Friday, October 31, 2008

ELAKKAN PENGURUSAN REAKSI


Pada tahun 2004, saya merupakan mahasiswa pengajian Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam. Pada suatu hari, ketika sibuk dengan gerak kerja organisasi kampus, seorang sahabat menegur saya. “Kamu seorang yang terlalu tegas dan sentiasa serius. Kamu kena berubah sikap jika mahukan orang lain menyenangi kamu.”


Pada hari yang lain pula, seorang sahabat yang lain menegur saya, “Kenapa kamu nampak kelakar sangat, kurang serius, apa yang dah jadi dengan kamu?, Serius sikit boleh tak?”


Pada tahun 2007, saya menjadi pimpinan salah sebuah organisasi Islam di kampus yang sama. Ketika itu, saya sudah menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam. Seorang sahabat menyapa saya, “Kamu kelihatan tegas dan serius, kadang-kadang kelakar juga, saya ingin menjadi pemimpin seperti kamu.”


Dalam tahun yang sama saya pernah mengendalikan slot pengisian program kepimpinan. Pada hari pertama program tersebut, beberapa AJK yang lain menegur saya, “Program ini sangat tegas, kami berasa seperti berada dalam suasana tarbiyyah ala ketenteraan”. Pada hari ketiga, beberapa AJK yang lain pula memberitahu saya, “Program ini sangat longgar. Kita mesti mengubahnya agar peserta dapat dilatih dengan suasana tarbiyyah ala ketenteraan.”


Hal ini sangat berbahaya jika kita bertindak mengikut pandangan orang lain dengan serta merta dan mengubah perencanaan kita untuk mengambil hati mereka. Manusia mempunyai latar belakang dan pandangan yang berbeza. Oleh itu, kita perlu menganalisa, menyelidik, memastikan dan berbincang segala pandangan sebelum menukar perencanaan kita. Pengurusan secara reaksi akan membawa kita keluar dari jalan yang sepatutnya kita lalui.


Kita mesti mendengar pandangan setiap orang, tetapi bertindak mengikut perancangan yang difikirkan secara terperinci. Walaupun kita mewakili ahli-ahli kita, kita juga mempunyai tanggungjawab terhadap Allah S.W.T. untuk memimpin dengan bijaksana. Pergerakan hendaklah meletakkan gerakannya untuk memimpin orang ramai dan TIDAK dipimpin oleh mereka.

Thursday, October 30, 2008

RE-ENGINEERING ORGANISASI (2) : 6 MITOS PENGGUNAAN MASA


“Jika saya seorang yang efisyen, secara automatik saya akan menjadi seorang yang efektif”


Pandangan ini SALAH!.
Tidak semestinya kecekapan dapat melahirkan keberkesanan. Kecekapan atau efisyen ialah kemampuan melakukan banyak perkara dalam masa yang sedikit. Sedangkan keberkesanan atau efektif pula ialah kemampuan melakukan sesuatu sehingga mencapai matlamat yang ditetapkan. Mungkin anda boleh membuat tiga empat kerja dalam masa satu jam, tetapi adakah anda dapati kesemua kerja itu mencapai matlamat yang diinginkan?. Biarlah kita menjadi orang yang cekap melakukan kerja dan melakukannya sehingga mencapai matlamat yang ditentukan.


“Kalau hendak kerja itu dibuat dengan sempurna, buatlah sendiri!”


Ini juga SALAH. Kebiasaannya seorang yang mementingkan kesempurnaan mempunyai pandangan sebegini. Mereka inginkan semuanya sempurna pada pandangannya. Orang sebegini hanya menyibukkan diri mereka dengan kerja-kerja sampingan yang sepatutnya dibuat oleh orang lain. Akhirnya, dia mengabaikan tugasan utamanya. Apabila ini berlaku, pincanglah pengurusan organisasi dan ini turut menggugat pengurusan masa anda. Belajarlah mengagihkan tugas & mempercayai orang lain melakukan sesuatu tugasan. Bimbing mereka melakukan kerja itu. Jika mereka tidak dapat melakukan sebagaimana yang anda lakukan, sekurang-kurangnya mereka juga telah cuba yang terbaik!.


“Hanya ada satu cara sahaja melakukan sesuatu kerja”.


Tidak benar!. Orang sebegini selalunya tidak kreatif. Mereka hanya mengikut rutin & amalan sebelum ini. Apabila anda berada dalam situasi sebegini, berubahlah sekarang. Berundurlah seketika & berfikirlah sejenak, adakah cara lain yang lebih baik bagi melakukan semua ini? Apakah matlamat yang hendak dicapai? Adakah proses ini diperlukan? Adakah mesti orang yang sama melakukannya? Bagaimana cara yang lain? Gunakan fikiran anda secara kreatif bagi mempelbagaikan cara kerja anda.


“Hasil yang baik tidak akan diperoleh kecuali dengan kerja-kerja yang banyak”.

Salah. Pandangan ini berlaku apabila seseorang itu terlalu menumpukan kepada proses, bukan matlamat. Biasanya, cara berfikir mereka terkeluar daripada ‘landasan’ berfikir yang sepatutnya. Maka mereka pun mencipta pelbagai kerja & proses bagi mencapai matlamat yang sudah dilupakan. Sebenarnya, pencapaian matlamat bergantung pada kualiti perancangan & kerja, bukan jumlah kerja yang ditentukan.


“Saya tidak akan produktif sehinggalah saya sibuk sepanjang masa”.


Tidak benar!. Orang yang berjaya masih ada masa untuk berfikir, bersantai, berjumpa rakan, berziarah, berkumpul bersama keluarga dan banyak lagi. Anda hanya menjadi sibuk apabila anda tidak berfikir dan merancang kerja & masa anda. Anda hanya membiarkan diri anda ‘hanyut’ dibawa oleh gelombang kerja & rutin yang tidak mendatangkan hasil pun. Jika anda termasuk dalam golongan ini, anda dapati setiap masa anda sibuk & banyak kerja, ke sana ke mari serta tidak habis-habis dengan pelbagai tugasan. Duduk & rancanglah kehidupan anda setiap hari, supaya anda tidak lagi tergolong dalam kelompok ini.


“Jika terlalu berhati-hati menguruskan masa, kehidupan saya tidak mencabar & tidak menyeronokkan lagi”.


Ini adalah alasan dangkal bagi mereka yang malas merancang masa. Apabila anda menguruskan masa anda, semakin banyak keseronokan yang anda alami. Tidak bermakna dengan menguruskan masa, tiada cabaran dalam bekerja. Cabaran bekerja sentiasa ada. Keputusan genting pasti akan dibuat. Tindakan spontan juga diperlukan apabila perlu. Risiko ada pada bila2 masa. Namun perkara yang paling utama untuk anda lakukan adalah merancang masa anda terlebih dahulu.

Wednesday, October 29, 2008

RE-ENGINEERING ORGANISASI (1): FENOMENA TERPENCIL


“Kenapa saya tak rasa lagi kemanisan dalam berorganisasi?” satu persoalan timbul dalam kolam hati mahasiswa si pecinta Islam. Fenomena 'hilang kemanisan' hanya satu fenomena terpencil.


Sejak semalam saya berfikir tentang perasaan yang membelenggu hati pecinta Islam tersebut. Saya kagum dengan orang sebegini. Otak ligat berfikir jika berlaku sesuatu yang tidak kena, mengkaji masalah dan selesaikan masalah. Bukan menjadi aktivis organisasi yang menimbulkan masalah, tidak menyelesaikan masalah, dan meninggalkan masalah seiring dengan dirinya yang meninggalkan organisasi.


3 Jenis Pemain Organisasi


Pada pandangan saya, ketika berlaku fenomena ‘hilang kemanisan’ ini, kita akan temui 3 jenis pemain di gelanggang aktivis organisasi. Pemain pertama, meninggalkan organisasi dan membiarkan ia mati. Pemain kedua, mereka ‘mati’ bersama matinya organisasi itu. Pemain ketiga, mencipta perubahan sehingga organisasi itu hidup semula.


Maka pilihlah, anda ingin menjadi pemain di posisi mana dalam gelanggang. Pilihlah ingin menjadi pemain pertama, kedua atau ketiga. Anda boleh pilih, ingin menjadi raksasa yang merosakkan atau ultraman yang menyelamatkan. Yang penting, jangan menjadi seperti superman kerana superman memakai seluar dalam diluar (maksud saya, superman kurang professional dalam hal tertentu).


Salah Melihat Reformasi


Apabila fenomena ‘hilang kemanisan’ ini timbul, cuba kita kembali kepada persoalan pokok iaitu persoalan keimanan atau istilah yang lebih popular di kalangan aktivis islam disebut sebagai persoalan tarbiyyah. “Sikit-sikit tarbiyyah, sikit-sikit tarbiyyah…asyik-asyik tarbiyyah!” Saya biasa mendengar rungutan ini.


Sudah menjadi rutin organisasi, apabila fenomena ini timbul, maka setiap pimpinan organisasi mula membuat ‘round table discussion’. Duduk semeja bersama pimpinan lain membincangkan ‘apa yang tidak kena dengan organisasi kita’. Maka timbullah beberapa pandangan antaranya kepimpinan yang tidak kuat, sabotaj di tengah jalan, sistem komunikasi yang lemah, masyarakat yang tidak menyokong, tidak telus menegur, tiada komitmen daripada semua dan pelbagai lagi isu yang berlegar dibenak fikiran pimpinan sehingga berlaku fenomena ‘hilang kemanisan’ itu. Barangkali kita menyangka fenomena itu timbul kerana masalah dalaman organisasi seperti yang diutarakan tadi.


Walhal kita terlupa berfikir siapakah yang memberikan rasa kemanisan itu. Adakah kerja buat kita selama ini berada dan lingkungan keberkatan dari Allah, Tuhan yang memberikan rasa kemanisan itu. Tiada merasai kemanisan ertinya tiada merasai iman. Tiada merasai iman maka hilanglah keberkatan.


Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)


Apapun, kembali kepada tarbiyyah.


Kita sering menganggap reformasi atau perubahan sebagai menyusun semula organisasi iaitu mengubah bentuk organisasi. Sebenarnya, tujuan perubahan adalah mengubah manusia, bukan mengubah organisasi. Apabila manusia tidak berubah, organisasi tidak mungkin berubah. Kemahiran kita sudah ada, pengetahuan tentang ruang lingkup organisasi kita sudah ada, sistem pembangunan organisasi pun sudah ada. Maka, apa lagi yang kurang? Berfikirlah tentang sesuatu yang dinamakan ‘Sikap’!.


Konklusinya, fikirkanlah apakah perubahan yang boleh dibuat terhadap manusia dalam organisasi itu sebelum merubah organisasi.

Tuesday, October 28, 2008

BUKAN AKU CEMBURUKAN MAWI & IKIN

[link berita 1]
[link berita 2]
[link berita 3]


Bukan aku cemburukan Mawi dan Ikin
Isu perkahwinan mereka dijaja melata


Bukan aku cemburukan Mawi dan Ikin
Perkahwinan di sponsor RM 4 juta


Bukan aku cemburukan Mawi dan Ikin
Hantaran membuka mata merobek rasa


Bukan aku cemburukan Mawi dan Ikin
gelaran‘The wedding of the year’ konannya


Bukan aku cemburukan Mawi dan Ikin
Berita kahwin gegak gempita satu Malaysia


Oh Mawi,
Gadis di luar sana berteriak duka dan ceria
Artis si jantung hati kini berdua
Malah ada gadis yang berprasangka
‘seronoknya andai aku yg empunya’
Bisik mereka melayan rasa


Oh Ikin,
Kononnya kamu menjadi ikon si gadis
Keberuntungan memiliki teruna itu
Yang kaya raya jutawan segera
Hantaranmu dari segenap pelusuk dunia
Dari Jordan, Mesir, malah Syria


Oh Astro,
Tiada lain bahan hiburan yang kau pentaskan
Tiada lain medium dakwah yang kau persembahkan
Kepada ummah akhir zaman
Kau perosak mentaliti remaja belia
Makcik pakcik atok nenek terbuang masa
Menonton media yang kau jajakan
Atas tiket populariti insan


Dulu Yusri dan Erra menggegar Malaysia
Bercerai berai duka nestapa
Siti dan Datuk K menyusul pula
‘Wedding of the year’ katanya
Mawi dan Ikin pula membibit ceria
Ceria sang peminat menunggu masa
Ceria sang wartawan merencana berita
Ceria gossip kian bermaharajalela


Inilah dunia perkahwinan artisku
Bercinta bagai nak rak
Berkahwin berarak
Beranak bersorak
Bercerai jadi bahan borak-borak


Inilah dunia perkahwinan artisku
Sarat hedonisme dan sekularisme
Perkahwinan suatu kemegahan
Menjadi pementasan dan bahan hiburan
Pembaziran tak ketentuan
Al-Quran sekadar hantaran


Keranamu mawi…keranamu ikin…keranamu Astro
Kerja dakwahku kian bertambah
Sedarkan ibu, sedarkan ayah
Ingatkan jiran sebelah rumah
Jua masyarakatku yang hampir goyah
Bahawa perkahwinanmu bukanlah sunnah

Friday, October 24, 2008

HUMAN INTEREST. I'M NOT INTEREST?

Human Interest. Baru semalam saya mengenal istilah ini. Satu teknik penulisan selain teknik ‘feature writing’ yang baru saya kenali namanya. Sebelum ini menulis saja berdasarkan minat. Orang kata, bakat boleh dipupuk, minat paling utama. Masakan pisau yang tumpul boleh diasah, tetapi adakah saya mahu jadi pisau yang tumpul sedangkan pisau yang tajam lebih banyak menyumbang. Kita tinggalkan cerita pisau…


Saya bukan mahu bercerita tentang pisau atau apa itu teknik ‘human interest’. Saya mahu cerita tentang siapa itu human interest. Mereka adalah individu-individu yang indah, romantik, hebat, unik dan tersendiri dalam sketsa kehidupan saya.


Teringin benar saya untuk bercerita tentang ibu. Kenapa tidak bercerita tentang ayah dahulu? Kerana saya amat beringat dengan pesan Rasulullah bila ditanya sahabat siapakah orang yang paling utama ditaati selepasmu ya Rasulullah, jawab Rasulullah, ibumu..ibumu…ibumu…kemudian baru jawab Rasulullah, ayahmu.


Saya tidak malu bercerita tentang ibu saya. Ibu saya bukan doktor, bukan peguam, bukan peragawati malah bukan juga seorang menteri. Ibu saya seorang operator kilang dulunya. Walaupun bukan pramugari, namun ibu saya cukup indah dan sangat cantik. Apabila melihat ibu, saya mendapat pahala, apabila merenung mata ibu, seluruh kebahagiaan dirasa. Sangat indah dan cantik bukan? Lihat ibu sahaja sudah dapat pahala.


Dulu ibu sakit, saya hampir kehilangan ibu. Namun Allah masih sayangkan saya, sayangkan ibu, sayangkan ayah dan adik-adik. Allah masih beri saya rasa beribu sehingga kini. Setelah ibu sembuh daripada barah otak, ibu hanya duduk di rumah, menjadi pendidik dan pentarbiyyah anak-anak. Bukan anak-anaknya sahaja dididik dan diasuh, malah anak-anak yatim yang ditinggalkan oleh ayahnya selama-lamanya dan ditinggalkan ibunya buat sementara untuk pergi bekerja. Besarnya pahala ibu.


Oh, ibu saya juga romantik. Suatu kecil dahulu, ibu sanggup berjaga malam menemani saya merengek minta disusukan. Romantik bukan? Ibu merenung mata dan memeluk erat jasad saya sambil tersenyum ketika menyusukan saya. Semakin romantik ibu malam itu. Setelah saya kekenyangan, ibu menyelimuti saya, memasang kelambu rungsing jika saya diganggu nyamuk. Sekejap ibu bangun melihat saya. Sekejap lagi ibu bangun semula melihat nyamuk. Berkejap-kejap kali ibu bangun setiap malam. Saya seolah-olah mendengar bisikan ibu, ‘biar ibu tidak lena tidur anakku asalkan dirimu terasa selamat’. Romantik bukan? Dan sehingga kini usia saya 25 tahun, ibu masih memeluk saya jika saya tidur di sebelah ibu. Alangkah romantiknya ibu.


Sebelum terlupa, ibu saya bernama Fatimah. Jika Rasulullah sering memuji anakanda baginda yang bernama Fatimah, maka selayaknya juga saya memuji ibu saya seorang Fatimah. Saya sangat cintakan ibu.


Ayah saya bernama Jaafar, sama namanya dengan bapa saudara Rasulullah yang mati syahid di medan perang. Ayah saya unik dan hebat sekali. Saya juga tidak malu bercerita tentang ayah saya. Ayah saya hanya peniaga kecil-kecilan bukan bisnesman yang kaya raya, berkereta mewah dan berbanglo besar. Ayah saya tiada syarikat, yang hanya ada cuma tulang 4 kerat yang semakin lemah minta direhat. Setiap hari ayah bekerja menaiki motor Yamaha, kadang-kadang kereta Toyota. Bila agaknya saya boleh belikan motor yang baru untuk ayah, kereta ayah juga sudah uzur, maklumlah kereta tradisional…kereta lama. Berjalan-jalan di Kuala Lumpur bersama ayah cukup membuatkan ayah sangat unik dan tersendiri. Tiada siapapun yang berkereta seperti kereta ayah. Unik bukan? Sebilangan orang mendabik dada dengan berkereta baru dan mewah tetapi tidak ayah. Saya tidak malu bercerita tentang kereta ayah kerana kereta itulah yang membawa saya pergi dan pulang sekolah sehingga saya berjaya masuk universiti.


Tangan ayah kasar kerana bekerja kuat, namun saya tidak pernah rasai kekasaran dari tangan ayah. Percaya ataupun tidak, ayah tidak pernah menengking saya, meninggikan suara, memarahi saya, mencubit saya, memukul saya seumur hidup saya di dunia ini. Apa sahaja yang saya minta daripada ayah pasti dipenuhi walaupun ayah terpaksa bangun dari tidur pukul 12.00 malam untuk membeli ubat nyamuk kerana tidak mahu anaknya diganggu nyamuk. Unikkan ayah saya?


Salahkah saya memuji ayah saya Jaafar yang berkorban untuk anaknya sepertimana Rasulullah memuji bapa saudaranya Jaafar yang sanggup berkorban untuk Islam?


Ayah saya juga hebat. Keluar sahaja saya dari rahim ibu, saya tidak dapat nafikan kehebatan ayah. Ayah paling hebat kerana suaranya. Suara ayah adalah suara yang pertama saya dengari ketika lahir ke dunia. Suara ayah adalah suara pertama yang memperkenalkan saya dengan Allah. Alangkah merdunya suara ayah menitipkan kalimah itu..Allahuakbar..Allahuakbar. sehingga selesai sayup-sayup ayah bisikkan di telinga ini.


Ayah membisikkan dengan lembut kalimah itu tetapi kenapa saya tidak berlembut ketika bercakap dengan ayah? Suara ayah suara pertama yang saya dengar di telinga semasa kecil tetapi kenapa bila sudah besar saya sukar mendengar kata ayah?


Saya tidak malu bercerita tentang ibu seorang operator kilang Saya tidak malu bercerita tentang ayah seorang peniaga kecil-kecilan. Namun saya sangat malu bercerita tentang diri sendiri. Ibu saya indah dan romantik. Ayah saya unik dan hebat. Kedua-duanya sangat istimewa buat saya. Adakah saya sangat istimewa buat mereka?


Saya hendak ceritakan bahawa saya ini anak yang soleh, saya tidak cukup soleh. Saya hendak ceritakan saya ini anak yang menabur budi, semua pengorbanan ibu dan ayah belum lagi diganti. Saya tidak pasti adakah saya seorang anak yang bertakwa jika saya tidak dapat selamatkan ibu, selamatkan ayah daripada api neraka. Saya yakin doa ibu untuk saya sudah makbul, doa ayah pada saya juga makbul, tetapi doa saya untuk mereka? Apabila ibu dan ayah tiada, adakah doa saya akan diterima oleh Allah jika saya bukan anak yang soleh? Tidak malu bercerita tentang ibu dan ayah tetapi cukup malu dengan diri sendiri.


Saya cintakan ayah. Saya cintakan ibu. Siapa yang memberikan rasa cinta saya pada ayah dan ibu? Ibu cintakan saya. Ayah juga cintakan saya. Siapa yang memberikan rasa cinta ibu dan ayah pada saya? ALLAH! Maka, saya juga perlu cintakan ALLAH.


Saya malu untuk terus bercerita. Saya malu untuk terus menulis. Kerana saya tidak pasti adakah saya benar-benar cintakan Allah, Tuhan yang memberikan perasaan cinta pada ibu dan ayah.

Thursday, October 23, 2008

MEMBELI EMAS DENGAN MASA



“Satu inci masa sama harganya dengan satu inci emas, tapi satu inci emas tak boleh beli satu inci masa.”


Pepatah Melayu ada mengatakan, sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa. Itu menunjukkan mulut amat perlu diberikan kawalan supaya tidak dengan onarnya badan menanggung akibat. Kalau tidak mahu memang lidah dapat dikawal sesuka hati. Tetapi kalau mahu, memang menuturkan kata-kata menjadi agenda yang paling seronok dilakukan. Ibarat masa, kalau hendak digunakan sebaik-baiknya, ia akan terguna sepenuhnya, tetapi kalau hendak dibuang-buang, tidak susah hendak melakukannya.


Kebanyakan manusia tidak sedar dia telah ditinggalkan masa, jauh di belakang. Dia menyangka selari dengan masa, padahal masa untuknya semakin pendek dan kesempatan untuk dia menikmati kehidupannya semakin tiada.


Rugilah orang-orang yang bermain dengan masa sebab masa tidak pernah menanti sesiapa yang lambat apalagi orang yang tidak mempedulikannya. Masa akan terus pergi. Sesiapa yang gagal mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya ibarat kehilangan harta yang amat bernilai iaitu emas.


Islam meletakkan masa pada kedudukan yang cukup tinggi
. Antara buktinya, waktu-waktu sembahyang itu diberikan tempoh-tempoh tertentu untuk melaksanakannya, sesiapa yang dapat melaksanakannya dalam tempoh-tempoh tertentu akan mendapat kelebihan-kelebihan tertentu. Mereka yang mengejar ganjaran pahala berganda pasti tidak menunda-nunda untuk solat diawal waktu sedangkan mereka yang alpa mudah melewat-lewatkan solat. Mereka belajar membentuk disiplin diri untuk menghargai masa dengan membentuk disiplin untuk solat di awal waktu. Sesiapa yang gagal bermakna tewas dan menjadi mereka yang rugi. Kerugian yang tak dapat ditebus lagi.


Demikian juga kita disunatkan berbuka awal sebaik sahaja masuk waktu berbuka dengan keistimewaan-keistimewaan tertentu. Mereka yang bermain-main dengan masa bererti bermain-main dengan sunnah. Bukan sahaja mengalami tempoh berpuasa yang lebih panjang malah mengurangkan pahala ibadah.


Masa amat dipentingkan dalam Islam tetapi ramai yang mengambil sikap tidak peduli lantaran gagal mengibaratkan masa dengan sesuatu yang paling berharga –emas. Sebagaimana kita tidak ingin kehilangan emas, kita juga tidak patut kehilangan masa. Masa lebih mahal daripada emas, sebeb emas kalau hilang boleh dicari ganti, sedangkan masa tidak mungkin akan kembali.


Rugilah orang yang telah gagal mempergunakan masa dengan sebaik-baiknya. Kita mungkin mendapat usia yang sama, tetapi orang yang lebih prihatin terhadap masa akan lebih beruntung. Orang yang hidup dengan bermalas-malas akan mendapati setiap orang lebih berjaya dan lebih beruntung daripada dirinya dalam semua hal.


Masa bukan sekadar emas tetapi jauh lebih berharga daripada itu, sebab seketul emas tidak mungkin boleh membeli seminit masa yang terlepas. Bagi orang yang mahu berfikir dan yang mahu merenung tempoh yang diperuntukkan kepadanya dalam dunia ini, pasti dia akan melihat masa adalah segala-galanya.

Monday, October 20, 2008

GELENG-GELENG, PUSING-PUSING, KEPALAKU PENING!



Sejak kebelakangan ini dan harap-harap tak la jadi sampai kehadapan pulak, satu persatu berita tentang gejala sakit jiwa dan otak generasi muda sekarang ini. Memikirkan gejala sakit jiwa dan otak mereka membuatkan jiwa dan otak saya juga turut sakit. Bukan berita yang hanya terpampang di dada dan isi perut akhbar tersebut, malah berita-berita terkini lagi sensasi yang berlaku di sekitar masyarakat kampungku…


Baru-baru ini, saya mendapat berita yang bukan menyayat hati tapi yang menyiat-nyiat hatiku yang sudah semakin hilang wibawanya dek ke’blur’an tak tahu nak buat ape lagi dah. Oh, adik program dan usrah remaja bawah kendalian saya dah selalu hilang tak balik-balik rumah. Tak tahu tido kat mana. Katanya, bercinta dengan orang Indon Pak! Dipergunakan atau sudah kena ubat guna-guna. Wa’Allahu a’lam. Ape? Pak Indon umurnya hampir 40-an.? Aduh pak! Waduh-waduh, pusing-pusing, kepalaku pening! Kalau dah sampai acukan pisau pada mak ayah memberontak, apa masalahnya tuh? Hari tu dengar anak murid belasah guru, sekarang remaja dah mula nak belasah mak ayah.


Kot depa ni dok ikut lirik lagu ni ka?


Oh, mama…
Aku mahu kawin,
Kawin dengan siapa…
Dengan siapa saja…


Tapi kok dengan pak indon seh? Geleng-geleng, pusing-pusing, kepalaku pening


Apa nak buat ni ustazah-engineer?
Buat tak tau! Yup, inilah yang kau selalu buat! Buat tak tahu.
Inilah yang kita sering buat! Buat tak tahu.
Selalu buat tak tahu. Bila datang masalah camni, baru rasa serba salah..
Baru nak ngomplain..mak ayah tak amik beratla, cikgu kat sekolah tak pandai mengajarla, pengaruh TV terlebih sudah la, laman web lucah la..tapi ape yang kita dah buat? Buat tak tahu?


Cepat bertindak! Remaja sekelilingmu semakin kontang jiwa mereka.


Semua dah naik sekarang ni.
Minyak naik, barang naik, remaja pun naik. Naik minyak!
Yang turun...pak lah sorang jer...


But, cmne nak stat agenda dakwah kita nih?
Macam kata Nabil Raja Lawak…Lu pikir la sendiri!

Friday, October 17, 2008

NISA’ CIRCLE: MENGGAMIT KENANGAN CAMPUS CIRCLE

Adakah hari ini gelombang motivasi saya berada di tahap Alpa, arus gelombang yang tenang dan cemerlang atau delta dan gamma, arus gelombang penuh kemunduran? Oh, saya bersemangat untuk bekerja dan bergerak kerja hari ni, lontaran semangat yang melonjak dan kembali membugar selepas berakhirnya usrah malam tadi.


Dengan berkonvoi 4 kereta ke rumah Ei iaitu tempat kami berusrah, saya mula menggamit kenangan demi kenangan bersama sahabat-sahabat sekampus dahulu. Usrah, halaqah dan tamrin medan tarbiyyah kami membentuk jiwa-jiwa muda yang hidup dan matinya untuk Islam. Tidak berusrah terasa seperti kehilangan arah.


Sejak dalam kereta dan tempoh perjalanan ke rumah Ei, saya sudah rasa akan tarbiyyah usrah. Mencabar . Pertama, saya berdepan dengan cabaran kepenatan bekerja ditambah dengan cabaran kesabaran menanti sahabat, juga cabaran ke rumah Ei yang saya rasakan seperti ke tempat tamrin dan paling utama, cabaran daripada leteran emak setelah anaknya pulang hampir lewat malam. Tak terlintas diminda saya ‘semua itu adalah masalah’. Saya positif menganggap ‘semua itu cabaran’. Cabaran itu seakan-akan memberitahu kami bahawa jalan perjuangan ini berliku-liku.


“kita mulakan usrah kita malam ni dengan ummul kitab, Al-fatihah…”. Jelas suara Ei membuka tirai wacana minda haraki malam tadi.


Sejak dari mula saya belajar untuk beradab dengan majlis ilmu, mulakan Al-Fatihah dahulu dan akhiri majlis dengan surah yang memperingati tentang masa, Al-Asr. Namun, paradigma saya berpendapat, realiti usrah itu bukan semasa majlis usrah berjalan antara Al-Fatihah dan Al-Asr itu, tetapi realiti usrah itu bermula dengan Al-Asr dan berakhir dengan Al-Fatihah. Realiti usrah itu ialah setelah berakhirnya majlis usrah sehingga bersua lagi pada usrah akan datang. Realiti usrah ialah apa yang kita realisasikan di luar daripada usrah.


Satu perkara yang terkesan dan saya ingat hingga kini. Pernah suatu ketika saya lewat ke usrah pimpinan lajnah tarbiyyah kampus. Sudah terfikir dibenak fikiran saya, “Ah, sure kena denda la ni!”. Saya mengambil posisi kedudukan dan Adik Mat, pengerusi usrah mula bersuara, “ana minta kepada yang lewat untuk sama-sama membaca 3 Qul, Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas.” Hukuman yang cukup memberi tamparan di pipi ala sepoi-sepoi bahasa. Membaca 3 Qul bermaksud, ada syaitan yang merajai diri sehingga disiplin untuk menepati masa tidak ditunaikan, maka bacalah 3 surah tersebut mohon terhindar dari godaan jahat syaitan. Hukuman nampak lembut tapi sangat malu sendiri, “Lemahnya iman saya, banyak betul setannya”, getus hati.


Semasa menjadi nakibah, acapkali saya menetapkan usrah sekitar jam 1 pagi hingga 5 pagi. Saya tak salahkan adik-adik usrah jika mereka mengantuk semasa usrah kerana tidak cukup tidur, saya tak menilai rendahnya kualiti kekuatan mereka berusrah hanya kerana minda buntu untuk melontarkan idea jam 3 pagi, malah saya tak marah jika mereka terlewat bangun kerana kepenatan bergerak kerja, yang paling penting komitmen mereka untuk hadir. Itulah nilai kekuatan mereka pada penerimaan saya. Komitmen yang melambangkan kesungguhan untuk mendidik diri.


Berjuang itu susah, namun kesusahan itulah merupakan keindahan. Mendapat keredhaan ALLAH bukan mudah, namun kesudahan kepada keredhaan ALLAH ialah kemenangan yang hakiki di ‘hari esok’. Bila rasa susahnya berjuang, di saat itulah kita rasakan bahawa kita berada di jalan yg betul kerana Rasulullah dan sahabat turut susah-susah dahulu.


Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Susah hanya sementara, dan senang akan kekal di syurga.


Sesungguhnya, usrah itu manis, walau hanya bersua muka dengan gelak ketawa dan kurang bicara…

Wednesday, October 15, 2008

PERSEPSI PEMBANGUNAN DAN PEMBANGUNAN PERSEPSI

Kesempatan membaca Akhbar Siasah bertarikh 11 Oktober yang lalu membawa karisma pemikiran saya untuk menilai 2 dimensi pembangunan ini, pembangunan material dan pembangunan insan. Daya Intelektual saya kian mencapah ketika membaca satu komentar oleh Illias Zaidi, -‘Konsep maju menurut perspektif Islam.’


Saya mula cakna dengan pandangan peribadi saya yang sejak seawal lagi belajar dan didedahkan dengan dunia pembangunan. Ilmu kejuruteraan pastinya tidak lari dari 2 istilah ini, KEMAJUAN DAN PEMBANGUNAN. lantas, mentaliti saya cenderung kepada capahan dua sudut berbeza, pembangunan persepsi dan persepsi pembangunan.


Persepsi pembangunan


Pemikir Islam melihat kemajuan dan pembangunan berbeza daripada pandangan pemikir Barat seperti Max Weber dan Karl Marx. Barat melihat kemajuan dan pembangunan dari segi perubahan fizikal semata-mata. Jika sudah ada bangunan fizikal yang cantik-cantik dan gagah menjulang angkasa, sudah majulah namanya itu, biarkan terpaksa mengorbankan entiti kampung Melayu yang diwarisi berzaman-zaman sebagai contohnya.


Barat melihat pembangunan dari segi menghambat kemajuan biarpun dalam banyak hal telah menghalalkan cara asalkan objektif tercapai. Teras kemajuan dan pembangunan Islam ialah pembangunan insan. Saya membina karektor dan ‘kerjaya’ dengan 2 dimensi ini, pembangunan material dan pembangunan insan. Rasional saya, kaki dan tangan itu dulu yang sepatutnya dimaju dan dibangunkan agar setiap orang melihat dunia persekitaran didepani secara positif, tidak negatif.


Ertinya pembangunan dan kemajuan perlu bersifat menyeluruh dan komprehensif, merangkumi aspek moral, kerohanian dan material. Pastinya ilmu pengetahuan dan pendidikan menjadi mekanisme penting ke arah pengubahan sikap dan mentaliti insan.


Benarlah kata Khurshid Ahmad (1980) bahawa pembangunan Islam prihatin kepada pembangunan insan itu sendiri. Agama suci itu sendiri amat mementingkan konsep kesyumulan ataupun holisme yang bererti penekanan kepada semua aspek kehidupan. Di sinilah letaknya nilai tauhid uluhiyyah dan rubbubiyyah dalam perancangan pembangunan dan kemajuan agar kedua-duanya dapat memenuhi tuntutan Islam.


Muslim sebagai khalifah di bumi Allah perlu melakukan tazkiyah atau penyucian diri sepanjang hayat mereka!


Pembangunan persepsi.


Saya gagaskan minda saya, cuba untuk memandang 2 dimensi pembangunan ini dengan mencari satu titik kesamaan antara keduanya, maka wujudlah pembangunan persepsi, mewujudkan sudut pandang tentang pembangunan secara persepsi sendiri.


Saya membina persepsi- ‘Pembangunan Insan mahupun pembangunan material, sekalipun ada unsur percanggahan antara kedua-duanya, sama ada pembangunan insan perlu dimajukan dahulu, atau pembangunan insan perlu selari dengan pembangunan material, ataupun pembangunan material kurang penting namun kedua-duanya menerapkan indikator yang sama iaitu kuantatif dan kualitatif.’ Pembangunan insan dan pembangunan material, kedua-duanya bergerak dan bekerja dengan istilah ‘kuantiti dan kualiti’.


TUNGGU!

"Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang mencipta; Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan Tuhan-mulah yang Maha Pemurah; yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia tentang apa yang tidak diketahui." (96:1-5)

Jika du'at banyak membaca, mereka akan memimpin ummah manusia.
Jika umat islam lebih banyak membaca, ia akan menerajui tamadun manusia.


Hari ini!
orang-orang barat yang lebih banyak membaca, orang-orang Islam kurang membaca!
Seterusnya, kita belajar membaca, tetapi mereka membaca untuk belajar.

Maka!
Golongan Islam mesti mempelopori kempen galakan membaca di kalangan orang Islam.

Ganjaran!
Masyarakat Islam akan melihat du'at sebagai harapan mereka, sumber inspirasi, dan penyelamat. Kaedahnya ialah sesiapa yang menyelesaikan masalah orang ramai akan mendapat sokongan mereka

Tuesday, October 14, 2008

JOM BERPROGRAM: BERPAUT DI DAHAN CINTA

untuk paparan poster lebih jelas [link]

Bahagiakah perkahwinan anda? Atau sudah terasa PUDAR? Usah biarkan PELAMIN ANGAN anda MUSNAH. Kekalkan CINTA anda 100%. Manakala bagi anda yang akan melangkah ke MAHLIGAI SYAHDU…usah ketinggalan untuk berkongsi ilmu dalam FORUM PERKAHWINAN/KEKELUARGAAN.


PANELIS FORUM


DR. RUBIAH K.HAMZAH
(Pakar Motivasi, Famous Panel Forum Perdana Ehwal Islam)

USTAZ HASRIZAL
(Penulis Blog Saiful Islam) &

DAYANGKU INTAN
(Penyanyi)

Serta menampilkan

FARAH ADEEBA MOHD ASYRAF
(personaliti TV9, pengacara Akademi Al-Quran) sebagai moderator.


PENGISIAN PROGRAM

Forum BERPAUT DI DAHAN CINTA

BENGKEL CANTIK DI MATA MENAWAN DIHATI (1):
Bengkel Penampilan Diri

BENGKEL CANTIK DI MATA MENAWAN DIHATI (2):
Bengkel Interior Design


utk penyertaan, sila hubungi:

Ju - 019-3729294
Bie - 013-9198622
Ria - 017-7108293
MUSLIMAH - 03-40237044
WASILAH - 03-40215800
faks: 03-40237048 @ 03-40215800


TARIKH TUTUP PENYERTAAN:

12 NOVEMBER 2008

Friday, October 10, 2008

RAYA DAN HARGA SEBUAH KERINDUAN


SMS Raya…Duit Raya…


Entah kenapa kepingin betul saya untuk berkongsi cerita raya tahun ini. Tak sikit banyak pun jadilah. Terkenang zaman kanak-kanak dulu, ghairah dan hampir bergaduh bila bersembang bersama kawan-kawan pasal raya, terutama bab baju raya dan duit raya. Masing-masing hendak menangkan diri sendiri. Semakin meningkat usia, semakin berubah senario raya dirasa. Mungkin kerana tahun 2008 merupakan tahun terakhir saya beraya sebagai orang ’single’? Oh ho! Malu sendiri.


Doa yang semakin kejap dihati, semoga Allah panjangkan usia dan murahkan rezeki saya. Juga dianugerahkan ketabahan untuk menelusuri kehidupan yang masih jauh dan panjang ini.


Kalau dilipek sebosar kuku,
kalau dibontang sebosar alam.

Kok hilang dicaghi,
kok hanyut dipinteh,
kok tonggolam disolam.

Datang biarlah nampak muko,
kok poei biarlah nampak belakang.

Jauh diimbau dokek digamit.

Seuntai salam, sejambak kato.

Dogup bicagho, menghisik raso
Salam Eidulfitri, Maaf zahir & batin.


Satu sms raya saya terima malam itu. Sms dalam loghat Negeri Sembilan kiriman daripada makcik di baca berkali-kali. Seronok! Kelakar pun ada. Kalau kita hayati intipatinya secara mendalam, cukup sebagai jalan cerita kehidupan persaudaraan dan persahabatan yang terkesan setiap kali kehadiran syawal. Saya cuba terjemahkan dalam bahasa melayu standard.


Kalau dilipat sebesar kuku,
kalau dibentang sebesar alam.

Kalau hilang dicari,
kalau hanyut dipintas,
kalau tenggelam diselam.

Datang biarlah nampak muka,
Pergi biarlah nampak belakang.

Jauh diimbau dekat digamit.

Seuntai salam, sejambak kata.

Degup bicara menghiris rasa.

Salam Eidulfitri, Maaf zahir & batin.


Saya baru mula bekerja di syarikat kontraktor pembinaan dan syarikat panel motivasi. Bekerja dalam dua bidang yang berbeza. Bersyukur…satu bidang pembangunan material, satu lagi bidang pembangunan manusia. Saya sentiasa mengharapkan kalian panjangkan doa buat saya mencapai cita-cita saya – USTAZAH-ENGINEER .


Bukan niat saya bercerita tentang dunia kerjaya panjang lebar, cuma raya tempoh hari kenalan sanak saudara ‘berkecek-kecek’ minta duit raya, kononnya saya sudah bekerja dan ada duit sendiri, apa salahnya dihulur-hulurkan sedikit. Terimalah duit raya daripada saya yang tak seberapa ni.



Harga Sebuah Kerinduan


Kehadiran Syawal benar-benar menggamit kerinduan pada orang-orang tersayang.


Kerinduan itu tentu lahir hasil perhubungan dan pergaulan yang membuahkan kemanisan rasa kasih dan sayang. Teringat dengan satu kata-kata hikmah ini:


“Bergaullah dengan manusia dengan satu pergaulan yang jika kamu tiada, mereka akan rindu kepada kamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu.”


Jika kita adalah orang yang demikian itu, maka kita pastinya seorang yang sangat baik, seorang yang sangat disenangi oleh semua orang. Sumbangan tentu banyak dan kita pastinya berasa cukup dihargai.


Berbaloi sungguh hidup ini apabila sentiasa dirindui orang dengan kerinduan yang jujur. Apabila tiada sering disebut-sebut kebaikannya, sering diharap-harap kedatangannya malah sering didoakan kebahagiaannya. Berbanding adanya kita menggugat ketenteraman orang, menyusahkan orang dan merugikan orang. Malang sungguh kalau kitalah orang yang dimaksudkan itu. Adanya kita tidak diharap, tiadanya kita menimbulkan sorak.


Sesungguhnya, tiadalah ertinya hidup kalau pergaulan kita itu tidak membuahkan rindu di hati manusia.


Salam rindu buat kalian yang saya kenali…


sahabat..
kenanglah sebuah pertemuan
kerana di situ tercipta kemesraan
sayangilah sebuah perpisahan
kerana di situ tercipta kerinduan
hargailah kedua-duanya
kerana itulah rahmat daripada Allah.


Wednesday, October 8, 2008

BISMILLAH...KITA MULAKAN!





"Allah, Pencipta segalanya dalam diri kita dan di sekitar kita, memiliki kekuasaan yang tidak terbatas. Allah menciptakan kita dan memerintahkan kita untuk menghormati-Nya dan berlaku baik seperti yang dituntun di dalam Al Qur'an. Yang dituntut oleh Allah dari kita adalah ibadah. Puasa, solat, bersyukur kepada Allah, sabar, dan melakukan amal soleh adalah beberapa bentuk ibadah.


Tetapi sebahagian besar orang, meski pun sedar dengan tanggungjawab mereka, tidak mahu menerimanya. Kerana kesombongan mereka yang parah, mereka merasa sulit untuk tunduk kepada Allah. Mereka tidak mahu mendengarkan perkataan Allah kerana mereka menganggap diri mereka sangat penting. Kerana tidak mahu menerima bahawa Allah telah menciptakan mereka, mereka berani membangkang kepada Allah. Meski pun Allah-lah yang telah memberikan mereka hati, telinga, kesehatan, dan pendeknya, segala hal di dunia ini, mereka tidak merasa bersyukur kepada-Nya untuk seluruh kurnia ini.


Tetapi orang-orang ini akan merasa sangat menyesal. Tidak bersyukur dan sombong akan membuat mereka menjalani hidup yang sukar di dunia dan penyesalan yang dalam di akhirat. Tidak bersyukur (kufur) yang mereka tunjukkan di dunia ini akan membawa mereka kepada api neraka.


Setiap orang yang tidak mahu merasakan sesal di kemudian hari sehingga masuk neraka, pastilah bersyukur kepada Allah. Allah menginginkan agar kita bersyukur kepada-Nya dan berdoa serta beribadah kepada-Nya, sebagai bentuk syukur atas nikmat yang telah diberikan-Nya untuk kita. Oleh kerana itu, jika kita melihat nikmat yang sempurna dan indah di sekitar kita (yang tidak akan pernah ada dengan sendirinya), kalian harus mengingat Allah dan merasa bersyukur kepada-Nya. Janganlah menjadi orang yang tidak mampu memperhatikan dan menghargai segala nikmat yang diberikan untuk kita."


(Petikan artikel Indahnya Islam kita, Harun Yahya)



RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO