Monday, June 30, 2008

JANGAN OPTIMIS MESKIPUN DALAM KETAATAN


Kehidupan yang dilalui oleh manusia ibarat susunan angka dalam carta matematik. Setiap susunan angka tidak memberikan kesimpulan kecuali pada angka yang terakhir merupakan jawapan yang sebenar. Pada angka penyudah itulah akan diketahui sama ada jawapan itu betul atau salah.

Begitulah...

Kematian sebagai kesudahan hidup yang memberi jawapan betul atau salah, husnul khatimah atau su’ul khatimah...

Jangan optimis meskipun anda seorang da’i kerana da’i sekarang mungkin bukan lagi da’i esok...beriman sekarang mungkin bukan lagi berimannya esok!

MISTERINYA CANTIK



Mereka tidak memandang kepada rupa. Apakah perspektif cantik pada penilaian mereka?

Sumber artikel: www.saupix.blogspot.com

Usah terkejut kalau ada orang melahirkan rasa hatinya pada anda, sedangkan anda merasakan tiada apa-apa istimewanya anda. Begitulah hebat dan misterinya kehidupan. Ukuran manusia tentang kecantikan dan ketampanan memang tidak pernah sama. Ada orang mabuk dengan seseorang sedangkan menurut pandangan orang lain, wajah semacam itu tidak patut dimabuk-mabukkan.

Misterinya suara hati memang sukar dibaca. Tidak ada sebarang alat untuk mengukur makna cantik atau tampan pada seseorang. Ukuran cantik atau tampan ini sentiasa berlainan antara seseorang dengan seorang yang lain. Maka itu, usah hairan jika seseorang wanita dinobatkan sebagai ratu dunia, padahal ramai lagi wanita di pejabat kita yang kita rasakan mengatasi kecantikan ratu itu.

Begitu juga, mungkin ada wanita di kampung kita, kita rasakan lebih cantik daripada para model yang popular. Sebab apa? Sebab persepsi kecantikan tidak pernah sama antara manusia. Ada orang anggap hidung yang sedikit mancung sebagai cantik, ada orang tidak. Ada orang rambut yang mengurai sebagai cantik, ada orang menganggap rambut yang ditutup sebagai kecantikan yang mengatasi. Ada orang menganggap putih melepak itu sebagai cantik ada orang suka yang hitam.

Ada orang mentafsirkan kecantikan itu mata yang bundar tetapi ada orang merasakan yang sepet seperti Jepun atau Cina itu yang lebih menawan. Ada orang menganggap bibir yang nipis itu cantik tetapi ada juga orang yang mengatakan bibir tebal lebih mengancam.

Di sebuah kawasan terpencil di utara Thailand, terdapat sekelompok manusia yang mentafsirkan cantik itu leher yang jinjang. Maka, para wanita memakai besi lilit di leher untuk memanjangkan leher masing-masing. Alangkah seksanya untuk menjadi cantik menurut penilaian masyarakat ini.

Begitu juga di sebuah penempatan di Afrika, cantik ditafsirkan mulut yang lebar. Semakin lebar mulut semakin cantiklah mengikut ukuran kelompok ini. Maka para lelaki dan para wanitanya memakai piring besi berbentuk bulat di mulut. Piring ini ditukar kepada yang lebih besar dari semasa ke semasa.

Begitulah misteri dan luasnya makna cantik dan tampan. Jadi, usah terlalu susah hati jika anda merasakan anda tidak begitu menarik. Anda tetap cantik di mata orang yang mentafsirkan kecantikan itu bukan sekadar wajah tetapi mungkin keseluruhan anda. Ini termasuklah gaya jalan anda, cara nada bertutur, pendirian serta sikap anda terhadap sesuatu perkara.

Jika anda belum mendapat teman bukan cantik masalahnya, cuma anda belum bertemu dengan orang yang mentafsirkan cantik itu menurut apa-apa kelebihan yang ada pada diri anda.

Sebenarnya tiada manusia yang buruk, lantaran setiap daripada kita ini dicipta oleh Tuhan yang Maha Bijaksana. Masakan ciptaan Tuhan itu tidak cantik, malah dalam islam kecantikan bukan terletak pada wajah atau keturunan tetapi apa yang ada di dalam hati. Baik sang hati baiklah seluruh badan, jahat sang hati jahatlah seluruh badan. Agama menilai kecantikan itu iman yang teguh, kukuh dan padu.

Siapa kita untuk mempertikaikan ciptaan-ciptaan TUHAN. Sudah tentu kita tidak layak. Tetapi ramai orang mempertikai TUHAN setiap kali menghadap cermin. Berkacalah tatkala bercermin sebab dengan berkaca cermin akan memberitahu anda apakah anda yang berdiri di situ atau perasaan dan keegoan anda yang menampani.

Siapa anda, anda sendiri yang menentukan. Pandangan manusia semuanya tidak sama. Sejuta yang mengatakan anda tidak indah, sepuluh juta mungkin mengatakan yang sebaliknya. Hanya anda belum bertemu muka dengan yang sepuluh juta itu.


Itu saja yang membezakan.

Thursday, June 26, 2008

CINTA 'ANTA ANTI'


“Aku menyintaimu kerana AGAMA yang ada padamu,

jika kau hilangkan agamamu dalam dirimu,

maka hilanglah cintaku…” Imam Nawawi


”Abang nubhan, ana tertarik la dengan nadia tu, dia selalu bergerak kerja dengan ana. Lembut orangnya dan cekap bekerja. Memang menepati ciri-ciri muslimat pilihan ana”. Kata faizal kepada nakibnya.


Salah ke jika faizal menyukai nadia yang pernah bergerak kerja program bersama? Jika salah, masakan kak fid berkahwin dengan abang amin, kak fidah dengan abang rizan dan kak wahidah dengan abg wan azmi. Dan ramai lagi kakak-kakak dan abang-abang yang menamatkan zaman bujang mereka dengan sahabat sahabiah dalam satu bumbung perjuangan semasa di kampus.


Allah menjadikan setiap yang berpasangan adalah untuk membantu urusan dan melengkapi antara satu sama lain. Kasut kanan adalah untuk melengkapi kasut kiri. Begitu juga dengan mata, walaupun mata kanan dan kiri tidak dapat melihat antara satu sama lain tetapi apabila mata kanan berkedip, mata kiri turut berkedip, mata kanan terpejam, mata kiri turut terpejam dan apabila mata kanan menangis, mata kiri turut menangis.


Sudah semestinya Allah mengurniakan dalam diri setiap adam dan hawa itu dengan satu magnet yang mana magnet inilah yang mendorong seseorang gender menaruh perasaan kepada gender yang lain. Alangkah indahnya jika magnet ini bercantum dengan matlamat yang sama iaitu ’BAITUL MUSLIM’. Dorongan perasaan yang dicantumkan dengan slogan yang sangat murni iaitu 'cinta kita, cinta perjuangan' Saya istilahkan konsep cinta seperti ini sebagai ’CINTA ANTA ANTI’.


Namun, sebagai pendakwah walaupun memahami ikhtilat antara wanita dan lelaki, tidak mustahil jika gagal mengawal diri, mereka boleh lemas dan mabuk bercinta seperti mana orang lain bercinta. Symptom-symptom yang membarah dalam CINTA ANTA ANTI ini biasa terjadi dalam keadaan berikut:


AWAS yg pertama...


Ber”SMS” , email, chatting YM, Meebo, comment2 friendster dengan kadar biasa atau luar biasa dengan alasan ”kami perlu membina ukhuwwah, ukhuwwah kami ukhuwwah perjuangan.”


AWAS yg kedua...


Mudah berkongsi masalah, mengadu-mengadu dan mengada-ngada dengan alasan, ”masalah nta/nti masalah ana, masalah kita bersama. Salah ke ana tahu, bukanke kita akn...” Seboleh-bolehnya si dialah yang paling awal-awal diberitahu walhal masih ada sahabat-sahabat se’adam’ atau se’hawa’ yang boleh membantu.


AWAS yg ketiga...


Memberi tazkirah, semangat, nasihat, kata-kata perangsang sehingga merangsang kedua-dua magnet hati yang berlainan cas bercantum dalam keadaan yang tidak berakhlak dan tidak berkesan dengan alasan ”cinta kita, cinta perjuangan”. Walhal ramai lagi sasaran dakwah di luar sana begitu dahagakan nasihat dan peringatan.


AWAS yg keempat...


Melayan perasaan sehingga mereka jadi tidak tenang, sensitif, serba tak kena bila bergerak kerja bersama-sama, tidak melakukan apa-apa gerak kerja, jika dilakukan itu pun kerana si dia. ”Kalau tak datang meeting atau program itu ini, alamatnya tak dapat la nampak muka...”


AWAS yg kelima...


Tidak mustahil, jika tenggelam dalam percintaan ini, bahasa ana anta anti mungkin bertukar ke panggilan ’abang’ dan ’sayang’...


AWAS yg keenam...


Bercinta itu harus tetapi jangan sehingga hilang fungsi sebagai hambaNYA..lemas dalam kerinduan hingga rindu kepada pencipta rindu itu semakin kurang, semakin jauh...


Saya bukan mereka-reka symptom di atas tetapi inilah realiti yang selalu berlaku apabila mereka gagal mengawal hubungan yang pada asalnya sangat bersih dan indah...alangkah indahnya hubungan baitul muslim yang diredhai ALLAH...



Wednesday, June 25, 2008

IDEALOGI DEMOTIVATED

Kenyataan Anwar al-Jundi dalam bukunya At-Taghrib Akhtarut Tahaddiat Fi Wajhil Islam telah diterjemahkan oleh Dr. Ishak Mohamad Rejab dari YADIM seperti berikut:


“Bahawa menjelajahi dunia Islam adalah sesuatu yang mesti dicapai. Strategi diatur sebegitu rupa dengan penyaluran ideologi barat dengan budaya kuningnya terhadap masyarakat Islam terlaksana dalam keadaan tidak sedar.”


Dilihat daripada kenyataan ini, strategi barat ialah menyuakan semua benda ke dunia Islam dan memastikan umat Islam terus menerima tanpa banyak soal, tanpa banyak fikir dan tanpa meniliti terlebih dahulu hubungannya dengan hukum-hukum Islam.


Ramai umat Islam, baik di mana pun tidak sedar dalam kebanggaan mereka berpendidikan sekular, mereka telah membantu menjayakan dunia barat dengan niat jahat mereka hendak membaratkan semua orang. Ramai tidak sedar dunia barat sebenarnya telah mengatur strategi melalui sekolah-sekolah yang mereka wujudkan, melalui institusi, pejabat khidmat masyarakat, hospital, institut pengajian tinggi dan media massa.


Melalui media massa, sasaran utama mereka ialah bahan bercetak dan juga elektronik. Dalam konteks akhbar, majalah dan risalah, rencana-rencana anti agama dan keruntuhan moral adalah strategi utama dan golongan remaja adalah sasaran. Manakala dalam konteks media elektronik pula, kemewahan, keintelektualan dan kepopularitian menjadi agenda yang sentiasa diketengahkan tetapi dalam masa yang sama ideologi yg sesat sentiasa menjadi teras untuk disebar dan diterapkan.


Dalam konteks ini, adakah Malaysia yang dikatakan sebagai sebuah negara Islam terkecuali atau seterusnya akan menjadi agen ideologi pemediaan Amerika yang sudah lapuk itu untuk beberapa lama lagi? Berdasarkan sebahagian besar rancangan-rancangan televisyen di negara ini adalah diimport dari Amerika Syarikat, apakah tidak mungkin Malaysia turut menjadi tukang jaja atau pelanggan utama bagi barangan sebenarnya yang sudah dianggap lapuk dan dibenci oleh penciptanya sendiri?



Di manakah motif motivasi terterap dalam rancangan-rancangan televisyen, radio, akhbar malah VCD, CD dan buku? Fikirkan...


Monday, June 23, 2008

OLIDAY DI DE RHU BEACH RESORT

Alhamdulillah, saya berpeluang menyedut udara nyaman ciptaan Allah di De Rhu Beach Resort Kuantan pada 21-22 Jun minggu lepas. Tujuan saya ke sana pada asalnya atas program family day Dun Batu Caves, tetapi dek kerana tak ramai yang pergi maka saya buatlah family day saya sendiri yang sudah sememangnya masih belum mempunyai family, maksud saya ’single’.

















Bukan tujuan saya nak men’jelous’kan sahabat-sahabat yang tak pergi, cuma nak promosikan De Rhu Resort ni pada korang. Agak sesuai jika nak dijadikan tempat program berbentuk seminar, kursus, family day di samping aktiviti santai minda jika ada budget yang lebih. Hotel kelas 3 bintang ada swimming pool dari peringkat kanak-kanak hinggalah dewasa mahupun yang tak reti berenang, baru belajar berenang atau dah pandai berenang. Mana-mana muslimat yang agak segan nak mandi mungkin kerana menjaga batasan aurat, takpe...korang boleh mandi kat swimming pool yang tersorok sikit yang penting korang cop tempat tu awal-awal. Pantai depan tu je, sesuaila kalau nak cari tempat privacy kalau nak mandi atau berjoging.


Saya link kan web berkaitan kalau nak dapat information yang lebih tentang DE RHU BEACH RESORT [link].





Satu pengajaran yang saya perolehi dari percutian saya kali ini iaitu ’saya perlu belajar berenang’. Malu beb, tengok budak kecik tu confident je menggerak-gerakkan kaki dan tangannya, terbang atas air macam superman. Saya ’water confident’ pun tak lepas lagi, setakat terapungkan diri tu bolehlah. Kak hani kata berenang ni boleh kuruskan badan, tetapi memandangkan saya ni memang dah kurus, jadi anggaplah belajar berenang untuk ibadah dan paling penting sebagai kemahiran yang perlu bagi seorang Islam. Kenapa?


Rasullullah kata, ada 3 jenis sukan yang perlu bagi seseorang Islam mahir dengannya iaitu berenang, berkuda dan memanah. Kemahiran inilah yang dilatih oleh Salahuddin Al-Ayubi kepada tenteranya dalam mengatur kepelbagaian strategi peperangan. Akhirnya musuh kalah dalam berperang kerana salah satunya lemas tidak pandai berenang selepas kapal masing-masing musnah dan karam.


Ya, saya dan anda perlu belajar berenang. Kita mulakan yop! Mana kolamnya?



MENDIDIK DIRI

Pentarbiyyah & sindrom ‘cakap tak serupa bikin’


Tarbiyyah tetapi terbiar? Siapa terbiar? Kita sebagai seorang pentarbiyyah yang menggalas amanah di bahu sebagai firma pendidik masyarakat, firma pembangun ummah dan firma ’kami cinta Islam’ yang dikumpulkan dalam satu agensi dakwah kemungkinan tidak akan terlepas dengan sindrom ’cakap tak serupa bikin’. Sindrom ini sering juga berlaku kepada saya, anda dan sesiapa sahaja yang bergelar pendakwah atau istilah yang lebih kontemporari, egen perubah. Bijak menutur kata tetapi tidak diperhati bicara lidah.


Adalah sesuatu yang tidak mustahil, masa untuk kita menilai orang atau sasaran dakwah adalah lebih banyak dari masa kita menilai diri sendiri. Lebih banyak masa untuk memikirkan apakah program organisasi yang boleh aku buat berbanding apakah program tarbiyyah untuk diri aku!.


Kita berusaha membentuk satu komuniti Islam di kampus mahupun masyarakat setempat tetapi kandungan tarbiyyah penggerak dakwah sendiri ibarat ’monyet di hutan disusukan, anak dirumah mati tak makan’. Kita suapkan du’at kita dengan makanan tarbiyyah namun pentarbiyyah sendiri lapar hatinya. Kadang-kadang kita begitu sibuk merencanakan sesuatu untuk melahirkan jiwa-jiwa muda yang baru, memikat hati sasaran dakwah, membentuk jiwa cintakan islam dalam diri mereka sehingga kita sebagai da’i terbiar sama ada kekurangan makanan hati atau makanan hati yang diberi oleh organisasi dakwah kurang kandungan zatnya. Saya yakin, sindrom ini berlaku walaupun tidak pada semua organisasi dakwah.


”Maaf kak, saya tak datang usrah pagi tadi, sebab malam tadi saya ada meting program jadi tak sempat nak study test esok.” ataupun begini ”ala..dalam tempoh 2 minggu ni saya full dengan program kelab, lagipun adik2 baru nak MHS nanti, kita posponed usrah bulan depan ok x? Lagipun minggu ni tiap2 malam meting”. Tidak mustahil juga ”ana minggu ni selalu bangun lewat, nak buat camne gerak kerja program banyak, tido lewat bangun lewat la..ermm, qiam, qiam”.


Anda Mampu mengubahnya. Langkah awal mendidik diri.


Lakukan perubahan bukan kita nak orang sahaja yang berubah. Proses mendidik orang lain bermula dari proses mendidik diri sendiri. Sememangnya kita akan lebih bersungguh-sungguh menyuruh orang lain melaksanakan kebaikan apabila kesan dan manfaat kebaikan itu sudah kita rasai dalam diri sendiri.


Kita ceritakan pada mad’u kisah sahabat-sahabat nabi yang khusyuk solat tetapi tak sampai ’feel’nya kerana sebagai pendakwah kita pun tak khusyu’ solat. Nak cerita pada mad’u agak susah sebab kita sendiri tak rasa nikmatnya alangkah khusyu’nya solat. Jadi tidak mustahil agak liat nak gerakkan usrah peringkat adik-adik kalau kakak dan abangnya pun agak ’segan’ nak pergi usrah yang dilaksanakan pada peringkat mereka sendiri. Macam mana nak bersungguh-sungguh laksanakan usrah jika kebaikan dan manfaatnya, sendiri tak rasa.


Firman Allah dalam surah Al-’ala:


”Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh). (14) Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk). (15)


Proses mendidik diri ini atau melakukan perubahan pada diri ini boleh dilakukan berperingkat. Cuba lakukan perkara yang kecil dahulu, sedikit demi sedikit. Jika anda seorang yang bermuka masam, belajarlah untuk sentiasa tersenyum, tidak semestinya terus menjadi periang!. Suka bersembang? Kuat tido? Tengok cerita korea? Malas baca buku haraki? Tido lepas subuh? Bangun lewat? Kuat ketawa? Kelakar sangat? Main games PC?. Boleh berubah! Sedikit demi sedikit tidak semestinya berubah terus menerus. Lebih bagus jika anda dapat merangka jadual perubahan diri setiap hari.


Yang keduanya, istiqamah. Kekalkan amalan walaupun sedikit. Pernah suatu hari sahabat bertanya kepada Rasulullah, ”apakah amalan yang aku boleh laksanakan di mana jika aku tahu amalannya, aku tidak perlu tanya kepada orang lain lagi selepas ini?” Jawab Rasulullah, ”Beriman kepada Allah dan selepas itu istiqamahlah”.


SMART untuk berubah


Baca Al-Quran, hayati bacaan dan maksudnya.


Mencari sahabat yang boleh menjadi cermin pada diri. Sahabat yang benar itu bukan membenarkan setiap tingkah laku kita tetapi berani menegur bila nampak kesilapan pada diri.


Bila Allah hendak beri kebaikan pada seseorang, maka Allah akan beri kita kefahaman beragama. Selalulah ke majlis-majlis ilmu. Jangan jauhkan diri terlalu lama daripada aktiviti pengisian seperti ceramah, ta’alim, kuliah ilmu, usrah, membaca buku islami mahupun buku motivasi.


Bertafakkur terhadap matlamat hidup. Fahami apakah matlamat sebenar kehidupan ini adalah satu langkah bijak untuk menentukan laluan yang perlu dipilih untuk ke destinasi sebagai hambaNya.

Wednesday, June 18, 2008

‘SINDROM KERJA BANYAK, HABUK PUN TADAK’



Mungkin anda pernah dijangkiti penyakit ini ‘sindrom kerja banyak, habuk pun tadak’. Satu penyakit yang mana anda berasa ‘sungguh berjaya’ apabila menyelesaikan banyak tugasan dalam jangka masa pendek. Anda berasa begitu cekap dan pantas, dan anda juga berasa itulah segala-galanya. Turut merasakan banyak tanggungjawab yang anda telah lakukan. Namun malangnya, selepas diselidiki, tiada apapun yang dicapai olehnya, semua kerjanya itu tidak memberi hasil yang sepatutnya! Kenapa?


Sindrom ini berlaku apabila anda gagal membezakan antara ‘kerja’ dan ‘hasil’. Anda keliru yang manakah kerja yang hendak dibuat dan apakah hasil yang hendak dicapai. Sebab itulah ada pepatah menyatakan, “Kerja sering menjadi musuh kepada pencapaian”.


Kemungkinan kita pernah menjadi kepimpinan kepada sesebuah organisasi. Kita kelihatan sangat sibuk. Selalu kelihatan berkejar ke sana ke mari. Selalu kelihatan membelek-belek fail, menulis sesuatu mahupun menjawab panggilan telefon dan mesej. Air muka selalu menunjukkan kitalah yang paling banyak kerja dalam dunia ni. Kita menyangka kita sudah tentu menjalankan tugas dengan baik sepanjang tempoh jawatan. Tetapi sangkaan itu meleset. Kita melihat banyak urusan organisasi tidak sempurna, banyak agenda yang belum terlaksana, dan hasil gerak kerja yang tidak mencapai objektif. Kenapa sibuk, tapi kerja tak selesai? Kerja tiada kualiti?


Kerja dan Hasil


Dua perkara yang sangat berbeza. Ia saling berkaitan tapi boleh jadi juga berlawanan. Tanpa kerja tiadalah hasil. Kerja perlu dibuat bagi mendapatkan hasil. Tetapi kerja juga boleh jadi penghalang kepada hasil. Terlalu banyak kerja, hingga hasil tidak tercapai. Gagal menyusun kerja mengikut prioriti juga salah satu sebab hasil tidak tercapai. Mungkin juga kerana tidak bijak mengagih tugas kepada ahli organisasi. Seorang pemimpin yang fokus bukan sahaja mampu membawa organisasi mencapai sasarannya tetapi berjaya meningkatkan ’standard’ organisasi.


Sebab itulah, pakar pengurusan barat ada mencipta pelbagai formula pengurusan . Saya pasti ramai yang biasa mendengar teori pengurusan seperti Management By Objectives (MBO), Key Performance Indicator (KPI) dan Balance Scorecard tetapi sejauh mana kita benar-benar mempraktikkannya?. Saya ada sedikit menguasai ketiga-tiga formula ini dan cuba merancangnya bersama-sama ahli organisasi suatu ketika dulu tetapi hanya perancangan tiada tindakan. Sama ada kerana kurang kemahiran, kurang penyeliaan atau kurang kesedaran terhadap kepentingannya. Di bawah ini saya cuba untuk berkongsi pengetahuan yang saya perolehi dari laman web berkaitan dengan 3 teori ini.


Management By Objectives (MBO)

Key Performance Indicators (KPI)

Balanced Scorecard


“Dalam apa jua keadaan, kenal pasti matlamat yang hendak dicapai serta peruntukkan masa yang cukup untuk peluang dan perkara utama”


Rujukan dalam penulisan ini: Buku MENGURUS KERJA & WAKTU oleh Ahmad Fadzli Yusuf

Friday, June 13, 2008

KONGSI CERITA KAHWIN

Sejak minggu lepas, semua sibuk bercerita pasal kahwin. Tambahan lagi cuti musim sekolah. Di rumah, tidak putus-putus kiriman kad kahwin daripada jiran sekampung. Kenal atau tidak, bukan soalnya, yang penting dapat jemputan, pergi untuk memenuhi undangan atau memenuhi perut yang kelaparan.



Minggu lepas saya ke kenduri kahwin seorang sahabat berpangkat kakak bagi saya. Kak Sal baru selesai walimah minggu lepas. Itupun makcik-makcik, kakak-kakak, adik-adik seperjuangan sibuk bertanya, ”Kamu bila lagi?”. Saya hanya menjawab dengan senyuman dan kadang-kadang bergurau juga. Saya tidak janggal dengan pertanyaan begitu, mungkin kerana sudah biasa.


Jika pulang ke UTHM pun begitu. Adik-adik muslimat kampus hebat juga mengusik. Saya sudah terlalu senior dan merupakan orang lama di kampus. Sememangnya kehidupan dikelilingi dengan adik-adik junior sangat membahagiakan lebih-lebih lagi yang sefikrah seperjuangan.


Kahwin...kahwin...kahwin, menyebutnya memang begitu mudah tapi tak semudah merealisasikannya. Menjadikan perkahwinan sebagai matlamat membina rumahtangga perjuangan dan melahirkan generasi-generasi pendokong dakwah memang payah. Macam-macam impian boleh dibina sebelum berkahwin. Impian untuk diri, keluarga, kerjaya dan paling penting untuk perjuangan.

Selalu juga bersembang dengan adik-adik muslimat. Kagum dengan semangat mereka. Semua ingin berkahwin untuk membina rumahtangga muslim. Semua ingin memilih pasangan yang memahami Islam, soal keturunan, kecantikan, kekayaan ditolok ke tepi yang penting ”dia faham Islam kak!”.


Ada yang sudah memasang niat ingin memiliki anak yang ramai supaya boleh dididik dan ditarbiyyah menjadi generasi penyambung perjuangan. Ada juga yang tidak mahu ramai anak, takut-takut anak yang ramai menyebabkan diri tak mampu berkorban untuk gerak kerja dakwah kerana komitmen perlu dibahagikan untuk anak-anak pula. Ada juga yang nak bekerja ’part-time’ atau ’full time’ dalam kerjaya dakwah. Tidak kisah apapun impian kalian yang penting niat kerana Allah. Untuk Islam...


Mendidik anak memang sukar. Mak saya menjaga 5 orang anak jiran. Mereka lebih senang mendengar kata mak saya dari mak ayah mereka sendiri. Bila di rumah saya senang dididik, bila pulang ke rumah masing-masing mula buat kepala sendiri. Saya pernah mengajar budak sekolah tadika dan sekolah rendah, serba sedikit tahu juga proses pendidikan kanak-kanak. Banyak persiapan sebenarnya jika ingin melahirkan anak-anak yang dekat dengan Allah, dekat dengan jiwa juang.


Bila terfikir itu semua, terasa jalan ini semakin sukar dan panjang. Berdoalah dan berusahalah agar dikurniakan ’teman’ yang memahami. Bukan sekadar memahami kalian, tetapi memahami dan menjiwai jalan dakwah yang sukar dan panjang ini.

Thursday, June 12, 2008

KENYANG DAN SENDAWA

Makan minum adalah di antara naluri manusia disebut juga sebagai suatu tabiat atau kelaziman atau adat kebiasaan. Memenuhi keperluan tabi’ei atau adat kebiasaan naluri manusia itu adalah perkara yang dihukumkan harus. Setiap yang harus jika hendak ditingkatkan darjatnya menjadi ibadat, hendaklah disertakan dengan niat.


Makan minum akan menguatkan keyakinan seseorang terhadap Allah sekiranya dapat difikirkan tentang setiap butir nasi yang dimakan itu dan bagaimana proses sebelumnya. Sejak benih padi disemai, air dialirkan ke sawah mengikut keperluannya sehingga padi menjadi subur. Terfikirkah oleh kita? Apa akan jadi sekiranya Allah datangkan musim kemarau, air kering kontang dan bumi menjadi merekah hingga padi pun layu sebelum berbuah.


Perhatikan nikmat Allah pada sepinggan nasi yang sedang tersaji. Mungkin dilengkapi pula dengan ikan masak lemak cili api atau kari kepala ikan campur dengan sambal belacan. Petani dan jelapang padi mana yang mengusahakan padi, pekebun dan ladang mana pula yang menghasilkan kelapa untuk diperah santannya, bawang, lada, asam serta segala rempah dan perencah yang melazatkan gulai dan kari itu. Periuk belanga untuk mentanak nasi dan masak gulai, entah diimport dari negara mana, begitu juga dengan barang pembakar gas atau minyak tanah dari perut bumi mana ia dikeluarkan, sehingga suri rumah dapat memasak sajian dengan begitu sempurna.


Untuk sepinggan nasi, di luar kesedaran kita bahawa Allah telah mengarahkan begitu banyak tenaga manusia di serata tempat di pelusuk dunia bagi memenuhi naluri manusia yang memerlukan makan minum, sejak dari petani yang menghasilkan beras, para nelayan yang menghasilkan tangkapan ikan, peladang yang menghasilkan sayur-sayuran, para jurutera dan pekerja petroleum yang menghasilkan gas dan minyak, pengusaha lombong dan juga industri logam untuk menghasilkan periuk belanga dan alat memasak.


Ditambah pula dengan lesung batu untuk menumbuk sambal. Kajian ahli geologi mendapati kepejalan batu sehingga menjadi begitu keras memerlukan jangka masa pemerapan ribu atau juta tahun. Demikian Allah telah pejalkan batu itu di perut gunung sehingga ia amat keras, bukan sekadar boleh dijadikan lesung batu, malah boleh dimanfaatkan untuk membina jalan raya, jambatan, bangunan dan sebagainya.


Orang yang menikmati sajian nasi dengan segala lauk pauk itu, setelah kenyang dan sendawa barulah nak mengucap ’alhamdulillah’ sedangkan Allah telah kerahkan berbagai pihak di pelbagai pelusuk dunia, ribuan manusia bekerja keras untuk menyempurnakan sepinggan nasi itu.



Dengan demikian amat wajarlah manusia bersyukur dan berzikrullah sekurang-kurangnya 360 kali dalam sehari sesuai dengan jumlah sendi yang Allah ciptakan untuk manusia. Jika hendak dibanding dengan nikmat Allah itu tidaklah setanding dengan 360 kali berzikir, malah ribuan kali pun tidak akan berbalas nikmat tersebut.


Monday, June 9, 2008

HARI CAKNA BELIA 2008


Alhamdulillah, Hari Cakna Belia 2008 berlangsung seperti yang dirancang. Program yang dirasmikan oleh YB ADUN Batu Caves, En Amirudin bin Shari yang masih belia muda, katanya baru berumur 28 tahun, jelas membuktikan program ini sememangnya dari ‘Belia untuk Belia’. Dan lebih teruja lagi apabila Pengerusi Biro Belia dan Remaja DUN merangkap Pengarah Program adalah seorang belia wanita menandakan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor bersedia dan mula mengorak langkah memberi ruang wanita menunjukkan ‘belang’ kepimpinan. Mungkin ‘belangnya’ berlainan corak dengan kepimpinan di kalangan pemuda. Harimau Jantan mungkin berbeza belangnya dengan harimau betina tetapi harimau tetap harimau. Berani!


Bila sebut tentang belia dan wanita ni, saya teringat kepada Dato’ Sri Azalina Othman, bekas Menteri Belia dan Sukan Malaysia sebelum ini. Mungkin suatu hari nanti, ada di dalam kalangan belia wanita yang boleh mencapai satu tahap kepimpinan menjadi ketua belia peringkat negara seperti Datuk Azalina dan merangka satu sistem pembangunan belia yang lebih Islamik. Kita turut berbangga dengan lahirnya ramai pemimpin belia wanita yang menunjukkan jaguh sebagai perwakilan rakyat seperti YB Nurul Izzah ‘Makkal Sakti’. Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa rela mengundur diri untuk memberi ruang kepada pemimpin muda belia memacu perubahan. Era perubahan kerajaan dan kepimpinan menuntut pecutan yang lebih laju dan bertenaga dan sudah tentu pecutan selaju itu datangnya dari mereka yang bergelar belia.


Siapa yang setuju dengan saya sila angkat tangan. Oh, saya tidak nampak anda angkat tangan, jadi boleh tinggalkan komen di bawah artikel ini.


’Kenangan Terindah’ bak kata Simpson


Hari Cakna Belia meninggalkan 1001 kenangan indah kepada saya dan jiwa-jiwa muda yang menjadi penggerak program ini. Beruntungnya memiliki adik seperti Munirah dan Adilah yang sangat membantu saya melunaskan gerak kerja sebelum dan sepanjang program. Terharu juga dengan kerjasama dari adik Ain, adik Hafizah dan adik Jasiah yang komited dan bijak menjalankan tugas mereka sebagai AJK kaunter. Maaf, akak tak mampu memberikan kalian apa-apa saguhati tapi harap-harap dengan berpeluang bergambar dengan YB sudah menjadi satu kepuasan di hati. Mak cik – makcik dari cawangan jangan kecil hati. Kagum juga dengan semangat kalian, walaupun usia bukan lagi belia tetapi jiwa tetap muda dengan semangat yang sentiasa membugar untuk merencanakan sesuatu buat anak-anak muda.



Tak kurang juga dengan ‘member kamcing’ baik punya, kak Peah, kak Hani, Kak Marjan, Kak Maez, Kak Masliah, Kak Sue dan lain-lain. Mereka juga luar biasa hebat pada pandangan saya. Pengalaman mereka banyak dan tidak lokek menyumbangkan sesuatu untuk menjayakan program ini. Walaupun banyak komitmen, namun sanggup mengorbankan masa, harta dan tenaga semata-mata untuk melihat para belia Batu Caves ini sentiasa di ‘top up’ dengan program pembangunan diri seperti ini. Inilah ikon-ikon jurutera manusia yang sedang membangunkan projek pembinaan manusia. Membawa suatu jiwa yang usang kembali kepada jiwa yang sihat dan bersih. Ya, belia-belia kita semakin usang jiwanya dan kitalah sebagai agensi pembangunan untuk membentuk watak-watak belia yang lebih cantik dipandang mata.



Hai,..saya mengucapkan terima kasih kepada semua orang seolah-olah saya pulak yang menjadi pengarah program. Saya perkenalkan pengarah Hari Cakna Belia, kak Wani. Kakak ni lagi dasat, pengerusi biro belia dan remaja merangkap pengarah program ini merangkap pengerusi majlis merangkap pemberi hadiah bagi program Hari Cakna Belia. Bukan kerana gila kuasa tetapi gila kerja. Maksud saya, kak wani saya kenali adalah seorang yang sangat komited dan bertanggungjawab dengan gerak kerjanya. Bukan mudah menjadi seorang yang boleh melakukan banyak perkara dalam satu-satu masa. Seorang lagi ikon belia yang hebat pada pandangan saya.



Saya bukan bercerita tentang nama atau watak sahabat-sahabat seprogram tetapi bercerita tentang semangat mereka, kekentalan jiwa mereka, kesabaran mereka dan lebih penting kesedaran mereka yang sentiasa konsisten dalam kerja buat perjuangan ini. Perjuangan untuk melihat agama Islam itu kembali tinggi dan kita mula dipandang tinggi dengan ketinggian Islam itu.


Ayuh, kita bawa Islam ini ke infiniti dan menembusinya...


Berdua lebih baik atau beramai lebih baik?


Bila bercerita tentang belia ni, terngiang-ngiang satu lagu yang saya dengar semasa menaiki kereta Mejar Mustafa Kamal, kerani tapak projek syarikat praktikal saya. ‘BERDUA LEBIH BAIK’ nyanyian artis Indonesia, ACHA SEPTRIASA.


Lihat awan disana

Berarak mengikutiku

Pasti dia pun tahu

Ingin aku lewati

Lembah hidup yang tak indah

Namun harus kujalani

Berdua denganmu...

Pasti lebih baik...

Aku yakini itu...

Bila sendiri...

Hati bagai langit...

Berselimut kabut...


Berdua lebih baik nyanyian Acha Septriasa ini cukup menggambarkan keadaan belia dan remaja sekarang. Jika di zaman remaja mereka ghairah bercinta monyet, zaman belia mereka mula berfikiran matang sedikit konon-kononnya untuk merancang kehidupan berumah tangga.


Namun kadang-kadang para remaja belia tidak cukup panduan arah untuk mencorak alam percintaan mengikut syariat Islam lalu dilanda fenomena tsunami cinta yang memusnahkan fikiran dan jiwa mereka. Saya menggaru kepala yang tidak gatal bila melihat keadaan remaja belia di mana-mana shopping complex sekitar Kuala Lumpur. Tak kurang juga yang berpeleseran di jalan-jalan berpegangan tangan dan ada juga yang tidak tahu malu menunjukkan aksi-aksi mengghairahkan di depan orang awam. Itu belum lagi jika saya ceritakan pengalaman-pengalaman melihat gelagat percintaan mereka di dalam pengangkutan awam. Sambil berdiri di dalam LRT pun masih sempat lagi ber‘aksi’. Inilah yang mereka rasakan ‘berdua lebih baik’ sehingga melanggar batasan pergaulan yang telah digariskan oleh Islam.


Gejala sakit para remaja belia ini bukan sahaja ditunjukkan dengan galak bercinta, tetapi juga pada watak-watak pemberontakan yang lainnya. Hedonisme, gangsterisme, vandalisme, rempitisme (merempit), dan pelbagai lagi permasalahan sistem sosial yang melanda mereka.


Ada satu formula untuk mengurangkan gejala-gejala sakit yang menular di kalangan remaja dan belia ini. Bertukar dari merasa ‘berdua lebih baik’ kepada ‘beramai lebih baik’. Kita perlu menggadakan usaha untuk memikat hati remaja belia ini kepada program-program pembangunan yang telah dirancang, membuatkan mereka berasa duduk ‘beramai-ramai’ dalam komuniti program adalah lebih menjana momentum perubahan daripada anasir-anasir yang negatif. Itulah maksud saya beramai. Bukan mereka tidak berminat kepada program yang kita rancangkan, tetapi kita yang masih gagal untuk menimbulkan minat mereka. Satu formula perlu di cari untuk menawan remaja belia kalau kita ingin menawan negara. Kerana mereka adalah aset berharga untuk membentuk kerajaan.


Kita perlu menyusun strategi yang lebih luar biasa daripada keadaan biasa terhadap program dan aktiviti yang pernah kita laksanakan sebelum ini. Hasil yang luar biasa itu lahir daripada perancangan yang luar biasa. Luar biasa bukan melakukan sesuatu yang pelik atau tidak logik tetapi mula berfikir di luar kotak. Merancang dan melaksanakan suatu kelainan daripada gerak kerja yang biasa pernah kita lakukan.


Keadaan zaman yang berubah menuntut suatu perubahan.

Wednesday, June 4, 2008

APA KATA HATI?

JAGA HATI…MAKAN HATI…SUSAH HATI…SUKA HATI…AMBIL HATI…IRI HATI…GELI HATI…SAKIT HATI…BERI HATI...JAUH HATI...BELI HATI...SENANG HATI...TUTUP HATI...CURI HATI…CUIT HATI…CEMBURU HATI…TERANG HATI…ADA HATI…DEKAT HATI…GELAP HATI…SUARA HATI…BUKA HATI…JATUH HATI…

Lagi satu contoh, kalau kita bawa kenderaan walaupun yang berperanan ketika kita drive adalah tangan, kaki dan fikiran tetapi tetap dikatakan hati-hati di jalan raya. Kenapa tidak kaki-kaki di jalan raya, atau fikir-fikir di jalan raya? Ya, sebab walaupun kaki tangan yang bergerak tetapi hati perlu dipandu dengan sabar dan tenang. Ikut kata hati...mati!

Himpunan klausa di atas adalah himpunan kata-kata hati. Kata-kata hati yang baik lahir dari hati yang bersih, hati yang lembut, hati yang mukmin. Kata-kata hati yang buruk lahir dari hati yang kotor, hati yang keras, hati yang bernoda. Di manakah kedudukan hati kita? Pernahkah kita bertanya pada hati, kenapa hati begitu sempit menerima kebaikan? Antara dua keadaan hati, sama ada hati lembut atau hati keras.

Jika hati lembut, seolah-olah ia bagaikan tanah yang subur, mudah diteroka untuk bercucuk tanam. Kelembutannya membolehkan tanah hidup subur, akar umbi mudah menjalar mencari baja yang sedia ada di dalam tanah itu.

Hati yang lembut adalah tapak yang baik untuk menerima segala ajaran Allah dan Rasul, menyambut baik semua nasihat. Malah hati yang lembut juga adalah jambangan yang subur bagi iman, bagi tertegaknya sifat-sifat taqwa.

Hati yang keras itu dipengaruhi syaitan dan iblis kerana iblis itu dijadikan dari api. Bahang api memberi kesan buruk terhadap hati. Apabila hati sudah keras, menyebabkan sukar untuk mendengar nasihat, membenarkan firman Allah, sulit untuk menerima nasihat Rasul.

Maka, berusahalah sesuatu yang dapat melembutkan hati..pada peringkat permulaan untuk melembutkan hati, banyak-banyakkan istighfar. Noda hitam yang bertompok-tompok di dalam hati membuatkan kita sukar nak menerima kebaikan. Luka perlu dibersihkan sebelum disapu ubat!

Begitulah dengan hati. Bagaimana nak membersihkan luka di hati? Perbanyakkan taubat kepada Allah seperti mana yang diajarkan oleh nabi. Insyaallah, hidayah Allah akan sampai kepada hati yang bersih dan akhirnya barulah sifat-sifat yang baik mudah masuk ke dalam hati kita.

Akhir sekali, hati-hatilah dengan hati! Jangan mudah bersangka buruk dengan mewujudkan kata-kata yang merosakkan hati. Bersangka baik dengan Allah, berlapang dada dengan manusia. Yup! Buka hati! Itu salah satu jalan untuk hati sentiasa ceria dan bahagia.

BERSYUKUR AND LET'S GO!

Minggu ini jadual saya agak padat. Orientasi kerja saya juga sudah berubah. Dari komitmen kerja (praktikal) di office, kini saya berpeluang untuk turun ke site project di Bangi. Hampir sebulan duduk terkurung di office menjadikan minda saya buntu. Biasalah, kadang-kadang kita akan bosan bila berada pada rutin kehidupan yang sama setiap hari. Diri mula rasa malas, jemu dan macam-macam perasaan yang melemahkan dan melemaskan.

Redha Allah..ya, bila teringat hidup ini hanya untuk mencapai keredhaan Allah, mula diri rasa kembali bermotivasi. “Mungkin ada perkara yang aku tidak sukai tetapi itulah yang baik untuk aku...astaghfirullah. Jadikanlah aku tergolong dalam golongan orang-orang yang sedikit”. Lantas saya betulkan niat ini kembali. Kenapa saya berdoa agar digolongkan di kalangan orang yang sedikit? Memang terlalu sedikit orang-orang yang bersyukur, itulah yang Allah telah nyatakan dalam firmannya: “Sesungguhnya orang-orang bersyukur itu terlalu sedikit”.

Minggu ini, Biro Remaja dan Belia juga sedang all out untuk pecutan akhir sebelum berlangsungnya Hari Cakna Belia anjuran Pusat Khidmat Komuniti Adun hujung minggu ini. Nampaknya saya terpaksa mencuri-curi masa ‘self management’ sepanjang minggu ini. Belajar berlawan dengan kepenatan setelah seharian bekerja. Maklumlah, duduk di ’site’ memang memenatkan kecuali kalau berpeluang duduk saje..

Alhamdulillah, Allah masih mengurniakan ketenangan kepada saya, hati tidak begitu tertekan dengan kesibukan dan kepenatan. Walaupun sesekali, ada juga rasa tewas dan sedikit konflik, bila baju masih belum berbasuh, baju juga tidak di iron siap untuk seminggu, menyelesaikan kerja-kerja rumah sebelum ke tempat kerja dan tuntutan ‘self management’ yang lain.Saya memang tidak betah untuk membiarkan rumah dan juga keperluan diri dalam keadaan tidak terurus. Mungkin terikut-ikut perangai mak yang sudah menjadi kebiasaannya sebelum keluar ke mana-mana, rumah mesti dalam keadaan bersih dan semua kerja ‘kesurirumahtanggaan’ selesai. Mungkin ada sesetengah individu boleh ‘pejam mata’ melihat keadaan rumah yang tidak terurus, tapi tidak family saya.

Bergerak kerja di luar memberikan saya gambaran baru tentang perjuangan. Bekerja sesama team muslimat membuatkan kami jadi diri sendiri. Tidak ada apa yang perlu di cover atau pretend ataupun segan untuk menonjolkan kemampuan diri, seperti mana kebiasaan yang berlaku apabila bekerja dengan muslimin. Teringat ketika zaman kampus dulu, malam-malam yang tidak pernah sunyi dari meeting dan program. Orientasi bekerja sebegini menjadikan hubungan kami lebih akrab, daya pemikiran yang lebih kreatif, lebih berdikari melakukan sesuatu, tidak berkira atau memilih kerja dan semangat perjuangan yang sentiasa di top-up antara satu sama lain.

‘Kerjaya’ dakwah ini memang tidak bergaji. Ada orang yang bekerja full time dan ada juga part-time. Mengikut kondisi masing-masing. Namun, Allah tidak akan sesekali mengira part-time atau pun full-time nya kita, namun apa yang dikira adalah sejauhmana komitmen dan keikhlasan kita sepanjang melakukan gerak kerja Islam ini.Walaupun tidak dinafikan, sesekali hati terasa berat, dan acapkali diri tertewas dengan cabaran penat. Namun, bila melihat komitmen sahabat-sahabat lain yang lebih hebat dugaannya pun masih mampu untuk terus komited, hati kembali bertenaga, dan semangat kembali membugar. Benarlah, muhasabah diperlukan sentiasa. Dan muhasabah yang mendorong hati kita semakin sihat dan bersemangat ialah cuba untuk memahami orang lain yang lebih sibuk, lebih penat, lebih banyak cabaran, dugaan, masalah tetapi masih terus komited dengan aktiviti dakwahnya.

Sebagai contoh, saya cukup kagum dengan Kak Wani. Memang status kami tidak sama, kerana dia telah pun berumahtangga. Seharian penat bekerja, malam dan hujung minggu ke sana-sini bermesyuarat sampai lewat malam, buat gerak kerja Islam, tak sesekali terdengar dia mengeluh penat mahupun ‘surrender’ walaupun terpaksa berhadapan dengan karenah anak buah yang berbagai-bagai ragamnya dalam perjuangan. Tarbiyyah menjadikan seseorang itu kuat, dan juga mungkin dorongan dari suaminya yang sangat memahami dan turut sama dalam perjuangan.

Inilah motivasi yang cukup hebat untuk membakar semangat saya meneruskan gerak kerja dakwah ini. Tanpa dorongan-dorongan seperti ini, sebagai manusia saya akui kita pun akan kalah, walaupun persekitaran akan sentiasa berubah, namun semangat untuk terus istiqamah janganlah goyah.

Memikirkan jalan perjuangan di hadapan, terasa ada kebimbangan yang mencengkam.“Mampukah aku istiqamah atas jalan ini Tuhan? Aku belum dicuba, aku belum diuji. Aku masih di peringkat membawa diri sendiri, belum di uji dengan komitmen pada rumahtangga, pada harta yang melimpah ruah, juga pada kesenangan yang membahagiakan..”

Hebat ketika zaman kampus bukanlah penentu istiqamahnya seseorang di jalan perjuangan ini. Selagi mana ada keimanan dan kefahaman yang mendalam, amalan yang berterusan, tarbiyyah bukan terbiar, ukhuwwah bukannya kuah dan intima’ diri dalam organisasi yang tersusun, InsyaAllah…kita mampu untuk terus bersama di jalan ini.

Sehingga saat ini, saya merasa begitu bersyukur atas nikmat dan anugerah Allah kepada saya, mak dan ayah yang sangat memahami, keluarga yang harmoni, adik-adik yang turut membantu, rakan-rakan yang mesra dan juga ‘environment’ yang baik.

Dan doa yang makin kejap dalam hati, semoga Allah makbulkan dengan mengurniakan saya ‘teman’ yang soleh untuk kehidupan di dunia dan akhirat.

Thank you Allah, for always giving me a wing to fly…
...saya perlu bersyukur dan let’s go!

RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO