menyatu di sepanjang langit pelbagai warna sebagai peringatan bahawa kalian semua dapat hidup bersama dalam kedamaian.


Pelangi adalah pertanda Harapan hari esok". Jadi, setiap kali HUJAN lebat membasahi dunia, dan saat Pelangi memunculkan diri di angkasa marilah kita MENGINGATI untuk selalu MENGHARGAI satu sama lain.


MASING-MASING ANTARA KITA MEMPUNYAI SESUATU YANG UNIK. KITA SEMUA DIBERIKAN KELEBIHAN UNTUK MEMBUAT PERUBAHAN DI DUNIA DAN SAAT KITA MENYEDARI PEMBERIAN ITU, UNTUK KEKUATAN VISI KITA, KITA MEMPEROLEH KEMAMPUAN UNTUK MEMBENTUK MASA DEPAN ....



AYUH! KITA MENJADI SEPERTI PELANGI, BERSATU DISEBALIK KEPELBAGAIAN. KITA BERBEZA TAPI BILA KITA BERSATU, MENJADI PELANGI YANG SANGAT CANTIK. SEHINGGA YANG MELIHATNYA, TIADA MELIHAT YANG LAIN.


Wednesday, December 24, 2008

PPSMI: KERANDA 152

Zaman yang semakin mencabar ini telah menyaksikan Tamadun Melayu semakin hilang identiti. Jatidiri bangsa Melayu kian terhakis dengan pendekatan yang cukup halus. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan Bahasa Melayu kian dipinggirkan dan diletakkan sebagai bahasa kelas kedua.


Isu PPSMI ini semakin rancak di gelanggang politik pemimpin, semakin menjadi bahan borok-borak masyarakat kelas bawahan, semakin mengundang provokasi intelektual para ilmuwan malah ada NGO yang terasa dampaknya terpanggil menjadi lidah rasmi mewakili bangsa Melayu. Siapa lagi yang mahu menyelamatkan Bahasa Melayu daripada diperkosa oleh proses sekularisasi yang semakin menghimpit kehidupan kita melalui jalan ilmu?. Puisi Keranda 152 karya Usman Awang ini bisa menegur kita;


Anak Melayu
Panas dadamu membakar baju
Kita arak keranda 152
Ke tanah perkuburannya Parlimen

Sepuluh tanah nafas ini terhenti
Hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
Tiap pintu dan jendela sudah dijaga
Bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
Namamu telah diseru
Jawablah Sebelum lidahmu jadi bisu


Keranda 152 adalah satu episod dari rantaian perjuangan meletakkan Bahasa Melayu di tempat yang selayaknya. Apa sebenarnya Keranda 152? Ia merujuk kepada Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah salah satu dari kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama oleh rakyat berbilang bangsa.

Gerakan Anti PPSMI (GAP) adalah suatu usaha kesedaran "Selamatkan Bahasa Melayu" yang ditubuhkan oleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) bagi memastikan Perkara 152, perenggan 1, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Malaysia) menyatakan bahawa "bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu dan ditulis dalam bentuk tulisan yang ditentukan oleh parlimen" terus dipelihara.


Rentetan itu, pada 30 November 2008 bertempat di Anjung Rahmat, GAP telah mengadakan satu forum ‘Selamatkan Bahasa Melayu’ bertujuan menjentik pemikiran kita untuk memahami secara teori dan seterusnya memperjuangkan kedaulatan Bahasa Melayu. Kamal Shukri Abdullah Sani selaku Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu dan Mohd Hilmi Ramli, Presiden PKPIM merupakan gandingan panelis forum yang membicarakan isu ini.


Dari kiri: Kamal Shukri Abdullah Sani (Timbalan Presiden Persatuan Linguistik Malaysia), Moderator forum, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Koordinator Kampus, TERAS Pengupayaan Melayu) dan Mohd Hilmi Ramli (Presiden PKPIM)


Saya sedang mewawancara Mohd Hilmi (Presiden PKPIM) untuk Topik Majalah: Isu PPSMI


Forum dibuka dengan kritikan daripada Kamal Shukri, Timbalan Presiden Persatuan Lingustik Malaysia. Beliau tampil di atas pentas forum bersama hampir sepuluh buah buku yang terhasil daripada beratus-ratus persidangan oleh cendiakawan bahasa. Hasil persidangan 4 meja bulat yang berat sebelah sebelum ini tidak boleh disama tarakan dengan hasil kajian yang dilaksanakan oleh cendekiawan-cendekiawan universiti di dalam isu ini. Sebagai contoh hasil kajian berhubung keberkesanan PPSMI oleh Prof. Emiritus Dr. Isahak Haron daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris. Namun yang amat mendukacitakan, usaha-usaha mereka tidak dijadikan rumusan dan kajian sebelum mengambil keputusan perlaksanaan dasar PPSMI oleh kerajaan.


Rundingan Meja bulat oleh platform kerajaan yang dikhuatiri sejauh mana ke'bulat'annya.


Kamal Syukri turut menyifatkan PPSMI adalah program pendidikan yang memberikan kredit kepada golongan elit sahaja tetapi golongan pertengahan dan golongan bawahan terutama masyarakat luar bandar telah dikesampingkan.


Sebagai tambahan, UNESCO memetik daripada ‘Education for All: Policy Lessons From High-Achieving Countries (Staff Working Papers, New York, Unicef) sebagai berkata:

“Dalam keadaan di mana ibu bapa pelajar itu buta huruf, jika medium pengajaran di sekolah bukan bahasa pertuturan di rumah, ditambah pula dengan masalah pembelajaran dalam suasana kemiskinan, maka peluang untuk berlaku keciciran dalam pembelajaran akan meningkat dengan mendadak.”


Satu tinjauan yang dijalankan oleh UNESCO untuk laporan Bank Dunia pada tahun 1997 telah menyimpulkan bahawa apabila sesuatu pembelajaran itu menjadi suatu matlamat, termasuklah pembelajaran bahasa kedua (seperti Bahasa Inggeris, Bahasa Arab, dan lain-lain di Malaysia), penggunaan bahasa ibunda seseorang pelajar itu harus digunakan sebagai medium pengajaran dalam tahun-tahun awal persekolahannya.


Hal yang sama turut ditegaskan berkali-kali dalam forum ini. Tindakan GAP dengan tema kempennya ‘Selamatkan Bahasa Melayu’ bukan satu kempen emosi tetapi kempen mengembalikan maruah dan jatidiri bangsa Melayu. PPSMI bukan sahaja mengundang resah gelisah masyarakat luar bandar tetapi guru-guru sekolah turut merasai bahananya. Guru-guru terpaksa menggandakan usaha untuk memberi kefahaman kepada pelajar menggunakan bahasa asing khususnya pelajar sekolah rendah. Kesannya, proses pembelajaran menjadi lambat, merumitkan, dan memberi tekanan kepada guru-guru dan para pelajar. Keadaan ini disedari oleh mereka yang berada di platform sekular, tetapi seperti ‘anjing bercawat ekor’, kesedaran telah dikambus dengan keterangan dengar cakap pemimpin dan fakta-fakta yang dimanupulasikan di media.


Fenomena ini telah dikaji cermat oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris. Berdasarkan kajian April 2008, lebih 80 peratus murid menyatakan bahawa guru Matematik dan Sains mereka menggunakan Bahasa Malaysia untuk mengajar kedua-dua matapelajaran ini. Kebanyakannya menggunakan dwibahasa kerana tidak semua guru mahir berbahasa Inggeris.


Senario yang sama berlaku di kalangan pelajar di universiti apabila memperlihatkan tahap bahasa inggeris graduan lemah. Beberapa usaha telah diambil untuk meningkatkan mutu bahasa Inggeris di kalangan pelajarnya termasuk penawaran kursus-kursus kemahiran bahasa inggeris. Bagaimanapun langkah berkenaan disifatkan sebagai suatu yang formal apabila ia tidak menjadi satu budaya di kalangan pelajar-pelajar dan pensyarah-pensyarah. Pejuang bahasa tidak menentang usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, bahkan rakyat di negara ini. Tetapi yang tidak dipersetujui ialah penurunan darjat bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam pelbagai bidang dan peranan itu digantikan dengan bahasa Inggeris.


Mind set kita telah dikemuncupkan dengan mentaliti songsang iaitu jika ingin menguasai bahasa inggeris, pelajar perlu belajar sains dan teknologi dalam bahasa inggeris. Menolak kepentingan Bahasa Melayu sebagai bahasa untuk transmisi ilmu, sama seperti kita menidakkan kepentingan bahasa sesuatu bangsa sebagai medium transimisi ilmu seperti yang disebutkan di dalam ayat 4 Surah Ibrahim;


“Kami tidak mengutuskan seseorang rasul melainkan dengan bahasa kaumnya supaya dia dapat menjelaskan (hukum-hakam Allah) kepada mereka. Maka, Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendaki-Nya dan memberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dialah jua yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana”.


Bukankah PPSMI ini secara terang membebankan ibu-bapa, murid-murid dan guru-guru? Adakah Bahasa Melayu sekadar menjadi bahasa pertuturan harian, bahasa berbicara tepi longkang atau bahasa perbualan membeli ikan di pasar? Adakah isu kepelbagaian tulisan papan tanda di Pulau Pinang lebih penting sebagai kalendar perjuangan pemimpin? Persoalan-persoalan sebegini releven untuk mengetuk hati-hati orang Melayu yang menganggap isu PPSMI hanya isu terpencil. Sesuatu bangsa adalah dinisbahkan kepada bahasa yang dituturkannya. Jika hilang Bahasa Melayu dari lidah kita, samalah seperti hilangnya identiti bangsa yang suatu ketika dulu gah dengan kekayaan bahasa dan kehalusan budi pekerti.


Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari TERAS Pengupayaan Melayu dan Mohd Hilmi Ramli, Presiden PKPIM berada pada landasan fikiran yang sama. Hujah-hujah yang dikemukan menjurus kepada kepentingan Bahasa Melayu dari sudut pandang islamisasi.


“Di manakah titik permulaan Bangsa Melayu? Bermulanya ketemadunan Melayu bukan setelah kemerdekaan itu dicapai tetapi bermula apabila Islam datang ke Tanah Melayu. Mengkesampingkan Bahasa Melayu bermakna mengkesampingkan Islam. Meruntuhkan institusi Melayu bermakna meruntuhkan institusi Islam”, berikut penegasan Wan Ahmad Fayhsal.


Pendapat ini dikemukakan kerana Bahasa Melayu adalah bahasa yang membawa beban rohani atau disebut sebagai ‘Spiritual law’. Pandangan barat dan pandangan Islam sangat berbeza dalam menterjemahkan beberapa kosa kata yang berhubungkait dengan soal ketauhidan dan kerohanian. Sebagai contoh, istilah Ilmu, Adil, Jihad, Nabi, Rasul, Negara Islam dan pelbagai istilah lain tidak dapat diterjemahkan ke Bahasa Inggeris dalam hakikat yang sebenar. Walaupun ia bukan istilah sains dan teknologi tetapi perlaksanaan PPSMI merupakan suatu proses secara sistematik untuk memusnahkan Bahasa Melayu secara berdikit-dikit.


Prof. Syed Muhammad Naquib (1972 dll) menekankan bahawa kedatangan Islam telah membentuk hakikat bahasa Melayu baharu, sebagaimana yang berlaku dalam tamadun bangsa lain yang menerima Islam, terutama dengan pengenalan akan “…peristilahan dasar yang membayangkan faham-faham dasar yang menayangkan pandangan alam serta kehidupan yang dialami…” (Al-Attas, 2001: 99).


Dengan perkataan lain, Islam telah memperkenalkan dan memasukkan sekian banyak kosa kata yang mewakili tasawur dan pandangan alam Islam dalam sistem kepercayaan dan dalam segala aspek kehidupan bermasyarakat. Seperti contoh istilah Allah pada zaman Jahiliyah dahulunya menggambarkan salah satu daripada tuhan-tuhan berhala orang Arab di Mekah tetapi setelah Islam muncul, istilah Allah menggambarkan Tuhan Yang Esa dan tiada sama dengan mana-mana yang lain. Perkara yang sama turut berlaku ke atas Bahasa Melayu. Kosa kata seperti ‘dosa’ dan ‘pahala’ merupakan warisan daripada budaya Hindu-Buddha tetapi telah diubahsuaikan maknanya mengikut acuan dan konsep yang wujud dalam agama Islam.


Sewajarnya GAP ditubuhkan sebagai platform gesaan kepada pemimpin, platform jentikan kepada mahasiswa dan platform kesedaran kepada masyarakat untuk mengembalikan bangsa Melayu sebagai bangsa yang ada bahasa. Berpegang kepada prinsip ‘small is beautiful’, usaha-usaha memperjuangkan bahasa melayu perlu dimulakan dengan kelompok-kelompok yang kecil. Tembok perjuangan GAP akan semakin kuat dengan kerjasama daripada platform mahasiswa seperti GAMIS, KARISMA, TERAS Pengupayaan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan NGO.


Jika mahasiswa persis dengan isu penindasan rakyat Palestin atau isu menang kalah pilihanraya kampus yang tidak jauh beza kesannya, kenapa mahasiswa Melayu tidak mahu bangkit mengagendakan PPSMI yang menghakis jatidiri bangsa sendiri.


Lorongilah minda kita yang semakin sempit dan terhimpit agar hegemoni bahasa tidak melarat menjadi hegemoni budaya. Jangan kita lupa kesan jangka panjang yang besar akibatnya. Kehilangan bahasa adalah kehilangan jatidiri, kehilangan jatidiri bermakna kehilangan tamadun. Kehilangan yang tidak mungkin dapat diganti.


PPSMI menyesakkan dada para pecinta bahasa. Guru-guru terbeban di kepala. Ibu bapa mengangkat bahu tak kata apa. Murid-murid semakin terpinga-pinga. Di manakah bahasa kita? Jangan biarkan ia terus di dalam Keranda 152.


FALSAFAH INTERAKSI MANUSIA

Nisa’ Gombak mengukir senyuman lagi. Malah, senyuman kali ini lebih manis dari yang biasa. Manis sekali...semua orang tersenyum mendengar ‘bantal itu berkata-kata’…



Nisa’ Pillow Talk ’08 berakhir ahad lepas. Program yang telah menyatukan hati-hati kami dengan kecintaan dan kerinduan persahabatan yang dalam. Ada yang duka kembali tersenyum suka, sedih kian menampak riak ceria, yang buntu belajar membuka minda dan yang sempit semakin lapang dada.



Program Nisa’ Gombak kali ini memberi ruang seluas-luasnya untuk masing-masing saling berinteraksi. Daripada interaksi, kita mengkoreksi diri. Belajar memahami dahulu dan kemudian cuba untuk difahami. Sesungguhnya, tiada manis dalam persahabatan perjuangan melainkan kenal diri dengan kenal erti ukhuwwah dan mahabbah.


Apa yang saya pelajari dari Nisa’ Pillow Talk?


Saya amat meminati kemahiran interaksi manusia. Rata-rata bahan pembacaan yang saya miliki juga ke arah itu. Kerana itu, saya cenderung kepada melihat, mengkaji, menganalisa dan mempelajari falsafah dan psikologi manusia itu sendiri. Saya cuba hubungkaitkan proses yang berlangsung sepanjang program ini dengan enam falsafah paradigma interaksi manusia.


Pertama: Falsafah Menang-Menang

Menang-Menang adalah rangka pemikiran dan perasaan yang sentiasa mencari faedah bersama dalam semua interaksi manusia. Menang-Menang bermakna persetujuan dan penyelesaian untuk kepentingan bersama dan kepuasan bersama. Falsafah ini memandang kehidupan sebagai bidang kerjasama, bukan bidang pertandingan. Ia berdasarkan paradigma bahawa ada manfaat untuk semua dan kejayaan seorang tidak diperoleh daripada kegagalan orang lain.


Kedua: Falsafah Menang-Kalah

Satu alternatif kepada Menang-Menang ialah Menang-Kalah. Kebanyakan orang telah diberi ajaran Menang-Kalah sejak lahir. Antara kuasa kuat yang paling utama dan penting dalam ajaran ini ialah keluarga. Apabila seorang anak dibandingkan dengan anak yang lain – apabila kesabaran, kesefahaman atau kasih sayang diberi atau ditarik balik berasaskan perbandingan antara satu sama lain.


Dalam persahabatan atas landasan dakwah pun begitu juga. Sebahagian kehidupan mereka ialah realiti saling bergantungan, bukan kebebasan individu. Kebanyakan hasil usaha bergantung kepada kerjasama antara kita dengan orang lain. Mentaliti Menang-Kalah tidak berfungsi dalam kerjasama.


Ketiga: Falsafah Kalah-Menang

Ada orang yang diprogramkan terbalik pula – Kalah-Menang


“Aku kalah, Kau menang”. “Teruskanlah, buatlah apa yang kau nak buat”. “Yang penting damai, bukan bergaduh”.


Orang begini biasanya ingin memujuk hati orang lain sahaja atau cepat hendak memuaskan hati orang lain. Mereka tiada permintaan, tiada jangkaan, tiada wawasan dalam perhubungan. Mereka kurang berani untuk melahirkan perasaan atau kepercayaan sendiri. Mereka mudah terancam dengan keegoan orang lain.


Masalah dengan orang Kalah-Menang ialah mereka banyak memendam perasaan. Perasaan yang tidak dilahirkan tidak akan lesap begitu sahaja; perasaan ini terbenam dan mungkin dilahirkan secara tidak sihat. Penyakit psikosomatik, terutama sekali penyakit sistem penafasan, saraf dan peredaran seringkali merupakan kesan perasaan sakit hati, kecewa dan hampa yang terkumpul disebabkan oleh pemendaman mentaliti Kalah-Menang. Kemarahan yang berlebihan, reaksi keterlaluan terhadap provokasi kecil dan sifat sinis juga merupakan penjelmaan emosi terpendam.


Orang yang sentiasa memendam perasaan mereka dan tidak melahirkannya ke arah yang lebih bermakna akan mendapati mutu penghargaan kendiri terjejas dan akhirnya mutu perhubungan mereka dengan orang lain juga merosot.


Keempat: Falsafah Kalah-Kalah

Apabila dua orang Menang-Kalah ada bersama iaitu apabila dua individu yang tegas, degil, egois berinteraksi, hasilnya ialah Kalah-Kalah. Kedua-duanya akan saling membalas. Ada sesetengah orang yang terlalu berpusat kepada musuh sehingga tidak mempedulikan segalanya kecuali keinginan mereka untuk mengalahkan orang itu.


Kalah-Kalah juga merupakan falsafah orang yang bersifat terlalu bebas dan sentiasa memikirkan orang lain patut sepertinya. “Jika tiada orang yang menang, kalah pun jadilah”.


Kelima: Falsafah Menang

Suatu alternatif yang biasa ialah berfikir untuk Menang. Orang yang memiliki mentaliti Menang tidak semestinya mahu orang lain mengalah. Apa yang paling penting ialah mereka mesti dapat apa yang mereka mahu.


Menang biasa digunakan dalam perundingan harian. Mereka berfikir dari segi mencapai tujuan sendiri dan membiarkan orang lain mencapai tujuan masing-masing.


Keenam: Falsafah Menang-Menang atau Tak Main

Jika kedua-dua individu itu tidak mencapai penyelesaian sinergi iaitu penyelesaian yang memuaskan kedua-dua pihak, maka pemilihan terhadap falsafah ini lebih sesuai. – Tak Main


Tak main pada asasnya bermakna jika kita tidak dapat mencapai penyelesaian yang memanfaatkan kita, kita patut bersetuju untuk tidak bersetuju – Tak Main. Apabila kita berada dalam situasi Tak Main dalam pilihan minda kita, kita akan bebas daripada memanipulasi orang lain, menonjolkan agenda kita sendiri dan memaksa orang lain menerima kehendak kita. Kita dapat bertindak secara terbuka.


Dengan adanya Tak Main sebagai pilihan, kita dapat berkata dengan jujur.


“Saya hanya mahukan Menang-Menang. Saya mahu menang dan saya mahu anda menang. Saya tak mahu mencapai tujuan saya dengan menghampakan anda. Anda juga tidak akan berasa selesa jika anda yang berjaya dan saya kalah. Jadi, kita patut mencuba mencapai Menang-Menang dengan sedaya upaya. Kalau tiada penyelesaian juga, lebih baik kita tidak membuat sebarang keputusan. Lebih baik kita tidak bersekutu daripada kita membuat keputusan yang tidak sesuai untuk kita berdua. Mungkin lain kali, kita akan cuba bekerjasama lagi”.


Pilihan Mana yang Paling Baik?.

Antara enam falsafah di atas – Menang-Menang, Menang-Kalah, Kalah-Menang, Kalah-Kalah, Menang dan Tak Main, manakah yang paling berkesan?


Jawapannya ialah bergantung kepada keadaan.


Namun, walau apa jua keadaan, setiap orang tentu tidak dapat mengelak daripada realiti saling bergantungan. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain khususnya dalam merencana gerak kerja dakwah yang memerlukan kerjasama. Menang-Menang ialah falsafah yang paling sesuai. Bidang dakwah adalah merupakan bidang kerjasama.


Anda tentu sudah banyak kali menonton kartun wonderpets bukan? Cuba hayati lagunya.

Wonderpets, Wonderpets,

Kami Datang.

Membantu orang dalam kesusahan.

Kami tak besar, dan kami tak kuat

Dengan kerjasama semua jadi mudah.

Wonderpets!.


Kemungkinan kartun ini menjadi ikon kepada Nisa’ Gombak. Sebab itulah sepanjang program kami sering mengajuk kata Wonderpets yang sering disebut dalam beberapa slot kartun ini.

“Yang Penting……”(kata Afifah)

“Kerjasama…….”(sahut Nisa’ Gombak beramai-ramai)


Jom Nisa’ Gombak. Kita jadi Wonderpets!.


Friday, December 19, 2008

SELAMAT HARI LAHIR


Jiwa manusia pada hakikatnya penuh dengan cinta.
Ia harus memiliki muara yang menjadi labuhan cintanya.
Aku tidak melihat seorang pun yang lebih mulia bagi emosi cintaku
selain seorang sahabat yang rohnya bersatu dengan rohku,
sehingga dengan sepenuh hati kuberikan cintaku padanya
dan ku utamakan dia untuk menerima persahabatanku ini.

-Mutiara Hikmah Hasan Al-Banna-


SEMOGA BERBAHAGIA ARTISKU

Semalam, Norman Hakim baru melafazkan cerai ke atas Abby Abadi. Esok, Mawi akan melafazkan akad nikah untuk mengahwini Ekin. Semoga Abby akan tabah meneruskan liku-liku hidup yang berbaki. Manakala Ekin akan kekal bahagia bersama Mawi dalam menongkah cabaran dunia hiburan. Harapan saya, agar pasangan ini boleh menjadi ikon di kalangan artis bagi menunjuki jalan-jalan kebahagiaan rumah tangga.


Saya bukanlah wartawan hiburan untuk mengulas tentang isu semasa dan gossip di kalangan artis. Namun, saya juga punyai hati untuk berasa ihsan dan belas kasihan terutama terhadap kaum sejenis saya. Mereka adalah kaum wanita, malah mereka juga Muslimah, Islam. Walau apa jua keadaan sama ada kelebihan atau kelemahan, mereka tergolong di kalangan sasaran dakwah kita.


Kebiasaan orang agama tidak menyenangi artis. Barangkali kerana dunia artis itu penuh kejahilan dan kemaksiatan melata. Namun jangan kita tegahi fitrah manusia sentiasa ingin beramal. Ada di kalangan artis ingin menunaikan umrah dan haji saban tahun. Mereka juga ingin bertudung, melahirkan anak-anak yang huffaz Al-Quran, memiliki anak-anak berpendidikan akademik dan agama yang baik, juga cenderung melakukan sumbangan amal. Dalam hal ini, salah satu kejahilan mereka iaitu gagal memahami matlamat tidak menghalalkan cara.


Apakah usaha di kalangan orang agama untuk membawa artis kita mengenal jalan hidup?


Memadaikah akta yang keras dan fatwa untuk mengawal penglibatan mereka walhal ‘akar umbi’ Islam itu tidak mereka fahami secara jelas. Tidak keterlaluan jika dikatakan, golongan artis telah dikesampingkan daripada menjadi agenda dakwah kita secara total.


Satu daya fikir yang perlu kita perluaskan sebesar-besarnya. Siapakah golongan yang akan membawa halatuju karya perfileman bercorak Islam suatu masa nanti? Siapakah yang akan menjadi watak-watak sinetron dakwah di Malaysia? Siapakah yang perlu disandarkan harapan sebagai penulis novel-novel Islamik? Di manakah posisi yang sesuai bagi mereka yang berbakat dalam dunia pengacaraan dan penyiaran dakwah?


Bersedialah untuk melahirkan karyawan dan artis yang pro-dakwah. Kerana Islam itu membenarkan hiburan dan hiburan tidak dapat dijauhkan daripada jiwa manusia. Alternatifnya? Cukup sekadar artis nasyid sahaja? Penerbit, pengarah filem, pelakon, penulis skrip, jurutera bunyi, juru mekap, juruteknik, pengacara.... Oh, lebih dari itu…



Thursday, December 18, 2008

KITA 'KITAB TERBUKA'


Rasulullah dan Pengemis Yahudi yang Buta

Kisah antara Rasulullah dan pengemis Yahudi yang buta tidak asing lagi. Meskipun demikian, kisah ini perlu disampaikan berkali-kali kerana sarat dengan hikmah yang perlu diteladani.


Di zaman Rasulullah, hidup seorang pengemis buta, yang buta tidak hanya matanya, malah telinga bahkan mata hatinya. Buta daripada kebenaran, tidak mahu menerima nasihat pada kebaikan, malah menganggap keburukan itu adalah suatu kebenaran.


Pengemis buta ini mencari nafkah dengan mengemis di sudut pasar. Setiap hari dia selalu mencela Rasulullah, "Muhammad itu munafik, Muhammad itu tukang sihir, Muhammad itu penyebar fitnah, Muhammad itu penghancur agama kita (nasrani)", kurang lebih begitu ucap pengemis kepada setiap orang yang berbelas kasih kepadanya.


Suatu kesempatan, Rasulullah melintas di depan pengemis buta itu, memberikan makanan dan wang. Pengemis itu tidak tahu orang yang berurusan memberinya makan dan wang itu adalah Rasulullah. Di hadapan Rasulullah, dia terus menyuarakan hal yang sama seperti sebelumnya.


Tidak sekalipun Rasulullah marah mendengar cacian si pengemis. Justeru Baginda tersenyum dan terus memberinya makan dengan memamah makanan itu terlebih dulu agar si pengemis tidak lagi payah untuk menguyah.


Setiap hari Rasulullah memberikan sedekah berupa makanan dan wang kepada pengemis itu. Setiap kali itu pula, si pengemis mengulangi cacian yang sama. Rasulullah tersenyum dan terus memamah makanan dan kemudian disuapkannya kepada pengemis itu.


Menjelang wafat hingga wafatnya Rasulullah tidak ada orang yang memberikan wang dan makanan yang sudah dimamah. Pengemis buta itu bertanya kepada setiap orang yang menghampirinya, “Tahukah kamu, siapa dan ke mana orang yang selalu memberiku sedekah dan makanan?” Tidak seorang pun yang tahu.


Sahabat Abu Bakar RA, sahabat yang terkenal paling dekat dengan Rasulullah bertanya kepada Fatimah puteri Rasulullah; “Wahai puteri Rasulullah, sunnah rasul yang mana belum aku laksanakan?”. Fatimah menjawab; memberi sedekah kepada pengemis buta.


Mendengar jawapan Fatimah, Abu Bakar langsung mendatangi pengemis itu, memberikan wang dan makanan. Betapa tercengangnya Abu Bakar, "Kamu bukan orang yang selalu memberi aku makan, sebab dia memamah makanannya dulu sebelum diberikannya kepadaku, kemana dia?", tanya pengemis itu.


“Ya.. benar. Aku bukanlah orang yang selalu memberimu makan, dia sudah wafat”, jawab Abu Bakar.


“Wafat…siapa dia?”, tanya pengemis itu. Beliau adalah Rasulullah SAW jawab Abu Bakar.


Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar, dia pun menangis dan kemudian berkata, "Benarkah demikian?. Selama ini aku menghinanya, memfitnahnya, dia tidak pernah memarahiku sedikitpun, dia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, dia begitu mulia”. Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat di hadapan Abu Bakar RA.


Saya dan Cina Tua yang Kurus

Pagi ini, saya berjalan kaki dari stesen Titiwangsa ke pejabat. Gerakan kaki saya laju sedikit hari ini. Ada tuntutan ginjal yang perlu saya segera penuhi. Maksud saya, tidak tahan ingin membuang air kecil. Jangan gelak, itu tuntutan fitrah. Kemungkinan hari ini juga, saya bersama editor ada sesi wawancara dengan Ustaz Hasrizal Saifulislam. Agak terlambat ke pejabat, saya melajukan langkah.


Allahu Akbar!. Terpanar. Seorang Cina Tua jatuh tersungkur tidak jauh di hadapan saya. Tidak berpadan barang berat yang dibawanya dengan keadaan fizikalnya yang kurus dan semakin uzur. Selesai menuruni ruang pejalan kaki, dia melintas jalan untuk ke seberang bersama barang berat yang dibawa, kaki tersadung lalu tersungkur. Alhamdulillah, mujur tiada kereta yang melintas. Saya kasihan.


Ada seorang wanita yang melihat dan dia terus melihat. Buntu dan dia pergi. Ada seorang lelaki bermotor, memberhentikan motornya, melihat juga. Buntu dan dia pergi. Semua melihat, ramai yang melihat tetapi tetap dengan respon yang sama. Masing-masing buntu dan pergi.


Cina tua itu tidak buta seperti pengemis Yahudi yang buta. Mulutnya tidak perlu disuakan makanan yang dimamah. Dia juga tidak mencaci dan mencerca sesiapa. Dia juga tidak mendatangkan kemarahan menyinga kepada yang lalu lalang di situ. Maka, siapakah yang buta dalam hal ini?. Mereka yang melihat tadi itulah yang ‘buta’. Buta mata hati.


Saya mendekatinya. “Auntie ok ke? Luka?”, tanya saya sambil melihat seluarnya yang koyak pada bahagian lutut.


“Takpe, ok. Sikit saja”. Jawabnya dengan wajah yang seakan melawan sakit.


“Auntie nak ke mana?. Boleh saya bawakan barang. Berat ni?”, saya mempelawa. Cina tua itu menolak pelawaan saya untuk membantu. Saya menawar lagi, tetap ditolaknya.


Oh, tidaklah jauh sangat jarak dari situ ke tempat yang dia nak pergi. Saya mencongak-congak setelah cina tua itu menunjuki tempat yang ingin ditujunya.


Cina tua itu meneruskan langkah dengan baki upaya yang ada. Saya jadi serba salah. Terkilan tidak dapat membantu sehingga selesai. Semoga saya tidak tergolong di kalangan mereka yang ‘buta’.


Alangkah sukarnya untuk meneladanimu Ya, Rasulullah.


Betapa Rasulullah begitu mulia. Kita bisa meneladani jiwa kebesaran Rasulullah. Hanya Syafaatul ‘Udzma (pertolongan yang agung yang hanya kita harapkan pada hari Qiamat) sehingga getar kerinduan akan hidup dan kehidupan yang indah terasa dalam relung-relung keluarga dan masyarakat kita. Mungkin memang terasa berat bagi kita untuk menjalankannya, tetapi tidak ada kata mustahil, di mana ada keinginan disitu ada jalan.


“Sedikit sekali orang yang membaca kitab di perpustakaan, tetapi seorang muslim sejati adalah ‘kitab terbuka’, di mana semua orang membacanya. Ke mana sahaja dia pergi, dia adalah ‘dakwah yang bergerak’”.


Wednesday, December 17, 2008

NGOMEL TIRAI 2008

Tahun 2008 bakal melabuh tirai. Tirai baru berganti setiap tahun, tetapi kita tetap kusut dan serabut.


Pemimpin negara kusut dan serabut dengan permasalahan politik tidak sudah-sudah. Sana cakap sini, sini cakap sana. Jari telunjuk mereka yang sepatutnya dipotong supaya tiada lagi eset untuk saling salah menyalah. Mereka tetap melayu dan Islam. Orang Islam menyalahkan antara satu sama lain, bangsa melayu bergaduh sesama sendiri. Kasihan pemimpin kita. Mungkin mereka perlu belajar dari kartun Wonderpets.


Rakyat turut bergeleng kepala melihat pemerintah. Mereka berkuasa dengan nafsu, bukan dengan jiwa. Masakan rakyat tidak naik berang. Minyak turun lagi sepuluh sen, namun itu bukan penawarnya yang dapat mengubati hati rakyat. Hati rakyat sudah terkena bisa dari patukan pemimpin, patukan seekor ‘ular di dalam semak’!. Ah, pemimpinku ular? Tidak!! Tapi yang pastinya, mereka ibarat ‘anjing menyalak bukit’.


Graduan menyatakan gundah, “Sampai bila kami harus menjadi penganggur?” Adakah salah kerajaan yang gagal memberi peluang pekerjaan? Atau graduan kita yang semakin malas. Gaji nak tinggi, kerja berkira. Persaingan kerjaya semakin tinggi, mereka juga hendak jawatan yang tinggi. Sehingga mereka lupa, hidup ini ibarat jongkang-jongket. Ada ketikanya di atas, ada ketikanya di bawah. Apa salahnya mencuba walau menjadi kuli biasa-biasa.


Kasihan pelajar kita. Pengajaran & Pembelajaran Sains & Math dalam BI (PPSMI) ternyata gagal. Tahun 2008 adalah tahun kelima pelaksanaan PPSMI, tahun penentu sama ada ia harus diteruskan atau tidak. Keputusan tidak akan berpihak kepada rakyat, jika kementerian membuat rundingan meja bulat, tetapi tidak bulat. PPSMI menyesakkan dada para pecinta bahasa. Guru-guru terbeban di kepala. Ibu bapa mengangkat bahu tak kata apa. Murid-murid semakin terpinga-pinga. Di manakah bahasa kita? Dalam keranda!.


Saya kasihan juga dengan ibu saya. Semuanya serba tidak cukup. Ibu membeli barang rumah, perlu berpada-pada. Ayah pula berhempas pulas bekerja, adik mengeluh sewa rumah mahal sekali. Saya pula bersungut tambang bas naik lagi. Nak beli kereta, minyak tinggi. Nak beli itu dan ini, menggaru dahi. Oh, ekonomi….


Ekonomi runtuh. Tanah runtuh. Manusia juga mengalami keruntuhan. Runtuh sosial dan budaya. Runtuh agama. Segalanya yang di atas asalnya, sudah jatuh ke bawah. Segalanya yang tinggi asalnya, mula mengakui kekerdilan diri. Manusia yang masih ego.Tanah yang tinggi sudah menyembah bumi, tetapi manusia masih ingkar untuk menyembah Allah dengan sebenar-benarnya. Malulah dengan tanah yang runtuh…ia patuh.



Monday, December 15, 2008

CGPA BUKAN PENENTU KEJAYAAN

”Ish, takutnya nak tunggu result minggu depan”, kata adik saya menyatakan kerisauannya terhadap keputusan final exam semester lepas. Sekarang memang masanya, kebanyakan student U menanti-nanti keputusan exam dengan harapan yang menggunung tinggi.


Kegundahan menanti keputusan peperiksaan sememangnya dirasai oleh semua mahasiswa. Kadang-kadang yang lebih cemerlang akademiknya lebih rungsing daripada yang kurang cemerlang. Yang bijak rungsing takut-takut keputusan tidak memenuhi harapan, yang kurang cerdik ’cool’ sahaja, mungkin beranggapan cukuplah sekadar cukup-cukup makan. Dulunya semasa bergelar mahasiswa, saya juga rungsing cuma belajar berlagak tenang.


Mentaliti kebanyakan mahasiswa telah dikemuncupkan dengan ’mind setting’ yang pesimis tentang kecemerlangan. Bagi mereka kecemerlangan itu ialah duduk terperap di dalam bilik, belajar dan belajar, jawab peperiksaan, dapat CGPA sekurang-kurangnya 3.5 dan tamat pengajian dengan Ijazah kelas pertama. Mereka adalah golongan yang hanya mengangkat topi kepada mahasiswa yang berjaya menggapai kejayaan seperti itu. Tabiat pemikiran mereka bukan berada pada litar ’single track mind’- menjangkaui disiplin ilmu yang lain.


Sebaliknya, bagi pelajar yang tidak memenuhi sasaran kecemerlangan berdasarkan CGPA yang tinggi tetapi memiliki kemahiran dan kecenderungan tertentu telah dikesampingkan. Golongan ini bukannya kurang cerdik cuma kurang CGPA. Ketika ini timbul pandangan serong, ”itulah, aktif sangat berpersatuan sehingga akademik terabai”. Malah, aktivis persatuan ini dikatakan telah melakukan ’jenayah akademik’di mana penglibatan dalam organisasi sudah menjadi fitnah kerana akademik yang merudum.


Bukan mereka tidak berusaha tetapi sudah usaha, cuma keterbatasan dan kemampuan tertentu untuk meletakkan akademik sebagai subjek utama dalam kehidupan kemahasiswaan. Saya tabik golongan sebegini. Agenda hidupnya bukan setakat belajar tetapi cuba mencapai disiplin ilmu yang lain. Dengan pengalaman dan gerak kerja organisasi, golongan ini lahir dengan kecerdasan yang sangat seimbang. Baik dari segi Kecerdasan Intelektual (Intelectual Quotient - IQ), Kecerdasan Emosi (Emotional Quotient - EQ) dan Kecerdasan Spiritual (Spiritual Quotient - SQ) . Lebih-lebih lagi mereka yang menyatukan diri dengan sebuah organisasi Islam yang sudah tentu menerapkan elemen-elemen ‘multidisciplinary’ dalam setiap kegiatannya.


Adakah anda ingin menjadi golongan dengan kerjaya bergaji besar, setelah penat bekerja lalu tidur, lapar cari makan, balik kampung bila rindu mak ayah, kahwin beranak pinak, sakit masuk hospital dan bila tua menunggu ajal? Atau menjadi golongan yang seimbang IQ, EQ dan SQ dan dengan keseimbangan itu, anda menyumbang sesuatu buat pembangunan masyarakat sekitar?


Mahasiswa atau penuntut yang pintar di sekolah (yang mempunyai keputusan peperiksaan dan CGPA yang bagus) belum tentu menjadi orang yang berjaya di dalam masyarakat. Dalam erti kata yang lain, kejayaan dalam hidup tidak hanya ditentukan oleh keputusan peperiksaan atau CGPA seseorang. CGPA hanya satu format penilaian kepada pelajar terhadap markah peperiksaan dan kerja kursus yang tidak mengambil kira sama ada pelajar itu betul-betul belajar, terpaksa belajar atau belajar untuk ambil peperiksaan semata-mata. Maka tidak mustahil, ada di kalangan mereka yang membawa ‘toyol’ ke medan peperiksaan, menyalin assingment teman sekuliah, belajar bersama kekasih di kafeteria dan meninggalkan solat Subuh kerana tidak cukup tidur, turut mendapat CGPA yang tinggi. Adakah mereka di kalangan yang berjaya dalam hidup?


Ketulusan, integriti, tanpa maksud atau tujuan tertentu, rendah hati, rasa hidup bertuhan dan kecenderungan dalam kebajikan sosial adalah beberapa perkara penting dalam kehidupan spiritual yang memberi kepuasan menyeluruh apabila seseorang itu menemui kejayaan, malah kebahagiaan.


Namun jangan salah anggap. Saya tidak bermaksud anda tidak perlu berusaha untuk mendapat CGPA yang baik. Cuma jika anda berjaya mengejar banyak tuntutan dalam hidup terutama aktiviti spiritual, anda akan temui suatu cahaya yang menerangi lorong-lorong hidup anda yang semakin gelap.


Menurut Daniel Goleman iaitu seorang ahli psikologi, Kecerdasan Intelektual (IQ) hanya menyumbang lebih kurang 5 hingga 10 peratus kejayaan hidup. Selebihnya adalah gabungan beberapa faktor lain, yang salah satunya adalah kecerdasan emosi. Menurut Paul Stoltz pula, IQ adalah sebahagian kecil daripada pohon kejayaan dalam segala hal. Stoltz yang menulis buku terkenal, Adversity Quotient (Gramedia, 2000), mengatakan, usaha, bakat dan kemahuan, sifat, kesihatan kecerdasan, faktor genetik, pendidikan, dan keyakinan adalah kunci kejayaan manusia.


Kecerdasan boleh bersifat kontekstual. Masalah yang dihadapi ataupun keadaan, menjadi faktor penting ketika kecerdasan ditentukan atau dikenal pasti. Sebagai contoh, ketika seorang mengalami kerosakan kereta, siapakah yang lebih diperlukan? Seorang profesor ekonomi berkelulusan PhD luar negara atau seorang mekanik lulusan politeknik? Saya yakin, semuanya akan menjawab mekanik, walaupun dia hanya berkelulusan sijil politeknik. Maka, siapakah yang lebih bijak antara keduanya dalam hal ini? Kenyataan ini sekaligus menunjukkan kecerdasan bersifat konstektual.


Sebahagian yang lain lebih mengagumi Thomas Edison daripada peninju Muhammad Ali. Sebahagian yang lain pula mengagumi Albert Einstein daripada Mike Tyson. Ini tidak salah. Namun ia membuktikan kurangnya penghargaan kepada kemampuan lain yang dimiliki oleh setiap orang yang berlainan. Jika dinilai dari sudut IQnya, mungkin Thomas Edison dan Albert Einstein lebih pintar, tetapi dari sudut kecerdasan kinestatik Muhammad Ali dan Mike Tyson lebih hebat.


Anda juga punyai kelebihan dan kecenderungan tertentu. Cari, gali dan bangunkan keistimewaan yang anda miliki walaupun setakat mahir menggubah bunga atau melukis kartun. Tidak mustahil bunga yang anda gubah memikat hati manusia lantas mengagungkan kebesaran Allah dan kartun yang anda lakar berguna sebagai medium dakwah menyedarkan manusia.


Kekuatan terbesar bukan terletak pada bahagian luar tubuh badan manusia, tetapi ada pada diri manusia itu sendiri. Masalahnya, manusia kurang mengenal dirinya. Betul apa yang dikatakan oleh Socrates apabila dia mengatakan masalah utama manusia adalah pengenalan diri. ”Gnothi Teauton,” kata Scorates yang bermaksud ”Kenalilah diri anda sendiri!”.


Alangkah ruginya mereka yang merendah diri kerana tidak berpelajaran tinggi, rugi lagi yang meninggi diri dengan kerjaya dan jawatan tetapi tidak memahami tujuan sebenar kehidupan. Anda beruntung jika berada dalam kelompok ketiga ini. Iaitu mengenalpasti kemahiran dan kecenderungan diri lalu bangunkan ia atas nama Islam. Kenal diri, anda akan temui sesuatu yang membanggakan!


Anda pandai melukis? Apa kata anda bangunkan kemahiran itu atas nama Islam. Lihat seperti lukisan di atas.


Thursday, December 11, 2008

JANGAN SEMPUT SUDAH...


Keadaan sekeliling banyak mempengaruhi kecepatan bertindak untuk kita melakukan perubahan. Redwood, Goldwaser dan Street (2001) membahagikan tindakan dalam empat kategori yang menggambarkan dunia ini umpama suatu pertandingan sukan olahraga. Dalam olahraga lari, terdapat empat jenis lumba lari iaitu pecut, lari berpagar, dekatlon dan marathon. Mari kita kenal pasti, kita seorang olahraga sepatutnya diposisi mana.


PECUT. Kita perlu mengambil tindakan ini apabila ia mempunyai jangka waktu yang pendek, persaingan yang tinggi dan tidak banyak rintangan. Kita mesti cepat mengenal pasti masalah dan cepat memperbaikinya. Dalam hal ini, kita perlu kuat dan berpengalaman.


LARI BERPAGAR. Kita tidak dapat lari pecut apabila ada banyak halangan di hadapan kita. Walaupun kita tetap mesti bekerja cepat, tetapi kita perlu berhati-hati dan melompat dengan cermat. Dalam keadaan seperti ini, cepat bukan lagi menjadi tujuan utama. Tujuan utama adalah merentasi semua halangan yang ada di hadapan.


DEKATLON. Dalam suatu upacara dekatlon, kita mempunyai banyak waktu tetapi kita mesti mempunyai stamina yang teguh. Ini kerana pelbagai rintangan yang menunggu di hadapan kita dan kita mesti melalui semua rintangan itu di sepanjang perjalanan sebelum kerjanya selesai. Keadaan sentiasa berubah-ubah dan kita mesti bijak menyesuaikan diri. Sewaktu kita berlari, kita mesti memikirkan apa yang mesti kita lakukan seterusnya. Kita tidak dapat menyimpulkan hasil akhirnya daripada kemenangan-kemenangan jangka pendek. Namun, kemenangan-kemenangan jangka pendek pasti memudahkan kemenangan jangka panjang.


MARATON. Hanya yang kurang pengalaman memiliki medan maraton. Kita mempunyai waktu yang panjang bagi membina diri dan organisasi kita. Kita tidak perlu lari pecut tetapi lari dengan konsisten dan stabil bagi mendapatkan keseimbangan. Kesalahan besar yang sering kita lakukan ialah lari pecut jauh sebelum garis penamat. Oleh sebab itu, kita kehilangan tenaga dan semangat. Kita bermula dengan begitu baik, tetapi kita berhenti di pertengahan jalan. Jadi, kita mestilah memilih waktu yang tepat bagi berlari secara pecut.


Artikel ini (dengan sedikit edit) dirujuk dari buku Change berubahlah!, karya asal Rhenald Kasali, terbitan PT Gramedia Pustaka Utama, Jakarta 2005. Edisi Malaysia oleh PTS Millennia Sdn. Bhd. 2008 Terbitan Pertama 2008.


Wednesday, December 10, 2008

ARTIS BERTUDUNG? OH, BAHAGIANYA






Artikel ini merupakan ‘bicara editor: Wanita, kita boleh!, Majalah Muslimah Bil 203.


MUSLIMAH mula meletakkan artis sebagai penghias kulit depan pada tahun 1991 iaitu ketika penyanyi terkenal ketika itu, Rahimah Rahim berhijrah dengan tampil bertudung. Ketika itu, jualan MUSLIMAH umpama goreng pisang panas. Kemudian pada 1994 pula, sekali lagi MUSLIMAH menjadi tumpuan apabila seniwati Sarimah (kini Datuk) pula dijadikan penghias kulit depan, juga selepas beliau mengambil keputusan untuk bertudung. Dan diikuti pula pada tahun 2000, Fauziah Dato’ Ahmad Daud (Ogy) juga mengambil langkah yang sama selepas kembali mengerjakan umrah. MUSLIMAH mencatat jualan yang membanggakan menerusi ketiga-tiga keluaran ini.


Selain selebriti, kami turut menampilkan pengacara televisyen yang mengambil langkah serupa menghias muka depan MUSLIMAH. Nyata pembaca ingin mengetahui kisah dan iktibar penghijrahan mereka. Dan sebagai public figure, mereka mendapat perhatian pembaca.


Bermula Januari 2008 pula, kami mencuba pendekatan baru dengan meletakkan artis biasa (yang belum bertudung) tetapi tampil dengan imej bertudung. Nyata sambutan juga amat menggalakkan sama ada dari pembaca mahupun mereka (artis) sendiri. Semoga dengan langkah ini mereka terbuka untuk berhijrah seperti rakan-rakan artis yang sebelumnya. Malah hari ini, semakin ramai artis-artis wanita serta selebriti televisyen sudah mula bertudung dan ternyata khidmat mereka tetap cemerlang, tiada cacat celanya.


Mendekati mereka, ternyata mereka juga seperti kita. Kehidupan kanak-kanak mereka sama seperti kita dulu, pulang dari sekolah rendah, terus pula ke sekolah agama. Asasnya, mereka mendapat pendidikan agama sejak kecil di samping galakan daripada ibu bapa. Meningkat remaja mereka mula mengenali dunia hiburan, lantaran minat yang mendalam mereka menceburi bidang ini. “Dunia ini terlalu banyak cabarannya”. Ramai di kalangan artis veteran telah berubah, mengeluarkan pendapat sedimikian.


Tertarik dengan pandangan aktivis teater dan pengkritik filem tanahair, Faisal Tehrani yang berpendapat tidak semua artis jahil atau teruk akhlaknya. Mereka juga ingin beramal, jika tidak mereka tidak menunaikan umrah saban tahun, bersedakah dan meraikan anak yatim. Saya bersetuju. Rata-rata kita meraikan mereka setelah mereka berhijrah sedangkan semasa mereka perlukan bimbingan, kita mengutuk mereka. Apakah peranan dan langkah kita untuk membimbing mereka? Mereka sama seperti kita, bezanya mereka di alam glamour. Kami mendekati mereka menerusi dunia penulisan, kepada anda semua, mulakan langkah mengikut cabang kemahiran, kemampuan dan kuasa yang ada.


Agak-agak siapa artis yang tampil bertudung selepas ini? Nak tahu, belilah MUSLIMAH!


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO