Friday, February 27, 2009

USRAH INTELEKTUALISME

Kelmarin Nisa’ Gombak bermeeting lagi. Mesyuarat kali ini berkisar tentang Nisa’ Indoor Games peringkat Negeri Selangor dan Malaysia, juga program Karnival Gombak Setia – Menjana Ekonomi Ibu Tunggal.


Merasa akan peri pentingnya usrah remaja, kami membincangkan bagaimana cara untuk menghidupkan kembali aktiviti tarbiyyah generasi muda ini. Hal yang sama ditekankan oleh Ustaz Idris Ahmad dalam Kursus Nuqoba’ yang lalu. Beliau menangis kerana terkilan usrah semakin terhakis dalam pembentukan amilin Islam.


Saya adalah AJK Nisa’ News & Networking (3N) dalam Nisa’ Gombak. Ia bersangkutan sekali dengan tugas saya sebagai wartawan. Namun, dalam meeting tersebut saya menyatakan kepada E (ketua) bahawa saya ingin menarik diri dari 3N. Saya mahu membantu Tie, Che Wan dan lain-lain sebagai AJK Unit Pembangunan Insan (UPI). Rugilah jika pengalaman sebagai ahli tarbiyyah kampus tidak dipanjangkan di lapangan masyarakat pula.


Sebenarnya, sudah lama saya berfikir untuk memperbaharui sistem usrah yang ada. Pada saya, usrah yang dipraktikkan zaman kini adalah sistem tarbiyyah tradisi. Tradisi zaman berzaman. Usrahnya masih menadah kitab-kitab haraki lama.


Saya tidak menafikan kepentingan kitab-kitab haraki ini dalam pembentukan fikrah. Cuma, sebagai da’ie abad-21, perlunya keterbukaan kepada kepelbagaian tradisi intelektualisme yang membina.


Barangkali suatu hari nanti, kita mampu membincangkan darihal sistem politik dan perundangan Islam, cabaran ekonomi global, karyawan filem Islami, sains dan teknologi masa kini, psikologi dan kaunseling remaja, konflik kekeluargaan, keusahawanan ke arah pemantapan ekonomi jamaah, pemikiran pemikir Islam dan pelbagai disiplin ilmu yang lain. Di samping itu, kita selang-selikan dengan kefahaman ilmu agama secukupnya.


Sebenarnya kita boleh, cuma kita malas. Kita masih kurang berfikir, malas membaca, tidak menguasai isu masyarakat dan kurang kemahiran. Masing-masing menyedari hakikat itu, tetapi tidak berusaha berubah.


Paling penting untuk ditegaskan di sini, pendakwah malas membaca. Jika membaca sekalipun, suka membaca bacaan-bacaan ringan. Ada juga pendakwah yang lebih suka membaca novel. Senang cerita, malas membaca!.


Saya tidak mahu cakap orang lain. Saya pun sama juga. Alangkah indahnya sebuah jemaah bila usrahnya mampu melahirkan pakar. Maka, berbaloi juga slogan yang acapkali dilaungkan: ‘Gerakkan usrah, usrah tunjang jemaah’!’


Masalahnya, bagaimana usrah itu dilabel ‘tunjang jemaah’ kalau usrahnya masih usrah ‘comfort zone’. Usrah menjadikan ahli mandom, berasa selesa, membaca kitab semata dan nakib seperti memberi kuliah biasa. Ilmu yang diperolehi dalam usrah adalah ilmu ulangan. Tiada yang membangun dan mencabar minda.


Mentaliti kita masih kaku dan tidak ditekan dengan wacana ilmu tinggi. Wacana kita masih diruang politik sempit. Sarat dengan kritik dan protes tetapi kurang dijelmakan dengan tindakan. Sebabnya? Kita ketinggalan dalam dunia keilmuan dan keintelektualan. Usah sekali berbicara aspek ketemadunan.


Al-Attas berpendapat, kekeliruan umat Islam sekarang menyebabkan mereka tertumpu kepada gerak kerja politik, jhad, ekonomi, sedangkan kekurangan ilmu adalah faktor asas.


Sekadar pandangan.


Wednesday, February 25, 2009

POLEMIK KESAKSAMAAN WANITA

Gendang ‘perjuangan’ SIS bertalu lagi. Kali ini bunyinya lebih berani. Di ajaknya sekali ‘penonton’ untuk ’menari’ dengan gerak tarian yang merunsingkan. Tema lagunya tetap sama dari dahulu hingga sekarang iaitu ‘kesaksamaan dan kesamarataan.’


Pepatah Melayu datang bertamu –gendang-gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati. Taluan gendang Musawah SIS yang bergema tempoh hari sememangnya mengenyangkan perut mereka atas sogokan dan sokongan kewangan yang melimpah-ruah. Lalu itulah yang disuakan ke mulut kaum sejenis yang ‘lapar’ kerana jalan kebuntuan terhadap krisis dan konflik kekeluargaan dan perundangan.


Musawah Bahas Kesaksamaan Wanita

Agenda Meliberalisasikan Undang-undang Syariah


Persidangan Global Musawah Mengenai Tuntutan Kesaksamaan dan Keadilan dalam Keluarga Islam (Musawah atau kesaksamaan dalam Bahasa Arab) bermula 13-17 Februari yang lalu. Dilancarkan oleh Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Sabtu lalu, Musawah dihadiri lebih 250 peserta termasuk aktivis, sarjana, penggubal polisi, ahli parlimen, usahawan dan golongan profesional dari 47 buah negara.


Jawatankuasa Perancang Musawah terdiri daripada Zainah Anwar (pengarah projek Musawah), Rabea Naciri dari Morocco, Asma’u Joda (Nigeria), Prof Yakin Erturk, Ziba Mir-Hosseini (Iran/UK) dan Kamala Chandrakirana (Indonesia).


Diadakan buat julung kalinya di Kuala Lumpur, Musawah bertujuan mengumpulkan para sarjana dan aktivis dalam rangka kerja holistik bagi memperjuangkan kesaksamaan wanita Islam dari segi perundangan, keluarga dan komuniti.


Musawah dibina selepas berdekad usaha memperbaharui undang-undang keluarga Islam yang didakwa mendiskriminasi wanita dan menentang pindaan regresif atas desakan kumpulan konservatif dalam masyarakat.


Satu hujah yang menyelar undang-undang Islam bahawa ia gagal mendukung kesaksamaan dan keadilan telah dikemukakan oleh Prof. Yakin Erturk dalam Musawah ini. Menurut Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Keganasan Terhadap Wanita ini, undang-undang Islam harus mencerminkan keadilan iaitu objektif syariah yang tidak boleh dinafikan. Baginya, undang-undang Islam perlu mendukung kesaksamaan yang merupakan bahagian paling penting dalam pemahaman keadilan masa kini.


Kenyataan beliau seakan menidakkan bahawa Undang-undang Islam sudah mendukung dua perkara tersebut – kesaksamaan dan keadilan. Undang-undang yang digubal cukup cantik berteraskan wahyu ini, sangat signifikan diaplikasi zaman berzaman. Kelumpuhan sistem kekeluargaan dan penindasan terhadap golongan wanita tidak bertitik punca daripada kelumpuhan undang-undang Islam itu sendiri. Yang melumpuhkan dan menghancurkannya adalah pihak yang tidak mahu mengimplementasikan perundangan tersebut secara komprehensif dan mendalam. Maka, penolakan akan hikmahnya perundangan Islam menelurkan masyarakat yang sarat dengan infiniti krisis dan konflik.


Mereka menimbulkan idea yang menggesa perubahan undang-undang dilakukan mengikut realiti kehidupan yang berubah dari masa ke semasa, tempat dan tanggapan kontemporari keadilan – inilah yang diperjuangkan oleh mereka.


Ibarat irama nasyid. Undang-undang Islam boleh dikontemporarikan sesuai dengan perubahan zaman, kehidupan, tempat dan tanggapan - Inilah suara yang dipolemikkan oleh projek Musawah agar golongan wanita melihat musawah sebagai penjelasan inisiatif yang menyokong mereka sebagai mangsa diskriminasi.


Isu hak wanita diperdebatkan secara meluas di seluruh dunia lebih-lebih lagi dalam era globalisasi apabila kesaksamaan hak kaum hawa diangkat sama pentingnya dengan hak asasi manusia. Oleh itu, sejak berdekad lamanya aktivis wanita Islam (SIS) dari segenap pelosok dunia termasuk komuniti minoriti bergabung tenaga bagi mendesak reformasi undang-undang bagi mengiktiraf kesaksamaan hak lelaki dan wanita.


Tidak dinafikan, lelaki/suami menjadi salah satu punca keruntuhan institusi keluarga. Krisis berlaku apabila golongan pemimpin keluarga ini gagal mengenderai institusi keluarga dengan norma-norma keharmonian dan kerukunan. Adakah rasional ‘hukum’ yang dipersalahkan apabila individu (suami) yang menjadi ‘penjenayah’ dalam institusi keluarga? Kecundang pada perlaksanaan tetapi hukum pula yang dihukum. Seperti mengambil kata-kata Tuan Guru Nik Aziz, “Tersesat di lautan, tetapi rumah api yang dibakar”.


Renungkan kenyataan yang disuarakan oleh Pengarah Eksekutif Majlis Wanita Islam Kanada (CCMW), Alia Hogben, salah seorang aktivis pejuang wanita. Bukan sekadar renung, tetapi kaji dan fikir tindakan kita.


“Kami lebih rela memilih undang-undang yang sama rata untuk semua tanpa mengira latar belakang agama, bangsa, etnik, budaya dan penggunaan undang-undang Syariah di Kanada boleh mendatangkan kesan negatif apabila tidak mempunyai asas prinsip kesaksamaan terhadap wanita. Setelah melakukan kajian dengan bantuan para sarjana, golongan akademik dan pakar agama di seluruh dunia di mana-mana undang-undang keluarga Islam Syariah diamalkan, kami dapati ia tidak sesuai diamalkan di Kanada” (Akhbar MEGA, Utusan Malaysia, 24 Feb 2009)


Feminisme Cabang Liberalisme Islam.

Faham feminisme turut menjadi agenda penting dalam minda liberal Islam. Walaupun isu kesetaraan antara lelaki dan perempuan wajar diberi perhatian seperti yang terpapar perbahasannya dalam Al-Quran dan Sunnah, tetapi adalah penting untuk menggarap isu feminisme atau gender dengan lebih teliti dan cermat. Di barat, pemikiran dan gerakan feminisme telah membina sebuah keyakinan sehingga ia menjadi satu dogma bahawa “tidak ada apa pun yang membezakan antara lelaki dengan wanita, sekalipun secara semulajadi”.


Didunia Islam, pemikiran feminisme telah disebarkan oleh ideologi-ideologi terkenal seperti Fatimah Mernisi (Maghrib), Aminah Wadud (Amerika Syarikat), Nawal Sa’adawi (Mesir), Rifaa’t Hassan (Pakistan), Zainah Anwar (Malaysia) dan lain-lain. Sisters in Islam, umpamanya, telah menuduh para tafsiran al-Quran oleh para ulama’ “bias” gender dan merendahkan martabat wanita.


Zainah Anwar


Gagasan Islam liberal nampaknya terjebak dengan filsafat barat dari segi roh dan kaedahnya yang hanya bertuhan kepada akal (rasionalisme) semata-mata. Atas nama objektiviti dan saintifik, golongan Islam liberal terpengaruh dengan metodologi Barat dan mahu meruntuhkan metodologi keilmuan Islam yang telah diterima pakai sejak ribuan tahun lalu. Idea-idea Islam liberal yang kononnya berpaut kepada hujah-hujah al-Quran, al-Sunnah sebenarnya telah menyimpang dari tafsiran-tafsiran konvesional ulama’ salaf dan khalaf yang muktabar.


Tugas KITA?

Profesor al-Qradawi mengingatkan kita supaya berusaha sedaya mungkin untuk menguasai manhaj ilmu-ilmu Islam secara komprehensif sebelum membuat satu-satu rumusan pemikiran baru. Perlu kritis dan objektif apabila membicarakan pemikiran Islam liberal. Pemikiran-pemikiran nadir seumpama ini sentiasa ada pada setiap zaman.


Kita perlu sedar, sebagai pendakwah yang merasai bahananya isu ini, kembali belajar dan memahami sistem perundangan Islam. Walaupun, pengetahuan kita tentunya sedikit, namun sekurang-kurangnya pendakwah mampu menjadi agen penyelesai konflik kekeluargaan masyarakat di sekitar kita. Tidak perlu layangkan pemikiran anda terlalu jauh. Lihat sahaja isu-isu kekeluargaan jiran tertangga. Jangan sampai mereka merasai tempias Musawah SIS yang akan menyediakan para penyokong dengan bantuan fizikal dan sumber termasuk rangka kerja tindakan.

Apa rangka kerja tindakan kita pula?


Perlu diingat bahawa salah satu objektif persidangan global Musawah adalah membangunkan analisis dan strategi yang menyatukan biasiswa serta pengalaman berhubung jurisprudens Islam, prinsip hak asasi manusia, jaminan hak asasi dan relaliti keluarga hari ini.

Apa pula pembangunan analisis dan strategi kita berhubung hakikat itu?


Projek Musawah adalah satu manhaj baru rentetan daripada halangan dan tentangan yang diterima sebelum ini. Berselindung di sebalik nama Musawah (kesaksamaan dalam Bahasa Arab) yang seolah-olah baik bunyinya, silibus manhaj mereka tetap sama iaitu kritikan terhadap Undang-Undang Keluarga Islam (UUKI) yang dikatakan tidak adil dalam isu berkaitan perceraian, penjagaan anak atau pembahagian harta. Mereka mahu memperkasakan wanita dalam menuntut kesaksamaan. Bahaya sekali apabila sasaran dakyah mereka ini ialah golongan yang cetek dan lemah agama, hanya semata - mata untuk menggapai cita - cita peribadi yang berpaksi kepuasan naluri .

Seterusnya, apa pula pembaharuan manhaj dan silibus dakwah kita terhadap sasaran yang sama?


Tuesday, February 24, 2009

KURSUS BERHARGA RM 9K

Salam sihat, cergas dan cerdas. Semoga kesejahteraan yang anda miliki hari ini diraikan bersama rakan, sahabat jemaah, keluarga dan organisasi kerja mahupun dakwah. Raikan kesejahteraan yang anda miliki pada perkara-perkara spiritual, bukan ritual. Sumbanglah sesuatu dengan nilai keikhlasan dan kejujuran ditahap luar biasa hebat!.


Pada entri sebelum ini, saya mengajak anda membina motivasi. Saranan saya agar anda beraktiviti secara sihat dan manfaat. Saya ingin bercerita satu pengalaman yang mencambahkan pelbagai pengalaman lagi seterusnya. Pengalaman saya dan sahabat ketika ke program hujung minggu kelmarin. Menarik!.


Saya, Liza dan Tie mewakili Nisa’ Gombak ke Kursus Nuqoba di UNISEL, Shah Alam. Pagi itu, perasaan saya tidak seperti biasa. Semangat kembali merajuk dengan saya. Barangkali saya masih tegar melayan malas yang menggedik-gedik itu. Ketika Tie dan Liza menjemput saya, kelihatan mereka juga kurang ceria. Keletihan mungkin.


Selesai melalui lebuhraya, kami tersesat di bandar Shah Alam. Sehinggalah kami melalui taman perumahan di Seksyen 7, berdekatan dengan kediaman rasmi Menteri Besar. Mula menyedari kesesatan itu, kami kembali ke pangkal jalan. Saya meminta Tie selaku driver berpatah semula ke laluan awal tadi.


Kedegarrngggg!!! (bukan bunyi sebenar).

Ada gaung di bawah. Pokok-pokok di sekeliling. Apa yang sudah berlaku kepada kami?


Alhamdulillah, kereta kami cuma terlanggar tunggul kayu. Kalau tidak, memang syahid di jalan Allah lah hari itu. Ada dua orang datang membantu. Kami pula membuntu. Maklumlah, perempuan memang lemah dalam hal-hal begini.


Alhamdulillah, orang berjuang ini sahabatnya serata alam. Walau tidak dikenali sekalipun, pasti akan datang pertolongan itu atas dasar sebagai ahli jemaah. Sahabat seperjuangan di Shah Alam, Ustaz Ridhaudin sudi membantu setelah diberitakan hal ini. Ketika mendengar namanya melalui panggilan telefon, seolah tidak dikenali. Rupanya Ustaz Ridha mantan Timbalan Gamis dulunya.


Semalam, saya bertanya khabar tentang servis kereta. Liza beritahu servis kereta mencecah RM 9000! Terkejut. Bayaran untuk kursus nuqoba ialah RM 60 untuk tiga orang. Maka, RM 9060 untuk dua buah kursus yang kami hadiri hari itu. Satu kursus nuqoba’ daripada penceramah secara teori, satu lagi ‘kursus tarbiyyah’ daripada Allah secara praktikal. Wah, inilah ‘kursus’ paling lumayan seumur hidup saya!


Pengalaman ini adalah ’kursus pembelajaran’ yang memaknakan kehidupan agar kami semakin baik. Pastinya ‘kursus’ itu bukan teori tetapi praktikal yang memerlukan usaha, ilmu, kemahiran dan strategi. Banyak perolehan manfaat jika direnungi setiap hal yang melatari kejadian itu. Wang RM 9000 yang dikeluarkan kerananya bukan suatu kerugian tetapi suatu ‘bayaran’ sebuah ‘kursus’. Kursus tanpa diminta tapi diberi atas harga suatu tarbiyyah.


Tarbiyyah Allah berhikmah!.

Jom Yong, kita fikir sama-sama bantu sahabat.


Walaupun kemalangan, kami tetap meneruskan kursus nuqoba' hari itu. Hati memang rungsing, fikiran tak keruan, mood telah ditarik. Tekanan itu menjadi modul 'kursus'.


Anak Ustaz Ridha. Comelnya...sebenarnya ustaz adalah suami kepada kembar Arfifah, ketua nisa' gombak. Berkenalan juga akhirnya...


Friday, February 20, 2009

ANDA MAHU KUASA PELIK?

Hujung minggu datang lagi. Sabtu dan Ahad adalah masa bercuti. Tak perlu bangun awal ke tempat kerja. Tak perlu menunggu bas ataupun bermoody dengan traffic jam. Tak perlu lagi berhadapan dengan pensyarah dan menahan mengantuk semasa kuliah. Tidak lagi berhadapan dengan guru yang sering berleter. Dan majikan yang sentiasa tension dan suka marah-marah. Si ibu pula lega sedikit, tak perlu terkejar-kejar menyiapkan anak ke sekolah.


Setiap orang mula merangka agenda cutinya. Pemimpin dengan rakyatnya, pendakwah dengan mad’unya, pelajar dengan bukunya, peserta dengan programnya dan ibu bapa dengan anak-anaknya. Tidak lupa juga, pasangan pengantin dengan kenduri kahwinnya. Semoga kalian berbahagia.


Semua orang beraktiviti. Bergembiralah kalian andai arus kecemerlangan bersorak di sekeliling kalian. Sorakan itu sorakan positif pembangun jiwa. Jiwa yang lemah kembali betah. Hati yang terlopong kembali terlorong. Minda yang sempit kembali bangkit. Fizikal yang sakit berkurang penyakit.


Rugilah kalian yang bertemankan bantal busuk itu. Sudahlah busuk, bila cuti, malas untuk membasuh. Bertebaranlah kebusukan itu pada kebusukan-kebusukan yang lain. Kebusukan malas yang mengundang kebusukan jiwa untuk turut serta. Kegagalan yang dicipta sendiri oleh orang yang suka berehat. Alasannnya ialah mencari kehidupan di zon selesa. Langsung, tekanan itu tidak diizinkan untuk menjengah walau sekejap sekalipun. Maka, terbentuklah kemurungan dengan raut wajah yang menakutkan.


Anda mahu memiliki kuasa yang pelik?

Kuasa pelik manusia adalah motivasi. Segala yang mustahil akan menjadi dengan motivasi. Motivasi merangsang manusia bertindak luar biasa, jauh dari keupayaan sebenar dirinya. Motivasi memberi kekuatan, keberanian serta keteguhan hati.


Bakarlah semangat itu dengan penunu motivasi. Jika air di dalam cerek perlu dipanaskan untuk secawan kopi yang melegakan tekak, demikianlah motivasi perlu dipanaskan untuk membakar kemahuan manusia mengikut apa yang dikehendakinya.


Selamat mencari motivasi di hujung minggu. Beraktivitilah...panggil motivasi itu kembali. Motivasi....oh, motivasi...


Thursday, February 19, 2009

MUSAWAH SISTER IN ISLAM - Muhasabah Buat Semua


Malam tadi Nisa' Gombak berusrah. Kami sempat membangkitkan agenda SIS yang terbaru. Tujuan mereka tetap sama, memporak perandakan kefahaman Islam yang kita anuti ini. Saya teringin untuk menulis isu ini. Namun, saya ada membaca ulasannya di lama blog yang lain. [artikel asal disini]. Saya mahu berkongsi dengan kalian. Bacalah dengan nama Tuhanmu...


Besar harapan mereka untuk meliberalisasikan undang-undang syariah.


Persidangan yang bernama “Musawah: Global meeting for Equality and Justice in the Muslim Family” ini sememangnya menimbulkan rasa “panas” yang tidak patut tetapi mereka nekad perjuangan harus diteruskan!


Dengan semangat juang yang tinggi, kumpulan feminis liberalis Muslim, Sisters In Islam (SIS) terus memalu kuat gong “reform” dalam undang-undang keluarga Islam bagi “membela” golongan wanita Muslim yang tertindas dibawah undang-undang Islam (syariah) yang patriarchy (utamakan lelaki) sifatnya.


Slogan seperti Equality, Justice, Fairness, Partiarchy, Fundamentalist, Extremist, Modern dan segala macam lagi kosa kata berbau falsafah dilontarkan semahu-mahunya oleh para delegasi dalam membincangkan bagaimana caranya hendak mengubah undang-undang syariah mengikut acuan hak asasi manusia tajaan Tamadun Barat.


Tapi ada eloknya para feminis ini menjawab soalan-soalan di bawah:


1. Why is the Global Meeting not open to the public since the issues to be discussed are of public interest?
2. What is wrong with Muslim Family Law in Malaysia ?
3. Will the family law you advocate cover gay couples?
4. What is the "contemporary approach" in interpreting the Quran?
5. Are you opposed to the use of Islamic teachings as a source of law and policy?
6. Are you going to use the UN machinery to pressure the Malaysian government to bring Islamic Family Law in line with the secular Family Law?
7. Some of your critics say that you are being funded by foreigners to promote "liberalisation" of Islam in line with the foreign policy objectives of the US and certain Western countries. What's your comment?
8. Who is funding this conference? Foreign funding?
9. Do you want polygamy to be banned and criminalized? What about adultery?
10. What are your views on Islamic inheritance rules?


Kalau SIS dan para feminis yang beria-ria benar ingin melakukan “reform” itu dapat menjawab soalan ini dengan baik maka penulis yakin dialog yang lebih bertamadun dan adil dapat dilakukan oleh pihak berwajib.


Melihat skala persidangan ini, disamping promosi di media massa yang meluas, SIS sekali lagi berjaya menunjukkan mereka mampu menjadi satu “force” dalam memporak perandakan kefahaman masyarakat Malaysia berkenaan undang-undang syariah dan juga kedudukan wanita dalam Islam.


Pada kali ini mereka benar-benar memberi impak ditambah pula ketidakpekaan majoriti gerakan Islam berkenaan isu ini.


Kekeliruan dan permasalahan yang timbul berkenaan isu ini harus dilihat secara objektif oleh semua pihak. Jangan kita tenggelam dalam emosi tanpa mencari di mana akar masalah itu sebenarnya.


Pada hemat penulis, masalah yang diperjuangkan SIS dan para feminis liberalis ini perlu dilihat dari dua sudut:


1) Agenda hegemoni pemikiran liberalisme agama, dan hak asasi manusia tajaan Barat (ancaman luar)
2) Kelemahan komuniti Muslim dalam menangani permasalahan kekeluargaan dan kefahaman agama ( ancaman dalaman)


Memang kerja golongan kafir harbi memusuhi Islam secara sistematik melalui pelbagai cara yang sulit. Kantung kewangan yang banyak memudahkan lagi gerak kerja mereka di merata dunia Islam. Ini memang sudah jadi sunnatullah. Yang haq (kebenaran) pasti ditentang batil. Kalau tidak masakan akan berma’na haq itu.


Tetapi yang sulit dan rencamnya sebenarnya adalah KITA sendiri yang menjadi pemegang saham dalam isu ini. Kelemahan komuniti Muslim dalam negara kita telah membuka ruang dan peluang untuk para kafir harbi ini untuk menjustifikasikan agenda mereka untuk “reform” kerana BUKTI KEGAGALAN kita sebagai komuniti Muslim jelas terpampang dalam realiti kehidupan sehari-harian.


Kes tertunggak di makhamah, penceraian yang meningkat secara exponentially, tekanan kekeluargaan akibat desakan kehidupan etc.


Siapa yang memperjuangkan nasib kaum Hawa yang tertindas ini? Siapa yang membantu mereka secara konsisten? Siapa yang mendidik mereka?


Ternyata bukan kita para pendakwah tetapi mereka golongan feminis liberalis! Mereka komited membela mangsa-mangsa ini secara konsisten dan inilah hasilnya!


Semua ini menyumbang kepada kanser masalah institusi kekeluargaan Muslim. Penindasan yang dicanang oleh golongan ini memang benar berlaku cuma kadang kala diputar belitkan faktanya untuk memperlihatkan kelemahan kita secara lebih berkesan.


Sama macam cerita di Darfur-lah. Gembar-gembur je lebih tetapi benar-benar bermasalah.


Masalah ini sebenarnya adalah masalah dalaman umat Islam di Malaysia. Tetapi dalam era globalisasi maklumat yang pantas, rupa cita masalah itu telah diangkat ke malakut yang lebih tinggi dengan saduran sandiwara dan rambu permasalah yang diperhias dengan cantik oleh golongan feminis liberalis ini. Maka jadilah ianya satu fenonema sosial yang mana Islam dikambing hitamkan secara efektif. Orang biasa yang tidak faham Islam, baik Muslim mahupun bukan Muslim terperdaya secara halus maka bersimpatilah mereka kepada perjuangan golongan feminis liberalis.


Ya, tidak semua yang menyokong dan mendokong isu ini sebenarnya “jahat”. Banyak yang keliru kerana KITA yang mendabik dada sebagai pejuang Islam TIDAK “ENGAGE” secara efektif dan berhikmah. Ini untuk yang tidak faham-lah - jahil murakkab – jahil2 (kuasa dua)


Golongan ini perlu dididik dengan berhikmah oleh umat Islam yang faham agar tidak terjerat dalam jaringan liberalis yang suka memutar belitkan fakta dan kefahaman berkenaan hukum hakam Islam. Ramai wanita muda, mahupun yang sudah berumur terperangkap dalam jaringan ini. Mugkin kerana kecetekkan ilmu agama Islam, maka mereka menjadi keliru dengan realiti tersebut.


Golongan ini masih boleh diselematkan jikalau kita benar-benar mengambil kisah akan masalah ini. Tetapi tertnyata perjuangan akar umbi sebegini kurang menarik perhatian para amilin amal Islami kerana politik kepartian yang sempit, parochial lebih digemari mereka.


Benar inilah realiti. Penulis melihat, golongan yang terbaik untuk melakukan kerja-kerja de-feminisasi, dan de-liberalisasi ini adalah mahasiswa terutamanya golongan Muslimat. Dengan ilmu yang cukup, kita mampu berdialog, menerangkan kepada golongan ini baik Muslim dan bukan Muslim akan perihal sebenar isu ini.


Sekarang ini, imej political Islam itu lebih tebal berbanding kelembutan Islam itu sendiri. Masakan tidak, ramai orang sudah muak dengan pendokong Islam yang pandai beretorik tetapi masalah komuniti sendiri tidak selesai-selesai juga. Kita gagal mendidik ahli masyarakat kita dengan berkesan kerana kita sendiri yang meletakkan benteng pemisahan tersebut! Pemburuan kuasa secara melampau dan memabukkan telah menghakis kredibiliti kita sebagai pendakwah dan agen Islamisasi!


Pergilah ke kampus-kampus dan lihat apakah golongan Islamis ini berkawan dengan budak-budak yang kontemporari? Sangat minimum sekali. Bagaimana nak memerintah negara kalau satu tahap daripada prinsip sulbah –ya’ni masyarakat Islam pun tak settle lagi.


Melihat Musawah ini begitu rancak diusahakan, penulis rasa inilah peluang gerakan Islam untuk bermuhasabah kembali manhaj dakwah kita. Benda ini tidak perlu dipolitikkan. Bodoh kalau kita politikkan perkara yang memerlukan kesatuan ummah. Ini masalah yang perlu diambil peduli oleh semua orang tetapi disebabkan golongan Islamis yang lebih bersedia maka amanah itu lebih berat di pundak mereka berbanding orang awam.


Nasihat penulis, mahasiswa muslimat, persiapkanlah diri anda dengan kefahaman yang tajam. Janga asyik buat program “syok sendiri” sahaja. Event tak selesaikan masalah sebab antuna tak campur dengan yang free hair, dan macam-macam lagi!


Nasihat penulis kepada gerakan Islam pula, kendurkanlah tali politik kepartian yang sempit. Tak ada ma’na menang pilihan raya kalau masyarakat tidak ditarbiyah dengan baik. Sunnatullah bukan tertegak atas prinsip revolusi tetapi evolusi. Sikit-sikit mengikut kemampuan masing-masing. Kalau terus langkah prinsip sulbah tu maka memanglah kelam kabut semuanya.


Masih belum terlambat.

*Penulis yang dimaksudkan adalah [disini]. Sebagai individu yang perlu alert dgn isu ini, saya juga turut berpandangan seperti penulis. Saya menghormati pandangan beliau dan semestinya sesuatu yg layak utk difikirkan.



Wednesday, February 18, 2009

MERAJUK


Saya sedang menyiapkan entri baru berkenaan dengan isu PPSMI. Sebenarnya, saya sudah 'mengantuk' membicarakan isu ini, tetapi setelah mendengar berita kelmarin tentang maklumat terkini PPSMI, saya kembali membugar.


Saya masih dipihak haluan kiri tentang PPSMI. Iaitu pihak yang tidak bersetuju dengan dasarnya sehinggalah dasar itu mengembalikan beberapa hak dan kepentingan masyarakat seadilnya. Inikan pula jika melihat pada sudut pandang ketemadunan dan islamisasi yang kian dirobek oleh hegemoni bahasa tersebut. Kita sudah melalui era penjajahan yang sengit iaitu penjajahan bahasa. Penjajahan yang amat bahaya.


Panjang pula ceritanya, walhal bukan isu ini yang mahu disuguhkan dalam entri kali ini. Cuma entri kali ini sekadar selingan mengisi kebuntuan idea berfikir dan menulis. Entri santai dan anti bosan. Tajuknya merajuk. Ditujukan kepada diri sendiri dan sesiapa yang berada dalam rajukan saat ini.


Janganlah merajuk wahai diriku...
Ramai di kalangan manusia yang merajuk hanya kerana perkara-perkara kecil yang tidak bererti. Lihatlah orang-orang munafik; betapa rendahnya semangat dan tekad mereka.


Janganlah merajuk lagi...
Kasihan orang yang merajuk. Mereka adalah orang yang dikalahkan, dan jiwa mereka akhirnya sengsara.


Cuba perhatikan perjalanan hidup manusia. Engkau melihat mereka pagi dan petang dalam keadaan merajuk. Terkadang merajuk mereka hanya disebabkan berselisih dengan isteri, anak, keluarga dan sahabat. Setiap pagi dan petang ada sahaja terdengar kata-kata yang tidak enak dan terlihat sikap yang tidak menyenangkan kerana rajuk. Kebanyakan aktiviti yang mereka lakukan tidak berdasarkan motivasi dan niat yang agung. Waktu yang mereka habiskan sama sekali tidak berorientasi pada kepentingan yang mulia.


Pepatah mengatakan: “Jika air telah keluar dari bejana, udara akan datang memenuhinya.” Andai kau sisihkan perasaan mulia, perasaan hina menyelimuti dirimu.


Maka, renungkanlah kembali hal-hal yang selama ini telah engkau pentingkan dalam hidup engkau, atau yang telah membuat engkau resah setiap saat. Benarkah semuanya itu layak memperolehi perhatian dan bahagian yang besar dalam hidup engkau? Mengapa engkau rela mengorbankan fikiran, perasaan, ketenteraman dan juga waktu hanya untuk persoalan-persoalan remeh tadi?


Ibarat orang berjual-beli, apa yang dilakukan itu sebenarnya suatu kerugian besar yang dibayar dengan harga yang murah. Ahli psikologi ada menyatakan “Buatlah batasan yang rasional untuk setiap hal.” Dan lebih tepat dari kalimah ini ialah firman Allah Ta’ala:


....Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu. (At-Thalaq:3)


Yakni, letakkanlah setiap persoalan sesuai dengan ukuran, nilai dan kadarnya dan janganlah sekali-kali engkau melakukan kezaliman dan melampaui batas!


Oleh kerana itu, tinggalkanlah perkara-perkara yang remeh dan tidak penting. Janganlah engkau disibukkan olehnya dan waktu dihabiskan kerananya. Dengan demikian, nescaya engkau akan merasa sebahagian besar rajukan selama ini lenyap dan yang tersisa hanyalah kesenangan dan kegembiraan.


Usah merajuk lagi diriku…buat yang terkena tempias hujan rajukku ini, maafkanlah.


Tuesday, February 17, 2009

SIDANG MEDIA BERSAMA PEMIMPIN HAMAS

Khamis lalu, saya dan krew majalah berpeluang mengikuti majlis ini. Ada beberapa info untuk dikongsi bersama kalian. Penulisan di bawah menggunakan teknik reporting - penulisan laporan wartawan. Harap tidak jemu.



Pada 12 Februari 2009, bertempat di Hotel Putra Kuala Lumpur, telah berlangsung Majlis Sumbangan Kepada Wakil Hamas bersempena dengan Tabung Kemanusiaan Harakah yang telah dilancarkan. Jurucakap rasmi Hamas, Sami Abu Zuhri yang menjadi tetamu kehormat dalam Majlis tersebut merakamkan penghargaan terima kasih dengan penerimaan dana sejumlah RM 500,000.


Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS Ustaz Ahmad Awang, Pengerusi Harakah Dato' Mustafa Ali, Pengarah Urusan Harakah Dato' Kamaruddin Jaffar, Ketua Muslimat PAS Ustazah Nuridah Salleh, Ahli Parlimen PAS Dr Hatta Ramli dan Dr Lo' Lo' Ghazali. Wartawan daripada pelbagai media turut serta.


Selain itu, majlis turut dihadiri para penyumbang dana yang terdiri daripada NGO Islam, pemimpin PAS kawasan, Kelab Penyokong PAS, Kijang Care dan penyumbang persendirian. Sumbangan turut diterima daripada masyarakat bukan Islam yang bersimpati dengan penderitaan rakyat Palestin, menjadikan jumlah dana terkumpul hampir RM 900,000 setakat majlis tersebut.


"Kami mengucapkan terima kasih kepada Harakah yang menjadi penganjur majlis dan tabung ini dan kami terharu dengan sokongan yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia termasuk yang bukan Islam yang telah meyumbangkan dana dan membantu meringankan penderitaan penduduk Palestin”, ujar Sami Abu Zuhri dalam ucaptamanya.


"Semoga Allah menerima jasa baik sumbangan anda," katanya dalam bahasa Arab yang diterjemahkan semula oleh warga kerja Harakah, Ustaz Zainuddin Hashim.


Beliau turut menyeru agar rakyat Malaysia berhati-hati ketika menyumbang kerana ada pihak-pihak dan agensi-agensi tertentu yang tidak jujur dalam penganjuran sumbangan Gaza ini. Menurutnya, dana perlu diserahkan kepada agensi yang amanah dan bertanggungjawab atau datang terus ke Gaza untuk disampaikan sendiri kepada penduduk di sana.


Sami Abu Zuhri merupakan seorang pensyarah daripada Universiti Islam Palestin yang sedang menyiapkan tesisnya di Damsyik dalam pengajian sejarah Pejuang Salahuddin Al-Ayubi. Bagaimanapun Universiti tersebut telah musnah diserang dan dibom oleh Israel.


"Pemimpin kami mendapat tarbiyah daripada Masjid Al-Aqsa dan kami pula mengajar anak-anak Palestin. Musim luruh lalu, kami berjaya melahirkan 15,000 anak-anak Palestin yang hafaz al-Quran."


Demikian antara petikan kata-kata pemimpin Hamas, Sami Abu Zuhri yang menceritakan antara kejayaan perjuangan pertubuhan Islam itu selain membebaskan bumi Anbia itu daripada rejim Zionis Israel.


Sementara itu, Ustaz Ahmad Awang berkata, PAS sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin sepanjang masa, bukan apabila berlaku keganasan sahaja. Beliau meletakkan harapan tinggi kepada pihak media agar sentiasa menerangkan isu ini dari masa ke semasa.


"Kezaliman Yahudi telah diceritakan dalam al-Quran yang akan terus dilakukan sampai bila-bila. Kita akan terus menyokong Hamas dan sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin," katanya ketika ucapan mukadimah majlis tersebut.


Turut berucap dalam majlis tersebut ialah Mustafa Ali, Pengerusi Harakah yang kagum dan menghargai sumbangan besar yang disalurkan oleh orang ramai ke Tabung Kemanusiaan Harakah. Katanya, inilah pertama kali tabung yang mendapat sumbangan paling banyak dalam masa yang begitu singkat. Harapan beliau agar sumbangan ini akan terus menerus diberikan sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan kita terhadap Gaza.



Majlis penyerahan sumbangan yang tamat sekitar jam 2 petang itu diteruskan dengan sidang media bersama Sami Abu Zuhri. Kesempatan tersebut diambil oleh media untuk bertanya tentang isu peperangan dan senario politik terkini di Palestin.


Sami mengulas, keputusan pilihan raya Israel di antara tiga parti iaitu 'Kadima', 'Likud' dan 'Yisrael Beitena' disifatkan akan terus dengan dasar memusnahkan dan bertindak kejam kepada penduduk Palestin.


“A Changes face does not mean anything. All Israel are criminal” (Bertukar wajah tidak memberi apa-apa makna. Semua Israel adalah penjenayah)," katanya.


Monday, February 16, 2009

TOLONG BERIKAN SAYA JAWAPAN


Jika anda diberikan 4 huruf di bawah yang mengandungi makna yang berlainan iaitu huruf M, A, T, dan I, cuba anda dapatkan jawapannya.


M
– Malaikat Izrail datang, A – Akhir hidup di dunia, T – Tanam di dalam tanah, I – Ibadah dihitung dan dinilai Allah.


Kemudian, keempat-empat huruf itu ditambah antara satu sama lain. Cuba anda fikir sekali lagi apakah jawapannya yang paling tepat tanpa sebarang ralat perpuluhan sedikitpun.


Apabila dipadatkan soalan bunyinya begini; Apabila Malaikat Izrail datang menjemput anda dengan wajah yang buruk atau cantik untuk mengakhiri hidup anda dengan izin-Nya, kemudian anda ditanam di tempat asal anda iaitu tanah. Selesai urusan itu, segala ibadah yang dilakukan di dunia akan dihitung dari sebesar-besar perbuatan sehinggalah sekecil-kecil perbuatan walau sekecil zarah sekalipun. Anda tahu apa itu zarah bukan? Suatu yang tak terlihat dengan pandangan mata kasar. Itu soalan panjangnya.


M + A + T + I =?, apakah jawapannya. Bukankah anda orang yang bijak dan tinggi ilmunya. Ada di antara anda seorang guru matematik penyelesai formula yang susah-susah, seorang doktor yang dapat melihat zarah, seorang jurutera yang dapat merekabentuk sebuah bangunan megah, seorang artikek yang boleh melakar pelan yang indah, seorang akauntan yang boleh mengira jumlah akaun beribu-ribu ringgit; Inikan pula untuk menyelesaikan satu formula MATI dengan 4 huruf sahaja. Mesti anda boleh melakukannya, cuba lagi…


Siapa yang dapat menjumpai jawapannya ialah ‘Mati dalam kebaikan’? Ada lagi jawapan lain? Siapa yang mendapat jawapan ‘Mati dalam keburukan’? Ada lagi jawapan yang berbeza? Mati itu akan berlaku esok jam 8.30 pagi sebelum sampai ke kuliah atau ke tempat kerja. Itu jawapan anda? Menemui jawapannya ‘Syurga’. Siapa yang bertemu dengan jawapan itu? Ada yang memberikan jawapannya 28 Februari 2009? ‘Saya akan memberi jawapannya 20 tahun lagi’. Ada yang berkata begitu?


Bukankah anda bagus, hebat dan bijak. Kenapa tidak bertemu dengan jawapan itu? Sebelum ini anda sentiasa mengakui kepandaian, merendahkan orang di sekeliling dan apa sahaja perbuatan bermegah-megah dan bangga diri. Di manakah keberanian itu?


Saya yakin anda ahli akademik, ada yang bergaji besar, berduit banyak, bersyarikat besar dan segala macam kebesaran. Mana kebesaran itu sehingga persoalan 4 huruf itu tidak mampu di jawab?


Yang ada Ijazah, Master dan phD, cepat berikan jawapan. Mana IQ anda di saat ini? Buktikan.


Siapa yang suka tidur, mesti menemui jawapannya di dalam mimpi. Mungkin juga di sebalik selimut anda. Atau ada jawapannya di dalam siri-siri televisyen kegemaran anda? Barangkali jawapannya ada dalam tutur borak kosong bersama rakan meja sebelah. Atau dua pinggan nasi yang anda makan tiap-tiap hari itu boleh bercakap lalu memberikan jawapannya. Mana tahu handphone yang dikepit setiap masa milik anda boleh menghantar pesanan kematian. Mungkin. Cuba tanya mereka, mana tahu mereka boleh membantu.


Tanya pada itu semua, apakah jawapan kepada formula M+A+T+I =?

Saya sendiri tidak akan menemui jawapannya sampai bila-bila. Hanya menunggu jawapan itu datang pada bila-bila masa, di mana-mana tempat tanpa pengetahuan walaupun sedikit. Saya cukup takut andai mati mengejut. Mati tanpa tanda-tanda kematian dan mengaibkan. Na'uzubillah...


Batu (kayu) nisan sebagai cenderamata dari program Tamrin Dewan Muslimat PAS Kawasan Gombak, pada 14 & 15 Februari 2009, selepas modul muhasabah kematian-prinsip wawasan. Ketika itu umur saya 26 tahun. Agak-agak bila saya akan mati ya? Boleh anda tolong isikan ruangan 'wafat' yang masih kosong tarikhnya itu?


Friday, February 13, 2009

MEREPEK PASAL MALAS...


Malas itu datang lagi. Kali ini dengan wajah yang paling hodoh. Makin hari makin mengerikan. Aku tak pernah melihat wajah malas, tapi aku yakin ia mengerikan. Kerana dengan datangnya malas, aku mengambil dua bantal. Satu aku letakkan di kepala, satu lagi menutup muka, pejamkan mata, tidur. Mataku sentiasa mengantuk dan terpejam bila malas datang menjelma. Seolah-olah malas itu suatu yang takut dilihat.


Jika wajah malas itu manis, pasti aku terus tersenyum. Liku-liku hariku dilalui penuh ceria. Bisikan-bisikan perangsang meronta-ronta. Melihat mak, aku tersenyum. Melihat ayah, aku tersengih memanjang. Melihat Angah dan Muni, aku tertawa riang. Belum lagi melihat adik nahwan yang memang murah dengan senyuman. Tapi wajah malas itu tidak segirang yang kusangka. Malas masam mencuka. Tak sama macam muka adik nahwan.


Malas membuatkan aku bermuram durja, buntu dan termanggu-manggu. Aku bertambah keliru semenjak kehadiran malas tempoh hari. Semangat menjadi cemburu melihat aku terlalu memanjakan malas. “Asik-asik nak berkepit dengan malas. Sikit-sikit sebut nama malas, malas saje la yang betul!”. Semangat memberontak, cemburu, lalu meninggalkanku.


Sejak hari itu, aku terlalu merindui semangat. Semangat selalu meniupkan kata-kata baik padaku, sebaik namanya...semangat. Tidak seperti malas. Yang dia tahu cuma menggedik-gedik. Sikit-sikit nak menempel kat badan aku ni. Tapi aku hairan, walaupun malas itu manja dan menggedik tapi dia kuat. Kata kawan malas yang bernama bosan tu, malas ada tuan. Nama tuannya Nafsu. Mungkin Nafsu tu yang memimpin malas menjadi kuat dan gagah perkasa. Kalau macam tu, aku perlu menjadi kuat!


Aku teringatkan cerita Adib tentang superman. Katanya superman kuat. Superman boleh terbang dan ketika terbang dia mencari kerja. Kerjanya ialah selamatkan orang. Menurut anak jiranku itu, superman hanya kerja part-time. Kejap-kejap jadi superman, kejap-kejap jadi manusia normal, lepas tu jadi superman balik, lepas tu balik jadi manusia normal. Dia bukan superman sepenuh masa. Kalau macam tu, superman pun malaslah. Sebab dia jadi superman bila mood superman tu datang. Macam aku, kerja ikut mood...malaslah katakan.


Arif menuturkan nama-nama ultraman pada Adib. Cerita Arif pula, ultraman mampu melawan raksasa. Rupa raksasa buruk macam rupa malas. Badan raksasa menggerutu, taringnya panjang. Eh, sama la macam ketua malas yang bernama syaitan tu. Syaitan pun buruk juga. Malas di ‘train’ oleh syaitan, syaitan pulak buruk macam raksasa. Buruk, gerun dan ngeri. Ermm, mungkin jadi sekuat ultraman aku boleh membunuh malas. Rupanya, aku terlupa. Ultraman ada lampu di dadanya. Bila lampu hijau tu berbunyi, tiit...tiit... tiiit...tiiit...tandanya ultraman semakin lemah. Kuasa ultraman akan hilang bila-bila masa sahaja. Ultraman juga melalui kegagalan berkali-kali...sama macam aku juga.


Ha, Bruce Lee. Tiba-tiba teringat nama lagenda kungfu tu. Yup, belanja kungfu. Boleh lawan malas. Dish dish!! Haiya, haiya, haiya!! Mesti macam tu aku kungfukan malas nanti. Patah riukkan tulang malas. Ayah aku yang minat kungfu kata, nak belajar kungfu susah. Kena ada semangat. Semangat pula dah hilang entah ke mana. Alahai semangat...


"Semangat oh semangat, semangat oh semangat...", ingin aku menjemput semangat kembali ke sisi. Masalahnya memanggil semangat tak sama macam Pak Belalang memanggil anaknya Belalang. "Belalang oh belalang, belalang oh belalang...", tak boleh panggil macam tu! Habis macam mana nak panggil semangat pulang ke pangkuan?


Ustazah kata, malas ni suka datang bila kita banyak dosa. Malas berfikir...sebab banyak dosa. Malas ibadat...sebab banyak dosa. Malas bekerja...sebab banyak dosa. Malas membaca...sebab banyak dosa. Malas ke program...sebab banyak dosa. Malas tahajud...lagilah banyak dosa. Sebab tu orang susah bangun tahajud, badannya berat dengan dosa. Nak bangun tak larat...berat dengan dosa.


Dosa membuatkan hati hitam berkarat. Hati yang bersih tidak diduduki malas kerana malas pengotor dan sukakan kekotoran. Malas seperti lalat, terbang mencari makanan dari tempat-tempat yang kotor. Sedangkan semangat seperti lebah. Lebah ada misi. Terbang mencari nektar, membuat madu dan kebaikannya dirasai manusia sejagat. Begitulah dengan semangat. Ia perlu dicari, diusahakan dan dikongsi bersama yang lain.


Lalat pengotor, lebah pembersih. Malas dari hati yang kotor, semangat dari hati yang bersih. Kata ustazah, "Bersihkan hati kamu dahulu, kamu pasti menjumpai semangat itu kembali".


Wednesday, February 11, 2009

50 setiap hari, 18,250 setahun


Gejala pelajar merokok serius – tajuk satu laporan khas Utusan Malaysia bertarikh 9 Feb 2009, kelmarin. Laporan memperlihatkan gambar pelajar dengan uniform sekolah, mengeluarkan kotak rokok dari kocek seluar lalu menyalakan puntung rokok dengan muka selamba, seolah-olah perbuatan itu tidak salah. Sungguh, rokok ibarat ‘pencuci mulut’ sebelum masuk ke kelas atau ‘penawar’ menghilangkan stress dan kebosanan belajar.


Mengulum gula-gula getah atau mengunyah keropok menjadi rutin harian zaman saya bersekolah dahulu. Walau guru melarang kerana tiada kesan kebaikan dari aspek kesihatan, tetapi ia tidak sampai menjadi kebimbangan. Berbeza dengan zaman ini, tabiat merokok menjadi punca yang memberanakkan kebejatan sosial yang menakutkan. Antaranya dadah dan AIDS yang bermula dari ketagihan merokok. Namun amat menyedihkan, gejala membunuh ini tidak dianggap suatu barah sosial yang menggerunkan tetapi satu tabiat yang harus dibangga-banggakan.


“Memang dah biasa macam ni bang. Kalau hisap rokok baru orang nampak ’macho’. Orang nampak besar dan matang”, kata Bob selamba ketika ditanya oleh seorang wartawan utusan.


Kematangan. Sepatutnya istilah ini amat membuncah dalam benak kita. Di manakah kedudukan matang andaikata gejala ini menyebabkan pelajar tersangkak awal dan gagal mengenderai kehidupan? Matangkah dengan berani mencuba rokok, merasa diri seakan orang dewasa ketika asap berkepul-kepul keluar dari hidung? Macho atau matangkah seorang pelajar bila mana dia menjadi penyumbang utama kepada pembaziran lebih 8 juta sehari daripada tabiat merokok itu? Persepsi songsang yang harus diperbetulkan.


Menurut Penolong Pengarah Kanan Kawalan Tembakau dan FCTC, Kementerian Kesihatan, sebanyak RM 8.59 juta dihabiskan oleh kira-kira 2.73 juta rakyat negara setiap hari untuk membeli rokok dan angka itu bersamaan dengan kos untuk membina sebuah klinik kesihatan. Sekurang-kurangnya 50 pelajar baru merokok setiap hari dan angka itu bersamaan 18,250 setahun. Pembaziran yang sengaja dan sia-sia.


Perokok-perokok pelajar sudah mengenal pasti lokasi selamat di dalam kawasan sekolah untuk merokok. Biasanya di dalam stor atau belakang sekolah. Bagi perokok tegar, boleh menghisap rokok di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja asal dapat melepaskan gian.


“Kita memang kaki hisap rokok. Kalau kena tangkap, biasanya dirotan saja. Bagaimana nak suruh kita berhenti rokok kalau cikgu sendiri hisap rokok”, ujar seorang pelajar lagi.


Malah, ada pelajar perempuan yang mencuba menghisap rokok apabila melihat keasyikan bapanya seorang perokok tegar merokok dihadapannya. Katanya, jika rokok mahal, minta saja pada ayah dan katakan nak beli rokok.


Keadaan ini memperlihatkan tabiat merokok semakin merujai golongan wanita. Hasil tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan pada 2006 mencatatkan 2.61 juta perokok lelaki (95.6 peratus) dan 120,000 perokok wanita (4.4 peratus). Walaupun peratusan ini nampak kecil, namun tidak mustahil peningkatan angka akan terus berlaku. Taraf wanita yang mahu disamakan dengan lelaki turut terjejer pada perihal sosial dan akhlak. Mereka juga mahu merempit, merokok, menghisap dadah, dan menjadi gangster asal ‘menghiburkan’. Kerana ‘hiburan’ sebegini seakan pengubat lara hati terhadap leteran ibu, tengkingan ayah dan rotan guru di sekolah.


Hampir 20 juta dibelanjakan untuk kempen katakan ‘tak nak’ pada rokok. Namun perkataan ‘tak nak’ hanya terpapar pada bahan kempen tetapi gagal dijelmakan dengan tindakan perokok. Sebagai susulan, kerajaan akan memaparkan enam gambar paling menakutkan di kotak rokok akibat menghisap rokok tidak lama lagi. Adakah elemen menakutkan ini boleh menjadi instrumen mendidik yang paling berkesan? Pada saya, ia dinilai berkesan apabila ketakutan tersebut berjaya diterjemahkan pada dua bentuk iaitu ’takut sakit’ dan ’takut dosa’.


Kes-kes di atas menunjukkan rumah dan sekolah adalah lokasi paling awal untuk kempen anti-merokok. Kempen ini tidak perlukan modal berjuta-juta cuma mewujudkan satu kombinasi usaha ke arah pemugaran semula prinsip akhlak dan moral. Modalnya adalah moraliti, penggerak kempennya adalah ahli rumah dan guru-guru, silibusnya adalah Pendidikan Islam yang dikaji semula dan metodologi dakwahnya adalah uslub mauizah (nasihat dan peringatan). Usaha ini dimurnikan lagi apabila guru dan ibu bapa mampu menjadi instrumen pengawalan dan moraliti yang boleh dicontohi.


Menurut Malik Ben Nabi, saluran pendidikan sahaja yang dapat menyelamatkan masyarakat khususnya remaja terhadap fenomena ngeri ini. Unsur pendidikan yang paling penting untuk ditekankan ialah kembali kepada ‘akar’ Islam itu sendiri. Pastinya ’akar’ yang kukuh dipantakkan oleh benih-benih Islam yang disemai baik oleh ibu bapa dan guru-guru. Mereka bukan sahaja mualim yang berbicara ilmu tetapi berperanan sebagai murobbi yang mampan didikannya.


Menurut as-syahid Murthada Mutahhari, menghidupkan agama tidak lain tidak ialah dengan bekerja keras menghidupkan sunnah Rasulullah dan menghancurkan segala bentuk kekarutan. Umat Islam khususnya remaja yang bakal melangkah ke alam dewasa harus menyedari bahawa Islam tidak membenarkan kejahilan, kelemahan dan kelumpuhan budaya dan persekitaran.


Sesungguhnya jika kita memerhatikan sejarah umat terdahulu, kerosakan yang berlaku adalah dalam bentuk yang satu, iaitu pemutusan hubungan antara manusia dengan tuntutan wahyu atau pemungkiran manusia atas kekuasaan Allah S.W.T.


Friday, February 6, 2009

SOALAN-SOALAN YANG PERLU DIAJUKAN


A) Tarik Tali?

Majoriti penduduk di dunia Islam didakwa tidak bekerja kuat. Bagaimana pula dengan muslim yang baik yang bekerja bersungguh-sungguh? Mengapa mereka tidak produktif? Masalahnya ialah sikap, orientasi dan kurang semangat untuk bekerja secara berkumpulan.


Akhirnya, individu-individu dalam kumpulan mungkin bekerja keras tetapi dalam arah bertentangan. Sebagai kesannya, seluruh tenaga yang mereka curahkan menjadi kosong atau negatif.


Kerja Islam mempunyai magnitud dan arah seperti kuantiti vektor dan metematikal. Individu-individu yang bekerja serentak di antara satu dengan yang lain, dengan perancangan yang jelas dan faham akan matlamat, tidak akan menghasilkan apa-apa walau banyak tenaga telah dicurahkan.


Jika kita masih mencari kesalahan orang lain, tidak menghargai sumbangan-sumbangan positif dan memperkecil pencapaian orang lain, kita tidak akan ke mana-mana. Tinggalkan sikap bahawa kita selalunya betul dan yang lain selalu salah. Kita mesti mengenal semua pekerja dalam lapangan Islam dan cuba menyelaraskan usaha-usaha kita.


B) Keadaan sekarang: Paling Buruk atau Paling Baik?

Kita selalu mendakwa bahawa situasi kita pada hari ini adalah yang paling buruk dan tidak mungkin akan bekerja dalam keadaan tersebut. Justeru, kita menunggu suasana paling baik dan sempurna. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku pada hari esok. Tiada siapapun tahu berapa lama status seperti hari ini akan kekal.


Cerita mengenai seorang lelaki yang jatuh dari tingkat 20 adalah sesuai untuk dipadankan di sini. Semasa dia jatuh ke bawah dan melintasi tingkat ke-7, seorang lelaki bertanya kepadanya dari tingkap, “Bagaimana anda sekarang?, Apa Khabar?”. Dia menjawab, “Setakat ini baik!”.


Sikap kita yang optisma terhadap dakwah dapat dilihat dalam kisah Nabi Musa a.s, Harun a.s dan Firaun.


Taraf kita lebih rendah daripada Musa a.s. dan musuh tidak pula lebih buruk daripada Firaun. Oleh itu, hendaklah sentiasa menaruh harapan dan tidak berputus asa terhadap keadaan kita sekarang.


C) Adakah Ketaatan itu Untuk Allah atau Akronim?

Petugas Islam mungkin bekerja melalui satu organisasi/parti atau sebaliknya, tetapi ketaatan yang utama haruslah kepada Allah. Nama-nama singkatan yang kita cipta untuk menamakan organisasi/parti tidak boleh mengaburi ketaatan kita kepada Allah.


Untuk tujuan strategi atau taktikal, kita membentuk pelbagai struktur, membuang dan mengubah yang sedia ada sebelum ini. Tujuan ini tidak boleh dikelirukan daripada objektif kerja-kerja Islam. Kadang-kadang kita menjadi terlampau bersemangat dan membela sesuatu nama tanpa kita sedar ini adalah jalan (cara) dan objektifnya hanya memperolehi keredhaan Allah semata-mata.


Sangat merbahaya sekiranya kita menetapkan suatu kesucian yang mistikal ke atas organisasi/parti lebih daripada apa yang kita niatkan. Kita membaca ayat dalam Surah Yusoff:


“Kamu tidak menyembah selain daripada Allah kecuali hanya menyembah nama-nama yang dibuat oleh kamu. Allah tidak menurunkan suatu keteranganpun tentang nama-nama itu. Keputusan itu adalah kepunyaan Allah. Dia telah memerintahkan kamu agar tidak menyembah selain Dia. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya.” (12:40)


Ini adalah fenomena yang telah mengganggu organisasi Islam dan dengan jelas disebabkan oleh kelemahan objektif mutlak kita. Maka, jangan hairan menggaru kepala kenapa berduyun-duyun orang ke ceramah politik, tetapi kurang terlihat batang hidung mereka di program tarbiyyah!


ISU 'KATAK' : KITA TUKAR TEMPO

Ini bukan kisah politik 'katak'


Pada suatu hari ada sekumpulan katak-katak kecil yang berlumba-lumba. Tujuannya adalah mencapai puncak sebuah menara yang sangat tinggi.



Penonton berkumpul bersama mengelilingi menara untuk menyaksikan perlumbaan dan memberikan semangat kepada para peserta.



Perlumbaan pun dimulakan...

Secara jujur, tak satupun penonton benar-benar percaya bahawa katak-katak kecil akan boleh berjaya mencapai puncak menara.

Terdengar ada yang berkata, "Oh, jalannya terlalu susahhhhh!! Mereka TIDAK AKAN BOLEH sampai ke puncak."

Ada juga yang berkata, "Tidak ada kesempatan untuk berjaya...Menaranya terlalu tinggi...!!

Katak-Katak kecil mulai berjatuhan. Satu persatu...


... Kecuali mereka yang tetap bersemangat menaiki menara perlahan-lahan semakin tinggi...dan semakin tinggi..

Penonton terus bersorak, "Terlalu susah!!! Tak seekor pun yang akan berjaya!!!"

Lebih banyak lagi katak kecil penat dan menyerah. Tapi ada SATU yang tetap melangkah hingga semakin tinggi dan tinggi...Dia tak mahu menyerah kalah!

Akhirnya yang lain telah menyerah untuk menaiki menara. Kecuali seekor katak kecil yang begitu berusaha keras dan menjadi satu-satunya yang BERJAYA sampai KE PUNCAK!



SEMUA katak kecil yang lain ingin tahu bagaimana katak ini boleh melakukannya?


Seekor peserta bertanya bagaimana cara katak yang berjaya itu mempunyai kekuatan untuk mencapai tujuan?

Ternyata, Katak yang menjadi pemenang itu PEKAK!!!!


Jangan sesekali mendengar kata orang lain yang mempunyai kecenderungan negatif ataupun pesimis...


...kerana mereka akan mengambil sebahagian besar mimpimu dan menjauhkannya darimu.

Selalulah fikirkan kata-kata bertuah yang ada. Kerana segala sesuatu yang kau dengar dan kau baca boleh mempengaruhi perilakumu!

Kerana itu, Selalulah tetap....



POSITIVE!

Dan yang terpenting, bersikap PEKAK jika ada orang mengatakan bahawa KAMU tidak boleh mencapai cita-citamu!

Selalulah berfikir...
I can do this!


RE-ENGINEERING OF ISLAMIC BUILDING © 2008. Template by Dicas Blogger.

TOPO