Friday, January 30, 2009

TEGURAN UNTUKKU YANG LEMAH

Firman Allah di dalam surah Al-A’raf, ayat 199:

“Jadikanlah kamu pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf serta berpalinglah dari orang-orang yang bodoh.”


Sangat tidak sepatutnya menjauhi saudara hanya kerana satu atau dua kebiasaan buruk yang tidak dapat diterima, sementara selebihnya baik. Dalam konteks ini, satu atau dua kesalahan masih dapat dimaafkan, dan kesempurnaan adalah tingkatan yang sukar dicapai.


Al-Kindi seorang ahli falsafah muslim terkenal pernah mengatakan:

“Bagaimana boleh anda mengharapkan satu moraliti tertentu dari teman anda, sementara dia terdiri dari empat tabiat. Jiwa saja yang merupakan bahagian paling dekat dengan setiap manusia dan merupakan pusat kendali untuk memilih dan berkehendak, tidak dapat memberikan kendalinya kepada orang yang memilikinya untuk melakukan semua kehendaknya, dan tidak boleh pula mengiyakan semua yang diharuskannya. Bagaimana dengan jiwa orang lain?”


Firman Allah dalam An-Najm ayat 32:

“…maka janganlah kamu mengatakan dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.”


Cukuplah untuk menerima bahagian terbesar dari tabiat saudara anda. Abu Darda’ mengatakan: “Mencela teman itu lebih baik daripada harus kehilangan dirinya. Siapa orangnya yang boleh mendapatkan segalanya pada diri saudaranya?”. Perkataan Abu Darda’ ini kemudian memberi inspirasi para penyair untuk mencipta bait-bait syair dengan makna yang sama. Di antaranya Abul Atahiyah:

Hai saudaraku tersayang

siapakah engkau sebenarnya

hingga ingin mendapatkan dari saudaramu

yang menghuni dunia ini

apa yang engkau inginkan?

Pertahankan sebahagian kemampuanmu

yang diperlukan oleh orang lain

agar kamu tidak membosankan setiap orang

yang tidak dapat engkau berikan kepadanya

Semua kemampuanmu


Kemudiannya Abu Tamam Ath Tha’i mengatakan:

“Tiada kerugian yang paling parah bagi seseorang selain kehilangan akalnya. Dan tiada seorang pun yang dapat memperoleh seluruh yang diinginkan dari saudaranya.”


Seorang ahli ilmu balaghah pernah berkata:

“Janganlah kerana satu aib tersembunyi atau dosa kecil yang sebenarnya dapat ditutupi oleh kebaikannya yang lebih banyak, anda menjadi jauh dari seseorang yang pernah anda puji latar belakangnya, yang pernah anda terima kehidupannya, yang pernah anda ketahui kemuliaannya, dan yang pernah anda ketahui kemampuan berfikirnya. Sesungguhnya engkau selamanya tidak akan mendapat teman yang bersih tanpa kelemahan dan tidak pernah melakukan suatu kesalahan. Oleh itu cerminlah pada dirimu sendiri sesudahnya; pertimbangkanlah ia dengan pandangan yang objektif; dan janganlah kamu menilainya dengan pandangan seenakmu. Sesungguhnya pertimbanganmu terhadapnya dan penilaianmu kepadanya akan membantumu untuk mendapatkan apa yang engkau inginkan dan membuatmu bersikap penyantun terhadap orang yang berbuat kesalahan.”


Sehubungan dengan itu seorang penyair menyatakan:

Tiada seorang pun yang dapat memuaskan

semua karaktornya

cukuplah bijak bagi seseorang

bila dia mahu menghisab

kelemahan-kelemahan dirinya

Seorang penyair Mukhadhram bernama An-Nabighah Adz-Dzibyani telah mengatakan:

Engkau tidak akan mendapat seorang teman pun

yang bebas dari celaanmu

kerana kelemahan yang ada padanya

kerana mana ada orang yang bersih

dari kelemahannya


Hendaklah semua kekurangan itu dialihkan ke dalam jiwa yang lapang dan hati yang damai. Sebab sebagai seorang manusia terkadang lalai untuk memperhatikan jiwanya, bahagian paling dekat dengan dirinya itu.


Pesan Ja’far bin Muhammad kepada anaknya:

“Wahai anakku, siapa di antara teman-temanmu yang marah kepadamu sebanyak tiga kali, dan yang dikatakannya adalah kebenaran, maka jadikanlah ia teman.”


Al-Hasan bin Wahab pernah berkata:

“Di antara hak-hak mencintai adalah memberi maaf terhadap kesalahan teman, dan menutup mata atas kekurangannya. Itu pun jika ada.”


Ibnu Rumi pernah berkata:

Manusia dan dunia ini

Pasti mempunyai kekurangan

Yang tidak sedap dipandang mata

Atau kelemahan yang mencemari kemulusannya

Tidaklah adil jika engkau

Menginginkan teman yang bersih di dunia ini

Sedangkan engkau sendiri tidak bersih.


Seorang penyair lain mengatakan:

Hubungan kita sepanjang masa tetap bestari

adapun perpisahan antara kita

hanyalah seperti hujan di musim semi

curahnya yang deras menakutkanmu

tetapi engkau akan lihat segera kelemahannya

kerana ia cepat beranjak

semoga Allah menghindarkan kita

dari kebencian saat bersua

selain hanyalah kemanjaan orang yang dicintai

kepada orang yang mencintainya.


Sumber penulisan: Jangan bersedih karya Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni

Wednesday, January 28, 2009

KLINIK SOLAT REMAJA

Alhamdulillah, program KLINIK SOLAT REMAJA berjaya dijalankan pada 24 - 25 Januari 09 di Masjid An-Nur Batu Caves dengan penyertaan hampir 150 orang pelajar rendah dan menengah. Sasaran awalnya hanya 100 orang peserta, namun sambutan di luar jangkauan sehingga ada beberapa penyertaan ditolak kemudiannya kerana kemampuan tenaga dan kemudahan yang terhad. InsyaAllah, ada rezeki kita buat lagi ye YB!


Melalui sambutan baik ini saya temui strategi baru bagaimana merencana program yang memikat hati peserta malah ibu bapa. Pertama, buatlah program solat. Kedua, buatlah program smart belajar. Hal solat dan belajar sangat ditekankan oleh ibu bapa berbanding rekreasi. Ketiga, buat program yang berdekatan dengan sasaran anda yang dapat mengurangkan kos dan menjimatkan masa sasaran untuk ke tempat program. Keempat, beri pandangan awal yang baik. Kelima, layanilah setiap karenah ibu bapa walaupun pahit. Ibu bapa sangat rungsing akan perihal anak-anak mereka. Keenam, belajar psikologi kanak-kanak sebelum menghadapi mereka yang 'baik dan cerdik' ini. Bab ini saya paling gagal dalam kendaliannya sepanjang program. Mendepani peserta peringkat ini paling mencabar diri dan dicabar emosi mudah marah.



Mahu berkenalan dengan saya? Sudah tentu yang berbaju pink. Saya sukakan pink walau ramai yang tidak percaya. Pink itu romantik dan penuh nilai manja dan kasih sayang. Adakah saya seorang yang romantik, manja & penyayang? Oh, kita tinggalkan hal itu, tiada kaitan. Gambar saya dalam blog ini kebanyakannya tunduk. Tunduk itu tandanya dua, sama ada malu atau sibuk. Anda rasa yang mana satu? Saya dan adik sedang mentelaah senarai peserta. Hati berlagu puas, syukur dalam kepenatan. Walau kadang-kadang perasaan mendepani peserta di luar kawalan, namun ia memberi pengajaran dan pengalaman bernilai kepada saya - Belajar tentang kanak-kanak dan remaja baik dari segi interaksi, sikap, psikologi, bersosial, pendidikan dan apa sahaja yang membantu anda menjadi 'magnet' kepada mereka. Tanpa tekanan dan ditolak-tolak, anda boleh menarik mereka ke arah anda walau berlainanan cas tanpa merubah kedudukan anda sendiri. Saya kurang berjaya menjadi magnet tetapi menjadi kaget.



Jika mahu membaiki dunia, baikilah manusia. Jika ingin baiki manusia, kita perlu baiki hatinya. Untuk membaiki hati, kita perlu membaiki solatnya. Jangan hairan jika anda melihat adik dan anak anda seperti ada yang tidak betul pada diri mereka. Kenapa anak degil tidak mahu mendengar kata? Kenapa adik masih ingkar dengan sikap negatif sebagai makanan jiwa? Begitu juga dengan abang, kakak malah ibu dan ayah juga malas sembahyang. Cuba lihat pada hati mereka dengan melihat solat mereka. Anda akan temui sesuatu yang tidak kena. Hantarlah mereka ke mana-mana klinik solat yang berdekatan. Yakinilah solat sebagai ubat pencegah virus kemungkaran.



Amalkan prinsip 3S- Senyum, Salam & Sapa. Inilah yang diajar Islam dalam merapatkan jurang persaudaraan sesama insan. Hikmah solat penuh pendidikan. Salam seusai solat menemukan hati-hati dengan pertemuan yang jujur dan ikhlas di bawah satu bumbung jamaah Islam. Senyum diukir sebagai sedekah yang paling mudah. Sapalah dengan siapa yang anda temui agar pertemuan itu meninggalkan bekas di hati. Senyum, salam dan sapa - prinsip persaudaraan kita dan ketiga-tiganya dididik dalam solat berjamaah. Anda tidak akan menemuinya dengan sikap individualistik dalam melaksanakan solat.


Solat tiang agama. Fasilitator meminta ahli membina sebuah bangunan dari kertas manilakad. Bangunan kertas akan diuji dengan bata. Maka, kita akan lihat bangunan siapa yang roboh. Dari 10 kumpulan, dua sahaja kumpulan yang gagal. Moralnya, jika tiang kukuh, bangunan juga kukuh. Tetapi jika tiang tidak kukuh, bangunan menanti untuk roboh. Daripada sudut pandang kejuruteraan ini, fasi mengulas rasionalnya dengan tema 'solat tiang agama'.


Satu lagi modul yang dilaksanakan ialah mencantumkan puzzle. Satu keratan puzzle telah diasingkan sebelum aktiviti ini. Peserta akan mencantum dan melihat akan ada satu keratan puzzle yang kosong. Analogi seperti hati kita. Manusia yang tidak menunaikan solat seperti puzzle yang tidak sempurna tadi. Perasaan kosong, tidak tenang, serba tidak kena akan menjangkiti hati yang tidak mahu bersolat.



Hati budak. Budak-budak dia akan usaha apa yang dia mahukan. Dia akan cuba sampai dapat apa yang dia mahukan. Sebab itu jangan marah, jika ada anak-anak anda ada yang menangis sambil menghentak-hentak kakinya di hadapan kedai mainan lalu terjerit-jerit, "nak ultraman, nak ultraman". Selagi tidak dibeli, selagi itu dia tidak akan berhenti menangis. Tiada istilah 'katakan taknak' pada apa yang dia mahukan. Budak-budak bersungguh-sungguh, selalu bersemangat pada perkara yang disukai walaupun letih, cuba sehingga berjaya, degil dan keras hati. Contohilah sikap budak-budak dalam mencuba jaya apa yang kita kerjakan.



Orang kafir gerun kepada umat Islam terhadap dua perkara. Pertama, apabila melihat orang Islam berjamaah Subuh seperti ramainya jemaah Solat Jumaat. Dan kedua, apabila melihat pergerakan solat mereka adalah sama dan serentak ketika berubah dari satu rukun ke satu rukun. Pergerakan itu lambangnya cantik, membina, bersatu dan bersama-sama. Itulah kekuatan kita mendepani golongan Kuffar yang membantai umat Islam hari demi hari. Masalahnya, solat kita masih lemah!. Mereka tidak gerun kerana melihat solat kita seperti riadhah biasa-biasa saja.




Ahli jawatankuasa penggerak Klinik Solat melibatkan pelbagai peringkat usia. Ada yang tua, remaja, dewasa dan paling muda. Adik Ain salah seorang orang kanan saya. Membantu mengisi air wudhu' di dalam botol, memasukkan risalah di dalam fail, mengutip borang-borang penyertaan dan macam-macam lagi dilakukannya yang sedikit meringankan beban saya. Manakala makcik Minah, makcik Aishah, makcik Umi, dan makcik-makcik lain membantu menyediakan makanan program. Alangkah beruntung memiliki sahabat seperti Kak Paeh yang sentiasa 'on call' untuk membantu.



Ajarilah mereka mengambil wudhu'. Budak-budak memang suka membazir air. Mereka mengambil wudhu' seperti mandi, basah satu badan dan pakaian. Modul ini amat baik dipraktikkan untuk ibu-ibu yang ingin mendidik anak mereka berjimat cermat. Berikan sahaja mereka satu botol air setiap kali hendak berwudhu'. Apa yang diamalkan semenjak kecil, akan berkesinambungan sehingga besar. InsyaAllah, anak-anak anda akan mengurangkan beban ibu bapa untuk membayar bil air setiap bulan di samping membentuk anak-anak yang cermat dan tertib.


Tayamum yang tidak perlu diceritakan lagi...


Seorang anak murid saya yang dulu pernah berkata, "Macam mana nak solat ustazah, saya tak bawa telekung". Barangkali anda juga pernah mendengar, "Macam mana nak solat ni, tak de sejadah". Hal ini menyebabkan anak-anak lahir dengan persepsi sempit tentang solat. Nah, amik ni...solat je kat tanah. Sesungguhnya bumi Allah sentiasa disamak olehNya dengan air hujan hampir setiap hari.

Itu saja...InsyaAllah, jika hati saya juga seperti hati budak, saya akan cuba sambung lagi walau sudah letih kepala...

Wassalam

Friday, January 23, 2009

MEMUNTAHKAN MASALAH YANG MENGOTORKAN PERSEPSI...SAYA STRESS

Hari ini hari terakhir untuk melangsaikan gerak kerja program Klinik Solat Remaja. Esok program bermula dan saya bakal bergelar doktor. Saya hampir hendak pitam ketika keluar ke Pertama Kompleks tengah hari tadi. Tiada apa yang ingin dicari, sekadar mencari ketenangan diri di sebalik minda yang kusut dan kabut ini. Sebenarnya saya mahu rehat daripada berfikir masalah kerja dan program. Kemungkinan itu bukan cara terbaik mengurangkan stress, tapi saya sedikit lega sejak pulang dari keluar tadi.


Kenapa saya harus memilih sibuk, sekiranya sibuk itu menjadikan saya semakin berat kepala?. Sepanjang minggu ini selera makan saya berkurang. Mandi tak basah, tidur pun tak lena. Kerunsingan menjemput satu-satu perkara menjadi masalah. Asalnya bukan masalah, tetapi menjadi masalah kerana tiada jalan penyelesaian dengan ketenangan.


Ketenangan bisa menarik apa jua perkara yang susah menjadi senang. Namun sebaliknya, kerunsingan menarik apa jua yang senang menjadi susah. Susah, senang, susah, senang, susah, senang. Itulah perkataan yang saya zikirkan hampir setiap hari. Akhirnya zikir menjadi fikir. Manusia bertindak mengikut apa yang difikir. Saya turut tidak terkecuali.


Sepanjang 6 tahun berjuang di alam kampus, saya tidak pernah merasai stress seperti ini. Sekalipun jadual harian saya padat dengan program, usrah dan meeting, saya hadapinya sebagai cabaran bukan masalah. Kesibukan itu menjadi perkara yang paling disukai dalam hidup. Terasa hidup sarat dengan makna apabila sibuk itu berkunjung tiba. Memaknakan setiap inci masa yang ada demi memaknakan hidup.


Sebaliknya saya rasai kini. Saya mencari di mana kesilapan saya hingga stress itu kadangkala gagal dengan kawalan iman. Keletihan fizikal dan kelesuan minda turut membawa kelesuan spiritual itu sekali.


Emosi. Ya, emosi. Streng emosi saya gagal dikawal dalam pemanduan kali ini. Seolah memandu dengan pecutan laju tapi peraturan jalan raya tidak dipatuhi semata-mata ingin sampai cepat ke destinasi. Maaf, andai saya tidak mampu memberi ‘sentuhan’ jujur kepada kalian di sekeliling saya. Maaf sekali lagi jika saya menjadi pemandu kehidupan yang kurang bersopan hanya kerana sebuah emosi yang berkehendakkan perhatian.


Saya menjumpai sesuatu di fikiran setelah menghitung-hitung diri semenjak semalam. Kemungkinan stress itu berpunca daripada tuntutan tanggungjawab apabila tinggal bersama keluarga. Di kampus membujang, hidup seperti orang bujang. Hanya fikirkan diri sendiri dan tuntutan tanggungjawab ‘saya’ dan ‘ini’. Apabila sudah mula tinggal bersama ibu dan ayah, keperluan dan hati nurani mereka juga perlu dilayan. Tanggungjawab ‘saya’ dan ‘ini’ bertukar menjadi tanggungjawab ‘kita’ dan ‘kami’.


Tanggungjawab terhadap keluarga bukan suatu masalah sebenarnya. Ia tanggungjawab yang perlu dipikul oleh semua. Meskipun begitu, jika tanggungjawab itu ditambah dengan taklifan sebagai ‘aktivis masyarakat’, ia bukan tanggungjawab mudah. Perlu fikir layanan kepada diri, ‘sentuhan’ jujur pada ibu bapa, kemesraan pada ahli keluarga, perhatian pada kerjaya dan sebahagian masa lagi untuk kehendak kemasyarakatan. Semua kehendak itu menjadikan saya tersedak-sedak dan memuntahkan setiap perkara sebagai masalah yang mengotorkan persepsi diri.


Saya ingin mencari makna dalam hidup. Sesungguhnya hidup saya bukan ada saya seorang. Bukan ‘saya’ dan ‘ini’ tetapi ‘kita’ dan ‘kami’. Dalam memurnikan kehidupan ‘kita’ dan ‘kami’, pengorbanan dan mujahadah perlu tinggi. Lupakan segalanya sebagai masalah tetapi kembali menanggapinya sebagai cabaran dan peluang. Cabaran mencorak kematangan fikiran, peluang menggarap revolusi diri. Dengan ada kedua-duanya, kita bakal menjadi manusia unggul yang sentiasa dibicarakan Tuhan kepada dewan Malaikat.


“Lihat hambaku ini, tuliskanlah pahala baginya”. Saya rindukan ‘bicara’ Tuhan di kalangan Malaikat Rakib-Nya, bukan Atidnya. Sehingga hari ini, garapan syukur saya tidak akan kering demi meraih sebuah cinta dari empunya cinta. Cinta yang membebaskan saya melakukan apa saya untuk memperoleh kehidupan dengan penuh Redha. Cinta yang mengikat saya dengan tali-tali agamaNya. Ya Tuhan, jangan biarkan tali itu putus selagi tidak putus nyawa hambaMu ini….

Ah, stressku semakin berkurang...


Thursday, January 22, 2009

UKHUWWAH TEMPOYAK


"Tempoyak mak memang sedap", kata adik saya.

“Tempoyak mak engkau memang sedap”, kata jiran saya.

Saya mengakuinya.


Saya tidak sukakan durian, maka tempoyak tidak sama sekali berada dalam senarai makanan yang saya idam-idamkan selalu. Ketika belajar membuat sambal tempoyak tempoh hari, saya tercari-cari di manakah keistimewaan tempoyak. Campur bawang, kunyit, cili api, ikan bilis dan durian yang diperap lalu masukkan ke dalam kuali berminyak, goreng, dah siap!. Lah, ini saja rupanya.


Apa yang membuatkan sambal tempoyak emak sedap? Bukan masakan ini sahaja, bahkan masakan emak yang lain juga tidak dinafikan kehebatannya oleh ahli keluarga dan jiran tertangga. Saya rela menahan lapar ketika seharian bekerja, mengosongkan perut yang kecil ini demi merasai masakan ibu sendiri ketika pulang bekerja nanti.


Seringkali apabila menyebut tentang masakan ibu, ia akan dikaitkan dengan ‘air tangan’ ibu. Jika menjamu selera di sebuah hotel terkenal yang dimasak oleh seorang chef yang hebat sekalipun, menunya tentu sama sekali tidak dapat menyayingi hasil masakan dari ‘air tangan’ seorang ibu. Biarpun ibu kita bukan seorang pakar memasak.

Ah, tentu kalian akan merindui ibu kalian yang berjauhan kini.


Apa yang kalian faham tentang ‘air tangan’ ibu? Kemungkinan ada yang berfikir bahawa ‘air tangan’ itu ialah sentuhan tangan ibu kepada bahan masakan lalu sentuhan itu menghasilkan ‘air tangan’. Makanan dipotong, dibersihkan, dibasuh dan dipegang oleh ibu, jadilah ‘air tangan’ ibu. Oh, jika begitu, tanggapan kalian sungguh cetek sekali.


‘Air tangan’ ibu adalah ibarat aliran kasih sayang seorang ibu. Bahkan ketika ibu melakukan apa sahaja demi anaknya termasuk membasuh pakaian, mengemas baju anak-anaknya, mengurut kepala anaknya yang sakit dan segala perlakuan berbentuk pengorbanan seorang ibu kepada anak, itu tetap dikira ‘air tangan’ ibu. Bukan sekadar proses menyediakan makanan. ‘Air tangan’ itu adalah aliran kasih-sayang.


Seorang chef memasak untuk memenuhi tuntutan kerjayanya sahaja. Namun, seorang ibu melakukan tanggungjawab yang sama demi sebuah kasih sayang, pengorbanan dan keikhlasan yang sangat luar biasa terhadap anak-anaknya. Dari situlah, terhasil ‘air tangan’ yang sentiasa dikenang-kenang. ‘Air tangan’ yang sarat dengan kasih sayang lebih-lebih lagi dari seorang ibu yang tidak dapat dinafikan keunggulan sifat penyayangnya.


Sekalipun saya berjaya sebagai seorang chef kelas pertama, belum tentu adik saya akan memuji masakan saya seperti mereka memuji masakan ibu saya.

Lantas, kerana itulah tempoyak emak sedap!


Tempoyak Saya Untuk Nahwan

Selasa tempoh hari, saya ke UIA atas tugasan majalah. Isnin malam sebelum itu, entah kenapa saya begitu bersungguh-sungguh belajar masak tempoyak daripada emak. Sebagaimana yang saya maklumkan pada kalian, saya tidak sukakan tempoyak, maka buat apa saya begitu kepingin belajar, menjamahnya pun jauh sama sekali.


Segalanya untuk adik nahwan yang amat saya sayangi. Dia permata hati saya. Saya sangat sayangkannya. Tapi tidak pastilah jika saya sudah berkahwin nanti…huhu…


Nahwan sangat sukakan tempoyak. Kesempatan ke UIA tempoh hari diambil untuk bersua dengan Nahwan. Saya masakkan sambal tempoyak untuknya. Segalanya, demi sebuah kasih sayang sekalipun bukan dari seorang ibu, tetapi daripada seorang kakak kepada adiknya. Sungguh indah bukan harga sebuah kasih sayang. Sanggup berbuat apa saja demi orang yang tersayang.

Harapnya, Nahwan juga akan merasai ‘air tangan’ saya.


Izinkan Saya Bercerita

Seorang wanita sedang keluar dari rumahnya, apabila dia terlihat tiga orang lelaki tua berjanggut panjang yang berwarna putih sedang duduk dihalaman rumahnya. Dia tidak kenal akan mereka.


Wanita itu bertanya, "Saya tidak fikir saya mengenali awak semua, tetapi saya pasti awak semua mesti sedang lapar.. Silalah masuk ke rumah saya dan makan sesuatu”.


"Kami tidak akan masuk ke dalam rumah bersama-sama."


"Mengapa begitu?", wanita itu ingin tahu.


Salah seorang daripada lelaki tua itu pun menerangkan:

"Namanya ialah Kekayaan", dia berkata sambil menunjuk ke arah salah seorang kawannya, dan beralih menunjuk ke arah kawan yang seorang lagi, “Dia adalah Kejayaan dan saya adalah Kasih Sayang.."


Dia menyambung lagi, "Sekarang masuklah semula ke dalam rumah dan berbincanglah dengan suami awak, siapakah di antara kami bertiga yang kamu ingin jemput ke dalam rumah.”


Wanita itu masuk semula ke dalam dan memberitahu suaminya perkara tersebut.


Suaminya berasa sungguh gembira. "Bagusnya!!", dia berkata.


"Kalau macam tu jemputlah Kekayaan masuk. Biar dia masuk dan mengisi rumah kita ini dengan Kekayaan!".


Isterinya tidak bersetuju.

"Abang, kenapa pula kita tidak menjemput Kejayaan?".


Kebetulan, anak perempuan mereka juga sedang mendengar perbualan itu dari satu sudut rumah yang lain. Dia lalu menyampuk dan memberikan pandangannya:

"Bukankah lebih baik sekiranya kita menjemput Kasih Sayang?. Rumah kita ini pasti akan diselubungi dengan Kasih Sayang!".


”Biarlah kita mengikut nasihat anak kita itu, keluar dan jemputlah Kasih Sayang sebagai tetamu kita”, kata suami itu kepada isterinya.


"Yang mana satu di antara kamu adalah Kasih Sayang? Silalah masuk dan jadi tetamu kami”.


Kasih Sayang bangun dan mula berjalan ke arah rumah tetapi kedua-dua lelaki yang lain juga bangun dan mengikutinya. Terperanjat, wanita itu pun bertanya kepada Kekayaan dan Kejayaan:


"Saya cuma menjemput Kasih Sayang, mengapa kamu juga ikut sekali?"


Mereka semua menjawab: "Jika awak menjemput samada Kekayaan atau Kejayaan, yang lain akan tunggu diluar, tetapi oleh kerana awak telah menjemput Kasih Sayang, ke mana-mana sahaja dia pergi, kami akan pergi bersamanya..


Di mana ada Kasih Sayang, di situ juga ada Kekayaan dan Kejayaan - itu asas kepada segalanya. Selagi ada Kasih Sayang!.


Berprogramlah Dengan ‘Air Tangan’

Pagi tadi, Kak Peah datang membawa artikel untuk program Klinik Solat Remaja pada Sabtu ini. Katanya, Makcik Aishah yang berpangkat ibu dan salah seorang AJK program begitu bersungguh-sungguh meminta artikel itu dijadikan sebagai modul PDK program.


Saya menerima pandangan itu. Sekalipun artikel itu nampak seperti remeh dan sedikit menganggu perancangan pengisian program yang sudah dirangka, saya akan menerimanya.


Saya bukan meraikan pandangan AJK lain, atau sekadar mengambil hati makchik Aishah tetapi penerimaan itu adalah lahir dari sebuah kasih sayang. Saya percaya kobaran semangat makchik Aishah yang meminta artikel itu disuguhkan dalam modul program adalah datang dari sebuah nilai kasih sayang seorang ibu kepada peserta yang dianggap seperti anak-anaknya.


Ya, ‘air tangan’ seperti ibu itu lebih bermakna dalam hati anak-anak peserta program ini. Malah lebih tinggi nilainya dari idea skrip modul yang saya siapkan hampir 1 minggu.


Semoga, kandungan artikel itu bakal terkesan dalam jiwa para peserta kerana ia lahir daripada sebuah kasih sayang yang ikhlas dan jujur dari seorang ibu tua.


Berprogramlah kalian dengan kasih sayang. Saya yakin biarpun kemampuan kalian terhad, namun kasih sayang itu akan menjadikan program kalian ‘Kaya’ dan ‘Berjaya’.


Kasih Sayang akan menjemput Kekayaan dan Kejayaan itu bersama-sama.


p/s: Kerana itu saya rasa sungguh bertuah, kerana ibu-ibu yang akan memasak untuk menu makanan program nanti, tanpa tempahan, tanpa sebarang bayaran untuk suatu keuntungan. Alahai, ‘air tangan’ ibu…moga ia lebih berbekas di dalam hati anak-anak peserta nanti.



Monday, January 19, 2009

HANYA ORANG SIBUK ADA MASA


‘Hanya orang sibuk ada masa!’


Pepatah ini mengubah paradigma pemikiran saya buat seketika ketika membelek buku ‘Mengurus Kerja dan Waktu’ tulisan Saudara Fadzly Yusuf. Fikiran saya yang batu dan buntu ketika itu dek kerana dihimpit oleh kerja membukit, meletakkan diri saya terlalu obses dengan masa. Merasakan diri seolah-olahnya sibuk sehingga acapkali mengkesampingkan hal-hal yang dianggap 'runcitan'.


Saya percaya ada di kalangan anda begitu. Apabila kehidupan dihimpunkan dengan kesibukan demi kesibukan, mulalah berpersepsi seperti ini - ‘orang sibuk tiada masa.’


Maka akan kedengaran kata-kata berbau alasan bagi mengenetepikan ajakan untuk berbuat sesuatu yang lain, yang dianggapnya menganggu kerjanya sebelum itu. Adalah merugikan bila kesibukan itu berbentuk peribadi dan hasilnya bukan manfaat untuk dikongsi-kongsi.

“Ah, takde masalah nak buat perkara tu, saya sibuk.”


Kedua-dua kosa kata ini sememangnya sangat sinonim dengan orang yang sibuk. Sibuk ertinya tiada masa. Sibuk, tiada masa. “Sori, takde masa lah, saya sibuk!”.


Mengaku tiada masa kerana sibuk, mengaku sibuk lalu tiada masa. Persepsi yang menjadikan diri seorang yang obsesif.


Kesibukan secara tidak langsung meletakkan diri kita sebagai seorang individu yang sentiasa mempunyai masa, bukan tiada masa. Kehadiran masa yang bergerak saat ke saat, minit ke minit, jam ke jam, adalah suatu yang sangat dihargai secara tuntas oleh orang yang sibuk. Perkara yang sama tidak pragmatik bagi seorang penganggur mahupun pemalas. Bagi mereka, tiada catatan masa sebagai pelari pecut yang mengejar lawannya di gelanggang olahraga masa.


Sesaat masa adalah usaha seorang pekerja,

sesaat masa adalah hasil seorang petani,

sesaat masa adalah ilmu seorang pelajar,

sesaat masa adalah karisma seorang pemimpin,

sesaat masa adalah idea seorang penulis, dan;

sesaat masa adalah keuntungan seorang peniaga.

Sesaat masa berbuah pahala seorang ahli ibadah.


Jangan mengaku bahawa anda individu yang sibuk, jika masih gagal mengoptimakan usaha dalam sesaat masa. Jika anda sibuk, tandanya anda mempunyai masa kerana kehadiran masa sentiasa dihargai oleh mereka yang sibuk. Hakikatnya, orang yang sibuk adalah di kalangan yang bijak mengendalikan masanya. Dia mempunyai masa dan dia belajar mengendalikan masanya, agar setiap inci masa adalah kepunyaannya.


Jika mengaku sibuk tetapi masih gagal mengoptimakan masa sebaik mungkin, tandanya anda bukan sibuk tetapi penyibuk! Sibuk pada urusan yang tidak perlu adalah sikap seorang penyibuk. Bijaklah mengutamakan mana yang lebih utama agar kita tidak menjadi pembunuh kepada diri sendiri dengan bius kesibukan yang tidak perlu.


Waktu kosong itu tidak ubahnya seksaan halus ala penjara cina; meletakkan seorang tahanan di bawah paip air yang hanya dapat menitiskan air satu titis setiap minit selama bertahun-tahun. Dan dalam masa penantian yang panjang itulah, biasanya si tahanan menjadi stress dan gila. Bunuhlah waktu kosong dengan ‘pisau’ kesibukan. Dengan cara itu, doktor-doktor dunia akan berani menjamin bahawa anda telah mencapai 50 peratus kebahagiaan.


Oleh itu, bangkitlah kalian sekarang juga. Kerjakan solat, baca buku, bertasbih, mengkaji kitab, menulis, mengemas meja kerja, berprogram atau berbuatlah apa sahaja yang bermanfaat bagi orang lain untuk mengusir kekosongan itu. Jangan berhenti sejenak pun dari melakukan sesuatu yang bermanfaat.


Renungilah kata-kata pepatah Arab, “Statiknya air akan merosakkannya, statiknya pemuda (dengan banyaknya masa lapang) akan membunuh dirinya”.


Elakkan statik. Jadilah pemuda dan pemudi yang dinamik, menggerakkan enjin diri dengan kecepatan paling tinggi. Jangan lupa, servislah enjin itu selalu agar tidak mati ditengah jalan dan tahan lasak dalam jangka usia yang lama.


"Terima kasih Tuhan kerana menjadikan saya seorang yang sibuk. Semoga kesibukan ini akan berterusan bagi mencari bekal mengisi kelompongan buku amalan kananku."


Sudahkah kita bersedia menghadapi Hari Sibuk di SANA…? Jika belum bersedia atau tidak cukup persediaan, jangan mengaku sibuk! Semoga kesibukan di dunia membantu kelapangan kita di akhirat.



Thursday, January 15, 2009

SAYA MENGAJAK ANDA MEMBINA KLINIK

Suatu hari sahabat kita mengadu sakit. “Aku rasa macam nak demam la hari ini.”


Maka, apa jawapan yang kerap kali kita dengar bila diaju soalan sebegini? Jawapan kita tentu sama dengan apa yang selalu didengar;

“Pergilah klinik, dibiarkan demam tu takut semakin teruk.”


Hakikatnya begitu, sakit jumpa doktor. Sakit formulanya ubat. Sakit tempatnya di klinik atau lebih kritikal ke hospital. Membiarkan sakit bererti menempah tiket kemelaratan lalu membiarkan penyakit itu semakin memakan jasad hari demi hari.


Ketika itu, doktor umpama harapan penyembuhan penyakit yang kita alami. Biarpun terpaksa mengeluarkan wang yang banyak, namun kita tidak kisah. Perasaan gelisah kita semacam satu tekanan untuk kita tidak ambil kisah tentang wang yang akan keluar asalkan kesihatan kembali ke sedia kala.


Itulah kita, demi sebuah jasad…kita melakukan apa sahaja.


Barangkali kita jarang mendengar tentang persoalan yang satu ini.

“Aku rasa solatku semakin sakit hari demi hari.”


Dan kita tentu tidak sama sekali mendengar jawapannya pula;

“Pergilah ke Klinik Solat, dibiarkan sakit itu, takut semakin teruk.”


Hakikatnya begitu, tiada yang sedar bahawa solatnya semakin sakit. Puas dicari sumber ketenangan dalam diri termasuk merangka keseronokan untuk mengembalikan hatinya yang semakin lemas dengan kesibukan dunia. Solatnya yang sakit itu dibiarkan tanpa ubat yang boleh mengembalikan semula kesihatan solatnya. Sebab dia merasakan bahawa solatnya yang sakit itu bukan suatu penyakit!


Jarang manusia sedar, rohaninya yang sakit berbanding fizikalnya dan akalnya. Ramai yang berusaha mencari ubat menyembuhkan penyakit fizikalnya. Tak kurang juga yang menyambung pelajaran setinggi yang boleh bagi mengubati kerendahan akalnya. Untuk mengeluarkan wang demi sebuah penyembuhan rohani yang sakit adalah jauh sama sekali.


Itulah kita, solat kita juga perlu ke KLINIK!

Carilah DOKTOR untuk mengubati penyakit itu.


Ini adalah program terbaru saya. Sekadar berkongsi idea, mana tahu ada di kalangan anda yang berminat untuk menjadi DOKTOR menyembuhkan SOLAT YANG SAKIT. Kita sekadar menjadi doktor pelatih, namun Allah jualah Doktor Pakarnya - yang Maha Penyembuh & Maha Memberi Petunjuk.

Semoga Allah memudahkan segalanya...

Tuesday, January 13, 2009

BOIKOT BERSTRATEGI



Memahami Dasar Pemboikotan

Dalam apa-apa tindakan kita sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh lari daripada kerangka dasar yang mengikat kita, iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Justeru, tindakan kita memboikot barangan produk Yahudi dan sekutunya Amerika merupakan suatu yang dituntut oleh Islam. Imam al-Bukhari telah meletakkan satu subtopik dalam kitabnya, Sahih al-Bukhari:

بَاب الشِّرَاءِ وَالْبَيْعِ مَعَ الْمُشْرِكِينَ وَأَهْلِ الْحَرْبِ

Maksud: Bab berjual beli dengan orang-orang musyrikin dan mereka yang memerangi Islam.


Di dalamnya, al-Bukhari merekodkan satu hadith yang diriwayatkan oleh Abd al-Rahman bin Abi Bakr:

كُنَّا مَعَ النَّبِىِّ - صلى الله عليه وسلم - ثُمَّ جَاءَ رَجُلٌ مُشْرِكٌ مُشْعَانٌّ طَوِيلٌ بِغَنَمٍ يَسُوقُهَا فَقَالَ النَّبِىُّ - صلى الله عليه وسلم - « بَيْعًا أَمْ عَطِيَّةً أَوْ قَالَ أَمْ هِبَةً » . قَالَ لاَ بَلْ بَيْعٌ . فَاشْتَرَى مِنْهُ شَاةً

Maksud: Sesungguhnya kami duduk bersama dengan Nabi s.a.w. kemudian datanglah seorang lelaki Musyrik yang rambutnya kusut masai dan panjang dengan seekor kambing yang dia gembala. Maka Nabi bertanya: “(Adakah kambing ini) Dijual atau diberikan?” (atau perawi syak; adakah ia hadiah?) Dia menjawab, “Tidak, bahkan dijual.” Maka, Nabi pun membeli daripadanya seekor kambing. (al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, jil. 8, hlm. 196, No. Hadith: 2216)


Imam al-Nawawi ketika menghuraikan persoalan tentang bolehkah bertransaksi dengan orang-orang yang memerangi Islam, telah menyatakan: “Telah sepakat orang-orang Islam ke atas keharusan untuk berurus niaga dengan Ahli Zimmah (orang-orang yang mengikat janji dengan Kerajaan Islam), dan selain daripada mereka yang terdiri daripada orang-orang Kafir, selagi mana ia tidak melibatkan barangan yang haram. Tetapi tidak harus untuk seorang Islam untuk menjual senjata atau peralatan perang kepada orang-orang kafir yang memerangi Islam, dan tidak boleh bertransaksi dengan apa-apa yang membantu dalam menegakkan agama mereka.” (al-Nawawi, Syarh al-Nawawi ala Muslim, jil. 5, hlm. 478)


Perlu difahami bahawa, hukum asal berurusniaga dengan orang-orang kafir (termasuk yang memerangi Islam) adalah harus dengan syarat barangan itu halal di sisi Islam. Ia menjadi haram sekiranya keuntungan dan manfaat dari transaksi itu digunakan untuk memerangi Islam sama ada secara langsung atau tidak. Justeru, pemboikotan barangan Amerika dan Yahudi pada hari ini sangatlah bertepatan, kerana mereka sangat memberi komitmen kewangan kepada negara Yahudi, ISRAEL. Ia sesuatu yang tidak boleh disangkal!

Monday, January 12, 2009

SEKADAR BERCERITA TENTANG IKON SAYA

Jika ditanya kepada saya, ke manakah tempat yang ingin sekali dijejaki langkah ini, saya akan menjawab, ‘Sudah tentu Palestin’. Jika ditanya lagi, siapakah individu yang ingin saya temui, jawapan saya sudah tentu 'pejuang Hamas yang kental jiwanya.'


Satu catatan pengalaman yang paling manis sebagai wartawan, jika saya diberi peluang membuat liputan di Palestin dan menemubual pejuang Hamas. ‘Aku ingin berjuang bersama kalian’ – itulah artikel yang bakal dikeluarkan jika saya balik dari Palestin nanti.


Jika dilanjutkan pertanyaan, siapakah idola wartawan saya?. Saya teringin sekali menjadi seperti wartawan Iraq, Muntazer al Zaidi. Keberanian seorang wartawan yang membalingkan kasut busuknya ke arah Bush. Kasut busuk memang sesuai dilempar ke muka orang yang berhati busuk! Saya teringin sekali melemparkan kasut tumit tinggi milik seorang wartawan wanita seperti saya. Tentu penangan kasut tumit tinggi lebih membengkak seperti bengkaknya hati saya kepada seorang kafir Harbi.



Seperti meminjam komen Tuan Guru Nik Aziz, Menteri Besar Kelantan tentang Muntazer. Komen ini sungguh menggeletek hati saya. "Bagi mereka yang pandai melukis boleh guna kartun dan bagi mereka yang tiada kaedah lain bolehlah guna kasut”, komen tok guru.


Isu Muntazer sudah lama ditinggalkan setelah isu Palestin mengambil tempat di dada akhbar. Bagi saya, seperti ada kronologi antara dua isu besar ini. Sepasang kasut dilempar ke arah seorang Yahudi buta, dibalas dengan beribu-ribu soldadu peluru ke atas umat Islam yang celik.


Hanya sepasang kasut, mencalar keegoan Si Yahudi Buta.

Kemungkinan selepas ini, bom lebih sesuai untuk Bush!

Friday, January 9, 2009

PUISI: AKU PALESTIN

Ku lepaskan sejuta merpati
Dari langit ke gersang tanah ini
Terbang membawa surat kedamaian.

Aku Palestin!
Wayang kepahitan kemanusiaan
Tersepitku dengan dogma kedurjanaan
Antara angkuh dan aneh percaturan

Aku Palestin!
Penyanyi lenggok persaudaraan
Ku hantarkan sejuta nyanyian
Ke rantau dan daerah perkasihan

Pemimpin dan para pembicara petah
Di Bangsa-Bangsa Bersatu,
Rupanya hanya simbiosis sobekan berita
Dari wajah-wajah kehilangan cerita
Mereka terdiam, kelu terbelenggu
Di meja persidangan yang keliru!

Oh, berikan aku harum-haruman
Dari kuntuman zaitun itu
Lalu disebar oleh angin Selatan yang temaram
Buat ku redakan pedih
Dan dalamnya tangis

Siapakah yang belajar dari sejarah
Yang selalunya setia berkisah?
Lenakah tidur,
Saat kau menyaksikan carik
Igauan mereka yang rakus
Lapar dan rakuskan kuasa!

Ini tanah air mataku, Palestina
Siangku menepis serbu kejahatan
Malamku menipis sebu warga walang
Berikan aku haruman dari zaitun itu
Hilangkan bau busuk sebuah benci

Aku Palestin!
Diomok prahara peradaban
Nanar dan kasar

Aku yang memusuhi permusuhan
Cintaku hanya cinta persaudaraan
Rinduku hanya rindu kemanusiaan
Abadi dan berkekalan

090109/12.30pm

Tuesday, January 6, 2009

REZEKI PENDAKWAH: MEMBERI BUKAN SAHAJA MENERIMA

Keluangan masa mengejar deadline yang ditujah tekanan minda dan emosi mendorong saya kembali menulis diblog ni. Hendak diikutkan kekangan, sememangnya tiada masa percuma untuk menyuguhkan seni menulis blog buat masa ini. Saya kelusuh apabila bahan untuk ruangan topik masih di awangan email yang belum dibalas. Namun, ada yang kata blog tempat meluah rasa, saya percaya dan kerana itu saya menulis.






Selepas melabuhkan punggung di tempat duduk bas tempoh hari, saya mahu belajar menjadi orang Jepun yang rajin membaca. Walau di mana sahaja, mereka pasti membaca. Saya kepingin menjadi orang Jepun sekejap, lantas saya membuka majalah Solusi – membaca. Tertarik pada ruangan kata dua – Rezeki yang Cukup vs Rezeki yang Tidak Cukup-cukup.


“Katalah, kita memiliki wang lima puluh ringgit. Tiba-tiba seorang yang sangat memerlukan pertolongan datang memohon bantuan. Terkesan dengan kesusahannya, kita menghulurkan bantuan. Kita hulurkan separuh wang yang ada kepadanya – dua puluh lima ringgit.”


“Maka yang tinggal buat kita ialah bakinya dua puluh lima ringgit. Dengan itu, apakah wang kita bertambah atau berkurang?. Tentu sahaja jawapan kita ialah berkurang. Jumlah wang kita telah susut dua puluh lima ringgit.”


“Itulah jawapan kita. Tetapi bukan itu ‘jawapan’ Allah. Bagi Allah, sekiranya hati kita ikhlas membantu, wang kita tidak akan berkurang, malah semakin bertambah.”


“Dilihat dengan pandangan biasa, memang wang kita menyusut, tetapi pada pendangan mata hati, wang kita sebenarnya telah bertambah. Bertambah bukan setakat sekali, dua kali atau tiga kali ganda, bahkan tujuh ratus kali ganda. Jika dinisbahkan secara matematik wang RM 25 kita telah ‘bertambah’ menjadi RM 17,500!”


Saya menoktahkan seketika bacaan saya selesai perenggan ini. Hanya kerana RM 25, kita menjadi kaya serta merta!. Alangkah ruginya mereka yang lokek menyumbang kerana kedekut perilaku. Inikan pula menyumbang untuk membangunkan masyarakat Islam yang kian jengkel tamadun sikap tanpa peradaban. Dalam erti kata lain – menyumbang sebagai pembantu jamaah Islam dan gerakan dakwah, menyelamatkan seantero dunia Islam yang semakin tersepit ini.


Serasa rusuh hati kita. Porak peranda sudah dunia, entah bila Tuhan akan mendatangkan kita cahaya itu, sedangkan kita kikir memberi apa yang kita ada.


Perhatikan benar-benar maksud firman Allah ini:

“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti biji benih yang menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakinya.” (Surah Al-Baqarah: 261).”


Rezeki pendakwah ialah apa yang diberi.

Jika anda rasakan dibahu anda tersemat sayap pejuang agama-Nya, maka tiada kekhuatiran anda terhadap peribahasa ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’. Sedikitnya mencukupi, banyaknya boleh diagih-agihkan.


Sayidina Ali pernah mengungkapkan: “Harta yang menjadi milik kamu yang sebenar ialah harta yang kamu belanjakan ke jalan Allah.”


Saya menyambung menjadi orang Jepun kembali. Meneruskan pembacaan artikel itu sehingga pada satu perenggan yang melatari keterujaan saya terhadap sifat pendakwah yang sentiasa memberi.


“Justeru, boleh dikatakan bahawa rezeki itu bukanlah sesuatu yang kita terima, sebaliknya apa yang kita berikan. Semakin kita berikan, rezeki (boleh jadi dalam bentuk harta, ilmu, masa, tenaga) akan semakin ‘bertambah’ apabila dibelanjakan di jalan Allah. Rezeki yang kita simpan hakikatnya belum tentu kepunyaan kita. Mati boleh datang tiba-tiba. Sebaik kematian datang, rezeki kita sudah bertukar tangan – menjadi pusaka, warisan setelah difaraidkan.”


Alhamdulillah, hati saya semakin lapang setelah membacanya. Saya bukanlah pekerja yang bergaji besar. Pada pandangan setengah orang, pendapatan yang diterima tidak setimpal dengan kelulusan Ijazah yang dimiliki. Saya boleh memohon pekerjaan lain jika saya mahukan wang setebal buku di dalam dompet. Apa yang menggugahkan saya untuk terus diposisi biasa-biasa saja, tanpa jawatan yang diidam-idamkan, tanpa pendapatan yang lumayan, berkhidmat di sebuah syarikat besar, bekerja siang malam dan hujung bulan mengeluarkan wang di bank untuk pergi bercuti?


Minda saya kembali mengingati suatu memori berjuang saya semasa tamat diploma sedikit masa dulu. Sewaktu itu, saya begitu betah menganjurkan program remaja di kawasan saya. Hati kecil saya cukup terasing tanpa melakukan apa-apa. Hanya melihat anak dara sekampung bertelanjang tidak cukup kain, berasmara di tepian jalan, ada yang jadi ‘monyet’ bergayut menelefon teman lelakinya, merempit barangkali juga ada. Ada yang tanpa segan silu merapatkan buah dadanya di belakang ‘boyfriend’ sewaktu bermotor. Rambut mereka juga cantik, tiada yang bewarna hitam. Malah, dikhabarkan anak jiran terdekat menjadi pembunuh!.


Bak kata pepatah melayu lama; ‘Dari jauh orang angkat telunjuk, bila dekat orang angkat mata’.


Pendapatan kerja yang saya terima, saya asingkan sedikit sebagai peruntukan program. Secara sukarela dengan sokongan sahabat, saya memulakan langkah merencana sesuatu buat mereka. Penat dan payah. Namun, gusar hati lebih menebal tanpa melakukan apa-apa. Pernah suatu ketika, gaji saya yang baru diperolehi dibelanjakan keseluruhannya kerana lewat menerima peruntukan program. Ketetapan hati dan keyakinan kepada Allah, cukup sekadar peninggalan harta yang paling mahal dengan wang kosong di bank.


Adakah pengorbanan ini boleh disama tarakan dengan ucapan Abu Bakar ‘cukuplah aku meninggalkan Allah dan Rasul’ bila ditanya Rasulullah ‘apakah yang kamu tinggalkan buat keluargamu setelah semua harta kamu diinfakkan ke jalan jihad?’. Sungguh kita tidak mampu mencapai iman setinggi Abu Bakar. Hendak mengeluarkan wang RM 25 pun sudah keluh-kesah.


Saya yakin dengan keberkatan rezeki dengan sifat sentiasa memberi. Alhamdulillah, dengan rezeki yang cukup-cukup itu, saya boleh membiyai wang pengajian sewaktu menyambung Ijazah. Saya pun tidak tahu mana datangnya rezeki itu. Gaji banyak dibelanjakan untuk melaksanakan program, tetapi jalannya terasa mudah, terasa rezeki datang mencurah-curah. Mana datangnya rezeki itu?


Sedikit yang mengingatkan lebih baik daripada banyak yang melalaikan. Mensyukuri sedikit nikmat mengundang limpahan berkat. Besar kemungkinan keberkatan rezeki yang sedikit itu, menjadikan rezeki itu cukup bukan rezeki tidak cukup-cukup.


Rezeki orang mukmin yang menyerahkan harta, masa & tenaganya untuk Islam sentiasa cukup. Tengok, pergi usrah pun dapat makan. Yang banyak diberi, yang sedikit dikongsi.


Yakinlah dengan Berkat Dhuha dan Al-Waqiah.

Bicara YM bersama seorang sahabat tempoh hari ditundakan sebentar.


“Maaf, ana mohon berundur sekejap. Ana belum solat dhuha”, lebih kurang bicara sahabat itu.


Saya amat mengkagumi mereka yang boleh istiqamah dengan Solat Dhuha. Disitulah pintu rezeki yang berkat dibuka seluas-luasnya oleh Al-Razzak (Maha Pemberi Rezeki) dan Al-Wahhab (Maha Pemberi). Yakinilah Dhuha dan Al-Waqiah sebagai duta penyelamat kemiskinan dan kepapaan seperti yang disabdakan Rasulullah.


“Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah, tidak akan menjadi miskin selama-lamanya.”


Ingat lagi ketika saya bekerja selesai tamat degree. Suatu yang membetahkan saya bekerja apabila majikan kami telah mewajibkan kakitangan melakukan Solat Dhuha dan Al-Waqiah yang dijadikan salah satu peraturan syarikat. Ternyata, rezeki syarikat mencurah-curah dan projek yang tidak putus-putus. Walau dihambat nuansa ekonomi yang menjuman, kami masih lapang dada dan mudah urusannya.


Tiada kata lain melainkan ucapan syukur saya kepada Allah yang sentiasa memelihara kerja buat saya sehingga hari ini. Allah pengatur hidup saya walau adakalanya sesuatu itu berlaku di luar jangkaan dan tidak disukai.


Allah ‘planner’ terbaik kita agar setiap yang lahir dari tingkah laku menjadi kebaikan yang mengundang takwa. Bukan baik pada lahirnya sahaja tetapi tidak ada nilaian takwa di sisi Allah. Maka, untuk mengharapkan yang baik-baik, kita perlu menjadi baik!.


Semoga yang dinukilkan kali ini bukan berniat untuk mendabik dada dengan setiap kelebihan. Saya menceritakan perihal diri saya, sama seperti saya menceritakan nikmat yang diganjari Allah kepada saya. Harapnya Allah menetapkan telapak kaki kita di landasan mendaulatkan agama-Nya untuk melihat Islam kembali di pandang tinggi. Yakinilah dengan Allah, Pemberi Rezeki.


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO